Adsense

Isnin, 11 Oktober 2010

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Bukan gadis kelakar

Posted: 10 Oct 2010 05:47 PM PDT

Hip

pix_gal0
Yana juga boleh lakonkan watak berat dan serius

JELAS Yana, hakikatnya dia bukanlah seorang yang kelakar. Namun, populariti yang mula dikecapi gadis berusia 26 tahun ini banyak diperoleh apabila dia menjayakan watak sedemikian, sama ada menerusi filem mahupun siri televisyen.

Filem Adnan Sempit arahan Ahamd Idham atau drama bersiri Tiga Janda dan Lu'Lu antara judul yang memaparkan dirinya berperwatakan lucu. Semua watak itu sudah tentu berbeza dengan wataknya yang penuh misteri dan serius dalam filem Histeria arahan James Lee. Sebagai pelakon, dia cuma melunaskan tanggungjawab diletakkan pada bahunya. Tidak kiralah watak serius mahupun ringan, dia berusaha sedaya upaya menjayakan setiap peranan diserahkan dengan sebaiknya.

"Begitupun, jelas sekali watak seperti itu membuatkan penonton semakin menyayangi kita," katanya yang kini sekali lagi memegang peranan gadis kelakar dalam siri Siti Kelembai, yang menghiasi slot Lagenda di TV3.

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) daripada UiTM Shah Alam ini, selagi ada permintaan untuknya menjayakan watak begitu, dia akan melaksanakannya dengan rela hati. Apatah lagi baginya, serius mahupun komedi, semuanya memberikan cabaran tersendiri.

"Apabila sudah kerap diberikan watak comel dan lucu, kadang-kadang ilham untuk membuatkannya lebih kelakar datang dengan sendiri. Waktu itulah saya akan menokok tambah dialog, mahupun lakonan, supaya ia kelihatan lebih mencuit hati.
"Begitupun, tidak bermakna pengalaman saya beraksi dalam siri dan filem kelakar sudah membolehkan saya bergelar pengarah komedi. Pertama, Seperti yang saya katakan tadi, saya bukannya orang yang kelakar. Jadi, apabila jiwa kita tidak sama dengan filem yang dihasilkan, saya bimbang ia tidak memberikan produk yang diharapkan," katanya.

Kata Yana, sesetengah pengarah seperti Bob Hashim mampu membuatkan dirinya berasa selesa apabila beraksi komedi, seterusnya berupaya mengeluarkan segala elemen lucu yang ada dalam jiwa. Ia sesuatu yang belum tentu mampu dilakukan olehnya, sekiranya dia berada pada tempat pengarah yang kian mencipta nama berkenaan.

"Nyata sekali, persembahan komedi bersifat kekeluargaan. Maknanya, jika hanya pelakon yang boleh buat kelakar, sedangkan orang lain tidak sedemikian, ia belum tentu berjaya.

"Begitulah juga sebaliknya. Untuk menghasilkan sebuah karya lucu yang menjadi, kita perlu bekerja secara berkumpulan," tegas Yana.

Kembali mengarah tahun depan

SAAT dirinya semakin dicari produser filem mahupun drama, Yana sebenarnya tidak lupa pada kerjaya pengarahan. Dua tahun lalu, dia pernah menduduki kerusi pengarah, menghasilkan filem Selamat Pagi Cinta.

Biarpun tidak mencatat kejayaan besar, namun setidak-tidaknya dia sudah diberikan pendedahan dan pengalaman mengenai tugas serta tanggungjawab sebagai pengarah. Ini juga sekurang-kurangnya meletakkan dia sebagai pengarah pelapis.

Produser David Teo sendiri khabarnya ingin terus memberikan ruang buat sutradara muda ini mengasah bakat arahannya dalam projek akan datang.
Begitupun, Yana tidak mahu tergesa-gesa. Dia masih meneliti beberapa skrip yang mempunyai potensi untuk diangkat ke layar lebar.

"Ketika ini, saya berasakan tidak adil untuk saya berkongsi cerita mengenai projek seterusnya. Ia masih pada peringkat permulaan. Namun jika diizinkan Tuhan, saya akan cuba kembali mengarahkan filem pada tahun depan," ujarnya.

Lebih-lebih lagi, ruang untuknya kembali menduduki kerusi sutradara agak terbatas sejak akhir-akhir ini. Dengan karier lakonan yang kian berkembang, Yana berasakan jadual kerjanya semakin padat.

"Saya bersyukur kerana sejak kembali menjadi pelakon sepenuh masa pada awal 2009, kehadiran dalam bidang lakonan diterima ramai. Peminat dan mereka yang berada di sekeliling cukup memberikan sokongan.

"Saya berlakon pun kerana kurang menonjol sebagai penyanyi. Sedangkan, minat saya dalam seni memang membuak-buak. Lalu, apabila karier lakonan lebih menyerlah, saya teruskan saja. Ketika yang sama, saya sebenarnya tidak lupa pada nyanyian, walaupun keutamaan kini tentunya pada lakonan dan arahan. Saya baru saja merakamkan lagu Demi Aku bersama kumpulan underground, Ivy Band," katanya yang muncul dengan album Ceria pada 2004.

Kini menggunakan nama Yana Samsudin, pelakon, pengarah dan penyanyi ini turut mendedahkan, jika diikutkan hatinya, dia ingin sekali mengarahkan filem berkonsepkan cinta thriller, kanak-kanak dan haiwan, kerana itulah genre yang menjadi kesukaannya.

Berkuasa tukar orang jadi batu

DALAM Siti Kelembai, Yana memegang watak Siti Ratna, cucu Dewa Kelembai. Walaupun mempunyai darah Kelembai, namun Siti Ratna tidak mengetahui dirinya mempunyai kuasa kerana sejak kecil, dia dipisahkan daripada ibunya (Jasmin Hamid) yang disumpah menjadi hodoh serta disembunyikan.

"Apabila Siti Ratna mencapai usia 18 tahun, barulah kuasa itu mula dirasanya. Bila marah, dia boleh sumpah orang jadi batu dan dapat penyakit," katanya bercerita secara ringkas mengenai siri yang dipadankan daripada cerita lisan orang tua.

Yana sendiri seronok dapat melakonkan watak yang dianggapnya cukup istimewa itu. Bukan sekadar watak yang cukup baru lagi berbeza, malah cerita terbabit sendiri mendedahkan dirinya kepada mitos Melayu yang berkemungkinan dilupakan kalau tidak diketengahkan kepada khalayak.

Lebih menyeronokkan apabila dia mendapati, watak terbabit mempunyai perubahan serta perkembangannya tersendiri sepanjang penceritaan. Daripada gadis yang naif, lurus dan tidak bersosial, dia akhirnya sedar kewujudan kuasa dalam diri. Perubahan yang berlaku pada watak itu memberikannya peluang untuk mempelbagaikan lakonan.

"Penggambaran drama 20 episod ini hanya selesai hari ini (11 Oktober). Ia agak memenatkan, tetapi tentunya berbaloi," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Memang menjadi impian pelakon filem Aku Masih Dara (tayangan 16 Disember ini) dan Kongsi ini untuk beraksi dalam filem mahupun drama sebegini. Justeru, apabila TV3 memberikan peluang untuknya berbuat demikian, Yana tidak menoleh ke belakang.

"Kalau saya diberikan kuasa luar biasa dalam kehidupan sebenar, saya ingin menyumpah sesiapa yang menyakitkan hati saya menjadi emas. Boleh juga saya menggunakannya nanti," katanya disulam ketawa.

Siti Kelembai yang turut dilakonkan Eizlan Yusof dan Fizo Omar menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.

DFP semakin terbuka

Posted: 10 Oct 2010 05:43 PM PDT

Hip

DARI kiri, Zainal, Hartini, Karina dan Pak Samad bergabung tenaga memeriahkan Festival Seni KLCC.

DARI kiri, Zainal, Hartini, Karina dan Pak Samad bergabung tenaga memeriahkan Festival Seni KLCC.

Walaupun 'mesra penonton' tetapi nilai prestij dan eksklusif tidak diabaikan

KETIKA mengambil alih jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Dewan Filharmonik PETRONAS DFP) dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) Mac tahun lalu, Karina Ridzuan pernah berjanji untuk menjadikan dewan berprestij itu lebih mesra penonton.

Dewan yang terletak di menara pencakar langit Menara Berkembar Petronas itu sering dilihat sebagai sangat eksklusif dan sedikit 'menakutkan' untuk dikunjungi penonton tertentu, biarpun mereka memang mempunyai hasrat untuk menyaksikan persembahan yang diadakan di sini. Lagipun, tidak banyak persembahan yang diadakan di DFP menepati cita rasa penonton di Malaysia. Bagaimanapun, Karina mengubah tanggapan itu.

Perlahan-lahan beliau berjaya menjadikan DFP lebih mesra dan mudah didekati penonton dari pelbagai kelompok bangsa serta usia tanpa mengabaikan ciri-ciri eksklusif dan nilai prestijnya.

Keterbukaan DFP memberi peluang kepada ramai penyanyi terkenal tanah air mempamerkan bakat mereka di situ dilihat sebagai satu perkembangan terbaik khususnya untuk industri hiburan itu sendiri.

"Seperti yang saya suarakan sebelum ini iaitu adalah menjadi hasrat saya untuk melihat DFP lebih terbuka dan menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat. Justeru, bagi melihat perkara itu menjadi kenyataan, DFP kini tidak lagi terhad kepada persembahan bercorak muzik klasikal semata-mata tetapi juga turut memberi peluang muzik komersial bergema di dewan itu.

"Disebabkan itulah sejak kebelakangan ini kita memberi peluang kepada penyanyi tempatan untuk membuat persembahan di DFP. Kami menerima banyak kertas kerja artis yang memohon untuk membuat persembahan di DFP, tapi tidak semua boleh terima.

"Kita juga ada kriteria tertentu. Populariti saja bukanlah faktor utama tetapi kita tengok dari segi jenis muzik serta kesesuaian imej mereka dengan DFP itu sendiri," terang Karina pada majlis sidang media Festival Seni KLCC, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Galeri Petronas, Hartini Abdullah, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan penyanyi yang terkenal dengan lagu berkonsepkan Alam Sekitar, Zainal Abidin.

Datuk Khatijah Ibrahim, Ramli Sarip dan baru-baru ini Datuk Sheila Majid adalah antara penyanyi yang diberi peluang beraksi di pentas prestij bertaraf antarabangsa.

Menurut Karina, penyanyi seperti inilah yang DFP perlukan kerana mereka bukan saja mempunyai ramai peminat, tetapi muzik mereka juga menepati piawaian yang ditetapkan.

"Terkini, kami akan menampilkan Zainal Abidin untuk menyanyi di DFP sempena Festival KLCC ini. Muzik yang dibawakan Zainal cukup universal. Persembahan ini nanti akan diketuai oleh Pemimpin Bersekutu MPO, Kevin Fields," katanya.

Mengulas penganjuran Festival KLCC itu, Karina berkata itu juga adalah salah satu cara untuk menarik lebih ramai warga kota hadir ke DFP.

Menurutnya, ini kali pertama acara seumpamanya dianjurkan dan berharap ia akan dijadikan acara tahunan kerana matlamatnya adalah mengumpulkan pelbagai cabang seni dan disatukan dalam festival ini.

Teruja nyanyikan lagu rakyat

ZAINAL ketika mengulas pembabitannya dalam Festival KLCC ini mengakui teruja kerana persembahannya itu nanti mampu mendidik penonton supaya menghargai lagu-lagu rakyat yang semakin dilupakan.

"Sebagai penyanyi, saya mementingkan kualiti dan paling penting memberikan persembahan terbaik. Kita ada banyak lagu rakyat yang sedap didengar dan penuh unsur mendidik. Lagu warisan kian dilupakan membuatkan saya bersemangat meningkatkan minat golongan muda mendengarnya.

"Saya pernah menyanyikan lagu Chan Mali Chan sewaktu membuat persembahan di Sepanyol dan penonton bersorak tanda seronok mendengarnya. Paling menarik, mereka turut menyanyikan lagu itu seolah-olah ia lagu tradisi mereka," katanya yang akan menyanyikan lagu seperti Injit Injit Semut, Kenek-Kenek Udang, Oh Bulan dan Ikhlas Tapi Jauh.

Selain Zainal, insan seni yang turut mempamerkan Samad Said atau lebih popular dengan panggilan Pak Samad, akan bergabung dengan MPO untuk mendeklamasikan puisi yang bertajuk Suara Tulus, Tetamu Senja, Khazanah dan Rindu Ibu.

Persembahan Pak Samad ini akan disertai nyanyian dari Taheera. Mereka diiringi pemain piano kelahiran Seremban yang berpangkalan di London, Foo Mei Yi.

Selain konsert, beberapa pelukis terkenal Malaysia seperti Khairul Azmir Shoib dan Muid Latiff akan mentafsirkan alunan melodi klasik itu secara langsung ke dalam bentuk lukisan di atas pentas. Bertemakan Painted Notes, konsert ini dijadualkan akan berlangsung pada hari Ahad, 17 Oktober jam 8.30 malam.

Bersempena dengan festival ini juga, Galeri Petronas akan mengadakan bengkel dan pameran di tingkat 4, KLCC mulai semalam.Semua aktiviti adalah percuma.
Untuk konsert 12 hingga 14 Oktober, harga tiket adalah RM40.Manakala konsert pada hari Sabtu, 16 Oktober, harga tiket adalah antara RM95 hinggalah RM25.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com and Used Car Search Engine.