Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Rahsia pernikahan BiendaOleh FAIZAL SAHARUNI DIA optimis dengan keputusannya. Menyembunyikan tarikh dan lokasi pernikahan daripada pengetahuan umum, Bienda tahu dia akan mendepani beragam spekulasi. Namun, hati penyanyi dan pelakon itu tekad untuk terus merahsiakan hari bahagianya atas alasan tertentu. Bagi peminat yang belum mengetahui, Bienda atau Nor Razlinda Razli telah selamat disatukan dengan belahan jiwanya, Kamarul Zariman Abd. Rahman atau Boy, 25, dalam sebuah majlis sederhana yang hanya dihadiri keluarga terdekat baru-baru ini. Memuntahkan segenap perasaan, anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda itu pasrah jika selepas ini ada sebilangan pihak terus menebar pelbagai andaian termasuk yang kurang manis tentang penyatuan dirinya dan Boy dalam upacara lafaz akad nikah yang disembunyikan daripada pengetahuan umum. "Terus terang, saya menyorokkan tarikh dan lokasi majlis pernikahan ini atas permintaan keluarga sendiri dan pihak Boy. Sebelum ini, timbul kekecohan kononnya saya sudah berkahwin secara senyap. Malah, ada lagi gosip menimpa kami sehingga menyebabkan banyak hati terluka. "Oleh kerana terlalu banyak cerita negatif, keluarga sendiri minta hari pernikahan saya tidak digembar-gembur. Yang penting, saya dan Boy sudah selamat disatukan dalam ijab kabul," katanya ketika ditemui usai resepsi persandingannya di Pusat Konvensyen Ideal, Selayang, Selangor Jumaat lalu. BERKERAS merahsiakan tarih pernikahan mereka, Bienda dan Boy didakwa bernikah sekitar awal Aidilfitri yang lalu. Kalau mengikut gerak hati mudanya, wanita berusia 25 tahun itu tidak mahu mengadakan sebarang majlis persandingan. Semahunya, Bienda ingin merealisasikan sebuah majlis di kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan. Namun, pada waktu sama, dia terikat dengan batasan lain sekali gus mahu meraikan teman artis dan pihak media. "Pada kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kerana tidak dapat beritahu tarikh dan lokasi pernikahan. Biarlah orang lain ingin buat apa jua spekulasi, hakikatnya, saya tetap hendak merahsiakan hal baik ini. Lagipun, bukan mudah saya mahu memuaskan hati orang lain. "Sejujurnya, selama ini saya sekadar berdiam diri dan menahan sabar jika ada cerita negatif tentang saya tersebar. "Cuma, kali ini, saya minta mereka hormat keputusan dilakukan. Jangan paksa saya jadi macam artis lain yang terbuka untuk berkongsi kisah peribadi termasuk pernikahan," jelasnya yang sudah 13 tahun mempertaruhkan diri dalam laman seni. Selepas mengadakan resepsi persandingan yang disuntik tema Arab dan Bollywood untuk pihaknya dengan persalinan dari Butik Udaimatunnur dan Arma Abd. Rahman, sebuah lagi majlis meraikan pihak pengantin lelaki akan berlangsung di Melaka pada 17 Oktober ini. PASANGAN ini akan meraikan pernikahan mereka sekali lagi pada 17 Oktober bagi pihak pengantin lelaki. Cinta tiga tahun Mengimbas bunga cintanya berputik bersama Boy, Bienda dengan pantas menuturkan kata. Jelasnya, bangunan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang menjadi saksi pertemuan dua hati yang kebetulan belum terisi nikmat berpacaran. "Saya jumpa Boy sewaktu sedang menjalani penggambaran untuk sebuah sitkom di Finas manakala dia pula bertugas sebagai salah seorang tenaga produksi secara sambilan. Kemudian, kami bertegur sapa antara satu sama lain sebagai salam perkenalan dan bertukar nombor telefon. "Bayangkan, pada masa itu, dia tidak tahu saya merupakan seorang penyanyi. Dia ingatkan saya berlakon saja. Kami lebih banyak berhubung menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) berbanding membuat panggilan telefon bagi merapatkan hubungan persahabatan.
"Tiga minggu selepas itu, dia mula melamar saya untuk menjadi teman wanitanya dan menyatakan hasrat menyunting saya sebagai isteri. Selepas itu, kami terus bercinta. Sepanjang tempoh tiga tahun lalu sehingga bersepakat menamatkan zaman bujang. "Untuk sampai pada tahap alam perkahwinan, ianya bukan menjadi perkara senang. Ada dugaan yang kami lalui selama ini. Alhamdulillah, kini semua berjalan seperti dirancang apabila akhirnya kami sah bergelar suami isteri," luahnya sambil menghela nafas lega. Bercerita tentang personaliti suami yang bekerja sebagai penerbit di salah sebuah stesen televisyen swasta itu, pelantun lagu Penantian itu melihat Boy sebagai individu bersikap lemah lembut, menghormati orang tua dan bijak mendamaikan jiwa keras Bienda. | ||
Linkin Park, bapa dan kematangan Posted: Linkin Park, bapa dan kematangan
SESUATU yang magis tentang menjadi seorang bapa adalah seseorang itu akan menjadi bertambah matang dan idea itulah yang dijadikan rujukan oleh vokalis Linkin Park, Chester Bennington apabila bercerita tentang album terbaru Linkin Park, A Thousands Suns yang terus dinobatkan juara carta album terlaris Billboard ketika ia dilancarkan pada awal bulan lepas. Chester memberitahu Reuters, kebanyakan lagu dalam album itu menunjukkan kematangan di kalangan anggota Linkin Park. "Dengan kelahiran album terbaru kami itu, kami telah menggunakan mikroskop terhadap diri kami sebelum mendedahkannya kepada dunia," katanya merujuk kepada dirinya dan anggota Linkin Park yang lain seperti Mike Shinoda, Brad Delson, Dave 'Phoenix' Farrell, Joe Hahn dan Rob Bourdon. "Kebanyakan daripada anggota Linkin Park sudah menjadi bapa, kami ada keluarga dan kami bertambah matang berbanding ketika mula-mula muncul dulu pada usia belasan tahun," ujar Chester. A Thousand Suns merupakan album ketiga Linkin Park dan selepas single pertama daripada album itu yang berjudul, The Catalyst dengan cepat meraih populariti, kini mereka melancarkan single kedua, Waiting for The End. Menurut Chester, tidak seperti lagu-lagu lain, Waiting for The End mengandungi mesej 'yang sangat menekan'. "Saya berasa semua orang boleh mengaitkan diri mereka dengan lagu itu terutama satu baris liriknya yang paling bermakna iaitu 'Aku bergantung kepada apa yang aku tiada' ('I'm holding on to what I haven't got')," ungkap Chester. Tambahnya: "Saya percaya bahawa semua orang memiliki idea tentang apa yang mereka mahukan dalam mereka dan mereka berusaha sedaya-upaya untuk merealisasikannya." Chester yang memiliki empat orang anak lelaki dalam pada itu mengakui statusi seorang bapa menjadikan dirinya lebih prihatin dan terbuka memberikan pandangan tentang kehidupan dan dunia. "Ketika muda dulu, saya gemar menghasilkan lagu yang sehingga boleh membuatkan sesiapa yang menghayatinya saling bertumbuk antara satu sama lain. Tetapi lagu-lagu saya sekarang ini lebih kepada mahu berbicara dengan mereka tentang pandangan saya terhadap dunia. LINKIN PARK "Lagu hasil nukilan saya sendiri, The Messenger sebagai contohnya saya labelkan sebagai surat daripada saya untuk anak-anak saya, tentang betapa mereka menyayangi ibu bapa. Lagu-lagu sebegini, kalau 10 tahun dulu memang saya tidak selesa mengalunkannya, tetapi sekarang, ia sesuatu yang berbaloi," akuinya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |