Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Jangan pandang serong - AlyahOleh RONI HIDAYAT RIDWAN KINI dia sudah boleh tersenyum puas. Namanya sudah semakin dikenali ramai dan sering meniti di bibir peminat. Hasil usaha kerasnya telah menampakkan hasil dan keputusan untuk tidak meneruskan hasratnya untuk meninggalkan bidang nyanyian beberapa tahun lalu ternyata satu pilihan yang tepat. Alyah yang popular dengan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang mengakui bukan senang untuk mencapai tahap seperti yang digapainya pada hari ini. Biarpun sudah menyanyi sejak 10 tahun yang lalu, namun masih ramai yang tidak mengenali dirinya sebagai seorang artis. Pernah menjuarai program Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) pada tahun 2000 dan melahirkan album selepas itu sehinggalah menyertai program realiti TV, One In A Million, namun namanya masih tidak mampu melekat di hati peminat. "Bayangkan perjalanan karier saya cukup panjang iaitu hampir 10 tahun lamanya tetapi masih lagi tidak dikenali, sudah tentu saya kecewa. Pelbagai cara telah saya lakukan, namun tidak menampakkan hasil hingga menyebabkan saya pernah terfikir untuk terus berhenti menyanyi sahaja. "Sehinggalah saya telah dinasihatkan oleh penyanyi, Nora, dan suaminya Johan Nawawi supaya terus bertahan. Kata mereka, saya memang memiliki bakat dan ada potensi untuk pergi lebih jauh lagi. Cuma masa dan keadaan sahaja yang menentukan dan mereka meminta agar saya bersabar," ujar Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hassan. Atas nasihat yang telah diberikan, ujar Alyah, dia amat berterima kasih kepada pasangan suami isteri itu dan nasihat tersebut tidak akan dilupakan sehingga bila-bila. Tidak dilupakan juga sekalung penghargaan yang ditujukan kepada ahli keluarganya yang banyak mendoakan kejayaannya selama ini. Menurutnya lagi, tahun 2009 adalah tahun yang mula memberi sinar apabila namanya mula meniti di bibir peminat. Dia tidak menafikan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang hasil ciptaan Ajai dan lirik oleh Habsah Hassan itu telah mengubah landskap kariernya sebagai penyanyi dan terus bertapak kukuh sehingga sekarang.
Bagaimanapun, memandangkan kini dia semakin dikenali dalam industri muzik tanah air, tidak dinafikan Alyah juga turut berhadapan dengan beberapa kontroversi yang dilihat boleh menjejaskan reputasinya. Daripada kritikan terhadap penampilannya sehinggalah permasalahan dengan beberapa individu yang turut menjadi tumpuan peminat. Antaranya, tindakan pihak-pihak tertentu yang mengkritik mengenai penampilannya sekarang ini dan menganggapnya sebagai mangsa fesyen apabila tampil dengan pakaian yang agak pelik ketika menghadiri beberapa acara atau semasa membuat persembahan. "Memang saya ada membaca pelbagai kritikan yang disiarkan di dalam blog atau forum terutamanya mengenai imej yang saya tampilkan. Malah, ada juga yang menuduh saya cuba untuk meniru gaya fesyen artis-artis Barat. "Pada mulanya memang agak terasa juga, tetapi lama-kelamaan saya sudah lali dengan kritikan yang dilemparkan itu. Biarpun ada yang mengutuk, namun apa yang lebih penting adalah ramai juga peminat yang suka dan dapat menerima perubahan saya ini," ujarnya. Tutur Alyah lagi, tindakannya yang tampil dengan gaya pelik adalah semata-mata untuk mencari kelainan dan mencipta identiti tersendiri. Menurutnya, dia seorang individu yang suka mencuba sesuatu yang baru dan berbeza daripada yang lain termasuklah dari segi fesyen. Tambahnya lagi, sebagai seorang penyanyi adakalanya kelainan itu juga penting dan turut memainkan peranan untuk seseorang itu lebih dikenali bukan kerana nyanyian sahaja, malah dengan gaya penampilan diri yang ditonjolkan. Kontrak tamat Selain tampil dengan gaya yang tersendiri, pastinya ramai yang telah mengetahui beberapa kisah kontroversi yang dialami penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor itu. Antaranya, perbalahan yang berlaku di antara dia dengan Riz AF6 berhubung lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang dinyanyikan secara duet oleh kedua-dua penyanyi berkenaan. Difahamkan, Alyah tidak berpuas hati dengan tindakan Riz yang mengambil lagu tersebut untuk dinyanyikan semula secara solo. Begitu juga dengan kisah dirinya yang telah difitnah oleh seorang jurusolek melalui laman sosial Facebook pada awal tahun ini. Dia dikatakan menjual diri serta mempunyai anak hasil hubungan sulit dengan seseorang yang tidak diketahui sehingga terpaksa membuat laporan polis.
Kini, yang terbaru adalah tindakannya menamatkan perkhidmatan Sam Kassim sebagai pengurus secara tiba-tiba yang menimbulkan persoalan ramai pihak. Ada juga desas-desus yang mengatakan Alyah seorang penyanyi yang tidak berdisiplin sehingga pengurus tersebut tidak mahu lagi bekerjasama dengannya. "Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ramai pihak yang salah sangka dengan perkara tersebut. Sebenarnya tidak timbul persoalan mengenai kami berdua bergaduh ataupun saya dikatakan penyanyi yang tidak berdisiplin. "Saya ingin menegaskan bahawa kontrak Sam menjadi pengurus kini sudahpun tamat. Ketika hendak mengambilnya menjadi pengurus dahulu, memang saya menawarkan kontrak perjanjian selama tiga bulan sahaja," ujarnya. Pada masa yang sama, Alyah memberitahu dia berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Sam. Namun kontrak pengurus tersebut tidak terus disambung kerana dia sendiri tidak mampu untuk membayar gaji pengurus. Tambah Alyah, memandangkan dia tidak bernaung dengan mana-mana syarikat rakaman ketika ini menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk mengembangkan lagi kariernya dan ia sudah tentu melibatkan kos yang besar. "Memang tiada langsung masalah antara saya dan Sam Kassim dan tidak benar jika ada yang kata kami berdua bergaduh. Walaupun tidak lagi menjadi pengurus, namun sesekali dia juga ada memberi peluang show kepada saya," ujarnya. Pada masa yang sama, Alyah juga berharap agar tiada pihak yang terus memandang serong terhadap dirinya dan apa yang berlaku selama ini akan dijadikan pengajaran berguna untuk terus bertahan sebagai seorang penyanyi. | ||||
Posted: Paramore kumpulan rock bersihOleh HARYATI KARIM
SEJAK ditubuhkan pada tahun 2004 dan mengadakan konsert jelajah di seluruh dunia termasuk Asia, tanggal 19 Oktober lalu merupakan hari bersejarah buat peminat kumpulan pop-punk Paramore yang berasal dari Franklin, Tennessee, Amerika itu. Ini kerana pada tarikh tersebut, selepas enam tahun, buat pertama kalinya kumpulan Paramore melawat dan mengadakan konsert mereka di Malaysia. Tidak dapat dinafikan Josh Farro, Taylor York (gitar), Jeremy Davis (bass), Zac Farro (drum) dan Hayley Williams (vokal) mempunyai aura yang cukup besar buat peminat di Malaysia apabila mereka berjaya mengumpulkan hampir 10,000 orang peminat dalam perut Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Bertemu dengan Taylor dan Jeremy pada sesi temu bual, ternyata kedua-dua mereka amat seronok berada di Malaysia untuk bertemu dengan peminat. "Kami memang tidak sabar untuk beraksi di Malaysia kerana diberitahu kami mempunyai peminat yang ramai di sini. "Apa yang kami suka ketika membuat persembahan di negara Asia adalah peminatnya yang amat menghormati kami apabila kami mengadakan persembahan. "Misalnya, mereka akan senyap apabila Hayley sedang berbicara bersama mereka dan akan menjerit serta menjadi penyanyi latar tanpa diminta. Mereka juga akan melompat dan menari tetapi dalam keadaan yang terkawal," ujar Jeremy. Sampuk Taylor, meskipun rutin hidup mereka semakin hari semakin padat dengan konsert jelajah, namun mereka bersyukur dengan populariti dan penerimaan peminat terhadap karya muzik Paramore. "Memang agak memenatkan kerana kami akan berada di negara yang berbeza dalam hanya beberapa hari tetapi kami puas melihat hasilnya apabila karya kami memberi impak yang positif kepada peminat," katanya. Sedar kebanyakan peminat mereka terdiri daripada golongan remaja, Jeremy mengatakan Paramore merupakan kumpulan rock yang membawa imej bersih. "Saya tahu jika sebut bintang rock, pasti akan dikaitkan dengan dadah, seks dan pelbagai masalah negatif yang lain tetapi kami berbeza kerana kami sedar apa sahaja yang kami lakukan dilihat oleh peminat. "Kami sering menerima surat daripada ibu bapa peminat dan