Adsense

Jumaat, 19 November 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Semangat Eyeja belum runtuh

Posted: 18 Nov 2010 02:42 PM PST

Hip

Kecewa apabila single pertama kurang mendapat layanan kebanyakan stesen radio

WANITA berdarah campuran Melayu - Pakistan ini mungkin masih terlalu asing bagi kebanyakan pembaca Hip. Enam tahun mencuba nasib dalam bidang nyanyian, wanita yang membawa nama Eyeja ini masih terkontang kanting mencari arah.

Ketika memenuhi sesi fotografi, penyanyi berusia 27 tahun yang nama sebenarnya persis lelaki iaitu Shahizal Mohd Arshad, memberitahu dia mahu keluar dari kelompok penyanyi 'suam kuku' apabila bernaung di bawah Cherry Talent & Management. Eyeja berharap ada sinar baru menanti kerjaya sepinya apabila membuat keputusan untuk bernaung di bawah syarikat itu. Namun, penyanyi yang bakatnya dilahirkan daripada pertandingan nyanyian Bintang RTM pada 2004 ini menyedari laluan itu sangat sukar apatah lagi perlu berdepan diskriminasi stesen radio.

Single terbarunya berjudul Prasangka sudah lama dihasilkan. Namun, dia masih tertanya-tanya di mana salah dan silapnya sehingga lagu itu tidak diberikan ruang untuk disiarkan.

Inilah antara onak dan duri yang bakal dilalui sepanjang bergelar anak seni. Wanita yang dilahirkan di Negeri Sembilan tetapi dibesarkan di ibu kota Kuala Lumpur itu melahirkan kekecewaan apabila kebanyakan stesen radio seakan-akan tidak berminat menyiarkan lagunya?

Adakah hanya kerana gelaran Bintang RTM menyekat lagu mereka daripada diputarkan radio swasta? Terlalu rendahkan martabat mereka apabila lahir daripada RTM?
"Memang kecewa. Bukan Eyeja saja. Izwan Pilus dan Ernie yang lahir daripada program sama turut berdepan nasib serupa. Malahan penyanyi yang sudah ada nama seperti Ramlah Ram juga menghadapi masalah serupa, apatah lagi penyanyi baru seperti Eyeja.

"Stesen radio kata mereka ada ciri tertentu memilih lagu untuk disiarkan. Eyeja nak juga tahu ciri bagaimana yang mereka mahukan? Mereka kata mahukan lagu masa kini, saya sudah sedaya upaya tampil dengan lagu yang lebih segar tetapi malangnya tidak diterima.

"Sebelum membuat keputusan lagu apa yang mahu dijadikan single, Eyeja terlebih dulu tanya kepada peminat menerusi laman sosial facebook. Pilihan mereka itu, Eyeja ambil kerana percaya peminat lebih tahu apa yang mereka mahukan. Malah ada juga peminat yang beritahu, mereka ada meminta stesen radio swasta memutarkan lagu Eyeja tetapi permintaan mereka tak dilayan.

"Eyeja sedih sangat bila diperlakukan begini oleh stesen radio swasta. Ialah Eyeja buat lagu pakai duit, bukannya air liur. Takkanlah tak ada ruang langsung untuk lagu Eyeja diputarkan?" katanya.

Penyanyi yang pernah mencuba nasib dalam program realiti Akademi Fantasia 2 tetapi terpaksa menolak tawaran program itu kerana sayang meninggalkan perjuangannya di dalam Bintang RTM menyandarkan kepercayaan kepada komposer muda untuk mencorakkan albumnya.

Katanya, dia ada meminta lagu daripada komposer yang sudah memiliki nama tetapi apabila lagu-lagu berkenaan diletakkan di dalam laman sosial facebook, peminat lebih cenderung memilih lagu daripada komposer baru. Justeru

Sentiasa hargai publisiti

Biarpun enam tahun bergerak tanpa sebarang publisiti yang meluas, Eyeja ternyata bertuah kerana rezekinya boleh dianggap murah berbanding dengan peserta program realiti lain. Bukan cuba mendabik dada mahupun menunjuk-nunjuk tetapi dalam kesenduan, dia mampu memiliki kereta besar hasil titik peluh menyanyi dan ada ketikanya turut muncul sebagai pengacara program di RTM.

Namun jangan salah sangka kerana dia tidak perlu penaja untuk memiliki semua itu.

Mungkin berkat sering dilabel sebagai anak emas RTM dan sering membuat persembahan untuk stesen berkenaan menyebabkan dia sering mendapat undangan menjayakan majlis korporat malah turut menerima undangan dari istana.

"Mungkin dari segi publisiti kurang, tetapi alhamdulillah sepanjang enam tahun menyanyi, belum pernah sekali Eyeja mengalami kesempitan hidup. Ini adalah berkat sering membuat persembahan dengan RTM yang membabitkan ramai golongan kenamaan.

"Dari situ mereka mengenali Eyeja dan kebetulan pula sering bawakan lagu 80-an dan boleh juga menyanyi klasik. Setiap kali menerima undangan, mereka akan meminta Eyeja menyanyikan lagu 80 an.

"Hampir setiap minggu ada saja tawaran menyanyi Eyeja terima. Bayaran juga memuaskan, kebanyakan penganjur tahu berapa kadar bayaran untuk saya. Wang hasil undangan nyanyian itulah yang menampung kehidupan Eyeja selama ini.

