Adsense

Isnin, 25 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Kongsi minat

Posted: 24 Oct 2010 04:17 PM PDT

Hip

pix_gal0
Remy, Nora kagumi Erma Fatima dan Osman Ali

DRAMA Arjuna lakonan Remy Ishak dan Nora Danish kini rancak disiarkan di TV3 menerusi slot Aksi sejak 31 Mei lalu. Drama 26 episod itu dijangka berakhir pada hujung November ini. Drama terbitan KRU Studios itu turut menyaksikan gandingan kali pertama kedua-dua pelakon berkenaan.

Begitupun, topik yang ingin diketengahkan kali ini sama sekali bukan mengenai drama Arjuna, sebaliknya perihal lain yang sedikit sebanyak membawa persamaan kepada hero kegilaan ramai dengan ibu kepada Putera Raiqal Ramli (Qaqal) ini. Ketika ditemui, Remy baru hendak 'memanaskan badan' selepas berehat panjang pada Ramadan. Pelakon ini hanya menunaikan beberapa kerja seperti memasukkan suara (dubbing), menghadiri sesi fotografi bersama media dan fotografi poster untuk filem Nur Kasih.

Katanya, dia mahu manfaatkan masa terluang yang ada kerana kalau sudah terlampau sibuk dengan kerja, banyak aktiviti yang tak dapat dilakukannya. Contohnya, anak muda ini teringin sekali untuk balik ke kampung di Melaka atau mandi-manda di air terjun untuk menyejukkan badan.

"Jangkanya saya mula dengan sesi raptai Natrah 2 pada pertengahan atau hujung bulan ini. Saya pun belum mendapat tarikh sebenar. Saya hanya menunggu kata putus daripada Kak Erma (Fatima) dan pihak Istana Budaya," katanya saat berkunjung ke Balai Berita, awal Oktober lalu.

Kerjasama Remy dengan Erma menerusi teater Natrah turut memberikannya peluang untuk bekerja sama sekali lagi dalam telefilem Air Mata Nur Salina yang disiarkan di TV3, bulan lalu. Dia mengaku cukup selesa bekerja dengan Erma dan pelakon lain dalam telefilem itu.
"Saya seronok bekerja dengan Kak Erma. Saya faham kehendaknya, seperti mana kerjasama saya dengan pengarah lain termasuk Osman Ali dan Kabir Bhatia. Saya dengar juga cerita kononnya Kak Erma ini mulutnya memang bising dan garang. Tapi hakikatnya ia tidaklah seperti yang digambarkan.

"Saya boleh jadi serasi dengannya. Dia memang sangat bersungguh dalam kerjanya.

"Begitu juga dengan Umie Aida. Pada awalnya saya pun gementar untuk menjayakan telefilem itu, terutamanya saat melakonkan babak intim. Saya akui agak kekok dan terbatas di samping menghormati statusnya," katanya Remy yang tidak sabar menanti tayangan filem Nur Kasih dan Cun.

Katanya, selesai pementasan musim kedua Natrah, dia akan ke set penggambaran Akuarium Cinta arahan Osman.

"Filem ini memang diketahui ramai sudah agak lama tertunda. Saya difahamkan semua pelakon akan menjalani penggambaran semula biarpun sebelum ini, sudah 30 peratus pembikinannya sudah disiapkan. Filem ini menjadi judul ketiga saya bersama Osman selepas Anak Halal dan Cun," sambungnya.

Jadi penyanyi?

KEBELAKANGAN ini, dunia hiburan turut disebarkan dengan kisah pujian terhadap vokal Remy apabila dia turut menyumbangkan suara album kempen keselamatan jalan raya, Love Life. Malah dalam telefilem Air Mata Nur Salina, Remy berduet dengan Umie menyanyi lagu Dua Insan Bercinta.

"Saya tidak terfikir untuk menjadi penyanyi buat waktu ini kerana keutamaan masih dalam bidang lakonan. Tapi kalau berbicara soal seni memang luas cabangnya. Setakat menyanyi suka-suka di pusat karaoke itu biasalah. Saya juga gemarkan seni lukisan dan fotografi. Kalau ada peluang menyanyi, apa salahnya saya mencuba?" kata Remy.

Nora idam pentas teater

DALAM membicarakan kerjaya lakonan, Nora memang ada impiannya. Selepas menempatkan diri dalam lakonan TV dan filem, dia menyimpan cita-cita untuk beralih ke arena pementasan pula. Mungkin didorong perasaan cemburu terhadap rakan gandingannya dalam fotografi ini, Nora juga mahu mencipta nama dalam lakonan pentas.

Remy diberi kesempatan berharga bekerja di bawah Erma dalam teater Natrah pada tahun lalu di Istana Budaya. Dia juga dikekalkan untuk teater Natrah yang akan dipentaskan kali kedua pada 25 November.

"Nora ada menyimpan dua impian, pertama, berlakon filem di bawah arahan Osman Ali. Kedua, berlakon teater arahan Erma Fatima. Nora akui, memang nak sangat berlakon teater. Pentas teater menjadi tempat paling baik untuk mengasah dan memperbaiki bakat lakonan. Nora dapat bayangkan, kepuasan berlakon teater pasti tidak boleh disamakan dengan filem atau drama," katanya.

Menurutnya, jika diberi peluang, dia memang sudah bersedia untuk ke pentas teater walaupun untuk watak kecil saja. Sekurang-kurangnya, ia memberikan langkah permulaan buatnya sebelum pergi lebih jauh dalam dunia pementasan.

"Kalau dapat watak kecil sekali pun, Nora tak kisah. Tambahan pula kalau teater diarahkan oleh Kak Erma. Nora memang tak keberatan. Sekurang-kurangnya Nora diberi peluang mencuba dalam pementasan teater," katanya.

Nora pada ketika ini sedang menghabiskan baki penggambaran drama 20 episod berjudul Putera Katak arahan Adam Hamid. Dalam drama ini, dia memegang watak Tina, bergandingan dengan Zizan Nin sebagai Putera Katak.

"Dalam drama itu, Tina ialah gadis lurus bendul yang cintakan haiwan. Suatu hari dia berjumpa dengan katak dan memeliharanya.

"Realitinya, Nora geli dengan katak apatah lagi memegangnya. Tapi lama kelamaan, Nora jadi 'rindu' dengan katak. Memang pelik jadinya," katanya.

Sebelum itu, dua filem lakonan Nora juga sudah berada di panggung. Dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Nora tanpa berselindung mengakui agak gementar kerana sudah lama dia tidak muncul di layar perak.

"Mungkin kerana terlalu gementar, Nora tidak dapat mempamerkan prestasi yang baik saat menjayakan watak diberikan. Nora akan perbaiki segala kelemahan yang ada pada masa akan datang. Bermula 21 Oktober, Nora muncul pula dengan filem Cuti-Cuti Cinta bergandingan dengan Farid Kamil," katanya.

Diajukan soalan mengenai gosip membabitkan dirinya seorang lelaki yang dikatakan kerabat diraja, Nora punya jawapannya.

"Lelaki itu bukan kerabat pun. Kalau betul gosip yang dimaksudkan, buat apa Nora nak menafikan. Kami hanya berkawan. Dia juga rapat dengan keluarga Nora," kata Nora yang belum bertemu pengganti dan sudah hampir dua tahun hidup sebagai ibu tunggal.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Hasil filem pendek dalam 48 jam

Posted: 24 Oct 2010 04:08 PM PDT

Hip

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam Projek Filem 48 Jam Kuala Lumpur pada majlis pelancarannya di FINAS.

SEBAHAGIAN peserta yang mengambil bahagian dalam Projek Filem 48 Jam Kuala Lumpur pada majlis pelancarannya di FINAS.

Pertandingan kali pertama galakkan kerja kreatif berkumpulan

SELALUNYA, sesebuah filem cereka mengambil masa berbulan-bulan, malah ada kala bertahun untuk disiapkan, setelah melalui proses penyelidikan, penulisan skrip, penggambaran, suntingan, memasukkan suara dan muzik, seterusnya adunan terakhir. Begitupun, penghasilan filem pendek mungkin tidak memakan masa sepanjang itu, walaupun tetap memerlukan waktu yang agak lama untuk dihasilkan.

Lalu, apabila sebuah program yang dianjurkan memastikan pembikin filem pendek melangsaikan produk mereka dalam masa dua hari saja, terfikir di minda, mampukah ia dilaksanakan? Dengan perkembangan teknologi terkini serta kerja berpasukan, tiada yang mustahil dalam pembikinan era sekarang. Atas alasan itu juga Projek Filem 48 Jam Kuala Lumpur atau KL48HFP mampu diadakan. Buat kali pertama, Malaysia turut membabitkan diri dalam projek terbabit tahun ini, walaupun ia sebenarnya sudah pun memasuki tahun ke-10 penganjuran.

Lebih membanggakan, acara yang turut disertai oleh 87 kota di seluruh dunia itu mendapat sambutan membanggakan daripada pembikin filem tempatan. Program 48HFP ialah penganjuran filem pendek terbesar dan tertua di dunia.

Pengarah Projek KL48HFP, Shahril Fahazmi Musa, berkata penganjuran projek itu adalah sebagai galakan kepada pembikin filem untuk mencuri peluang dan menimba ilmu daripada peserta negara luar yang turut menyertainya.

"Sebagai penganjur kali pertama, sasaran pendaftaran yang ditetapkan untuk kami hanyalah 24 pasukan. Namun, kami sangat gembira kerana dalam masa yang suntuk ini, pendaftaran pasukan meningkat dengan mendadak dan melebihi sasaran.
"Malah kami turut diberi peluang untuk menambah bilangan peserta setelah berjaya meyakinkan penganjur utama akan kebolehan kota raya ini dalam menganjurkan KL48HFP," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran projek terbabit di FINAS, baru-baru ini.

Pembikin filem yang berjaya pada projek terbabit bukan saja berpeluang ke pertandingan 48 Hour Film Project di Miami, Florida, Amerika Syarikat, awal tahun depan, sebaliknya kumpulan pemenang itu juga bakal menerima tiket penerbangan ke Festival Filem Filmapalooza, Itali. Lebih daripada itu, karya mereka bakal dipertandingkan pada Festival Filem Cannes, Perancis, tahun depan.

Konsepnya adalah mudah - setiap kumpulan yang sudah mendaftar menerusi laman sesawang, www.kl48hourfilm.com dan membuat bayaran pendaftaran sebanyak RM400 akan dikumpulkan pada satu masa untuk memulakan cabaran.

"Pada 29 Oktober ini, bermula jam 6 petang di perkarangan FINAS, pasukan yang sudah terpilih akan berkumpul untuk mencabut undi bagi menentukan genre pasukan. Mereka akan diberikan satu karakter, satu prop dan satu baris dialog yang harus dimuatkan ke dalam filem masing-masing.

"Peserta akan dilepaskan bermula jam 7 malam untuk memulakan misi menghasilkan filem pendek dalam masa 48 jam. Semua penyertaan harus dihantar pada 31 Oktober ini, pada jam 7.30 malam, bertempat di FINAS. Mana-mana kumpulan yang lewat, walaupun seminit, dikira batal penyertaannya," katanya.

Projek KL48HFP

  • FILEM terbaik dari Kuala Lumpur bukan saja mewakili Malaysia untuk bertanding pada 48HFP Filmapalooza 2011, tetapi turut memenangi tiket penerbangan ke Filmapalooza yang dibiayai FINAS. Selain itu, Canon yang menjadi penaja utama turut menyumbang hadiah bernilai RM22,000 kepada Filem Terbaik serta beberapa kategori lain.
  • PERSATUAN Sutradara Malaysia (FDAM) turut bekerjasama menjayakan acara ini dalam misi mereka mencari 10 Pengarah Muda Terkemuka.
  • KEPADA mereka yang tidak berminat untuk bekerja di belakang tabir, tetapi ingin menonton hasil karya kreatif 48 jam ini, kesemua filem peserta akan ditayangkan pada 6 November depan. Lokasinya akan diumumkan menerusi laman web www.kl48hourfilm.com, facebook dan twitter.
  • Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.