peminat sendiri yang mengucapkan terima kasih kepada kami kerana muzik kami telah membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka. PEMINAT Paramore di Malaysia teruja dengan kemunculan sulung band pujaan mereka ini. "Apabila kami mendapat maklum balas begitu, itu satu kepuasan yang tidak terhingga. Sekurang-kurangnya kami berkarya bukan sahaja untuk kehidupan dan kepuasan kami sendiri tetapi juga orang lain," tuturnya. Tidak berpeluang untuk menikmati keindahan kota Kuala Lumpur kerana jadual yang padat, Taylor menyifatkan pengalaman menjelajah ke setiap negara yang berbeza merupakan pengalaman manis baginya. "Kami sampai di Kuala Lumpur dan adakan konsert, keesokan harinya kami terus pulang ke Amerika sebelum kembali sibuk dengan konsert jelajah di Eropah. "Tetapi kami tetap macam pelancong yang lain sangat teruja bila sampai di Malaysia. Perjalanan dari lapangan terbang ke hotel, kami gunakan sebaik mungkin untuk melihat serta merakam gambar dan video sebagai kenangan. Kalau boleh kami juga mahu bersiar-siar di Kuala Lumpur tetapi masa tidak mengizinkan," ucapnya. Persembahan bertenaga Sudah pasti peminat Paramore tidak melepaskan peluang untuk menonton secara langsung persembahan daripada band hebat itu. Meskipun konsert hanya bermula pada pukul 8.30 malam tetapi seawal pukul 5 petang persekitaran stadium sudah mula penuh dengan peminat yang setia menanti meskipun terpaksa beratur dalam barisan yang cukup panjang. Tidak cukup dengan itu, ramai pula remaja perempuan mewarnakan rambut mereka dengan warna merah sama seperti identiti Hayley. Pernah menonton persembahan Paramore di Singapura tahun lalu, tenaga yang dibawa mereka ke pentas Malaysia nampaknya tiada perbezaan. Pentas yang ditutup dengan kain dan hanya dengan petikan gitar peminat yang tidak sabar mula menjerit seperti diserang histeria. Memulakan persembahan dengan lagu Ignorance, peminat tidak melepaskan peluang melompat dan menyanyi bersama-sama Hayley. Sesekali Hayley akan berbicara bersama peminat: "Saya tidak sangka kami mengambil masa enam tahun untuk sampai ke sini." Tambahnya: "Sepatutnya kami datang lebih awal sejak kami memulakan konsert jelajah. Kami tahu anda semua bersabar menanti kemunculan kami di sini. Kami tidak akan lepaskan anda semua daripada konsert ini."
Paramore membawa lagu-lagu daripada album terbaru mereka, Brand New Eyes dan juga dua album terdahulu All We Know is Falling dan Riot!. Bagaimanapun persembahan bertenaga Paramore terganggu ketika Hayley mendendangkan lagu Misguided Ghosts secara akustik apabila mikrofon yang digunakannya tidak berfungsi selain sistem audio yang tidak berapa baik. Pada peringkat awal, peminat menyangka Hayley sengaja tidak menyanyi supaya penonton boleh menyanyi bersamanya, namun peminat sedar ada masalah teknikal selepas melihat krew bertungkus-lumus memperbaiki keadaan dan Hayley tiba-tiba beredar dari pentas. Selepas itu, keadaan kembali hangat dengan lagu Crush Crush Crush dan Hayley juga telah memanggil salah seorang peminatnya daripada ribuan peminat di bawah pentas untuk menyanyi bersamanya. Menariknya ketika mendendangkan lagu, The Only Exception, Hayley meminta peminat mengeluarkan telefon bimbit dan sebarang alat yang boleh mengeluarkan cahaya. Keadaan stadium yang gelap dan hanya diterangi ribuan cahaya berkilauan merupakan satu pemandangan yang cukup indah. Secara keseluruhannya mereka mendendangkan 18 buah lagu termasuk Feeling Sorry, That's What You Get, For A Pessimist, I'm Pretty Optimistic, Emergency, Playing God, Careful, Decode, Never Let This Go (akustik), When It Rains (akustik), Where The Lines Overlap (akustik), Pressure, Looking Up, Brick By Boring Brick dan Misery Business manakala persembahan pembukaan oleh kumpulan Y2K. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |