Berita Harian: Hip |
Posted: 10 Nov 2010 05:38 PM PST Hip Que Haidar mahu tumpu kelas lakonan, perniagaan demi keluargaAPABILA pemegang trofi Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan 2009, Que Haidar, memaklumkan hasratnya untuk berhenti berlakon, ramai di kalangan peminat dan penggiat filem yang berasakan betapa 'persaraannya' itu satu kerugian besar pada dunia perfileman negara. Que dilihat antara bintang muda yang mempunyai pengaruh besar dalam dunia lakonan tempatan, kerana bakat hebat yang ada dalam dirinya. Daripada filem Rock hingga Lagenda Budak Setan, dia sentiasa memberikan persembahan terbaik apabila beraksi di layar lebar, mahupun drama TV. Daripada usahanya itu, pelakon lelaki berusia 31 tahun ini selayaknya digelar sebagai anak wayang sejati. "Saya tidak terkilan dengan keputusan yang dibuat, cuma suatu hari nanti mungkin saya akan rindu untuk berlakon semula" Produser dan pengarah, Datuk Yusof Haslam dan pelakon Rosyam Nor pernah melahirkan rasa terkilan apabila pelakon berbakat besar dan pada usia semuda Que menyuarakan hasrat mengundurkan diri dari dunia lakonan.Que Haidar Mereka berasakan, masih banyak peluang hebat yang mampu digapai pelakon lelaki ini sekiranya dia terus aktif sebagai bintang filem. Namun, Que mempunyai perancangannya tersendiri untuk masa depan lebih baik, buat dirinya dan keluarga. Bukan menganggap lakonan tidak memberikan rezeki, tetapi dia melihat keutamaan diri sudah berubah sejak mendirikan rumah tangga dan kini mempunyai anak. "Jika dulu, saya berlakon untuk kepuasan dan diri saya seorang, tetapi kini tidak lagi boleh berfikiran sedemikian. Saya sudah ada keluarga yang perlu diberikan perhatian. Saya harus bekerja lebih keras untuk memastikan keperluan mereka ditunaikan. Mengaku sedang merangka perniagaan yang tiada kena- mengena dengan dunia seni, bagaimanapun Que enggan mendedahkan dulu bentuk bidang yang diceburinya. Perniagaan yang pada awalnya ingin dilakukan itu juga menarik minat si isteri, Linda Jasmine, untuk terbabit sama. Ketika ini, Que turut menumpukan perhatian kepada pengurusan Studio Linda Jasmine, selain mengendalikan beberapa kelas lakonan yang diadakan di studio terbabit, serta beberapa lokasi lain. "Jika dilihat kepada pelakon berjaya yang lain, mereka mempunyai sokongan. Contohnya Rosyam. Dia berlakon dan turut menerbitkan drama mahupun program televisyen. Farid (Farid Kamil) pula boleh mengarah dan menulis skrip, begitu juga Zul Huzaimi. Pierre Andre juga menulis skrip dan mengarah, selain bergelar pelakon. Saya pula hanya berlakon semata-mata. "Saya pernah ditawarkan mengarahkan filem, tetapi saya tolak. Saya tidak mahu melakukan sesuatu perkara yang 'cuba' mengarah dan akhirnya menjadi sampah. Saya ialah seorang pelakon," jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini. Begitupun, katanya, 'persaraannya' daripada lakonan bukanlah bersifat mutlak. Dia tidak menolak kemungkinan kembali beraksi di depan kamera sekiranya tiba-tiba ditawarkan watak yang benar-benar menarik, serta datang kepadanya pada waktu yang sesuai. "Jika masih ada produser yang sudi memanggil saya berlakon, dan tawarkan pula watak yang betul-betul menarik minat saya, sudah tentu saya akan melakukan pertimbangan sewajarnya. Saya tidak berkata yang saya akan berhenti berlakon untuk selama-lamanya. "Saya tidak terkilan dengan keputusan yang dibuat, cuma suatu hari nanti mungkin saya akan rindu untuk berlakon semula. "Semua orang tahu, sejak kecil saya berangan ingin menjadi seorang pelakon. Kini saya berjaya menunaikan impian itu. Cuma saya sedar, berlakon di Malaysia bukanlah seperti berlakon di Hollywood. Kita tidak dapat menjadi kaya dengan hanya berlakon, di sini," katanya. Kata Que, industri perfileman negara sedikit pun tidak akan terjejas dengan ketiadaannya kerana masih ramai pelakon berbakat, sama ada baru ataupun lama, yang mampu melaksanakan tugas mereka. Profil |
Langkah Faizal, Yuna semakin hampir Posted: 10 Nov 2010 05:12 PM PST Hip Lagu ciptaan Edry, Audi, Azlan dan Ajai lepasi halangan awal separuh akhir Muzik Muzik 25WALAUPUN keputusan enam lagu pada minggu pertama separuh akhir Muzik-Muzik ke-25 (MM25) dipilih secara rawak, tetapi sudah terdengar lontaran ketidakpuasan hati penonton terhadap keputusan yang diumumkan oleh pengacaranya Faizal Ismail dan Cheryl Samad. Keputusan berkenaan bagaimanapun masih belum rasmi kerana siapa yang benar-benar layak untuk ke peringkat akhir hanya akan diketahui pada minggu ketiga nanti. Enam lagu yang dipilih secara rawak itu ialah Kebahagiaan Dalam Perpisahan ciptaan Edry Abdul Halim dendangan Shahir, Mencari Konklusi ciptaan Noh Hujan dendangan kumpulan Hujan; Cinta Sempurna lagu dan lirik oleh Yuna, Noktah Cinta ciptaan Ajai dan lirik oleh Shah Qalam dendangan Hafiz; Sejujur Hatimu ciptaan Azlan Abu Hassan, lirik dan dendangan Adibah Noor, dan Hanyut daripada Faizal Tahir, ciptaan Audi Mok dan lirik ciptaan penyanyi itu sendiri.Daripada enam lagu yang dipilih, dua daripadanya dirasakan kurang layak untuk ke peringkat akhir kerana beberapa lagu lain dilihat lebih baik serta mempunyai lebih keaslian. Pada malam Isnin lalu, sebanyak 12 lagu bertaruh untuk menempah tiket ke peringkat akhir. Enam lagu yang turut bertanding ialah Gerak Hati, komposer dan lirik Lake & Light nyanyian Azlan & The Typewriter; Inikah Cinta lagu dan lirik oleh Akim; Cinta nukilan Iswandy dendangan Mohd; Hujan Bunga Di Kuala Lumpur ciptaan dan nyanyian Anna Raffali; Nadiku ciptaan Omar K, lirik oleh Zel Firdhaus dendangan Sabhi Sadhi, dan Oh Juwita dendangan Nubhan manakala lagu dan lirik oleh 6ixth Sense. Menonton separuh akhir MM 25 bagaikan menyaksikan pertarungan bakat di antara penyanyi yang digilap daripada program realiti serta mereka yang lahir daripada arus muzik 'bawah tanah' atau underground. Hanya dua saja yang tidak termasuk di dalam kelompok itu iaitu Adibah Noor dan Sabhi Sadhi. MM 25 juga menyaksikan senarai penyanyi yang hampir sama dengan musim lalu. Daripada 12 penyanyi, empat adalah bakat baru dan kali pertama menyertai MM25 iaitu Shahir, Ana Raffali, Sabhi Sadhi dan Mohd. Sebagai bakat baru yang pertama kali bertanding untuk anugerah berprestij seperti Muzik-Muzik, sudah tentu berasakan diri mereka terlalu kerdil jika dibandingkan dengan penyanyi yang lebih berpengalaman. Shahir yang lahir daripada program Akademi Fantasia (AF8) mengakui betapa dia berasa gemuruh apabila lagunya diumumkan berjaya ke peringkat separuh akhir. "Saya gugup melihat senarai calon yang semuanya hebat dan berpengalaman. "Berjaya membawakan lagu Kebahagian Dalam Perpisahan ke separuh akhir pun sudah cukup menggembirakan saya tetapi kini saya serahkan soal rezeki di tangan takdir," katanya. Manakala Anna Raffali yang pertama kali menyertai Muzik Muzik dan berjaya mempertaruhkan sebanyak dua buah lagu turut melahirkan rasa tertekan apatah lagi dengan sejarah penganjuran Muzik-Muzik yang sebelum ini pernah dibarisi penyanyi hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir serta ramai lagi. Bagaimanapun wanita yang mula mengikuti Muzik Muzik sejak di tangga persekolahan itu enggan terlalu memikirkan mengenai persaingan sebaliknya memberikan fokus yang lebih kepada nyanyiannya. "Fokus saya hanyalah mahu memberikan persembahan yang terbaik khusus untuk penonton. Saya tak mahu memikirkan sangat soal persaingan," katanya yang berterima kasih kepada peminat kerana memberi ruang untuk artis indie sepertinya untuk memasuki pasaran arus perdana. Bantulah promosi lagu ciptaan baru MELIHAT kepada senarai lagu yang hampir tidak banyak beza berbanding musim lalu, ada yang membuat ramalan industri muzik tanah air sedang berdepan kehancuran. Adakah itu benar? Bagi Azlan serta rakan-rakannya daripada kumpulan The Typewriter, mereka melihat industri muzik masih berkembang baik apatah lagi dengan kemunculan ramai penyanyi baru. Tetapi mungkin mereka tidak diberikan ruang untuk mempromosikan diri. "Industri muzik bukan tidak berkembang cuma penyanyi baru tidak begitu mendapat ruang untuk mengetengahkan nama mereka. Kita tidak boleh menyalahkan stesen radio kerana tidak memutarkan lagu daripada penyanyi baru. "Mereka mungkin mempunyai alasan kerana bimbang tidak mampu mengikat pendengar. Adibah Noor yang pernah mengungguli Anugerah Juara Lagu 2007 juga tidak melihat industri muzik sedang melalui zaman kehancuran hanya disebabkan senarai pencalonan yang hampir sama saban tahun. Sebaliknya, penyanyi yang memiliki vokal mantap itu melihat industri muzik sedang bergerak ke arah positif. Memang jika diukur dari segi penjualan album secara fizikal berkurangan tetapi muzik tempatan kini berkembang semakin luas. "Indie kini bukan lagi indie tetapi muzik itu sudah dapat diterima di arus perdana. Pendengar kita sendiri juga sudah semakin matang. Itu sudah cukup untuk menunjukkan satu perkembangan dan persaingan yang sihat kepada industri muzik tanah air. "Kehadiran ramai pelapis baru juga bagi saya umpama kejutan bangun pagi untuk penyanyi sedia ada. Sudah tiba masanya penyanyi sedia ada mencari jalan untuk meningkatkan lagi mutu nyanyian mereka supaya dapat terus kekal dalam industri ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |