Adsense

Khamis, 1 Julai 2010

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog

Malaysian Gossips, Rumours, Celebrities & Pictures Blog


Kolonel Zakaria Dilantik Komandan Baru Maktab Tentera Diraja

Posted: 01 Jul 2010 01:13 AM PDT

BANGI, 1 Julai Kementerian Pertahanan telah melantik Kolonel Zakaria Yadi sebagai Komandan Maktab Tentera Diraja (MTD) yang baru berkuatkuasa Rabu.

Pelantikan Zakaria ialah bagi menggantikan Kapten Alias Baharuddin yang telah ditukar selepas berlaku kematian seorang pelajar MTD, Mohammad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, yang dipercayai telah dibuli dan didera oleh lima pelajar senior baru-baru ini.

"Pelantikan Zakaria adalah untuk memberi kepercayaan semula kepada ibu bapa bahawa `ragging' dan buli memang tidak menjadi satu budaya di MTD.

"Ia berlaku adalah kerana perbuatan lima pelajar senior itu," kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pihak media selepas melepaskan Ekspedisi IMalaysia ke Kota London, di sini hari ini.

Beliau berkata Zakaria merupakan lepasan MTD dan mempunyai latar belakang perundangan di peringkat ijazah dan sarjana.

Beliau juga mempunyai sarjana dan diploma di bidang "Defence Strategic Studies".

"Dengan latar belakang lima tahun di MTD sebagai pelajar, tentunya Zakaria tahu cara mendalam perkara yang mahu dilakukan sebagai perubahan di MTD," kata Ahmad Zahid.

Beliau juga berkata tindakan Lembaga Pengelola MTD menyingkirkan seorang pelajar berkenaan dan menggantung empat lagi pelajar adalah wajar.

"Langkah-langkah ini dilakukan adalah bagi memperlihatkan keperhatinan Kementerian Pertahanan dan juga pihak MTD bahawa kita tidak merestui sebarang perbuatan jahiliah yang masih berjalan di MTD.

"Saya berharap ibu bapa yang mempunyai anak-anak di MTD, harus terus memberi kepercayaaan kepada kami. Kami tidak kompromi dalam soal buli," katanya.

Pengislaman jaguh kriket

Posted: 01 Jul 2010 01:12 AM PDT


Jaguh kriket Pakistan, Muhammad Yousuf (kiri) tidak pernah menyesal dengan keputusan yang diambil.


BINTANG kriket Pakistan, Yousuf Youhana digeruni rakan dan lawan setiap kali dia beraksi di gelanggang terutama di peringkat antarabangsa.

Pukulan mantap dan larian bertenaga ketua pasukan kriket Pakistan itu, terbukti dengan pencapaian cemerlangnya pada 2006, ketika dia memecahkan rekod larian untuk musim itu.

Sebelum menganut Islam pada 2005, Yousuf atau nama Islamnya, Mohammad Yousuf ialah pemain tunggal pasukan kriket Pakistan yang beragama Kristian.

Walaupun dia merupakan antara pemain terhandal dalam pasukan kriket Pakistan, namun pelbagai kontroversi yang melanda menyebabkan dia bersara awal.

Bermula pada Mac 2010, Yousuf digantung oleh Lembaga Kriket Pakistan daripada mewakili negaranya di peringkat antarabangsa, gara-gara pasukannya kalah pada kejohanan kriket di Australia serta atas alasan masalah dalaman pasukan. Lebih malang, tempoh penggantungan itu tidak dijelaskan sehingga bila.

Ekoran itu pada penghujung Mac 2010, Yousuf mengumumkan persaraannya dalam sukan kriket antarabangsa, sebagai reaksi langsung daripada tindakan ke atas penggantungannya itu.

Namun dalam ruangan kali ini, topik yang tidak kurang hangat diperkatakan umum, khasnya di kalangan kenalan dan peminat pemain itu ialah tentang kisah penghijrahan akidah Mohammad Yousuf daripada Kristian kepada Islam.

Mohammad Yousuf yang dilahirkan pada 27 Ogos 1974 di Sargodha. Punjab, Pakistan mengakui, dia memeluk Islam selepas menghadiri siri ceramah kumpulan keagamaan terkenal di negara itu, Tablighi Jamaat.

Akhirnya, Muhammad Yousuf dan isteri mengisytiharkan pengislaman mereka pada September 2005. Malah turut dilaporkan pengislaman isterinya, Tania dengan menggunakan nama Islam, Fatima Yousuf. Cuma ia tidak diberitahu kepada umum demi menjaga hati keluarga masing-masing.

Muhammad Yousuf dikatakan berpindah dari rumah keluarganya tetapi ada laporan lain mengatakan, dia telah berpindah semula.

Walau bagaimanapun, menerusi laporan media tempatan, keluarga mereka dikatakan meradang dengan keputusan pasangan tersebut.

"Saya tidak akan memberikan nama saya dengan apa yang telah dia (Muhammad Yusouf) lakukan. Malah kami mengetahui tentang pengislamannya apabila dia menerima pelawaan melaksanakan solat Jumaat di sebuah masjid di sini. Ini adalah satu kejutan," kata ibunya yang dipetik dalam akhbar Daily Times.

Namun, kesalahan itu diletakkan kepada abang salah seorang bekas pemain kriket Pakistan, Saeed Anwar yang didakwa oleh keluarga Muhammad Yusouf sebagai perosak kepada kehidupan anak lelaki mereka.

Saeed Anwar dan abangnya telah bergelar Muslim dan semenjak itu menyampaikan ceramah atas platform pendakwah Tablighi Jamaat.

Muhammad Yousuf bagaimanapun memberitahu media, dia mengucap syahadah dengan kerelaan.

Tablighi Jamaat adalah kumpulan keagamaan yang bebas politik terbesar di Pakistan. Ia turut dianggotai rakan sepasukan yang dahulunya juga bekas pemain kriket negara itu, Saeed Anwar.

"Tidak dapat saya gambarkan gembira dan tenang perasaan saya sekarang ini. Malah saya juga berharap dan berdoa agar ahli keluarga saya juga menerima Islam," kata Muhammad Yousuf kepada BBC.

Malah, kenyataan rasmi Lembaga Kriket Pakistan mengesahkan kehadiran anggota kumpulan Tablighi Jamaat ke kem-kem latihan secara kerap, sejak beberapa tahun lalu.

Pun begitu, katanya lagi, hidayah Allah ke atasnya datang secara berperingkat iaitu dalam tempoh tujuh hingga lapan bulan.

"Saya tertarik dengan tugas para pendakwah ini. Mereka sentiasa mengikut al-Quran dan sunnah. Malah sepanjang mengenali kumpulan ini, mereka tidak pernah menyuruh saya untuk memeluk Islam.

"Malah semasa bermain kriket, saya pernah berjumpa seorang Yahudi yang memeluk Islam pada tahun 1970. Menurut ceritanya lagi, dia mengenali Islam menerusi dakwah tabligh yang pergi ke California, Amerika Syarikat dan apa yang dipraktis ini telah membuka lorong hidayah kepada teman Muslim saya itu," akuinya yang masih perlu mendalami Islam.

Muhammad Yousuf menyedari bahawa Islam adalah satu cara hidup yang sempurna. Tambahnya, Islam membawa mesej keamanan, mendoakan kebaikan sesama manusia bila bertemu, berbuat baik dengan orang lain, kod etika dan mengambil berat terhadap orang lain sepanjang masa.

Keagungan al-Quran melalui seni lagunya

Posted: 01 Jul 2010 01:11 AM PDT

MALAYSIA terkenal di kalangan negara-negara Islam dengan penganjuran Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa.

Peserta yang mewakili negara kita untuk musabaqah antarabangsa ini sebenarnya telah melalui beberapa musabaqah iaitu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Tahun ini, Sabah menjadi tuan rumah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-53 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 26 Jun hingga 3 Julai.

Majlis tilawah al-Quran diadakan setiap tahun sebagai usaha berterusan kerajaan menggalak dan membudayakan minat membaca al-Quran di kalangan masyarakat Islam.

Ia juga bertujuan mencungkil bakat dan keupayaan para qari dan qariah bertarannum mengikut kaedah dan disiplin qiraat al-Quran yang betul. Seterusnya, mereka akan mewakili negara di peringkat antarabangsa.

Tema Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ini adalah 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah'.

