Adsense

Jumaat, 19 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Eira suka watak baik, Azad sebaliknya

Posted: 18 Nov 2010 08:20 AM PST

pix_topright

SAMA ada di lokasi penggambaran, studio rakaman atau kehidupan biasa, aura percintaan Eira Syazira dan Azad Jazmin berkisar mengenai rasa cemburu terhadap bakat lakonan masing-masing yang belum dicungkil sepenuhnya.

Sikap terbuka dan belajar membaiki kelemahan mengukuhkan rasa hormat sesama mereka. Kemesraan membuatkan hubungan cinta berputik kian mekar dalam mengenali hati budi satu sama lain.


Sejak bertentang mata di lokasi penggambaran Dendam Adam dua tahun lalu, pasangan kekasih ini tetap komited membuktikan keupayaan masing-masing menerusi filem Ngangkung yang akan ditayangkan mulai 24 November ini.

Sekalipun tidak bertemu dalam mana-mana babak Ngangkung kecuali praproduksi lokasi penggambaran, watak putih dan hitam yang dibawa mereka memberi kesan emosi yang akan menguji kemampuan menambat hati penonton.

Dengan watak Suri iaitu isteri kepada pemandu lori, Azim lakonan Shaheizy Sam sebagai watak utama, Eira menyifatkan peranan diberikan memberi kepuasan lakonan yang diharapkan.

Baginya, watak keibuan menyayangi keluarga dipapar membolehkannya bermain emosi dengan baik.

"Terus terang, saya suka watak ini berbanding antagonis yang bukan kegemaran. Saya meminati lakonan membangkitkan rasa emosi terhadap penonton sambil meluahkan perasaan dalaman melalui riak wajah. Lagipun, berlakon watak utama bersama Sam memberi banyak peluang untuk membaiki bakat lakonan.


"Banyak mesej baik ada dalam filem yang tidak pernah dipaparkan terutama kegilaan golongan tertentu memuja nombor ekor secara mencangkung.


"Apabila filem siap, saya dapati banyak pengajaran disampaikan kepada masyarakat. Suri menyuruh seseorang seperti Azim melupakan tabiat buruk supaya bertaubat daripada melakukan perkara salah di sisi agama.

"Filem ini memberikan saya peluang berlainan daripada kebanyakan filem lakonan sebelum ini. Ngangkung memaparkan kemampuan sebenar. Banyak elemen diketengahkan seperti sedih, menaruh harapan, kesabaran dan sebagainya ada. Saya juga tidak sabar menunggu reaksi penonton di pawagam tidak lama lagi," kata Eira atau nama sebenar, Syazira Shuhaimi, 29.

Azad Jasmin atau Azad Jasmin John Louis Jeffri, diketengahkan melalui program realiti Audition 2 pula sebaliknya kerana sukakan watak antagonis.

"Ramai mengenali saya kerana watak komedi dibawa sebelum ini. Jadi, saya mahu mencuba pelbagai watak dan bukan sekadar pelakon komedi sepanjang masa.

"Saya memang sentiasa menantikan watak serius. Buat masa ini, saya masih cuba membuktikan lakonan dan memanfaatkan peluang diberikan. Saya tidak berhenti berusaha memandangkan Eira banyak membantu mengkritik atau menegur kelemahan perlu diperbaiki.

"Dia (Eira) memberitahu saya tidak boleh berlawak sepanjang masa. Mungkin kerana keadaan boleh membuatkan saya jadi bahan jenaka," kata pelakon Anak Mami, memiliki darah campuran Portugis dan Melayu ini.


Dalam Ngangkung arahan Ismail Bob Hassim, Azad berperanan sebagai Tasnim. Dia sering menghasut dan mengajak Azim terbabit dalam kegiatan tidak bermoral mendapatkan nombor ekor melalui pemujaan secara mencangkung.

Bercakap mengenai kisah cinta mereka berputik sejak dua tahun lalu melalui telemovie Dendam Adam, Eira mengakui selesa berkawan dengan Izad kerana sikap terbuka.


"Dia akan serius apabila keadaan memerlukan. Kami mengutamakan sikap menghormati satu sama lain. Kami berkawan baik dengan cara tersendiri dan tidak mahu berlebih mengatakan kami dilamun cinta.

"Buat masa ini, kami lebih selesa memberi pujian jika ada antara kami berhak mendapatnya. Penting bagi kami menjaga tatasusila hubungan demi kebaikan jangka panjang.


"Apapun, Azad suka bertanya bagaimana cara meningkatkan kualiti lakonan dari semasa ke semasa. Saya akui tidak sempurna, tetapi berkongsi pengalaman membuatkan kelemahan dapat dibaiki lebih cepat. Mengenai jodoh, kami serah kepada Allah menentukannya kerana hanya mampu berusaha. Kami tidak mahu berbangga mengatakan kami bercinta kerana boleh membuatkan orang meluat, jadi kami lebih suka fokus terhadap karier seni," katanya.


Lakonan baru menggandingkan Eira bertutur loghat Kelantan dan Azad dengan dialek utara dapat disaksikan melalui drama episod, Anak Mami Mek Ani yang disiarkan di Astro Warna pada 30 November nanti.


Selain Eira dan Azad, beberapa pelakon membintangi Ngangkung adalah Angah Raja Lawak, Azlee Jaafar, Mazlan Pet Pet dan Putri Mardiana.


Bukan sekadar lakonan, Azad, 34, turut sibuk menyiapkan album nyanyian sulung bertajuk Di Hati Ini. Album berkonsep pop balada dijangka berada dalam pasaran Januari tahun depan.


"Album memuatkan lima lagu. Antara lagu adalah ciptaan komposer berpengalaman, Adnan Abu Hassan serta Adam Ahmad dan penulis lirik terkenal, Habsah Hassan.

"Setakat ini, empat lagu sudah disiapkan dan satu lagi akan dirakam dalam masa terdekat. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, saya akan membawa watak penyanyi 80-an, Adam Ahmad menerusi filem arahannya sendiri bertajuk lagu popularnya, Kau Pergi Jua, tahun depan.

"Setakat, ia masih dalam proses memperkemaskan skrip. Watak diberikan serius, jadi ini akan menjadi ujian untuk memegang watak seperti itu diimpikan selama ini," katanya.


Pada masa sama, Eira akan tampil dengan album solo bertajuk Suara Rindu. Kata Eira, album menemui pendengar antara Mac atau April memuatkan lagu seperti Suara Rindu, Meniti Waktu, Makna Cinta dan Sayangku.

NAMA: Syazira Shuhaimi
NAMA KOMERSIAL: Eira Syazira
TARIKH LAHIR: 19 Julai 1984
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada enam beradik
TEATER: Lorong 2/90 dan Bangsawan Lela Manja
DRAMA: Gerak Khas, Sembilu, Ibu Kota Cinta, Kaca, Lesen, Meniti Bara, Senja Kala, Assignment, Dosa Haniza, Seteguh Kinabalu, Elly, Jejak, Temu Janji, Penama Kedua, Sindarela, Abang Misi, Ku Milik Mu dan Melukut Tepian Gantang
FILEM: Bisikan Remaja, Ngangkung

NAMA: Azad Jazmin
TARIKH LAHIR: 11 Februari 1976
TEMPAT LAHIR: Seremban, Negeri Sembilan
ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
TELEMOVIE: Dendam Adam
DRAMA: Cinta Balqis, Tanya Sama Hati, Anak Mami Mek Ani, Adnan Sempit The Series, Chef Jo.
FILEM: Nana Tanjung 2, Sifu dan Tongga, Ngangkung, Kongsi

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wan K hidap diverticulitis

Posted: 18 Nov 2010 08:16 AM PST

APABILA sebut penyakit berkaitan usus ramai yang terbayang mengenai barah usus, gastrik atau apendiks. Barangkali tidak ramai yang mendengar mengenai penyakit diverticular dan apabila ia menjadi radang akan dikenali dengan nama diverticulitis. Penyakit itulah yang meletakkan penerbit dan pengacara program Talian Hayat, Wan Kamarudin Wan Ibrahim atau Wan K, dalam keadaan cemas dua minggu lalu.

Berkongsi pengalaman pahitnya itu, jelas Wan K, tiga hari sebelum berjumpa doktor pakar, dia ke klinik kesihatan biasa dan doktor hanya memberikan pil penahan sakit. "Namun sakit di bahagian kanan perut masih tidak hilang membuatkan saya tidak lena tidur malam. Agak menghairankan kebiasaannya sakit di bahagian kanan perut dikaitkan dengan apendiks. Apapun saya menjalani pembedahan membuang lebihan usus (apendiks) 10 tahun lalu.


"Selepas tidak dapat menahan kesakitan apatah lagi bahagian perut sebelah kanan terasa semakin keras dan bengkak, saya memutuskan untuk bertemu doktor pakar. Selepas melalui beberapa proses pemeriksaan secara terperinci, doktor pakar mengesahkan saya menghidap diverticulitis yang sangat teruk.

"Nasib saya agak baik kerana ia belum pecah dan pendarahan belum berlaku walaupun jangkitan yang dialami agak parah. Doktor memberi masa selama tiga hari untuk memantau sama ada jangkitan dapat diatasi dengan pemberian dos antibiotik yang tinggi. Jika keadaan bertukar menjadi lebih buruk, pembedahan rumit memang tidak dapat dielakkan," katanya Kata Wan K, pembedahan rumit yang dimaksudkan adalah usus besar yang dijangkiti terpaksa dibuang. Manakala dua hujung usus besar yang dipotong akan diletakkan atas permukaan perut selama lebih kurang 6 minggu. "Selepas pesakit stabil dan keadaan jangkitan usus sudah mula diatasi, satu pembedahan lain akan dibuat bagi memasukkan kembali dua hujung usus ke dalam perut. Lewat menerima rawatan, diverticulitis boleh mengundang risiko kehilangan nyawa akibat berlaku pendarahan usus yang serius.


"Menurut doktor pakar, diverticulitis lebih kerap dihidapi masyarakat yang berada di negara Barat. Namun, akhir-akhir ini masyarakat di Asia mula berdepan penyakit ini akibat tabiat pemakanan yang kurang pengambilan jumlah fiber yang boleh didapati dalam buah-buahan dan sayuran segar. "Kekurangan fiber boleh menyebabkan seseorang mengalami sembelit dan akibat tekanan yang tinggi di bahagian dinding usus yang lebih lembut, ia menyebabkan bonjolan yang menyebabkan najis tidak berada di saluran utama usus. Dalam jangka masa yang lama ia akan menyebabkan jangkitan yang teruk.


"Untuk rekod, sembelit juga boleh menyebabkan buasir yang terjadi di bahagian rektum," katanya.

Ketahui dan pelajari apa itu diverticular dan diverticulitis dan bagaimana cara bagi mengelaknya dari pengalaman Wan K sendiri yang bertarung dengan penyakit ini dalam Talian Hayat yang bersiaran di ntv7, jam 7.30 malam ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.