"Walaupun Eyeja boleh bertahan tanpa banyak publisiti selama ini tetapi Eyeja masih memerlukan juga publisiti untuk melonjakkan kerjaya nyanyian," katanya.

Solekan: Wan Azlan (017-2518270)


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

KARYAWAN anjur muzik maraton

Posted: 18 Nov 2010 02:40 PM PST

Hip

BERMATLAMAT meringankan beban teman seperjuangan, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) akan mengadakan cara besar-besaran, selama sembilan jam yang dinamakan Music Aid 2010: Dari Pemuzik untuk Pemuzik di Dewan Sivik Petaling Jaya, bermula jam 3 petang pada Ahad ini.

Menggabungkan ramai muka baru serta orang lama, program berkonsepkan hiburan sambil menambah dana itu dijangka menghimpunkan lebih 100 penggiat seni muzik tanah air yang akan menyampaikan dendangan tanpa henti selama sembilan jam.

Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata acara konsert yang diilhamkan Biro Pemuzik Profesional Karyawan itu diharap mampu menambah dana untuk membantu ramai insan seni yang memerlukan pembelaan sekali gus meringankan beban mereka. "Konsert ini dijangka bermula jam 3 petang dan berakhir hingga 12 tengah malam selain diadakan secara berterusan. Kami berbesar hati mendapat sokongan ramai termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut menyokong usaha ini.

"Rakan pemuzik, penyanyi dan insan seni lain juga nyata menonjolkan sokongan tidak berbelah bagi apabila menyatakan persetujuan untuk muncul di pentas mahu pun atau menjadi sebahagian daripada penaja program ini," katanya.

Tiket masuk yang hanya RM30 selain lokasi bersesuaian dengan kemudahan tempat letak kereta atau sekadar menaiki pengangkutan awam terutama LRT antara daya penarik malah dijangkakan hampir 2,000 pengunjung akan hadir.

Freddie berkata, pemangkin yang mendorong biro terbabit merealisasikan konsert berkenaan juga adalah selepas melihat kesulitan beberapa karyawan seni seperti Yazid Search, Booty Boy, Zainal Rampa dan ramai lagi kini terlantar sakit.
"Sebagai teman seperjuangan, kami perlu melakukan sesuatu bagi membantu mereka hingga tercetusnya idea menganjurkan konsert ini di mana hasil jualan tiket itu nanti akan disalurkan ke dana Tabung Kebajikan dan Kecemasan Pemuzik yang diketuai Aznan Alias.

"Kita harap lebih ramai lagi penaja atau penyanyi yang ingin memeriahkan acara itu nanti tampil ke hadapan. Bagi peminat muzik yang ingin mendapatkan tiket pula, ia boleh didapati di pintu masuk atau menghubungi pejabat Karyawan untuk keterangan lanjut," katanya.

Antara barisan penyanyi yang bakal menjayakan program ini adalah M.Nasir, Ramli Sarip, Spider, Faizal Tahir, Ana Raffali dan Marhaen, Suhu, Satira, Fieldplayer,Maharajah, Naizel, Transformasi DS, Loudspeaker, Sharinband, Dezmelon, Genskii,Mercyside, Roundrobin, Sonic Velocity, PAVA serta Jazzcom.

Bengkel tulis dapat sambutan

KETANDUSAN skrip TV dan filem yang baik menjadi faktor industri seni kita di takuk yang lama. Idea menghasilkan skrip bukan saja terhad dengan melihat persekitaran, tetapi harus pandai berimaginasi di luar lingkup pemikiran kita.
Menyedari perkara itu, pengarah dan penulis skrip, Kamal Ishak mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Asas Penulisan Skrip yang terbuka kepada kepada semua pihak yang berminat menceburi bidang penghasilan skrip.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah mengadakan bengkel itu dengan kerjasama daripada Suhan Movie Production dan Rosyam Nor serta berjaya mengumpul 20 peserta yang dianggap sebagai generasi pelapis untuk mengubah senario industri perfileman dan penerbitan TV.

Bengkel Asas Penulisan Skrip ini diadakan pada 27 November hingga 30 November ini di Taman Permata Kuala Lumpur bermula jam 9 hingga 5 petang.

"Jika penganjuran yang lalu lebih 10 orang terpaksa dikeluarkan kerana tempat terhad, namun kami membawa mereka pada sesi kali kedua ini. Buat masa ini kami sudah ada 10 peserta yang menanti dan masih memerlukan 10 peserta untuk mengikuti bengkel ini.

"Peserta akan dikenakan bayaran RM350 seorang. Yuran termasuk edaran nota pembelajaran, menonton filem/drama tv, latihan, semakan dan makan," katanya.
Menurut Kamal, bengkel itu akan disusuli dengan bengkel khas buat penulis berpengalaman yang akan diadakan pada pada 1 hingga 3 Disember depan.

Bengkel yang di namakan To A Screenplay' A One To One Basis of Practical Writing disediakan kepada peserta dengan cara menulis/ berlatih menulis skrip terus menerus dipantau oleh tenaga pengajar. Yuran untuk bengkel ini ialah RM300 selama tiga hari termasuk makanan disediakan. Peserta juga hendaklah membawa laptop untuk kerja dan latihan menulis.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai bengkel ini boleh menghubungi pengarah bengkel, Haslee Idayu (016-2694527).


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.