Cabaran peserta menyertai tilawah di setiap peringkat adalah amat tinggi. Bacaan mereka dinilai dari sudut suara, tajwid, fasahah, persembahan dan seni lagu al-Quran.

Johan adalah yang terbaik membaca al-Quran dan tertinggi mendapat markah dalam semua aspek yang dinilai.

Galakan membaca al-Quran dengan suara yang merdu dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Baginda juga membaca al-Quran dengan suara yang merdu.

Al-Bara Ibn Azib ra menyatakan: Aku mendengar Nabi SAW membaca surah al-Tin ketika sembahyang Isyak dan aku tak pernah mendengar suara semerdu suaranya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Baginda juga memuji sahabatnya yang membaca al-Quran dengan baik. Pernah satu ketika baginda mendengar Abu Musa al-Asyari membaca al-Quran dengan suara yang merdu lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kamu dianugerahkan seruling dari seruling keluarga Daud a.s. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Tilawah al-Quran tidak sama dengan pertandingan nyanyian atau nasyid. Lagu terbaik dan johan adalah natijah daripada penyanyinya yang melagukan senikata tertentu dengan persembahan yang menarik minat juri dan penonton.

Jika senikata yang sama dinyanyikan oleh penyanyi lain sudah tentu berlaku kepincangan suara dan persembahan. Lagu yang mendapat johan tidak lagi dipertandingkan tahun seterusnya. Berlainan al-Quran, dimusabaqahkan setiap tahun dengan ayat yang sama dan seni bacaannya yang sama tetapi qarinya berbeza.

Peminat al-Quran tidak pernah jemu mendengar al-Quran dialunkan. Ibn Mas'ud ra pernah berkata: "Keajaiban al-Quran tidak pernah luput dan habis. al-Quran tidak jemu dibaca walaupun berulang kali dialunkan".

Bacaan al-Quran dengan mantap dan memenuhi semua keperluannya seperti tajwid, fasahah, tarannum mampu menarik hati yang lalai.

Tokoh besar dalam bacaan al-Quran iaitu Sheikh Mahmud Khalil al-Husari (meninggal pada tahun 1980) pernah mengalunkan bacaan al-Quran di beberapa negara bukan Islam seperti Amerika dan Eropah.

Seusai beliau membaca al-Quran dengan suaranya yang merdu dan unik, beberapa orang mengucap syahadah di hadapannya.

Perkara yang sama berlaku kepada Sheikh Mahmud Ali al-Banna (meninggal pada tahun 1985) yang pernah membaca al-Quran dengan tarannum yang merdu di Masjid al-Aqsa, Palestin.

Sempena tilawah yang diadakan setiap tahun, sepatutnya umat Islam memberi perhatian mengikuti bacaan peserta. Cuba fahami maksud ayat yang dibaca melalui terjemahan yang disertakan di paparan.

Keagungan al-Quran akan meresap ke dalam jiwa mereka yang mengambil pengajarannya. Firman Allah SWt yang bermaksud: Dan apabila al-Quran itu dibacakan maka dengar dan diam supaya kamu peroleh rahmat. (al-A'raf: 204).

Faktor remaja terlibat dadah

Posted: 01 Jul 2010 01:10 AM PDT


penyalahgunaan dadah terbukti memudaratkan manusia dan ditegah oleh Islam.


PENELITIAN kepada masyarakat dulu dan sekarang menunjukkan faktor-faktor yang menyebabkan penagihan dadah menjadi masalah utama.

Walau bagaimanapun, peredaran masa telah membawa perubahan ciri-ciri pengguna dadah dulu berbanding dengan ciri-ciri penagih dadah kini.

Penagih dadah dahulu berasal daripada golongan sosio-ekonomi yang rendah, golongan berpendidikan rendah dan kebanyakan dadah yang digunakan adalah kategori bawah.

Ia seperti ganja, heroin, candu yang memberikan kesan penenang. Ramai di kalangan mereka menggunakan dadah sebagai jalan pelarian daripada masalah.

Namun begitu, mulai tahun 2000, perubahan corak penyalahgunaan dadah semakin khusus kepada golongan muda dan tua, penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lelaki dan perempuan, berpendidikan tinggi serta mempunyai pekerjaan tetap.

Pekerja sektor swasta juga tidak terkecuali. Bentuk dadah yang diambil termasuklah pil ekstasi, syabu, ganja, heroin dan lain-lain. Tumpuan kawasan penagihan pula adalah di pantai, perladangan, perkilangan, pembinaan, institusi-institusi pendidikan dalam dan luar bandar kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM 2008).

Pengguna dadah pada zaman kini adalah amat membimbangkan kerana ia melibatkan kalangan para pelajar dan remaja yang menggunakan dadah untuk lebih berfokus kepada alasan pelajaran.

Juga kerana tekanan untuk bersaing sesama mereka, tempat menggunakan dadah di apartmen mewah, disko dan pusat-pusat hiburan, penagih dadah berpenampilan kemas dan menyakinkan.

Mereka menggunakan dadah untuk mendapat keberanian melakukan jenayah seperti meragut dan juga terlibat dalam samseng jalanan, atau menggunakan dadah sebagai alat bersosial seperti di majlis (sex-party).

Di sekolah, pelajar bermasalah dan selalu ponteng kadang-kadang mengubah trend dengan menghadirkan diri ke sekolah semata-mata untuk mencari pelanggan dengan mengedar kepada rakan-rakan di sekolah yang membawa wang saku untuk belanja di kantin dan mudah mendapat wang tunai.

Caravansary penginapan sementara pedagang

Posted: 01 Jul 2010 01:09 AM PDT


Keindahan laman atau sahn sebuah kompleks Karavanserai Shah Abbas yang kini dijadikan sebuah hotel di Isfahan, Iran.


ISLAM amat kaya dengan khazanah lama yang cukup mengagumkan atau mampu mencetuskan kehairanan masyarakat hari ini. Ini kerana masyarakat Islam dahulu mampu membina apa juga bentuk binaan bagi menzahirkan seni bina yang sangat tinggi.

Ini termasuklah aspek institusi penting yang mesti ada dalam melengkapkan sesebuah tamadun, empayar dan kerajaan yang hebat.

Begitu juga dengan konsep Caravansary yang dikhususkan sebagai tempat persinggahan golongan pedagang

Pernahkah anda mendengarnya sebelum ini? Ini apabila kita dibuai halwa telinga dengan keindahan instrumental hebat karya Kitaro, iaitu sebuah lagu yang dijudulkan Caravansary.

Sedari itu apabila kita mencari makna perkataan tersebut, rupa-rupanya ia tidak sekadar sebuah lagu. Ia adalah satu institusi penting peninggalan zaman Islam yang dirakam keunikan dan keindahannya oleh Kitaro, pemuzik hebat dari negara Matahari Terbit, untuk album Silk Road IV.

Apakah makna Caravansary itu sendiri? Caravansary atau disebut sebagai Khan berasal daripada perkataan Parsi dan Turki iaitu Karvansara atau Kervansaray. Iaitu gabungan perkataan Karvan (caravan) dan Sara (yang bermakna istana, bangunan dengan laman yang terbuka). Dalam Istilah biasa, Caravansary bermaksud khafilah atau kumpulan pedagang yang mengembara.

Caravan seperti mana yang kita ketahui bermaksud sekumpulan para pedagang atau saudagar, pengembara untuk mengerjakan haji, menuntut ilmu dan para pengembara lain yang berkelana jauh dari segenap pelosok negeri untuk sampai ke pelbagai destinasi.

Malah dalam bahasa Arab, institusi Caravansary ini dikenali sebagai funduq atau fundaco dalam bahasa Itali yang lazimnya boleh ditemui di Bandar Perdagangan terkemuka dunia, Venice.

Sudah menjadi tanggungjawab penting kepada pemerintah Islam ketika itu bagi mendirikan Caravansary ini sebagai kemudahan kepada mereka yang berdagang dan mengembara.

Caravansary merupakan sebuah binaan atau kompleks bangunan dengan pengaruh seni bina Parsi yang dibina khas untuk menjadi penginapan sementara kepada para pedagang dan pengembara sekitar abad ke-16 hingga ke-19 Masihi.

Ini bagi membolehkan mereka berhenti berehat dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan yang lazimnya memakan masa berbulan-bulan lamanya.

Jika pada istilah sekarang ia seperti rumah penginapan, rumah tumpangan atau motel. Namun Caravansary lebih daripada sekadar rumah tumpangan atau motel.

Caravansary adalah sebuah kompleks yang turut sibut dengan aktiviti. Ia tidak pernah sunyi, tidak pernah tidur kerana berlangsungnya pelbagai urusan perniagaan.

Ia juga medan pertemuan utama para pedagang dan pengembara untuk berkongsi kisah suka duka yang mereka tempuh sepanjang perjalanan sama ada jauh mahupun dekat.

Untuk lebih tepat lagi Caravansary adalah sebahagian penemuan kisah penting dalam semua catatan pengembaraan yang sangat terkenal, iaitu Laluan Sutera (Silk Road). Pengembaraan yang bermula dari selatan benua Eropah, benua Afrika Utara, membawa ke Timur Tengah, Asia Tenggara sehinggalah ke destinasi terakhirnya, negara China.

Sepanjang perjalanan dan pengembaraan itu, para pedagang akan menemui ratusan Caravansary di setiap perhentian untuk melepaskan lelah.

Malah jika bercadang berada lama di situ didirikan juga gerai-gerai kecil yang menjadikan Caravansary sebagai sebuah kompleks perniagaan.

Di sinilah para pedagang dan pengembara merehatkan badan mereka selepas menempuh perjalanan jauh selain memberi makan haiwan yang menjadi kenderaan perdagangan, membasuh pakaian malah sehinggalah mereka berpesta, bersuka ria dengan pelbagai jenis hiburan tradisi dari pelbagai etnik dan budaya sehinggalah menjadi tempat untuk beribadat, mendirikan solat!

Demikianlah pelbagai fungsi binaan yang bernama Caravansary, yang menghidupkan, sama ada kehidupan malam mahupun siang di kebanyakan kota utama Islam sepanjang Laluan Sutera itu.

Institusi yang sangat menepati konsep melting pot masyarakat Timur dan Barat bagi membolehkan semua yang berada di situ merupakan satu komuniti kecil dunia yang terdiri keindahan dan keunikan pelbagai warna bahasa, bangsa dan budaya.

Sehinggalah dalam syair atau Rubaiyat Omar Khayyam (Stanza 17, Edisi ke 5) ada digambarkan mengenai Caravansary ini dalam karya agungnya, iaitu: Think, in this batter'd Caravansary Whose Portals are alternate Night and Day, How Sultan after Sultan with his Pomp, Abode his destined Hour and went his way.

Caravansary seperti diakui oleh ramai pencinta seni bina adalah sebahagian khazanah Islam yang dibina dengan standard binaan yang tinggi, penuh estetika seni, keunikan dan keindahan yang tidak terperi kerana fungsinya yang sama penting seperti masjid, madrasah, istana, muzium dan sebagainya.

Sayangnya, ia kini tinggal sebagai satu kenangan khazanah Islam. Sesetengahnya hanya tinggal dalam bentuk runtuhan atau terbiar tanpa sebarang pemuliharaan.

Bakti Perkim Kuis di Pulau Indah

Posted: 01 Jul 2010 01:08 AM PDT


Aktiviti permainan boling kelapa bagi kategori dewasa wanita.


ALLAH menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka. (an-Nur: 55)

Seramai 40 ahli Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menimba pengalaman baru mengenali kehidupan masyarakat pedalaman ketika menyertai program Kembara Asli Siri 3 di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor pada 18 hingga 20 Jun lalu.

Program selama tiga hari itu, biarpun singkat tetapi cukup bermakna apabila peserta berpeluang merasai pengalaman hidup di kawasan tersebut.

Ia anjuran Bahagian Pembangunan Insan (BPI), Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Perkim Kebangsaan, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Selangor dan Kelab Perkim Kuis.

Menurut Ketua Unit Kebajikan dan Hal Ehwal Sosial Perkim, Suariza Hidayah Muhammad, mereka dapat melihat secara dekat kehidupan masyarakat Orang Asli serta menyelami sendiri kegiatan penduduk kampung terbabit.

Katanya, program tersebut setidak-tidaknya mampu menerapkan semula penduduk kampung dengan dakwah yang berkesan bersama mahasiswa.

Menurut beliau, pendekatan Kelab Perkim Kuis menziarah ke perkampungan Orang Asli harus dijadikan agenda utama supaya keimanan dan keyakinan mereka terhadap Islam dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa walaupun hanya sebilangan sahaja penduduk memeluk Islam.

"Kini masyarakat Orang Asli sudah jauh berbeza. Mereka juga tidak terlepas dalam usaha pembangunan negara sama ada dari segi perkembangan infrastruktur dan pendidikan.

"Malah usaha dakwah antara badan-badan Islam secara berterusan dan pemantauan yang teratur daripada penggerak masyarakat, sedikit sebanyak membawa perubahan pemikiran dan hala tuju masyarakat Islam Orang Asli," kata Suariza.

Kesempatan itu juga membolehkan mereka memupuk persaudaraan dengan penduduk kampung terbabit selain beramah mesra dengan kanak kanak dan warga tua melalui aktiviti yang dirancang.

Di samping itu, bagi mengeratkan lagi kemesraan, mahasiswa dan penganjur di bawa berkunjung ke seluruh perkampungan masyarakat orang asli Pulau Indah.

Di sini mereka bertanya khabar dan memberi sumbangan hamper berbentuk makanan asasi yang turut disampaikan oleh mahasiswa Kelab Perkim Kuis.

Selain itu, diadakan aktiviti sukaneka kanak-kanak melibatkan acara seperti mencari gula dalam tepung, karom, belon air, selain boling kelapa dan perlawanan sepak takraw untuk dewasa.

Juga diadakan aktiviti motivasi agama, mewarna, penjagaan kesihatan gigi, kraftangan daun kelapa dan gotong-royong.

Penat mencurah bakti dan menimba pengalaman waktu siang, malamnya pula berlangsung tayangan multimedia 'Muhammad the Messengger' dan acara kebudayaan tarian Orang Asli.

Sementara itu, Tok Batin Pulau Indah, Intan Pindik, 50, berkata, masyarakat Orang Asli di situ adalah daripada suku kaum Mah Meri yang membawa maksud orang hutan.

Mereka juga dikenali sebagai orang laut kerana mereka tinggal berhampiran dengan laut dan bekerja sebagai nelayan.

Menurut Intan, selama ini Suku Mah Meri menjalani kehidupan mereka sepenuhnya di atas sampan yang beratapkan daun nipah dengan mencari hasil laut dan sungai sebagai sumber rezeki.

Antara makanan kegemaran mereka adalah ikan siakap, petanda, gelama, senangin, bawal, siput sedut, siput bawang, siput peluru dan siput batu.

Mereka juga akan ke darat untuk tujuan bersewang dan mengambil hasil tanaman ubi kayu, keladi dan keledek.

"Dengan adanya program muhibbah dan kerjasama positif dipamerkan oleh mahasiswa tersebut, adik-adik angkat menanam hasrat ingin mencapai cita-citanya ke menara gading seperti mereka," kata Intan.

Majlis diserikan dengan perasmian penutup dan hadiah pemenang sukaneka disampaikan oleh Penolong Pegawai Bahagian Pembangunan Insan (BPI), Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Ahmad Fauzi Siva Abdullah.

EM1M kutip dana perpustakaan anak yatim

Posted: 01 Jul 2010 01:05 AM PDT


Chua Chern Kwang (baju belang) mewakili pasukan EM1M menerima sumbangan daripada Alfa Wealth Solution untuk mengisi dana Islamic Relief Malaysia.


SELAIN memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara dan meraikan semangat 1Malaysia, pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) turut menjalinkan kerjasama dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk mempromosikan kutipan dana penubuhan perpustakaan di rumah anak yatim.

Ketua EM1M, Kapten Azizi Hashim berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan IRM untuk tujuan itu memandangkan elemen pendidikan merupakan salah satu nilai yang terkandung dalam gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, menjadi fokus keutamaan EM1M dalam pengumpulan dana berkenaan ialah hal ehwal pendidikan penghuni rumah anak yatim berdaftar yang pada masa ini berjumlah kira-kira 500 buah.

"Kami yakin, dengan memberi akses pendidikan sebegini, anak-anak yatim mempunyai peluang untuk melakar masa depan yang lebih gemilang walaupun membesar dalam kekurangan.

"Ia juga selari dengan pepatah nasihat Cina, kalau diberi seseorang itu seekor ikan, dia hanya kenyang sehari, tetapi kalau diajarnya memancing, dia tidak akan berlapar sepanjang hayat," katanya.

Azizi berkata, sehingga hari ini jumlah kutipan yang berjaya dikumpul masih belum memuaskan dan pihaknya akan merancakkan promosi sebelum kutipan dana ditamatkan pada 15 September ini.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan sumbangan penyumbang-penyumbang terutamanya Kerajaan Negeri Sembilan yang menyumbang sebanyak RM50,000 bersamaan dengan nilai pernubuhan sebuah perpustakaan," katanya.

Untuk merancakkan kutipan katanya, pihak sekretariat melantik portal pembelian dalam talian, www.superyan.net sebagai pengedar tunggal baju T edisi terhad EM1M dimana hasil jualannya akan disalurkan kepada dana penubuhan perpustakaan rumah anak yatim.

Buta bukan halangan

Posted: 01 Jul 2010 01:04 AM PDT


Henry Wanyoike (kanan) berlari sambil Jospeh Kibunja memegang tali sebagai penunjuk arah.


HILANG penglihatan tidak menghalang Henry Wanyoike untuk mengejar cita-citanya sejak kecil - menjadi pelari maraton terkenal dunia.

Lelaki berasal dari sebuah perkampungan kecil, Kikuyu, di Kenya itu bertekad untuk menjadi pelari demi mengubah nasib keluarganya.

Dilahirkan sempurna, Henry, 36, mula hilang penglihatan ketika berusia 21 tahun.

Segala-galanya berlaku terlalu pantas. Apabila dia bangun dari tidur pada suatu pagi keadaan keliling gelap dan kelam. Pada masa sama kelopak matanya terasa perit bagai dihiris-hiris.

Doktor memberitahu penglihatannya kabur dan akhirnya menjadi buta akibat tubuh Henry yang kekurangan zat dan vitamin.

Kehilangan salah satu deria paling penting itu membuatkan Henry bagai hilang arah untuk seketika.

Mmasa depannya dirasakan cukup gelap, segelap pandangannya. Namun apa yang lebih merisaukan ialah nasib ahli keluarga.

Selama ini dia yang bertindak sebagai ketua keluarga dengan menampung segala keperluan ibu dan adik perempuannya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Lebih malang apabila saudara mara dan rakan-rakan mula menjauhkan diri seolah-olah kecacatan yang dialami bagai penyakit berjangkit yang tidak boleh didekati.

Tiga tahun Henry hidup bermuram durja mengenang nasib malang yang menimpa. Peralatan membaiki kasut yang menjadi punca pendapatannya terbiar langsung tidak disentuh.

''Ketika itu fikiran saya kosong. Saya tidak nampak apa yang boleh saya lakukan kecuali menjadi peminta sedekah,'' ujarnya mengenangkan kisah 15 tahun lalu.

Semangat baru

Namun tempoh berduka akhirnya menemui titik noktah apabila suatu hari terlintas di fikiran sampai bila dia harus berkeadaan begitu.

''Sepatutnya saya perlu berusaha memperbaiki nasib keluarga dan berhenti daripada terus bersedih,'' ceritanya lagi.

Lalu dengan kekuatan yang baru, Henry bangun bagi membuktikan kepada semua yang dia juga boleh berjaya.

Dia bertekad untuk memenuhi cita-cita yang terpendam sejak kecil untuk menjadi pelumba lari.

Sejak itu dengan berseluar pendek dan berkaki ayam, Henry mula berlatih berlari di lereng-lereng bukit di kawasan kampungnya.

''Pada ketika itu ramai yang memperlekeh dan mentertawakan saya. Saya simpan gelak tawa mereka. Saya jadikan pembakar semangat bagi mencipta kejayaan.

''Saya tanamkan tekad dalam diri biarpun buta saya boleh buktikan kepada mereka saya akan berjaya '' ujarnya

Satu lagi perkara yang menjadi pembakar semangat Henry ialah kehadiran rakan karibnya, Joseph Kibunja.

