Adsense

Khamis, 11 November 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belum fikir lagi soal kahwin

Posted: 10 Nov 2010 04:52 AM PST

KEGAGALAN Fazura dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menerusi filem Pisau Cukur mengundang perbualan ramai. Semua berasakan dia layak dimasukkan dalam kategori itu, malangnya pihak penilai dikatakan terlepas pandang dan hanya mencalonkannya dalam kategori Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem Lagenda Budak Setan.

Gelaran itu pun agak sukar diraihnya apabila tewas di tangan Norliana Shamsudin yang dilihat begitu menyerlah menerusi filem Adnan Sempit. Agak menghairankan apabila Fazura sendiri tidak langsung memberikan komen seolah-olah tidak mengambil kisah apa yang berlaku di sekelilingnya. Namun, boleh dibuat kesimpulan dia seakan-akan kecewa dengan apa yang terjadi.


Bagaimanapun, masih ada peluang buat Fazura membersihkan calar pada wajahnya menerusi Anugerah Skrin 2010 TV3 yang bakal berlangsung pada penghujung Disember ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kali ini banyak pihak berasakan panel juri tidak terkhilaf lagi menilai siapa yang layak dicalonkan mengikut kategori yang sesuai.

Itulah juga harapan pelakon cantik ini. Ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Bujang Terlajak arahan Profesor A Razak Mohaideen, pelakon ini meletakkan harapan Anugerah Skrin tidak mengulangi 'bencana' yang berlaku pada FFM23.


"Saya lihat Anugerah Skrin adalah anugerah yang menarik dan begitu berprestij serta harap janganlah jadi seperti FFM23. Bukan apa, selepas FFM23, orang risau bagaimana keadaan industri filem kita kerana terlalu banyak kekalutan dan pertanyaan berhubung penganjuran dan pencalonan setiap kategori.


"Saya harap sangat Anugerah Skrin membuka mata untuk menghargai karyawan seni iaitu pelakon dan penggiat seni mengikut landasan yang betul. Mereka perlu dihargai dan diberikan pengiktirafan kerana hanya orang seni yang tahu bagaimana susahnya bekerja dalam bidang ini," katanya sebelum sesi penggambaran bermula.

Meskipun raut wajahnya tenang, terselit nada kekecewaan dalam patah perkataan Fazura apabila mengakui selepas FFM23 dia tidak berharap sangat dicalonkan dalam mana-mana anugerah atau meraih kemenangan. Cukuplah dia memberikan lakonan terbaik yang diingati peminat.


"Yang penting peminat tahu bagaimana lakonan saya. Lakonan saya kini hanya untuk peminat, bukannya kerana untuk bertanding. Hendak bercakap banyak pun saya malas kerana nanti orang kata saya macam-macam pula sedangkan perasaan kecewa saya orang tak tahu. Sebenarnya bukan mudah menjadi anak seni kerana terlalu banyak pengorbanan perlu dibuat.

"Apapun saya percaya barisan juri untuk Anugerah Skrin lebih baik menilai dan jujur dalam kerja mereka. Jika saya dicalonkan untuk kategori yang sepatutnya, saya akan bersyukur. Ini perkara biasa kerana setiap artis dan pelakon rasa dihargai apabila dicalonkan mengikut kategori yang betul dan meraih kemenangan.

"Orang pergi pada majlis anugerah untuk melihat mereka yang terbaik. Barulah timbul perasaan seronok. Saya kena percaya pada rezeki dan jika ada (rezeki) pada Anugerah Skrin, saya akan bersyukur dengan kurniaan ini," katanya yang mengakui tidak mengambil tahu langsung dan tidak membabitkan diri dengan program FFM23.


Bercerita mengenai kerjayanya, Fazura mengakui kelibatnya jarang kelihatan dalam lakonan kerana berehat selama setahun. Dalam tempoh itu dia sibuk dengan tugasan sebagai duta untuk produk wangian Avon, Nutox Skincare dan Hair Extension jenama Hair Dreams. Filem Bujang Terlajak boleh diibaratkan kemunculan semulanya dalam seni.


"Ini ialah filem ke-10 lakonan saya dan ketiga dalam genre komedi. Saya melakonkan watak Puteri yang digilai tiga ahli silap mata profesional, Saiful, Nabil dan Johan. Saya terbabit dalam sekitar 15 babak. Sebelum ini profesor (A Razak) ada tawarkan saya berlakon filem 4 Madu tapi saya tolak kerana jadual terlalu padat. Memang tiada rezeki untuk bersama dia.


"Namun tawaran kali ini saya tak dapat tolak lagi kerana saya pun tidak mahu buat benda sama. Bila dia tawarkan saja, saya terus berikan persetujuan kerana rasa rindu hendak berlakon. Saya juga hendak rasa pengalaman berlakon di bawah arahan profesor (A Razak) kerana kita perlu mempelbagaikan pengalaman dalam lakonan.


"Saya tahu ramai hairan kenapa tiba-tiba saya berlakon dengannya kerana sebelum ini saya pernah berlakon filem di bawah pengarah yang agak moden iaitu Bernard Chauly, tapi saya ada sebab tersendiri berbuat demikian. Setiap orang ada cara berbeza dan itulah keistimewaan mereka.

"Lagipun walaupun orang kata macam-macam mengenai filemnya, tapi filemnya tetap boleh diterima penonton.


"Selepas enam hari penggambaran saya rasa keseronokan berlakon kerana ia berbeza daripada filem lakonan saya sebelum ini. Ia bukanlah komedi slapstik. Mulanya saya takut juga kerana banyak komedi, tapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri dengan semua pelakon. Filem ini menampilkan komedi ringan dan sesuai ditonton untuk mengurangkan tekanan," katanya yang berhasrat kembali aktif berlakon drama Januari tahun depan.


Alang-alang sudah berjumpa, Fazura turut dijolok mengenai persoalan hubungannya dengan seorang kerabat diraja seperti yang dihebohkan sebelum ini. Namun ringkas saja jawapan yang diberikan iaitu 'no komen'. Katanya, dia sangat rimas untuk bercakap mengenai perkara itu dan enggan membuka mulut. Bagaimanapun, dia sudi berkongsi pandangannya mengenai perkahwinan.


"Saya enggan fikirkan lagi soal kahwin kerana mahu berjaya dalam hidup terlebih dulu. Semua orang hendak berkahwin dan harapkan jodoh yang terbaik dalam hidup, begitulah juga dengan saya. Jikalau tergesa-gesa hendak kahwin tapi rumah tangga tak kekal pun tiada guna juga. Kalau boleh saya hanya ingin berkahwin sekali dan kekal buat selamanya.


"Saya juga tak fikir umur akan jadi isu saya perlu cepat kahwin. Lainlah kalau umur saya sudah mencecah 35 tahun, kenalah fikir untuk cepat kahwin kerana sukar nak melahirkan anak nanti. Soal jodoh ditentukan Allah dan saya akan terima dengan hati terbuka siapa jodoh saya nanti. Sudah semestinya saya harapkan jodoh yang baik dan kekal selama-lamanya.


Sebelum mengakhiri perbualan, Fazura turut menitipkan pesan buat peminatnya. Katanya jangan terkeliru dengan kewujudan laman sosial popular Facebook (fb) individu yang menyamar menggunakan nama dan wajahnya. Jelasnya dia hanya mempunyai laman web peminat (fansite) bukannya yang berbentuk peribadi.

>PROFIL
NAMA: Nur Fazura Sharifuddin
TARIKH LAHIR: 27 September 1983
USIA: 27 tahun
KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik
PROGRAM TV: Teensworld (RTM2), MTV Jus dan MTV Pop Inc
FILEM: Bicara Hati, Qaisy & Laila, Senario XX, Gol & Gincu, Kayangan, Selamat Pagi Cinta!, Kantoi, Pisau Cukur, Lagenda Budak Setan dan Bujang Terlajak
DRAMA: Inspirion, Dalam Hati Ada Cinta, Kasih Suci, Datin Diaries, Gol & Gincu The Series, Rendang Untuk Mentua dan Ezora
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17)
DUTA: Olay, Avon, Nutox Skincare dan Hair Extension Hair Dreams

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiga legenda gegar HRC Penang

Posted: 10 Nov 2010 04:49 AM PST

CAKAP saja soal persembahan amal, Zainal Abidin tidak pernah bosan berbicara mengenainya. Disebabkan itu juga, dia tetap bersabar walaupun persembahan amal kali ini memaksanya menunggu selama tiga bulan sebelum dapat menjayakan Live Music Showcase di Hard Rock Cafe, Pulau Pinang pada 23 November ini.

Persembahan untuk 'Friends of Kapar' diadakan bagi mengisi tabung badan bukan kerajaan berkenaan. Zainal akan bergandingan dengan Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid dan ikon rocker, Amy Search.


Persembahan bertema A Gift From The Heart bermula jam 8.30 malam itu dijangka menarik seramai 400 penonton. Kata Zainal, dia berbesar hati persembahan Live Music Showcase disertai dua penyanyi ternama mempunyai nama besar yang sentiasa prihatin dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

"Saya telefon Sheila mengatakan mahu membuat kerja amal dan dia (Sheila) terus memberi jawapan dia akan lakukan apa saja untuk kanak-kanak. Begitu juga Amy, saya hanya beritahu pada saat akhir beberapa jam sebelum sidang media diadakan dan dia juga setuju.


"Jadi, mesej kami bukan sekadar menghiburkan mereka namun berharap mereka menikmati masa depan lebih baik terutamanya pendidikan lebih sempurna dan menikmati hidup lebih baik. Kami cuba membantu golongan kurang bernasib baik tanpa mengira agama serta bangsa dan cara terbaik membuktikan nilai kemanusiaan ada dalam diri setiap manusia.


"Saya sebenarnya lebih suka mengatakan kami membawa mereka bercuti ke Pulau Mutiara, menyediakan makanan terbaik untuk mereka, membawa mereka mandi kolam renang, tidur di hotel dan membawa bersiar-siar dengan kereta klasik. "Ini antara usaha membantu masa depan kanak-kanak itu supaya lebih cerah kerana kami tidak mahu melihat mereka membesar dan terbabit dalam perjudian, samseng dan pelbagai elemen negatif dalam masyarakat," katanya dalam sidang media bersama Sheila dan Amy di Hard Rock Cafe, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Apa yang lebih menarik, setiap ikon terbabit akan melelong pelbagai koleksi peribadi milik mereka untuk mengisi tabung. Antaranya CD box, cermin mata, potret dan beberapa lagi yang mempunyai nilai sentimental. Sheila berkata, dia langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai projek amal Friends of Kapar walaupun baru berjumpa Zainal baru-baru ini.


"Kalau jumpa Zainal, dia memang suka bercerita mengenai cara membantu golongan kurang bernasib baik. "Hati saya memang mudah tersentuh apabila mendapat peluang melakukan kebajikan. Sebagai ibu kepada empat anak, saya dapat merasainya malah cuba menunjukkan teladan baik kepada anak-anak. "Bagi saya, golongan tidak bernasib baik tidak perlu bimbang kerana masih ada yang prihatin apabila mereka memerlukannya. Paling penting, kami dapat memberi inspirasi kepada golongan berkenaan. Siapa tahu mereka akan menjadi pemimpin dan seseorang yang terkenal suatu hari nanti," katanya. Amy yang membuat kemunculan mengejut berkata: "Selama 30 tahun saya menjadi penghibur kepada pelbagai jenis peminat. Ini antara perkara saya memang suka lakukan dan akan sentiasa lakukan kerana golongan kurang bernasib baik sentiasa dekat dalam hati di mana saja saya berada." Zainal berkata mereka akan menyanyikan semua lagu popular masing-masing dalam genrenya.

"Lagu lama saya bersama Headwind seperti Suraya dan Hanya Di Radio akan dinyanyikan. Sheila pula akan sampaikan Antara Anyir dan Jakarta, Warna dan Dengarkan. Amy tidak akan lepas lagu seperti Isabella dan Fantasia Bulan Madu," katanya. Tiket menyaksikan persembahan berkenaan dijual pada harga RM50. Sebanyak 80 peratus daripada jualan tiket akan disalurkan ke dalam tabung berkenaan. Pengurus Besar Hard Rock Cafe Pulau Pinang, John Primmer mengulas dia sangat terharu dengan komitmen tiga artis berkenaan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.