Adsense

Isnin, 25 Oktober 2010

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Sistem pendidikan kita ketinggalan

Posted: 25 Oct 2010 05:57 PM PDT

SOKONGAN...jangan ada pandangan skeptikal atau diskriminasi kepada  pelajar, bagi yang lemah, masih ada cara untuk membantu asalkan tahu kaedahnya.
SOKONGAN...jangan ada pandangan skeptikal atau diskriminasi kepada pelajar, bagi yang lemah, masih ada cara untuk membantu asalkan tahu kaedahnya.
TUNJUK KEBOLEHAN...setiap pelajar ada keupayaan tersendiri, justeru kelas mengikut aliran boleh diwujudkan.
TUNJUK KEBOLEHAN...setiap pelajar ada keupayaan tersendiri, justeru kelas mengikut aliran boleh diwujudkan.

AKHIRNYA persoalan sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuh atau dikekalkan terjawab apabila kerajaan mengumumkan kedua-dua peperiksaan itu menggunakan format baru mulai 2016.

Ia melegakan masyarakat yang mahukan pendekatan baru serta telus dalam menilai prestasi pelajar berbanding sistem akademik dan peperiksaan yang dilihat lebih membebankan.


Bagaimanapun, ada yang tidak setuju dan berpendapat sistem peperiksaan masih relevan selain mempersoalkan persediaan pihak terbabit mencorak pembaharuan pendidikan.


Kini, wujud perbahasan, sama ada format baru itu bakal memberi impak dan mampu melonjakkan prestasi ke tahap membanggakan.

Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Saedah Siraj, berkata sudah tiba masanya negara melangkah ke era pendidikan baru lebih fleksibel.


Beliau berkata cita rasa dunia kini berubah dan memerlukan suntikan baru dalam proses penyampaian, penerimaan serta pemahaman maklumat supaya masyarakat lebih bersedia berdepan arus permodenan."Meskipun pendidikan ditakrif sebagai elemen sejagat, perubahan perlu ada sebagai mengimbangi kehendak global yang pantas berubah dan semakin berteraskan kemajuan serta kepelbagaian.


"Pemansuhan itu mencerminkan keberanian dan anjakan paradigma baru dalam sistem pendidikan negara, jangan jadikannya kontroversi atau disalah anggap kerana ia memang diperlukan, " katanya.


Menurutnya, meskipun negara memiliki sistem pendidikan antara terbaik di dunia, ia dianggap ketinggalan kerana menggunakan kaedah peperiksaan sebagai penilaian tahap kecemerlangan pelajar.


"Semua tahu tahap pencapaian setiap pelajar berbeza, tidak boleh dinilai melalui satu sistem semata-mata, malangnya itulah yang diguna pakai sejak sekian lama.


"Ini menyebabkan pelajar bosan dan tertekan, sekali gus mencetuskan insiden tidak dijangka, misalnya bunuh diri hanya kerana gagal dalam peperiksaan. "Sekolah patut jadi tempat menyeronokkan bukan membosankan.


"Justeru apabila kedua-dua peperiksaan itu dimansuhkan, ia wajar mendapat sokongan kerana membantu meringankan 'penderitaan' pelajar," katanya.


Meskipun format baru masih belum diputuskan, ia bagai menamatkan dilema pelajar, institusi sekolah, ibu bapa dan masyarakat yang mahukan kongkongan peperiksaan ditamatkan.


Cadangan format boleh disarankan ialah menyediakan aliran pengajian bersesuaian di tingkatan satu mengikut kehendak dan kapasiti pencapaian pelajar.


Aliran itu, katanya, boleh dijadikan asas menilai dan mencorakkan pencapaian pelajar dalam tempoh lima tahun hingga tamat pengajian tingkatan lima.


"Pelajar boleh memilih aliran diingini berdasarkan minat, kehendak, cita-cita dan diberi kelonggaran tidak terikat dengan kehendak pencapaian akademik semata-mata.


"Ia umpama saringan penilaian sebelum memasuki pengajian tinggi. Kaedah ini boleh mengelak tekanan belajar, sekali gus memudahkan proses penyampaian ilmu," katanya.


Beliau menegaskan konsep pendidikan bukan hanya terhad kepada akademik dan peperiksaan semata-mata, malah boleh menggunakan pendekatan deria seperti mendengar, melihat dan merasa.


"Ramai beranggapan hanya akademik dan peperiksaan penting menentukan kecemerlangan pelajar manakala proses pembelajaran berlangsung di bilik darjah.


"Anggapan itu perlu diperbetulkan kerana ilmu boleh diperoleh menerusi pelbagai cara, bergantung bagaimana guru mengaplikasi kaedah itu supaya boleh diterima dan difahami pelajar.


"Realitinya kebanyakan pelajar negara ini bersifat pasif dan enggan bertanya, dengan pemansuhan, skop pembelajaran lebih luas, sekali gus menggalakkan pengembangan budaya ilmu dengan kaedah bersesuaian," katanya.


Dr Saedah turut mencadangkan pelajar kurang cemerlang dimasukkan ke kelas pemulihan agar dapat memperbaiki kelemahan.


"Dalam sistem pendidikan, pelajar lemah kurang mampu menguasai 3M (membaca, mengira, menulis). Kelemahan ini boleh diatasi dengan kelas pemulihan.


"Sistem sedia ada kurang mempraktikkan S<>


Sebagai sokongan dan persiapan negara menuju perubahan global, beliau berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menubuhkan Pusat Pengembangan Pendidikan Masa Depan yang dapat menyediakan pelbagai hasil kajian.


"Di negara maju, peranan pusat ini diiktiraf membantu pelbagai sektor merangka persediaan masa depan," katanya.

INFO: > UPSR diperkenalkan pada 1988 sebagai ganti kepada peperiksaan Penilaian Darjah Lima yang diperkenalkan sejak 1967 manakala PMR pada 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran ( SRP) yang digunakan sejak 1960.

Pakaian Seksi FFM23 : Farah Asyikin Bukan Langgar Prinsip

Posted: 25 Oct 2010 05:56 PM PDT

Baju yang dikatakan melanggar pendirian Farah Asyikin yang tidak mahu seksi dan berpakaian ketat.

PETALING JAYA: Penyanyi, Farah Asyikin memberitahu pakaian yang digayakan dalam persembahannya pada acara kemuncak Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) tidak melanggar pendiriannya untuk tidak berpakaian seksi seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini.

Katanya, dia masih teguh dengan pendirian tersebut namun ia perlu mengikut kesesuaian sesebuah majlis.

"Ya, memang sebelum ini saya pernah memberitahu untuk tidak lagi seksi. Tapi ia bergantung kepada sesebuah majlis, saya perlu tampil bersesuaian dengan persembahan saya pada malam itu.

"Bukan saya melanggar pendirian yang telah saya buat, pada saya pakaian tersebut tidak seksi. Sebelum persembahan lagi saya sudah beritahu kepada pereka fesyen baju tersebut iaitu Arif Shukur agar bawa baju yang sopan dan tidak menampakkan kulit," ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Dalam pada itu, Farah juga menafikan bahawa dia telah mengubah pendiriannya akibat putus tunang baru-baru ini.

"Ia tiada kena mengena dengan putus tunang, semasa saya buat kenyataan tersebut juga saya sudah fikir masak-masak. Kalau boleh memang saya tidak mahu berpakaian seksi lagi.

"Saya lebih selesa dan selamat bila tidak seksi. Cuma untuk persembahan sahaja saya berpakaian bersesuaian. Itu pun seboleh-bolehnya tidak mahu seksi," katanya yang pernah berhasrat untuk tampil dengan imej berbaju kurung.

Menurut Farah, persembahan tersebut juga memerlukan dia membawa perwatakan seperti dalam filem Pisau Cukur.

"Lagu tersebut merupakan lagu tema kepada filem Pisau Cukur, jadi saya perlu bawa watak nakal sedikit. Apa pun saya sangat menjaga batasan agar tidak terlalu berlebihan.

"Saya hanya buat yang terbaik, malam itu saya bukan sahaja membawa lagu tersebut tetapi mewakili filem tersebut," katanya.

Amy Search & Ella Minta Maaf, Gagal Nyanyi Lagu P.Ramlee

Posted: 25 Oct 2010 05:55 PM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi rock tersohor, Amy Search meminta maaf kepada penonton ekoran gagal menyanyikan lagu 'Azizah' dengan baik semasa rakaman Konsert Penghargaan P.Ramlee di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, Ahad.

Setelah dua kali terpaksa mengulang semula nyanyian lagu popular Allahyarham Tan Sri P.Ramlee itu, akhirnya Amy bersuara memohon maaf dan mengaku perkara tersebut berlaku disebabkan dia baru membuat latihan pada pagi hari konsert itu.

"Saya minta maaf kepada semua kerana tak dapat menyanyi dengan baik. Semalam saya sibuk dengan konsert di Esplanade, Singapura dan baru membuat latihan pada pagi tadi," katanya di atas pentas.

Sambil diiringi band orkestra DBKL yang dipimpin oleh pengarah muzik Mirza Abdullah, selain lagu 'Azizah', Amy turut menyanyikan lagu 'Jangan Tinggal Daku'.

Bagaimanapun, sebelum itu, seorang lagi penyanyi rock, Ella turut melakukan kesilapan sehingga terpaksa mengulang nyanyian sebanyak tiga kali ketika menyampaikan lagu 'Bunga Melur'.

Dia juga memohon maaf atas perkara yang berlaku kerana dia bukan sahaja menyusahkan banyak pihak malah turut menyebabkan waktu rakaman menjadi lebih panjang.

Berlainan dengan Amy, difahamkan Ella lebih banyak menghadiri latihan yang diaturkan. Mungkin benar seperti katanya, dia gagal melakukan yang terbaik disebabkan baru pertama kali menyanyikan lagu tersebut.

Selain Amy dan Ella, terdapat 17 artis terkenal yang turut mewarnai konsert sempena kempen 'Di Mana Kan Kucari Ganti? Seniman Agung P.Ramlee' itu.

Mereka adalah Misha Omar, Meet Uncle Hussain, Hujan, Haziq, Datuk Sharifah Aini, M. Nasir, Ning Baizura, Yuna, Altimet, Aizat, Vince, Jaclyn Victor, Najua Nadia Nasir (cucu P.Ramlee), Salih Yaacob, Rosnah Mat Aris, Nora Danish dan Rozita Che Wan.

Antara lagu-lagu yang turut dipersembahkan termasuklah Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap, Malam Bulan Di Pagar Bintang, Jeritan Batinku, Engkau Laksana Bulan, Maafkan Kami, dan Ali Baba.

Selain itu lagu-lagu lain seperti Dengar Ini Cerita, Bila Mama Pakai Celana, Yang Mana Satu, Pabila Larut Malam, Semerah Padi, Tari Tualang Tiga dan Di Mana Kan Kucari Ganti.

Konsert yang dibawakan oleh Astro dan DBKL itu akan disiarkan secara serentak di Astro Ria (saluran 104), HISTORY HD (saluran 575) dan PRAMLEE HD (saluran 188) pada 29 Oktober ini, pukul 9.30 malam.

Bagi yang ketinggalan, boleh menonton lagi ulangan konsert itu pada 30 Oktober ini, pukul 7 malam di HISTORY (saluran 555).

Selain itu, paparan dokumentari tentang P.Ramlee yang diarahkan oleh Shuhaimi Baba (Pesona Pictures), akan ditayangkan pada 31 Oktober, pukul 9 malam di saluran yang sama.

Sementara siaran ulangannya pada 1 November, pukul 10 malam, 6 November, pukul 7 malam dan 15 November, pukul 10 malam.

Mamat Khalid Kecewa "Estet" Tidak Raih Anugerah Utama

Posted: 25 Oct 2010 05:54 PM PDT

Mamat Khalid tetap akan menghasilkan filem berbentuk kepelbagaian kaum.

PETALING JAYA: Pengarah filem Estet, Mamat Khalid agak kecewa apabila filem arahannya iaitu Estet gagal mendapat anugerah penting terutamanya katogeri Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 23 (FFM23) yang berlangsung Ahad lalu.

Mamat menganggap filemnya seperti tidak disokong oleh industri perfileman tempatan sedangkan filem itu mencerminkan nilai 1Malaysia.

Beritahu Mamat, tujuannya menghasilkan Estet adalah untuk menyahut seruan kerajaan supaya pembikin filem dapat membentuk sifat kenegaraan di kalangan rakyat untuk menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia.

Namun ia seperti tidak disokong apabila Estet sekadar meraih Anugerah Khas Juri pada malam itu dan Pelakon Harapan Lelaki Terbaik (Shashi Taran) bagi Anugerah Cipta yang diadakan empat hari sebelum acara kemuncak itu.

"Ketika pengumuman pemenang bagi setiap kategori, saya dapat rasa yang Estet tiada harapan untuk menang.

"Saya tak mahu dilihat seperti sedang kegusaran. Tapi bila Estet langsung tidak mendapat tempat, maknanya industri tidak menyokong filem tersebut.

"Nak kata saya kecewa, tidak. Tapi saya keliru kerana saya sangkakan filem sebegini yang industri nak raikan. Sebaliknya ia dilepas pandang seolah-olah filem Estet tidak wujud. Mungkin arah tuju industri dah lain.

"Baru sekarang saya faham apa yang arwah Yasmin Ahmad lalui. Jangan salah faham, saya buat filem bukan kerana mahu menang anugerah. Mungkin silap diri sendiri kerana saya ingat, filem seperti Estet yang industri kita mahu," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Jasmine Micheal dan Farid Kamil dalam filem Estet.

Tambah Mamat, memandangkan Estet yang bakal ditayangkan pada 4 November ini gagal meraih filem terbaik, pengarah itu perlu membuat strategi untuk mempromosikan karyanya itu sebaik mungkin.

"Memandangkan Estet tidak mendapat sokongan daripada FFM23, Saya perlu bekerja keras dan meyakinkan kepada masyarakat bahawa Estet adalah sebuah filem kerakyatan yang bagus dan saya rasa belum pernah lagi kita ada.

"Apa pun, saya telah dididik untuk bersyukur dengan apa yang diterima. Setiap kesedihan pasti ada hikmahnya. Ia merupakan satu cabaran untuk saya berkarya bagi filem seterusnya.

"Ini juga merupakan satu 'goncangan' dan kesedaran untuk diri saya di mana bukan semua hasil kerja kita mendapat sokongan," tuturnya.

Bagaimanapun, berdasarkan tayangan perdana yang diadakan pada Rabu lalu, bersempena dengan Majlis Perasmian FFM23, Estet menerima komen yang positif di kalangan penonton yang menyaksikannya.

Selain Estet, filem arahan Mamat iaitu Hantu Kak Limah Balik Rumah juga bakal menemui penonton pada 9 Disember ini, manakala filem Apokalips pula ditayangkan pada tahun depan.

Elyana Nikah 19 November 2010

Posted: 25 Oct 2010 05:53 PM PDT

Elyana dan Khairul sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

PETALING JAYA: Penyanyi Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal bakal menamatkan zaman bujangnya bersama Khairul Anuar, pada 19 November ini.

Pasangan itu akan melangsungkan pernikahan dan persandingan sehari selepas itu (20 November) di Duchess Place, Ampang, selangor.

Menurut Elyana, perasaannya sedikit berdebar menantikan detik bergelar isteri dan berharap segala perancangan yang diaturkan bersama perunding perkahwinannya, Zulhery, berjalan dengan lancar.

"Insya-Allah, saya bersedia untuk menggalas tanggung jawab sebagai seorang isteri. Cuma sebelum kahwin ini, saya tak nak terlalu berfikir sangat, takut terlebih berdebar pula.

"Saya juga bersyukur dan bertuah kerana majlis pernikahan serta persandingan dibantu oleh rakan-rakan saya. Ada yang memberi pakej persandingan dengan harga istimewa dan ada juga yang mahu menaja.

"Pada hari persandingan nanti, saya akan membuat majlis pada waktu siang yang akan dihadiri oleh saudara mara.

"Pada sebelah malam pula untuk rakan-rakan artis dan media," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Tambah Elyana, majlis persandingan di pihak lelaki pula akan diadakan di Mentakab, Pahang, seminggu selepas pernikahan mereka.

Walaupun bergelar isteri nanti, Elyana tetap meneruskan kariernya sebagai seorang pelakon dan penyanyi.

"Setakat ini, bakal suami saya memberi keizinan untuk menyanyi dan berlakon seperti biasa.

"Tambah pula, single lagu terbaru saya yang berjudul, Waktu Dulu-Dulu, bakal dikeluarkan tidak lama lagi," tuturnya yang melangsungkan perkahwinannya berkonsepkan Melayu Tradisional (siang) dan Inggeris Vintaj pada sebelah malam.

Rahsia P.Ramlee Buka Kedai Mahjung

Posted: 25 Oct 2010 05:53 PM PDT

Shuhaimi Baba

KUALA LUMPUR: Pengarah tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba bakal membuka rahsia mengenai seniman agung Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menerusi dokumentari khas berjudul P.Ramlee.

Dokumentari itu akan disiarkan menerusi saluran History (Saluran Astro 555), pada 30 Oktober ini, pukul 9 malam.

Menurut Shuhaimi, P.Ramlee terpaksa melalui perjalanan yang agak sukar termasuklah membuka sebuah kedai mahjung bagi membiayai kos filemnya kerana tidak mendapat bantuan kewangan daripada pihak bank.

"Ini adalah cerita benar, beliau terpaksa membuka kedai mahjung untuk cari duit buat filem. Bukan tujuan kami menceritakan perkara buruk, tetapi kami menyingkap dan beri teladan daripada perjalanan hidup anak seni ini.

"Kita menyanjung dan mengagumi P.Ramlee selepas ketiadaannya, tetapi kita tidak tahu bagaimana perjalanan hidup dan susah payah yang dilalui selama ini," katanya ketika ditemui pada pelancaran dokumentari P.Ramlee baru-baru ini.

Menurutnya, dilema yang dihadapi P.Ramlee dalam memperjuangkan industri perfileman tempatan menjadi rujukan kepada pengarah-pengarah hari ini.

"P.Ramlee telah mendahului zamannya. Sebagai pengarah, saya sendiri melalui apa yang P.Ramlee telah lalui pada eranya. Apa yang saya lihat masalah dan delima yang dihadapi membuka mata banyak pihak.

"Dalam dokumentari ini, kami tidak dibenarkan membuat lakonan semula. Jadi semua penggambaran atau lakonan merupakan video asli. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana terdapat video yang terpaksa dicuci terlebih dahulu disebabkan terlalu lama disimpan," ujarnya.

Dokumentari 90 minit yang diterbitkan oleh Pesona Pictures itu dihasilkan dengan kerjasama antara AETN All Asia Networks yang mengendalikan saluran HISTORY di Malaysia dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Dalam pada itu, pelakon veteran, Datuk Aziz Satar mengakui berasa sedih dan sebak setiap kali menonton filem-filem lakonan dan arahan rakan seperjuangannya bintang legenda itu.

Kata Aziz, dia terkenang pahit maung dan kekecewaan yang dilalui oleh seniman agung itu ketika di penghujung hayatnya.

"Setiap kali saya melihat gelagatnya di televisyen, air mata pasti mengalir. Secara tidak langsung ia mengingatkan saya kenangan bersama-sama dengannya.

"Ramai yang ketawa, gembira melihat cerita komedinya tapi mereka tidak tahu bagaimana perjalanan hidupnya untuk memperjuangkan industri ini," ujarnya

Tambah Aziz, beberapa hari sebelum meninggal dunia, P.Ramlee meluahkan perasaan kecewa bukan sahaja kerana sudah tidak dihargai malah dia sedih apabila tidak diberi peluang untuk berkarya.

"Dua, tiga hari sebelum meninggal dia mengajak saya ke Ipoh menaiki kereta api. Sepanjang perjalanan dia meluahkan perasaan sedih dan kecewa apabila tidak dihargai lagi.

"Dia juga mengadu bahawa masyarakat dan orang dalam industri sudah tidak mahu membantunya. Dia tersepit apabila tidak mempunyai modal untuk menerbitkan filemnya," kata Aziz.

Dalam pada itu, beliau menganggap P.Ramlee seorang yang jujur dalam berkarya. Malah memberi peluang kepada semua pelakon-pelakonnya untuk memberi idea sendiri.

"Dia tidak pernah menolak idea kami. Dia mengaku bahawa dia bukan seorang pelawak, dan minta idea saya dan Sudin (S.Shamsuddin) untuk menjadikan cerita tersebut lebih kelakar," ujarnya yang sedang menyiapkan sebuah buku biografi Tan Sri P.Ramlee Legenda.

Dalam pada itu, Seniwati Mariani yang mengaku pernah menjalinkan hubungan cinta dengan adik iparnya itu menyifatkan P.Ramlee seorang yang romantik.

"Sebelum dia berkahwin dengan adik saya, Saloma, kami memang pernah menjalinkan hubungan cinta. Tapi disebabkan adik saya juga mencintai P.Ramlee saya ambil keputusan untuk undur diri.

"Biarpun sekejap, saya faham sangat dengan perangai dia yang penyayang dan romantik. Dia tidak suka orang yang dia sayang bekerja kuat dan berasa susah," katanya.

Mariani menganggap dokumentari istimewa ini membuka mata banyak pihak terhadap perjuangan seorang seniman yang kecewa di akhir hidupnya. Secara tidak langsung memberi teladan kepada pengarah dan pelakon-pelakon zaman ini.

Ariel Sudah Bersedia Dibicara

Posted: 25 Oct 2010 05:52 PM PDT

KES perbicaraan video lucah melibatkan vokalis kumpulan Peterpan, Ariel atau nama sebenarnya Nazriel Irham dengan dua aktres jelita, Luna Maya dan Cut Tari sudah pun ditetapkan. Malah ketika diberitahu peguam yang mewakili penyanyi lagu Mungkin nanti ini, mereka telah bersedia untuk menghadapi perbicaraan tersebut.

"Ariel sudah sedia dari segi mental dan fizikal untuk perbicaraannya dalam waktu terdekat ini. Lagi pula ini adalah proses hukuman yang bakal dihadapinya nanti," ujar Aga Khan seperti dipetik Vivanews.com.

Aga Khan berharap pihak kehakiman tidak menunda fasal 21 yang telah ditetapkan. Peguam muda ini juga menyatakan bahawa dia sudah bersedia menghadapi perbicaraan tersebut bagi mewakili Ariel.

Ketika ditanya apakan mereka optimis menghadapi perbicaraan tersebut, dia enggan mengulas.

"Optimis atau tidak itu adalah rahsia kami dan tidak boleh diberitahu di luar mahkamah. Masalah Ariel ingin mengaku atau tidak kesalahannya itu terpulang kepada dia," jawabnya.

Setelah kes ditetapkan di bawah fasal 2 minggu lalu, Ariel telah dipindahkan ke pusat tahanan Rutan Kebon Waru, Bandung.

Bintang Glee Berang Dengan Produser

Posted: 25 Oct 2010 05:51 PM PDT

BINTANG Glee, Lea Michele dikhabarkan kecewa dengan wataknya yang semakin kurang berbanding siri utama drama muzikal tersebut.

Menurut sumber, Lea berang apabila produser drama tersebut lebih memberi fokus kepada watak-watak lain untuk siri kedua Glee ini berbanding watak Rachel Berry yang dibawa Lea.

"Pada siri pertama watak Rachel adalah bintang utama tapi kali ini produser mahu fokus kepada watak-watak yang lain pula," ujar sumbar.

Selama ini, Lea menganggap populariti drama tersebut adalah berpunca kehebatannya.

"Lea sering protes dengan rakan-rakan pelakon yang lain. dia merasakan dirinya semakin tidak menjadi perhatian utama," kata sumber.

Situasi dingin antara Lea dengan pelakon lain menyebabkan penggambaran yang dijalankan tidak seperti dahulu. Beberapa bintang drama itu cuba menjauhkan diri dari Lea ketika di lokasi penggambaran.

Terima Jawatan Bukan Kerana Populariti

Posted: 25 Oct 2010 05:50 PM PDT

Erni Dekritawati Yuliana Buhari.

ERNI Dekritawati Yuliana Buhari, nama panjang itu sebelum ini tidak dikenali.

Namun kes pembunuhan ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya yang merupakan jutawan kosmetik bersama tiga individu lain menaikkan popularitinya.

Kehidupannya yang baru berusia 25 tahun itu berubah sekelip mata kerana terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan peneraju empayar Nouvelle Visages.

Nama Rita diangkat sekali lagi apabila menyertai sayap Puteri Umno ketika bahang Perhimpunan Agung Umno Ke-61, Rabu lalu.

Lebih panas apabila beliau terus dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi sayap berkenaan pada hari yang sama.

Kunjungan beliau ke ibu pejabat The Star pada Jumaat dalam wawancara khas bersama Mingguan mStar mengenai penyertaannya dalam Puteri Umno.

MSTAR: Bagaimana semuanya bermula?

Saya menerima jemputan sebagai pemerhati sahaja. Bagaimanapun, selepas mendengar persidangan Ketua Puteri dan ahli membuatkan saya tertarik.

Saya merasakan ini merupakan platform yang sesuai bagi membantu ahli Puteri.

Sesetengah mereka berkata ramai yang beranggap tidak buat kerja dan tidak tahu bagaimana untuk memulakan perniagaan.

Mereka hanya datang untuk memenuhkan dewan tetapi apa yang saya nampak mereka berminat untuk berniaga.

Dari situ saya nampak peluang yang ada untuk mengajar ahli bagi memulakan perniagaan dalam apa juga bidang pun.

Bezanya saya bermula dengan kosmetik dan yang lain mungkin mahu berniaga makanan dan pakaian.

Apakah perasaan Rita bila dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi Puteri Umno?

Sebenarnya, saya berasa terkejut bila mendengar pengumuman itu. Saya masih baru lagi dalam industri ini dan terlalu muda untuk memegang jawatan begitu besar.

Sewaktu diumumkan (pelantikan), saya terkejut dan menganggapnya sebagai satu penghormatan yang besar buat diri saya. Mungkin Puteri Umno yakin dengan kebolehan yang saya ada.

Saya pun tidak tahu nak cakap bagaimana respon saya ketika itu. Ini kerana saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum ini.

Niat saya hanya untuk menyertai Puteri Umno sebagai ahli biasa. Tidak menyangka apabila menyerahkan borang itu terus melantik saya memegang jawatan itu. Saya seakan tidak percaya.

Adakah Rita sudah bersedia menggalas jawatan itu?

Saya ingin memperjelaskan, saya menerima jawatan itu bukan kerana populariti.

Matlamat utama saya adalah menyambung usaha ibu untuk membantu wanita terutama dalam bidang perniagaan.

Mungkin apa yang saya belajar daripada ibu dapat mengadaptasikannya kepada mereka.

Pengalaman saya baru 'setahun jagung' tetapi apa yang saya dapat sekarang sudah cukup membantu mereka yang memerlukan.

Tidakkah Rita takut dikatakan tidak layak diberikan jawatan itu?

Bagi saya, apa yang saya buat pasti ada baik buruknya. Mulut orang tidak boleh nak ditutup. Jadi, apa yang boleh saya buat, saya buat.

Apa yang boleh saya bantu, saya bantu. Tidak perlulah saya marah atau nak melenting apabila mendengar tohmahan-tohmahan orang.

Apa yang saya dapat, apa yang saya nampak dan apa yang saya boleh bantu, saya lakukan.

Apa yang cuba Rita buktikan selepas pelantikan ini?

Seperti yang semua tahu bahawa Nouvelle Visages (NV) adalah perniagaan kosmetik. Ia berkait rapat dengan wanita.

Dari situ saya melihat dapat membantu wanita dari segi perniagaan. Ini kerana perniagaan kami bukan lagi setakat kosmetik tetapi dipelbagaikan menerusi pengembangan empayar NV.

Setakat ini, NV mempunyai seramai 30 stokis, 300 cawangan di seluruh negara.

Dari situ saya dapat membantu mana-mana ahli yang berminat untuk menjadi stokis atau mengendalikan cawangan NV sama ada rangkaian kosmetik, fesyen dan lain-lain.

Oleh itu, saya nampak peluang yang besar untuk mereka yang mahu belajar dan masing-masing akan membantu. Cabarannya mungkin sama ada ahli berminat atau tidak untuk menyertai usahawan NV.

Mungkin juga modal tetapi perkara itu akan cuba diatasi. Modal begitu penting untuk memulakan perniagaan.

Jika tiada modal, tiada bisnes boleh dijalankan. Kita akan mendapatkan kerjasama dengan bank-bank untuk membantu ahli Puteri untuk memulakan perniagaan.

Apakah perbincangan selepas pelantikan itu?

Buat masa ini masih belum ada perbincangan kerana pengumuman pelantikan saya masih baru.

Perkara itu akan melalui mesyuarat terlebih dahulu. Macam mana atau apa yang akan berlaku seterusnya. Semuanya terlalu cepat untuk saya berkata apa-apa.

Kami tidak mengadakan apa-apa mesyuarat pun kerana ketika itu Umno masih sibuk bersidang maka belum ada masa untuk bermesyuarat.

Bagaimana dengan hasrat ibu yang dimaksudkan?

Ibu saya pernah memberi nasihat. Katanya, bidang kosmetik bukan saya seorang tetapi banyak syarikat kosmetik lain di Malaysia.

Oleh itu, kita tidak perlu dengki dengan mereka. Setiap rezeki adalah rezeki masing-masing. Tuhan sudah berikan rezeki itu maka tidak perlulah kita iri hati dan sakit hati.

Kita berasa lagi bagus kerana meramaikan lagi usahawan muda untuk mempolopori bidang kosmetik di Malaysia.

Oleh itu, fokus saya mahu menunaikan hasrat ibu untuk memajukan perniagaan. Puteri Umno merupakan platform terbaik untuk memperluaskan bantuan dan kerjasama berkaitan bidang keusahawanan di kalangan wanita.

Saya melihat pergerakan ini mempunyai ahli yang ramai dan pastinya antara mereka mahu menjadi usahawan tetapi mungkin tidak tahu bagaimana cara untuk bermula.

Peluang ini turut membantu golongan ibu tunggal dan kurang berkemampuan bagi meningkatkan taraf pendapatan mereka.

Adakah jawatan ahli jawatankuasa yang diberikan kepada Rita disebabkan oleh kejayaan ibu membina empayar perniagaan?

Apa yang Puteri Umno nampak bahawa NV bukan syarikat kecil tetapi telah dikenali seluruh Malaysia. Mungkin mereka melihat NV dapat membantu ahli Puteri dari segi memulakan perniagaan.

Bagaimana Rita melihat pergerakan Puteri Umno?

Sebagaimana yang kita tahu apabila mengetahui Umno, ia mengenai bangsa Melayu. Dari situ kita melihat Umno mahu membantu untuk menaikkan bangsa sendiri.

Dalam apa juga bidang, apabila bangsa Melayu naik, kita rasa tidak diperlekehkan. Kita mampu maju bersama bangsa lain.

Apakah masalah yang sering dihadapi bangsa Melayu?

Mereka tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk membuka perniagaan dan mereka tidak tahu perkara sepatutnya diperlukan bila menceburi bidang ini.

Mereka mungkin berpengalaman tetapi kurang ilmu. Oleh itu, masyarakat Melayu perlu membantu antara satu sama lain untuk maju terus ke hadapan.

Saya rasa apabila mendengar saja Melayu, pasti ada yang iri hati dan tidak boleh melihat orang lain berjaya.

Bila kita ada perasaan dengki, sampai bila bangsa Melayu mahu maju? Kita orang Melayu sepatutnya membantu orang lain.

Apa yang Rita boleh membantu Puteri Umno selain berkaitan perniagaan?

Saya akan memberi nasihat kerana mereka bertanya kenapa saya boleh kuat, boleh tabah dan tidak berasa sedih di atas pemergian ibu.

Mereka berminat untuk belajar bagaimana mengatasi perasaan dan emosi. Mungkin saya boleh tolong mereka. Bila kita kata perempuan, emosi kadang-kadang kurang stabil.

Saya tidak kata saya pandai tetapi apa yang saya tahu, apa yang saya boleh buat dan apa yang saya boleh bantu bagi mengatasi emosi kurang baik, saya bersedia membantu. Ini termasuk motivasi.

Dalam keadaan yang saya hadapi sekarang, orang lain mungkin akan lemah. Apa yang saya nampak kalau saya lemah, orang lain juga akan lemah.

Jadi, saya perlu kuat dan terus maju ke hadapan. Bila saya lemah, saya akan jatuh, Bila saya jatuh, saya tidak boleh buat apa. Mungkin empayar yang dibangunkan oleh ibu akan hancur.

Jadi, saya kena kuat dan tabah walaupun pada usia yang muda. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya meletakkan pegangan prinsip itu Apa yang berlaku ke atas ibu saya itulah hikmah yang saya hadapi sekarang.

Adakah semua ini dianggap beban buat Rita yang masih muda?

Ia bukan satu beban tetapi dugaan dan saya perlu menerimanya. Jika menganggap ia sebagai satu beban maka sampai bila-bila pun kita rasa tidak boleh memikul tanggungjawab itu.

Saya menganggapnya sebagai satu cabaran yang boleh maju. Sejak perkara yang telah berlaku, saya tahu banyak perkara. Saya belajar satu persatu.

Adakah penyertaan dalam Puteri Umno ini akan menarik minat Rita dalam bidang politik?

Saya sertai Puteri Umno bertujuan membantu ahli. Tapi sekarang keutamaan adalah perniagaan dan membantu masyarakat kerana itulah hasrat ibu.

Masih terlalu awal untuk memikirkan tentang hal lain. Saya baru sahaja ambil alih tanggungjawab ibu maka saya perlu fokus pada satu dahulu, mungkin lima tahun lagi saya akan lebih aktif dalam politik pula.

Bagaimana pula harapan Rita terhadap masyarakat?

Daripada mereka melemparkan pelbagai tohmahan, kenapa tidak memberikan saya peluang dan nasihat.

Saya masih baru dan perlu banyak belajar. Dengan sokongan ini daripada mereka berpengalaman dapat membantu saya untuk membantu ahli Puteri dari segi perniagaan.

Saya perlu bersedia dan menggalas tanggungjawab ini (ahli jawatankuasa Biro Usahawan dan Pemantapan Ekonomi). Sampai bila kita perlu takut?

Saya tak nak pada usia muda, saya menunjukkan tidak mampu menggalas tanggungjawab. Kita fikir secara positif, saya dapat memberikan idea-idea lebih bernas kepada masyarakat. Kecil-kecil cili padi.

Apa yang saya, apa yang boleh saya kongsikan.

Apakah perkembangan perniagaan yang diterajui Rita?

Saya memegang jawatan sebagai pengarah secara rasmi pada Jun lalu. Saya akan melancarkan Wisma Nouvelle di Cyberjaya pada Januari tahun depan.

Pelancarannya sepatutnya diadakan pada tahun ini tetapi saya menghormati pemergian ibu.

Tahun depan kita akan memulakan promosi NV dan melancarkan wisma berkenaan termasuk butik, spa serta pusat kesihatan dan kecantikan.

Selepas Pahang, Datuk Robiah Lakar Sejarah Di Bukit Aman

Posted: 25 Oct 2010 05:43 PM PDT

Sempat beramah mesra dengan masyarakat dalam satu aktiviti yang diadakan di Gambang, Kuantan.

BUKAN mudah untuk seseorang yang bergelar wanita menggalas tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan ketua di tempat kerja dalam satu masa. Andai tidak kena caranya, maka akan pincanglah salah satu peranannya.

Namun Datuk Robiah Abdul Ghani, wanita yang popular dalam dunia kepolisan hari ini menjadi salah seorang daripada jutaan wanita di Malaysia yang membuktikan betapa kaum Hawa juga mampu bergerak seiring kaum Adam.

Mencipta kejayaan demi kejayaan, wanita dengan 1001 aspirasi ini secara tidak langsung mengajak kaum lelaki di luar sana berfikir sejenak bahawa tangan-tangan wanita hari ini tidak hanya berdaya menggoncang buaian, tetapi juga mampu menggegar dunia! Ikuti temuramah Mingguan mStar dengan beliau.

Memandangkan Datuk Robiah Abdul Ghani masih diselubungi mood ceria apabila dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman pada 13 Oktober lalu, Mingguan mStar memulakan bicara dengan menyingkap pengalaman manis beliau sepanjang 39 tahun berkhidmat dalam pasukan ini.

Menyambut soalan itu dengan reaksi malu, sambil berseloroh beliau berkata: "Soalan macam inilah yang susah saya nak jawab sebenarnya sebab bagi saya setiap hari bekerja adalah pengalaman manis."

Apa yang keluar dari mulut anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini terang-terangan membuktikan wanita ini ada 'luar biasanya'. Butir bicaranya, walau belum dilontar sepenuhnya mampu memberi petanda beliau bukanlah calang-calang wanita.

Mujurlah beliau yang telah lama bertapak dalam bidang kerja yang cukup sinonim dengan ketegasan ini masih sudi bercerita dan tidak lokek berkongsi rahsia kejayaan apabila diminta.

Cuma satu perkara yang ditekankan, tidak pernah terlintas di benaknya untuk sampai ke puncak seperti hari ini, apatah lagi memegang jawatan idaman kebanyakan anggota polis di seluruh Malaysia.

"Sejak kecil lagi saya suka buat aktiviti luar. Saya tak suka kerja pejabat. Habis sekolah pada tahun 1970, saya terus sertai polis. Arwah bapa yang bersara sebagai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur pada 1978 membuatkan saya terdorong menyertai pasukan ini," beliau mengimbas saat awal meneroka dunia maha mencabar ini.

Tanggal 15 Disember 1971 nyata tidak dilupakan Robiah kerana pada tarikh itulah beliau secara rasminya bergelar anggota polis dengan memegang pangkat inspektor.

Saat itu beliau nekad, selagi uniform tersarung di badan beliau akan menerima tugasan tanpa rungutan. Robiah mahu buktikan anggota polis wanita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan anggota polis lelaki.

"Apabila seseorang wanita menyertai polis, kita perlu lihat diri kita sebagai anggota polis. Tak kira di peringkat mana pun kita, kita tak patut menjadikan jantina sebagai halangan untuk maju, sebaliknya sentiasa meningkatkan kualiti kerja.

Robiah Abdul Ghani

"Jujur saya katakan sepanjang berkhidmat, saya tak pernah terlintas untuk berhenti separuh jalan sebaliknya sentiasa mencari kepuasan dalam bekerja," kata wanita berusia 57 tahun ini.

Kecekalan dan kesungguhan Robiah nyata 'berbayar' apabila pada Jun 1974 beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Komander Platun Pasukan Polis Hutan.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang tujuh tahun bersama pasukan itu apabila pasukannya dihantar masuk ke hutan untuk misi 'perang saraf' yang menuntut mereka merapatkan diri dengan Orang Asli bagi mendapatkan maklumat tentang komunis.

Pada 14 Julai 2008 Robiah sekali lagi melakar sejarah apabila beliau mendapat pengiktirafan menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Pahang.

Tidak sampai tiga tahun memegang jawatan itu, kaum wanita boleh berbangga dengan beliau apabila dilantik pula sebagai Pengarah Pengurusan di Bukit Aman pada 13 Oktober 2010.

Suami isteri polis

Satu lagi perihal menarik tentang ibu kepada Erny Herliza, 30, Ezuan, 28, dan Ezry, 25, ini apabila beliau bertemu jodoh dengan jejaka yang juga merupakan anggota polis.

Suami beliau, Datuk Ibrahim Manas, 60, merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Selangor yang bersara pada 2006.

Menurut Robiah, beliau bersyukur dipermudahkan urusan memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu walau sibuk dengan kerjaya.

"Saya kena pandai bahagikan masa. Waktu hujung minggu saya akan bersama keluarga. Kami tonton wayang, makan malam di luar dan membeli-belah sama-sama.

"Saya selalu bincang dan minta pandangan suami walau dia sudah bersara. Bila dapat tahu saya dilantik sebagai pengarah di Bukit Aman, dia gembira bagi pihak saya," jelas Robiah yang gemar menanam pokok bunga dan bermain golf pada masa lapang.

Bercerita tentang kehidupan keluarganya di rumah, Robiah bertindak seperti ibu-ibu lain. Namun, beliau mengakui tidak dapat 'lari' dari ketegasan dan disiplin dalam mendidik anak-anak.

"Misalnya, rambut anak lelaki saya mesti pendek. Mereka kena terima hakikat ibu bapa mereka ini anggota polis.

"Sampai sekarang kami masih tanya dengan siapa mereka keluar dan berkawan. Sama macam ibu bapa lain, kami juga risau bila fikir tentang masalah sosial remaja di luar sana," ujarnya.

Robiah cukup disenangi oleh segenap lapisan masyarakat.

Robiah juga tidak pernah memaksa anak-anaknya menceburi bidang yang sama memandangkan ketiga-tiga anaknya tidak menunjukkan minat mengikut jejak langkah beliau dan suami.

Jelasnya, pada masa kini memilih untuk menjadi anggota polis bererti seseorang itu telah bersedia memikul tugas dan tanggungjawab berat di samping perlu berdepan dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap penglibatan wanita dalam bidang ini.

Polis wanita, emosi dan air mata

DI sebalik ketegasan, terdapat juga kelembutan dalam diri Robiah. Sifat ini terpancar ketika Robiah lembut menyusun kata dan sering merendah diri.

Walau yang terpaksa menahan perasaan ketika dimarahi sewaktu berkhidmat sebagai anggota bawahan dulu, Robiah yang mempunyai banyak pengalaman ini akur bahawa wanita dan emosi tidak dapat dipisahkan.

"Kena marah tu adatlah. Kadang-kadang walau kita betul dan bos salah, akhirnya bos juga yang betul.

"Kalau kena marah dengan pegawai atasan, saya diam dan pendam dalam hati. Saya tak melawan. Lepas itu saya akan kenal pasti kelemahan dan kesalahan. Kemudian barulah saya panggil anggota bawah saya untuk perbaiki kesilapan.

"Pernah juga beberapa kali saya menangis sebab kerja. Paling saya tak dapat tahan air mata ketika memberi bantuan kepada anggota yang tercedera kerana pasukan briged terkena bedilan bom," katanya.

Sehingga kini, beliau bersyukur kerana orang-orang sekeliling dan anggota bawahannya sentiasa memberikan kerjasama.

Sebagai ketua Robiah percaya dengan kerja berpasukan selain sedia mendengar pendapat semua pihak.

Mahu bersikap profesional, Robiah juga sering mengawal emosi wanitanya agar tidak terbawa-bawa ke tempat kerja. Beliau tidak mahu anggota-anggota di bawah tanggungjawabnya terkena tempias emosi atau amarahnya.

"Marah saya marah bertempat. Kalau buat silap, saya tegur tapi habis sampai situ sahaja. Saya tak panjangkan cerita," katanya yang menganggap anggota bawahannya sebagai kawan.

Diberi kepercayaan memegang jawatan tinggi membuatkan Robiah sering mengingatkan dirinya sendiri bahawa beliau adalah mentor kepada anggota lain.

Malah, beliau juga mempunyai idola sendiri iaitu Asisten Komisioner Koraiza Abdullah yang menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Georgetown dan Datuk Zakiah Laidin.

Sebagai wanita yang pernah mengukir sejarah dalam pasukan polis, Robiah menasihatkan polis wanita yang tergolong dalam kumpulan minoriti supaya bekerja keras dan menunjukkan prestasi kerja terbaik.

"Harus diingat, bila kita buat sembilan kebaikan dan satu kesilapan, maka kesilapan yang satu itulah yang akan jadi ingatan, bukan kebaikan yang sembilan itu," katanya.

Kad Sim Prabayar Permudah Hubungan Jemaah Haji

Posted: 25 Oct 2010 05:38 PM PDT

Azrin Mohd Noor menerangkan fungsi kad prabayar untuk kegunaan jemaah haji di Mekah.

SETIAP jemaah haji, sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah suci Mekah, sudahpun bersedia mental dan fizikal untuk memberi tumpuan kepada ibadah yang akan dilakukan.

Namun dalam kekhusyukan mengerjakan amal ibadat itu, keluarga tercinta di kampung halaman tetap dalam ingatan sambil dipanjatkan doa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Keadaan ini biasanya berlaku selepas selesai segala urusan ibadat haji lebih-lebih lagi bila melihat para jemaah mula pulang manakala kota Mekah atau Madinah sudah mula lengang sedikit demi sedikit.

Kalau lebih kurang 10 atau 20 tahun lalu, para jemaah terpaksa menyediakan banyak duit syiling dan beratur panjang untuk menunggu giliran di pondok-pondok telefon awam bagi membuat panggilan kepada keluarga di kampung halaman, tetapi perkembangan teknologi moden yang serba canggih melalui telefon bimbit telah memudahkan para jemaah menghubungi keluarga di tanah air.

Namun masalah yang timbul ialah kadar caj yang dikenakan bukan murah. Jika setiap hari sanak-saudara dihubungi, jangan terkejut bila melihat bil telefon mencecah ratusan malah ribuan ringgit sekembali ke tanah air kelak.

Atas dasar keprihatinan itu, SEDANIA Group melalui anak syarikatnya, SEDANIA Travelneeds2u mengambil inisiatif menawarkan produk kad sim prabayar Global Starter Pack (GSP) bagi memudahkan jemaah membuat panggilan kepada keluarga masing-masing.

Ketua Pegawai Ekskutif SEDANIA Group, Azrin Mohd Noor berkata, pengenalan kad sim prabayar itu bertujuan untuk melengkapkan keperluan asas jemaah ketika berada di sana.

Kakitangan SEDANIA Group,Marina Zakaria memegang kad pra bayar buatan Malaysia untuk kegunaan jemaah haji.

Azrin berkata, idea untuk membawa kad sim itu daripada Arab Saudi adalah kerana memikirkan kesusahan jemaah yang perlu membayar lebih caj perayauan yang jauh lebih mahal berbanding menggunakan talian tempatan.

Katanya melalui penggunaan GSP, caj yang akan dikenakan serendah 22 sen untuk mesej pesanan ringkas (SMS) dan RM1.35 bagi panggilan ke Malaysia seminit berbanding RM2.85 sen untuk SMS dan panggilan jika menggunakan kad sim daripada Malaysia.

"Kad prabayar ini amat mudah didapati di Arab Saudi kerana ia mudah didapati dan jemaah tidak perlu risau dengan kos bil telefon yang tinggi memandangkan ia tidak mempunyai kos perayauan," katanya ketika ditemui Mingguan mStar di sini baru-baru ini.

Malah katanya, SEDANIA turut membuka sebuah gerai khas di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya sepanjang musim haji bagi memudahkan ahli keluarga dan jemaah membeli kad sim itu.

Azrin berkata, kelebihan membeli kad sim itu di sini adalah bagi memudahkan ahli keluarga atau waris mendapatkan nombor telefon itu.

Satu pakej GSP akan mempunyai kredit sebanyak 25 Riyal Saudi dan tambah nilai boleh dibuat di cawangan tambah nilai di rangkaian telekomunikasi tempatan di Arab Saudi.

"Jemaah tidak perlu risau kerana terdapat banyak kedai yang menjual kad tambah nilai itu, malah kita turut mempunyai wakil di sana untuk membantu jemaah," katanya.

Azrin berata, untuk memulakan penggunaan kad sim itu juga tidak memerlukan langkah yang rumit kerana ia semudah beli dan pakai.

"Kita faham ada di antara jemaah yang berumur 50 tahun ke atas yang tidak begitu mahir mengendalikan telefon bimbit. Tetapi kami memberi jaminan kad sim prabayar GSP ini mudah untuk diaktifkan.

"Malah waris boleh terus memasangkan sim kad itu ke dalam telefon dan jemaah hanya perlu menghidupkan telefon bimbit mereka setelah sampai di Arab Saudi," katanya.

Pek yang dijual pada harga RM60 itu turut boleh didapati melalui laman web www.travelneeds2u.com untuk membuat tempahan dan bagi yang membeli melalui online kad itu akan diberikan sesudah sampai di Mekah oleh wakil syarikat itu.

Habis RM17,000 rawat rambut

Posted: 25 Oct 2010 05:36 PM PDT


MAHATHIR menunjukkan pakej rawatan rambut yang ditawarkan oleh pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care di George Town semalam.


GEORGE TOWN – Berhabis sehingga RM17,000 bagi merawat masalah rambut, namun hasil yang diperoleh mengecewakan.

Tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pusat rawatan rambut Yun Nam Hair Care, juruteknik sebuah kilang di sini, Mahathir Taib, 24, memfailkan kesnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di sini pada bulan lepas.

Dalam perbicaraan semalam, Presiden TTPM, Datuk A. Mutalib Mohd. Razak mengarahkan pusat rawatan rambut itu membayar ganti rugi RM1,500 serta memberikan 12 rawatan rambut percuma kepada Mahathir.

Dua wakil Yun Nam Hair Care turut hadir pada perbicaraan itu.

Dalam tuntutannya, Mahathir dari Sungai Petani, Kedah mendakwa tidak berpuas hati selain berasa terpedaya kerana tidak diberi penerangan yang jelas berhubung rawatan yang diterimanya.

Mahathir memberitahu, semasa pertama kali dia berkunjung ke pusat rawatan itu di sebuah pusat beli-belah di Bukit Mertajam dekat sini pada Oktober tahun lalu, dia diberitahu masalah rambutnya boleh dirawat lalu jururunding di situ menawarkan pakej rawatan berharga RM1,500.

Untuk pakej itu, dia menerima 10 kali sesi rawatan rambut menggunakan formula herba termasuk empat botol produk berharga RM216.

Ibu maafkan dosa Siti Faezah

Posted: 25 Oct 2010 05:36 PM PDT


DARI kiri: Siti Faezah, Hazmain dan Siti Rohani bersama Siti Norafida (di atas pangkuan) kelihatan ceria setelah dipertemukan di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Ibu kepada Siti Faezah Abu Baka bertekad untuk membawa keluarga anaknya yang sebelum ini hidup merempat di bawah jambatan di sebatang lebuh raya di sini pulang ke rumahnya di Segamat, Johor bagi memulakan hidup baru.

Siti Rohani Abdullah, 52, berkata, dia gembira kerana selepas enam tahun berpisah dengan anak keenam daripada 10 adik-beradik itu, mereka akhirnya dipertemukan dengan bantuan Biro Aduan Komuniti UMNO.

Siti Rohani telah dibawa ke sini oleh ahli-ahli biro itu dari rumahnya di Ladang Sungai Selarut, Segamat kira-kira pukul 11 pagi semalam untuk dipertemukan semula dengan Siti Faezah, 27.

Pertemuan itu adalah rentetan daripada usaha membantu keluarga Siti Faezah, suaminya, Hazmain Abdul Jalil, 28, dan anaknya yang baru berusia setahun, Siti Norafida yang ditemui merempat di kolong jambatan Lebuh Raya Maju Expressway di sini sejak empat bulan lalu.

"Kami terputus hubungan selepas telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Saya pun selalu berharap dia menelefon saya kerana dia tahu nombor saya.

"Kali terakhir kami berjumpa adalah pada bulan puasa tahun 2004," ujar Siti Rohani selepas dipertemukan dengan Siti Faezah di sini semalam.

Sebelum ini, menurut Siti Rohani, dia sudah lama mencari anaknya itu termasuk cuba mendapatkan maklumat daripada rakan rapatnya di Johor, namun tidak berhasil.

Pada pertemuan itu, Siti Faezah dan ibunya tidak dapat menahan kesedihan dan mereka saling berpelukan dan menangis teresak-esak selama lebih 10 minit.

Wanita Afrika bawa syabu RM2 juta ditahan

Posted: 25 Oct 2010 05:35 PM PDT


NORDIN menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas daripada dua warga Afrika pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM - Dua wanita warga Afrika yang cuba membawa masuk 7.2 kilogram dadah jenis syabu bernilai hampir RM2 juta ditahan secara berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 19 dan 22 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, dalam kes pertama, polis menahan wanita berusia 28 tahun dari Togo Leise pada pukul 8.45 pagi 19 Oktober lalu ketika dia menunggu teksi di Aras 5, KLIA.

Katanya, pemeriksaan pada beg pakaian yang dibawanya itu menemui sembilan botol berisi cecair dipercayai dadah serta dua bungkusan plastik lutsinar berisi syabu seberat tiga kilogram.

Bagaimanapun, wanita tersebut mendakwa cecair itu adalah bagi kegunaan membuat minyak wangi.

"Kita sudah menghantar sampel daripada 7.2 liter cecair tersebut dan menunggu laporan kimia bagi mengetahui kandungan sebenar," katanya di sini semalam.

Nordin memberitahu, dalam pemeriksaan terhadap wanita kedua berasal dari Nigeria pada pukul 3.50 petang 22 Oktober di KLIA pula menemui dadah jenis syabu seberat 4.2 kilogram yang disorok pada bahagian pelapik beg pakaiannya.

Kegiatan maksiat atas bumbung berakhir tragedi

Posted: 25 Oct 2010 05:33 PM PDT


ANAK panah menunjukkan arah seorang budak perempuan berusia 12 tahun terjatuh dari tingkat enam ketika cuba turun melalui dinding sebuah apartmen di Petaling Jaya kelmarin. Gambar kecil menunjukkan keadaan mangsa selepas terjatuh.


PETALING JAYA – Seorang gadis sunti berusia 12 tahun yang menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat enam Blok E dekat Apartmen Lestari di Damansara Damai di sini kelmarin dikatakan selalu berada di situ untuk melakukan perbuatan sumbang.

Perkara tersebut didedahkan oleh penduduk di situ yang sebelum ini sering melihat mangsa bersama beberapa remaja lelaki naik ke bumbung bangunan itu.

Menurut mereka, remaja perempuan berkenaan bukan penduduk di situ. Selain itu, dia juga sering dilihat terhendap-hendap setiap kali hendak ke bumbung bangunan tersebut.

Seorang penghuni yang enggan dikenali berkata, penduduk kemudian bersepakat untuk memasang perangkap bagi mengetahui aktiviti mereka.

"Alangkah terkejutnya kami apabila melihat mangsa sedang berasmara dengan tiga remaja lelaki di situ.

"Kami kemudian menyergah mereka menyebabkan mereka terkejut dan cuba melarikan diri. Ketika itulah mangsa cuba turun dengan memanjat dinding tetapi dia gagal lalu terjatuh ke tanah," ceritanya ketika ditemui semalam.

Guru tadika maut nahas

Posted: 25 Oct 2010 05:31 PM PDT


ANGGOTA polis mengangkat mayat Rahmah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Felda Lui Selatan-Felda Tembangau, Jempol semalam.


JEMPOL – Tindakan seorang guru Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) menggunakan jalan pintas untuk ke tempat kerjanya mengundang padah apabila dia maut selepas kereta yang dinaiki bersama cucunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda semalam.

Rahmah Md. Ali, 53, maut dalam kejadian pukul 7.30 pagi di Jalan Felda Lui Selatan-Felda Tembangau dekat sini manakala cucunya, Adriana Adila Ayu Teddi Nadianto, lima tahun, cedera di muka.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di tadika Kemas Sungai Lui selepas berpatah balik ke rumahnya di Felda Lui Selatan untuk mengambil beg tangan yang tertinggal.

Jalan pintas itu dipercayai dapat mengurangkan masa yang perlu diambil kira-kira 20 minit ke tempat kerjanya. Bagaimanapun permukaan jalannya tidak berapa elok dan bergaung.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Sabri Muhamad berkata, kereta Proton Iswara mangsa telah dirempuh oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Diserbu kali kedua jual VCD haram

Posted: 25 Oct 2010 05:30 PM PDT


Othman (kanan) menunjukkan VCD dan DVD yang dirampas di dalam sebuah van di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Tidak kenal erti serik. Biarpun pernah diserbu kerana menjual cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak dari dalam sebuah van pada Ogos lalu, pemilik premis di Taman Tun Dr. Ismail di sini masih berdegil dan terus menjalankan kegiatan itu.

Pemilik premis itu didapati menjual VCD dan DVD asli di dalam kedai manakala versi cetak rompak dijual dari dalam van yang diletakkan tidak jauh dari situ.

Kegiatannya sekali lagi terbongkar selepas lapan anggota dan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur menyerbu lokasi tersebut pada pukul 6.45 petang, Ahad lalu.

Menurut Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang, bertindak atas maklumat awam, pihaknya berjaya mengesan sebuah van jenis Toyota berwarna biru kira-kira 200 meter dari premis tersebut.

Katanya, pemilik premis itu menggunakan modus operandi yang sama seperti sebelum ini iaitu pelanggan akan menempah VCD atau DVD cetak rompak dari premis berkenaan melalui nombor yang ada di dalam katalog dan kemudiannya seorang pekerja akan menaiki motosikal untuk mengambil tempahan dari dalam van.

Guru BI dipantau 370 pakar luar

Posted: 25 Oct 2010 05:25 PM PDT


PENGAJARAN Bahasa Inggeris di sekolah bakal dipantau oleh pakar bahasa itu yang dibawa dari luar negara mulai tahun depan. - Gambar hiasan


MELAKA – Seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil bekerja untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah bagi merealisasikan pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pakar tersebut akan memantau pengajaran bahasa Inggeris khususnya untuk pelajar tahun satu sekolah rendah di seluruh negara.

"Pengambilan pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris agak mencabar dan mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini semalam.

MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

KTMB lancar tren kargo terpanjang

Posted: 25 Oct 2010 05:24 PM PDT


KERETA API kargo terpanjang di Asia Tenggara yang dilancarkan di stesen KTMB Padang Besar semalam.


PADANG BESAR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencatat sejarah apabila melancarkan Tren Kargo Terpanjang Menggunakan Lokomotif Tunggal yang menarik 50 gerabak di Stesen KTMB Padang Besar di sini semalam.

Pengurus Besar Perkhidmatan Kargo KTMB, Azman Ahmad Sharabi berkata, kargo terpanjang di Asia Tenggara itu membawa 100 TEU (unit bersamaan 20 kaki) sepanjang 900 meter itu berlepas dari Stesen KTMB di sini ke Pulau Pinang.

Katanya, itu mengambil masa sembilan jam untuk sampai ke Pulau Pinang dan tempoh itu dapat disingkatkan kepada di antara empat dan lima jam apabila landasan berkempar Ipoh-Padang Besar siap sepenuhnya pada 2013.

"Lazimnya sesebuah lokomotif menarik sehingga 20 gerabak dan boleh ditingkatkan kepada 25 gera- bak atas permintaan pada satu-satu masa.

"Namun, dengan pemilikan aset baru dengan loko- motif yang lebih berkuasa tinggi kelas 26 dan 29, ia dapat ditingkatkan dan boleh membawa sehingga 50 gerabak pada satu-satu masa," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kargo Terpanjang Asia Tenggara di sini.

Bank Islam perkenal kad debit

Posted: 25 Oct 2010 05:04 PM PDT

KUALA LUMPUR – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dijangka akan melancarkan kad debit pertamanya menjelang akhir tahun ini. Menurut Pengurus Besar Bahagian Perbankan Pengguna Bank Islam, Khairul Kamarudin, langkah itu adalah usaha pihaknya untuk terus memperkenalkan lebih banyak produk yang menarik dan relevan dengan keperluan pelanggan masa kini.

"Pada masa ini kesemua pemegang akaun Bank Islam diberikan kad mesin teler automatik (ATM) bagi pengeluaran wang tunai mereka tetapi tidak boleh digunakan secara terus untuk transaksi pembelian barangan.

Melalui pengenalan kad debit ini, para pelanggan boleh mengubah kad ATM mereka kepada kad baru itu dan ini seterusnya menyediakan kemudahan kepada mereka," katanya selepas majlis penyampaian hadiah kempen 'Sahutan ke Tanah Suci' di sini semalam.

Rozita nafi kahwin 2011

Posted: 25 Oct 2010 05:03 PM PDT


ROZITA nekad dengan keputusannya untuk bersara daripada dunia lakonan.


ARTIS jelita bernama Rozita Che Wan sudah seringkali dikaitkan kontroversi bercinta, baik dengan kerabat diraja mahupun orang kenamaan. Mengungkap kisah lalu, Rozita atau lebih mesra dipanggil Ita, 37, kononnya ingin berkahwin dan menamatkan perjalanan seninya.

Dia dikatakan bakal bersara daripada dunia lakonan pada tahun depan selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki yang kini mendampingi dirinya.

Peluang berdepan dengan seraut wajah manis itu pada majlis acara Peek-A-Boo Restyled Party di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja.

Terus sahaja persoalan tentang perkara itu ditebak sebaik mungkin, andai kalau-kalau jelitawan itu mahu mengkhabarkan pula tentang tarikh perkahwinannya itu.

Melebarkan senyuman pada bibirnya sambil disusuli ketawa kecil, figura yang tampak anggun menggayakan gaun ungu pada petang itu menyatakan dia sememangnya masih belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumahtangga buat masa ini.

Sibuk dengan jadual lakonan hariannya, bekas peragawati itu menegaskan dia tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan soal untuk berkahwin semula.

Rozita mengakui tentang kisah dirinya yang dikatakan mempunyai teman istimewa selama ini namun, dia menjelaskan sememangnya dia masih berkawan baik dengan lelaki tersebut.

"Jika saya kahwin, pastinya saya akan menjemput anda semua ke majlis saya," ujarnya ramah.

Tambah Rozita dalam nada tegas: "Saya memang ingin berhenti berlakon pada tahun hadapan, tetapi bukan kerana mahu berkahwin tetapi kerana mahu menceburi bisnes."

Menurutnya, bermula pada Januari, 2011 dia tidak lagi akan meneruskan kerjaya lakonannya. Bagi dirinya, sudah cukup empat tahun dia berkecimpung dan memerah tenaga dalam bidang yang penuh dengan pancaroba itu.

"Kerjaya lakonan saya akan berakhir pada bulan Januari tahun depan dan saya ingin berehat serta memberi konsentrasi terhadap perniagaan yang ingin saya mulakan itu," tutur Rozita dalam nada yang lembut.

Cara Curi Jodoh

Pelakon kelahiran Alor Setar, Kedah ini turut mengakui pengalaman daripada perkahwinannya yang terdahulu banyak memberi pengajaran buat dirinya untuk lebih berhati-hati pada masa depan.


MENGAKUI masih berkawan dengan lelaki yang digosip bercinta dengannya, Rozita bagaimanapun sangat berhati-hati dalam memilih calon suami.


Sebagai seorang ibu tunggal yang mempunyai dua cahaya mata, Rozita menegaskan dia harus berhati-hati dalam memilih pasangan baru dalam alam rumah tangga. Anak-anak diutamakan dalam segala keputusan yang dibuat Rozita.

"Saya harus pilih bakal suami yang dapat menerima dan menyayangi anak-anak saya. Mereka adalah keutamaan saya walau apa pun keputusan yang dibuat," jelas Rozita agak serius apabila berbicara mengenai permata hatinya itu.

Walaupun masih lagi menerima jemputan berlakon untuk filem dan drama, pelawaan itu ditolak kerana dia sememangnya sudah nekad dengan keputusan yang dibuatnya.

Dalam tempoh sebelum Januari, 2011 menjelma, jelitawan bermata bundar itu kini sedang sibuk menghabiskan sisa penggambaran produksi lakonannya.

Pertama kali namanya dijulang adalah menerusi drama Sesuci Cinta Sofea yang disiarkan di saluran TV3 beberapa tahun dahulu. Sejak itu, tidak putus rezeki yang diterimanya dalam bidang ini. Boleh dikatakan hampir kesemua watak pernah dibawa oleh Rozita.

Rozita bagaimanapun mengakui watak komedi lebih senang dilakonkan berbanding watak serius.

"Saya lebih gemar melakonkan watak komedi sekarang kerana ia lebih menampilkan diri saya yang sebenar. Saya rasa lebih bebas mengekspresikan diri berbanding watak yang lebih serius," kata Rozita yang gemar menggunakan loghat utara ketika berbicara.

Selepas filem komedi 4 Madu, Rozita dilamar sekali lagi untuk melakonkan watak komedi oleh Prof. Hatta Hazad Khan untuk drama berjudul Cari Curi Jodoh.

Bercerita mengenai tawaran watak komedi yang diterima, ujar Rozita: "Sejak akhir-akhir ini, genre komedi mempunyai permintaan yang tinggi daripada stesen-stesen TV."

Wanita misteri Ranbir

Posted: 25 Oct 2010 05:03 PM PDT


RANBIR KAPOOR


SELEPAS percintaannya dengan aktres Deepika Padukone hancur, aktor Ranbir Kapoor tidak pernah dikaitkan dengan sebarang wanita lain. Namun, baru-baru ini dia dilihat menghabiskan masa berkualiti di sisi seorang wanita misteri. Ia segera menimbulkan spekulasi, itulah gerangan kekasih terbarunya.

Menurut saksi: "Ranbir makan malam bersama seorang wanita muda yang tinggi lampai di sebuah restoran bar di Mumbai baru-baru ini. Mereka dilihat sangat intim."

Tambahnya: "Nampaknya Ranbir dan Deepika sudah melupakan kepedihan akibat cinta mereka yang hancur dulu dan kini masing-masing telah menemui cinta baru."

Kemenangan suntik semangat baru

Posted: 25 Oct 2010 05:02 PM PDT




AWAL Mac lalu, usai tayangan perdana V3: Samseng Jalanan berlokasi di Cathay Cineplex, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Lisa Surihani sempat meluah rasa tentang kesibukan diri mendepani aktiviti seninya. Berkejaran ke merata lokasi, kurang masa rehat ditambah pantasnya putaran 24 jam sehari, itu yang dikongsi bintang berbakat besar tersebut.

Begitupun, tidak terniat di laut fikirnya untuk meribut dengan segudang rungutan. Atau jauh sekali kesal dengan jalan hidup dipilih sejak terlibat aktif dalam cabang lakonan yang bermula pada tahun 2007. Cuma, tidak mampu dielak, dia hanya manusia biasa yang terkadang ingin bercerita sebenar dugaan sebagai anak wayang. Bukan semata-mata indah luarannya.

Melewati beberapa bulan, bertemu sekali lagi dengan aktres berusia 24 tahun itu. Cuma, kali ini, atmosferanya nyata berbeza. Anggun dengan gaun meleret rona hijau terang rekaan Khairi Sufi, Lisa berada di atas pentas gah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam Lagenda Budak Setan.

Tatkala namanya dilaungkan oleh penyampai trofi - Rosyam Nor dan Erra Fazira sehingga memecah sunyi Pusat Konvensyen Shah Alam pada malam Ahad lalu, wajah Lisa sepertinya terkedu. Bukan hanya itu, dia tidak menyangka untuk mendahului senarai calon lain yang juga diisi oleh Maya Karin, Putri Mardiana, Mislina Mustaffa dan Jasmine Michael.

Dalam kelopak matanya digenangi manik-manik jernih, Lisa dilihat beberapa kali memeluk dan mencium tangan si ibu, Siti Amira Ahmad, 59, yang duduk di sebelahnya sebelum berjalan mengambil trofi. Hakikatnya, dia kini salah seorang daripada belasan wanita teristimewa memegang trofi keramat Festival Filem Malaysia sejak diperkenalkan tahun 1980.

Ditemui selepas FFM23 berlansung, graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Universiti Aberystwyth, United Kingdom itu melahirkan perasaan kesyukuran terhadap penghormatan diraih. Tidak ketinggalan, lekas sahaja bibir mungil Lisa melontarkan ucapan terima kasih kepada ibunya yang selama ini banyak membantu melicinkan perjalanan seninya.


ADIK-BERADIK KRU, Edry. Norman dan Yusry membuktikan kredibiliti mereka bukan sekadar hebat dalam bidang muzik, tetapi juga dalam industri perfileman.


"Dalam waktu sama, saya ingin dedikasikan penghargaan ini buat arwah ayah (Mohamed Mahbob), adik-beradik dan kawan-kawan yang terus memberi sokongan tidak berbelah bagi. Tanpa doa mereka, saya tidak mampu berada pada tahap ini," jelasnya sedikit beremosi mengenang ayahnya yang tidak sempat menyaksikan momen penuh bersejarah itu.

Santun menuturkan bicaranya, Lisa yang dilahirkan pada 23 Mac 1986 itu mengaku dia sendiri tidak meletakkan ekspektasi untuk kemenangan yang dianggap tinggi melangit tersebut. Sementelah diri masih hijau dalam daerah hiburan, banyak lagi perlu ilmu serta pengalaman lakonan harus dikutip. Itu ungkapnya yang sarat sikap berpijak di bumi nyata.

"Saya rasa rendah diri sangat dengan kemenangan ini kerana datang pada FFM23 kerana sekadar suka-suka. Tetapi, sebagai manusia biasa dan individu, tipu kalau saya cakap tidak ada menaruh sedikit harapan. Cuma, malas hendak fikir sangat kerana takut apa yang diingini tidak menjadi. Lantaran itu, saya serahkan semua kepada kuasa Allah Taala.

"Terus terang, saya ramal Mislina menang dalam kategori ini disebabkan pernah melihat hasil kerjanya sebelum ini. Saya akui, dia seorang pelakon hebat. Tetapi, pelakon lain seperti Maya Karin, Putri Mardiana, Mislina Mustaffa dan Jasmine Michael juga ada keistimewaan sendiri," jawabnya yang masih berasa rendah diri berbanding empat calon aktres terbaik 2010 yang lain itu.

Menghiasi layar perak dengan tujuh filem pada tahun ini - V3: Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Kapoww!, Lagenda Budak Setan, Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2 dan Cyber X: Ancaman Penggodam, Lisa bagaimanapun awal-awal lagi bersedia menerima jangkaan lebih tinggi daripada peminat soal persembahan lakonannya kelak.

"Sebagai orang baru, saya kena ambil langkah demi langkah terutama dalam hal melibatkan kualiti lakonan. Dengan adanya trofi ini, saya tidak mahu jadikan ia sebagai tekanan. Saya sebaliknya berfikiran positif sekali gus menganggap kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk terus melakukan yang terbaik dalam drama mahupun filem.

"Selebihnya, saya serahkan 100 peratus kepada peminat untuk menilai hasil kerja diri. Pada pendapat saya, selain pihak media, mereka (peminat) menjadi individu terpenting memantau setiap apa yang saya lakukan dalam aspek lakonan," terang yang Lisa yang tidak pernah mengenal definisi kepuasan dalam kamus hidupnya sebagai pemain wayang.


JAGUH pecah panggung. Ahmad Idham (kiri) dan David Teo menjulang trofi Filem Box-Office yang diraih filem Adnan Sempit sambil diperhatikan oleh penyampai, Datuk Yusof Haslam.


Kegembiraan Bront

Tujuh tahun memperjudikan nasib dalam lapangan seni, umum tahu, bukan percikan kemasyhuran didambakan Bront Palarae. Dia sebaliknya berada di gelanggang sama dengan deretan pelakon lelaki sedia ada berbekalkan satu niat - mempamerkan bakat lakonan kepada umum. Seorang individu santai, tiada lain yang dimahukan oleh anak muda itu.

Tinggi antusias sebagai anak wayang, jejaka berusia 32 tahun itu sebelum ini sulit menerima lampu hijau daripada sang pengarah atau penerbit untuk menjadi wajah utama sesebuah filem. Begitupun, dia tidak lekas melatah dengan takdirnya. Menyedari hukum permainan bidang glamor, dia hanya membenarkan waktu berjalan dengan sendirinya.

Bergelar pemain untuk 15 buah filem sejak 2003 sebagai watak pembantu, rezeki akhirnya menyebelahi penama lengkap Nasrul Suhaimin itu. Pengarah sedang meningkat naik, Jason Chong menawarkan kesempatan kepada Bront memegang teraju utama dalam karya sulungnya, Belukar pada tahun 2009. Itu menjadi kegembiraan mutlak dirinya.

Menceduk kenyataan Bront kepada Kosmo! sebelum ini: "Dapat peluang berlakon dalam Belukar ibarat bulan jatuh ke riba. Berbaloi juga rasanya menanti untuk beberapa tahun bagi menerajui watak utama dalam filem. Sampaikan tulang rusuk saya boleh bergegar disebabkan terlampau memberi komitmen sepanjang menjalani penggambaran.

Pada ruang kosong diisi Bront itu, ternyata membuahkan hasil apabila diumumkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM23. Tercalon bersama empat aktor - Esma Daniel, Farid Kamil, Syamsul Yusof dan Zul Huzaimy, keputusan juri anugerah berprestij itu adil dan saksama.

Tidak dilupakan, karakter wanita utama filem terbitan rumah penerbitan, Preston Zaidan Productions Sdn. Bhd., Daphne Iking juga dipertauliahkan gelaran Pelakon Harapan FFM23. Terharu dengan apresiasi diterima, sosok tinggi lampai tersebut menjelaskan, ia bukan kemenangan peribadinya semata-mata. Ironinya, kerjasama banyak pihak.

"Saya begitu terhutang budi kepada Chew Kin Wah, Jason dan seluruh tenaga produksi yang menghasilkan Belukar dengan jayanya. Yang anda lihat di pawagam merupakan filem telah siap sepenuhnya sedangkan ada ramai individu terlibat dalam kerja belakang tabir termasuk suntingan dan lain-lain. Tanpa mereka, Belukar tidak menjadi karya.


NOVELIS terkenal, Ahadiat Akashah teruja dengan kemenangan Lagenda Budak Setan menggondol Anugerah Cerita Asal Terbaik.


"Oleh itu, saya anggap ia sebagai kejayaan bersama. Selain itu, saya cukup bertuah kerana sepanjang dalam bidang seni, saya banyak dibantu oleh rakan-rakan pelakon. Bayangkanlah, mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar dan saling menyokong antara satu sama lain," akui Bront yang fasih berbahasa Hokkien, Thailand, Melayu dan Inggeris.

Sengaja membangkitkan isu lama menggalas tanggungjawab sebagai anak seni, hanya kini baru diiktiraf pada FFM23, spontan jawab Bront sambil ketawa mengekeh: "Saya tidak rasa sangat soal ini. Lagipun, tahun depan saya bakal muncul dengan beberapa buah filem. Soal terlepas pandang atau diskriminasi tidak pernah wujud dalam diri saya.

"Paling penting, saya berlakon kerana ingin dapat kepuasan. Pada waktu sama, saya mengamal cara kerja berlainan berbanding pelakon lain. Sejujurnya, saya semahunya menunjukkan komitmen penuh di lokasi penggambaran berbanding memikirkan perkara remeh lain," ucap Bront yang menjadikan bidang seni lakon sebagai kelangsungan hidup.

Bercakap tentang rencana selepas bergelar Pelakon Lelaki Terbaik FFM23, tanpa berselindung Bront memberitahu, tiada apa yang berupaya merobahnya menjadi insan lain selepas ini. Apa yang pasti, dia masih Bront dikenali sebelum ini. Trofi dan wang tunai berjumlah RM15,000 yang diterima, tidak lebih sekadar bonus atas penat lelahnya selama ini.

"Biarpun sudah memenangi anugerah besar ini, saya tetap ingin memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Ia tidak menjadikan saya terus larut dalam keadaan selesa selamanya. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Malah, masih jauh perjalanan saya sebagai pelakon. Ini permulaan saya untuk menuju tahap seterusnya," akhiri Bront tersenyum bahagia.

Askar Israel hina tahanan

Posted: 25 Oct 2010 05:00 PM PDT


GAMBAR menunjukkan gelagat kurang ajar seorang askar Israel di belakang seorang wanita Palestin di sebuah rumah.


BAITULMUQADDIS - Sebuah kumpulan hak asasi manusia Israel, Breaking the Silence menyiarkan gambar-gambar terbaru yang menunjukkan askar Israel bergambar dengan tahanan dan merosakkan rumah orang Palestin yang dirakamkan dalam Perang Gaza 2008 hingga 2009.

Dalam satu gambar, seorang askar mengacukan raifal ke arah muka seorang tahanan yang matanya ditutup.

Sementara itu, seorang askar lain menconteng dinding sebuah rumah dengan lambang Star of David dan menulis ayat yang bermaksud dia akan datang sekali lagi.

Dalam gambar yang lain, beberapa orang askar kelihatan tersenyum dan bergaya di dalam sebuah rumah milik seorang penduduk Palestin.

Satu lagi gambar menunjukkan seorang askar menunjukkan aksinya di belakang seorang wanita bertudung yang memasak di dapur.

Tentera Israel bagaimanapun tidak memberi sebarang komen segera mengenai gambar-gambar itu.

Pendedahan gambar-gambar itu dibuat selepas satu siri insiden yang sama berlaku dalam laman web sosial di Internet.

Pengasas Breaking the Silence, Yehuda Shaul enggan mendedahkan sumber gambar-gambar itu diperoleh.

Namun dia menjelaskan pihaknya telah menerima puluhan gambar yang menunjukkan bahawa tindakan kurang ajar askar Israel itu semakin berleluasa.

"Ia sudah menjadi norma pasukan tentera Israel. Ia adalah kesan langsung di kawasan yang kamu (Israel) kuasai setiap hari. Kamu (Israel) menjadi korup dan tidak lagi mampu melihat mereka (orang Palestin) sebagai manusia," kata Shaul.

Shaul memberitahu, pihaknya masih cuba untuk menentukan lokasi gambar-gambar itu dirakamkan.

Pada Ogos lalu, gambar-gambar di laman sosial Facebook menunjukkan seorang askar wanita bergambar dengan beberapa orang tahanan Palestin.

Satu klip video di laman perkongsian video YouTube turut menunjukkan seorang askar menari di sebelah tahanan wanita Palestin yang memakai tudung.

Hamid Karzai mengaku dapat wang daripada Iran

Posted: 25 Oct 2010 04:59 PM PDT

KABUL - Presiden Afghanistan, Hamid Karzai semalam mengakui pejabatnya menerima wang AS$700,000 (RM2.1 juta) hingga AS$975,00 (RM3 juta) daripada Iran untuk perbelanjaan Presiden.

Beliau turut mengakui Washington menghulurkan berguni-guni wang kerana pejabatnya kekurangan dana.

Kenyataan Karzai dikeluarkan sehari selepas akhbar New York Times melaporkan Iran menyumbangkan wang yang banyak kepada Ketua Staf Presiden, Umar Daudzai bagi membeli kepercayaannya dan untuk meningkatkan kepentingan Iran di Afghanistan.

Akhbar itu memetik sumber yang tidak didedahkan yang memberitahu, wang tunai dalam bentuk dana rahsia itu digunakan oleh Hamid dan Umar untuk menyogok anggota-anggota Parlimen Afghanistan, pemimpin puak dan komander Taliban supaya setia kepadanya.

Hamid bagaimanapun memberitahu wartawan semalam bahawa beliau mengarahkan Umar supaya menerima wang daripada Teheran.

"Wang itu sumbangan rasmi dan atas arahan saya," katanya.

Menurutnya, beberapa buah negara telah menghulurkan wang kepada pejabatnya dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara pertama menyumbangkan AS$1.5 juta (RM4.6 juta) sembilan tahun lalu ketika pentadbiran sementara Afghanistan dibentuk.

"Kami menyalurkan semua wang itu kepada Bank Negara bagi membiayai perbelanjaan pentadbiran harian," kata Hamid.

"Penyaluran wang ini berlaku secara terbuka. Ia bukan sumbangan rahsia," tambahnya.

Menurutnya, beliau berasa terhutang budi kepada Iran kerana perhatian berat negara itu.

"AS turut melakukan perkara yang sama. AS menyediakan wang tunai kepada beberapa pejabat kami," katanya.

Kedutaan Iran di Afghanistan bagaimanapun menafikan pernah memberikan wang tunai kepada Umar dan menyifatkan kenyataan Hamid sebagai tidak munasabah dan menghina Teheran.