Adsense

Isnin, 25 Oktober 2010

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ainul sudah ada buah hati

Posted: 24 Oct 2010 07:48 AM PDT

BUKAN sekali dua dia dikritik kerana dikatakan tidak berbakat sebagai penyanyi. Lebih teruk, kritikan mengatakan suaranya tidak sedap dan tidak mampu pergi lebih jauh di persada seni tanah air.

Akhir-akhir ini bagai satu trend pula pelakon beralih arah sebagai penyanyi, tetapi vokal biasa-biasa saja.

Malah, kehadiran mereka dikritik hebat kerana kemampuan vokal tidak seberapa. Antaranya, Liyana Jasmay, Natasha Hudson, Diana Danielle dan terbaru, pelakon berkulit sawo matang, Ainul Aishah Azizun, 25.


Apapun, Ainul tidak pernah peduli dengan cakap-cakap orang itu.


Bahkan, segala kritikan yang dilemparkan tidak pernah menjadi kudis buat dirinya. Bersandarkan minat mendalam, bakat dan keyakinan diri yang tinggi, Ainul semakin bersemangat untuk menempa nama sebagai penyanyi.

Kesungguhannya sebagai penyanyi dipertaruhkan melalui single pertama, The Old Him yang menceritakan kisah hidupnya dan ditujukan khas buat insan yang sangat rapat dengannya.

Kata Ainul, biarlah orang nak kata apa pun kerana dia memang minat menyanyi dan sanggup berhabis duit semata-mata untuk mengejar cita-cita menjadi penyanyi.

"Saya sanggup berhabis dan keluar duit simpanan sendiri bagi merealisasikan pembikinan single The Old Him. Ia lagu berkonsep pop rock dan lagu serta lirik adalah karya saya sendiri.

"Saya juga mempertaruhkan satu lagi lagu, Don't Worry Honey. Kali ini ciptaan kawan baik saya, Nani Nasir yang turut menulis liriknya sekali. Single ini juga sudah mula diputarkan di stesen radio," katanya.

Kata Ainul, proses pembikinan Don't Worry Honey bermula selepas raya pada Oktober lalu. Dia dan Nani berbincang untuk memberi sentuhan peribadi pada lagu berkenaan.

"Kami berbincang buat lagu itu ketika saya sibuk berlakon drama bersiri Senja Permai yang membabitkan tempoh dua bulan. Saya juga merancang untuk buat album EP yang mengandungi lima hingga enam lagu pada masa depan," katanya.

Menjadikan Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Mastura sebagai idolanya, Ainul berkata, dia juga mendapat inspirasi daripada muzik bintang Disney, Demi Lavato.
"Saya turut mendapat ilham daripada muzik Marit Larson dan Lenka yang senang difahami.

"Pada peringkat awal, saya buat lagu dalam bahasa Inggeris dan saya perlu menukar liriknya ke bahasa Melayu selepas itu. Saya juga mendapat kepuasan peribadi apabila lagu saya disiarkan di radio," katanya.

Ditanya kenapa dia mahu menceburi bidang nyanyian, katanya, dia ingin mengimbangi cabang seni sedia ada. Katanya, dia juga melihat ramai artis yang berlakon dan mengacara pada masa sama.

"Saya memang minat menyanyi dan tidak minat mengacara. Justeru, biarlah saya buat apa yang saya suka. Saya juga ingin pertaruhkan bakat menyanyi sedia ada dan bukan menyanyi untuk suka-suka saja.

"Saya juga bercadang mengikuti kelas bagi memantapkan prestasi vokal kerana saya memang serius untuk menjadi penyanyi. Tapi buat masa ini, saya masih kumpul duit untuk mengikuti kelas vokal.

"Insya-Allah, jika duit sudah cukup saya ingin mengambil kelas vokal di bawah bimbingan guru vokal profesional. Saya juga ada beberapa nama guru vokal, tetapi belum diputuskan mengikuti kelas vokal dengan siapa," katanya.

Pelakon yang pernah dicalonkan kategori Pelakon Wanita Harapan di Festival Filem Malaysia ke-20 ini akan menjayakan penggambaran telefilem urban Melayu, Butterfly's arahan James Lee dan terbitan Double Vision untuk 8TV. Telefilem ini turut dibintangi Isma Yusoff dan Radhi Khalid.

"Saya difahamkan, pihak produksi juga merancang untuk terbitkan telefilem ini dalam bentuk drama bersiri selepas ini. Selain itu, drama bersiri 13 episod lakonan saya, Bola Cinta arahan Jo Yusof kini disiarkan setiap Isnin, jam 9 malam di TV2," katanya.

Ainul sudah ada kekasih
BERKONGSI cerita peribadinya pula, Ainul yang pernah putus cinta dengan pemain bass kumpulan underground, Ojoe dan digosipkan dengan vokalis Hujan, Noh mengakui sudah mempunyai teman lelaki istimewa dalam hidupnya sekarang.

Si dia yang berjaya menawan hati Ainul itu adalah jejaka dikenali sebagai Ben yang juga penuntut jurusan Seni Persembahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Akui Ainul, dia tidak mengejar Datuk mahupun Tan Sri sebagai calon suami. Malah, lebih selesa berkawan dengan orang biasa saja.

"Hubungan kami masih baru lagi kerana baru beberapa bulan berkawan. Kami berkawan selepas diperkenalkan seorang kawan baik dan terus rapat sejak itu.

"Tapi, hubungan saya dan Ben belum serius lagi ke arah membincangkan soal kahwin. Apapun, saya mengharapkan hubungan ini berakhir ke jenjang pelamin nanti.

"Bagaimanapun, bukan waktu terdekat ini. Saya merancang untuk berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun. Saya juga ingin belajar memasak terlebih dulu sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

"Terus-terang, banyak lagi benda yang saya nak teroka lagi sebelum berkahwin. Saya juga merancang ingin beli rumah dulu sebelum berumah tangga," katanya.

>PROFIL
NAMA SEBENAR: Ainul Aishah Azizun
NAMA KOMERSIAL: Ain@Ainul
TARIKH LAHIR: 16 April 1985
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KERJAYA: Model, Pelakon dan penyanyi
STATUS: Bujang
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Creative Multimedia (Advertising), Multimedia Universiti (MMU)
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Bong, Enigma, Idola Kecil The Series, Mama Rock, Kecuali Cintamu, Mataku Nampak Hantu, Merah Puteh, Sungai Puaka, Syiling Puaka, The Hoppers, KL Menjerit, Sitkom Anak Mami, Sitkom Senario, Bola Cinta
FILEM: Nana Tanjung, Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria
PENCAPAIAN KERJAYA: Finalis Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia Ke-20, Finalis EH! 20 Yang Anggun 2008, Pemenang Loreal Star Search 2006/2007 dan Top 10, Finalists for Cleo Cover Girl Search 2005/2006.
ANTARA IKLAN: Hotlink, Maxis, Magie, Bursa Malaysia dan iTalk TM

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Nama besar dalam Natrah 2

Posted: 24 Oct 2010 07:44 AM PDT

PEMENTASAN Natrah musim pertama boleh dianggap berjaya kerana mencatat kehadiran seramai 18,000 penonton sepanjang dua minggu dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), tahun lalu.

Justeru, pementasan musim kedua pada 25 November hingga 5 Disember depan memberi tarikan lebih hebat apabila menampilkan lebih ramai nama besar yang memenangi pelbagai anugerah dalam industri hiburan. Penonton akan mampu melihat pula lakonan Liyana Jasmay, Nabila Huda, Aaron Aziz, Ziela Jalil, Sofia Jane dan Susan Lankester.


Pun begitu Natrah 2 masih mengekalkan Maya Karin, Remy Ishak, Umie Aida, Fahrin Ahmad dan Datuk Rahim Razali.


Rasional pemilihan pelakon besar dianggap pengarah Natrah, Erma Fatima mampu memberi kelainan berbanding tahun lalu.

"Kalau tahun lalu hanya empat nama besar, tahun ini lebih ramai pelakon hebat disenaraikan. Saya berusaha menjadikan Natrah 2 lebih baik. Andai ia gagal, ia bermakna saya juga gagal sebagai pengarah.


"Dari segi barisan pelakon, saya memilih pelakon terbaik dan sudah ada nama, tapi belum pernah berlakon pentas. Bagi saya, mereka perlu membuktikan kemampuan agar lebih 'versatile.' "Ini semua ujian baru barisan ini dan harap terutamanya Aaron dan Liyana membuktikan kemampuan mereka sebagai pelakon pentas. "Sebanyak 30 peratus skrip format asal dirombak. Buat masa ini, saya masih cuba untuk mendapatkan dua nama besar lagi sebelum pementasan bermula," katanya di sidang media Natrah di IB, Khamis lalu. Hadir sama, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani. Aaron, selaku Dr Burhanuddin Helmy, menyifatkan Natrah pengalaman pertamanya di pentas teater.

"Pengalaman saya sebelum ini adalah melalui filem dan drama TV, jadi cabaran pentas membuat saya berdebar. Saya berbesar hati ditawarkan peranan sebagai ketua pembangkang. "Apapun, saya perlu membaca skrip diberikan kerana baru membaca muka pertama gara-gara sibuk dengan persiapan Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23), jadi tunggu kemunculan saya bulan depan," katanya.


Kata Juhari, pementasan teater Natrah kedua dijayakan semula berikutan sambutan menggalakkan diterima.


"Pementasan pertama selama dua minggu tahun lalu turut menarik penonton Brunei dan Singapura. Kali ini, angka penonton bertambah memandangkan tempoh pementasan adalah selama 17 hari.


"Tiket sudah mula dijual sejak dua minggu lalu. Saya harap Natrah kedua menarik lebih ramai penggiat, karyawan atau siapa saja menontonnya. Orang mula bertanya mengenai Natrah sejak pementasan teater muzikal Tun Mahathir," katanya.


Difahamkan, Panggung Sari mampu memuatkan seramai 1,400 penonton satu-satu masa.


Natrah berkisar mengenai gadis berketurunan Belanda, Huberdina Maria Hertogh diserahkan oleh ibunya, Adeline dan neneknya, Nor Loiusenya kepada Che Aminah untuk dipelihara tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana ditawan tentera Jepun. Maria Hertogh kemudian diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.


Berikutan itu, berlaku perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan orang tua Natrah di Belanda. Isu perebutan berlanjutan apabila Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung. Konflik agama serta isu penjagaan Natrah menyebabkan rusuhan di Singapura. Tiket menyaksikan Natrah boleh dibeli pada harga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Untuk pertanyaan, boleh hubungi box-office (03-40265558) atau layari www.ticket2u.biz atau www.istanabudaya.gov.my.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.