Di sebalik musibah yang menimpa Henry, sebagai rakan karib Joseph tidak sedikit pun berganjak dan terus menemani lelaki itu.

''Walaupun saya kehilangan ramai kawan, saya masih mempunyai Joseph dan hari ini kamu melihat dia masih berlari bersama saya," ujarnya dalam satu temu bual khas di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Henry dan Joseph berada di Malaysia sempena penglibatan mereka dalam acara Marathon Standard Chartered Kuala Lumpur (MSCKL) 2010 yang berlangsung hujung minggu lalu.

Dalam pada itu menurut Henry, dia mempercayai Joseph sepenuhnya malah pelbagai onak dan duri mereka lalui bersama-sama.

''Saya bersyukur, kerana dipertemukan dengan dia, malah dialah mata saya. Malah semua kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa Joseph yang menemani saya dalam setiap larian dan latihan," katanya

Ceritanya lagi, ketika di trek larian Joseph akan bertindak memberikan isyarat melalui seutas tali sepanjang satu kaki diikat di antara pergelangan tangan mereka berdua.

Tali itulah yang digunakan Joseph untuk menunjukkan laluan dan menarik semula Henry jika tersasar ketika berlari.

''Dengan menggunakan tali ini, Joseph tidak perlu membazir tenaga memberi arahan secara lisan.

"Dia hanya menarik saya ke kiri dan kanan untuk menunjuk arah larian. Cuma sesekali dia meminta saya supaya menambah kelajuan apabila menyedari ada pencabar dari belakang," ujar Henry.

Ceritanya lagi, walaupun tidak dapat melihat garisan penamat, kemenangan dalam setiap pertandingan tetap menjanjikan Henry kegembiraan.

Kini maraton telah membawa Henry menjelajah hampir ke seluruh dunia dan menyertai pelbagai kejohanan.

''Hari ini saya boleh berbangga kerana saya bukan berlari untuk diri sendiri tetapi juga menjulang nama negara," kata pemegang rekod dunia dalam acara larian 5,000 meter dan 10,000 meter pada Kejohanan Paralimpik Athen, Greece pada tahun 2004 itu.

Pelawat cilik Royal Selangor

Posted: 01 Jul 2010 01:03 AM PDT


Pelawat cilik meraikan sambutan 125 tahun Royal Selangor dengan kek cawan.


SEMPENA musim cuti persekolahan baru-baru ini, Royal Selangor telah menganjurkan aktiviti 'Hari Membawa Anak-anak Kita ke Tempat Kerja'.

Aktiviti itu dilakukan bagi memberi peluang untuk anak-anak pekerja Royal Selangor mengikuti ibu bapa mereka ke tempat kerja.

Ia berlangsung bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Royal Selangor yang ke-125.

Pada hari itu seramai 128 anak-anak berpeluang melihat tempat kerja ibu bapa mereka serta mengalami sendiri bagaimana pengalaman budaya kerja di Royal Selangor.

Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan telah diadakan bagi kanak-kanak berumur dari tujuh hingga dua belas tahun.

Hari yang menyeronokkan bagi mereka itu dimulakan dengan lawatan ke Pusat Pelawat Royal Selangor di mana mereka telah mempelajari sejarah syarikat Royal Selangor dan juga sistem perlombongan bijih timah di Malaysia.

Selepas mengadakan lawatan ke bahagian-bahagian Muzium Peuter, Peuter Sains dan Chambers of Chimes, kanak-kanak ini telah dibawa ke kilang untuk melihat proses-proses membuat barangan peuter.

Kanak-kanak kemudiannya berkesempatan untuk menguji kreativiti mereka menerusi acara Si Tukang Masak Cilik yang diadakan di kafe yang terletak di Pusat Pelawat.

Pada acara itu, kanak-kanak diberi kek cawan masing-masing dan dikehendaki menghias kek tersebut.

Seterusnya, mereka juga dijemput untuk meninggalkan cap tapak tangan mereka pada sebuah dinding sebagai tanda kenangan buat ibu bapa mereka.

Pengurus Am Royal Selangor Antarabangsa, Yong Yoon Li berkata, di Royal Selangor, pihaknya sedar tentang kepentingan semangat kekeluargaan dan menganggap kesemua pekerja adalah sebahagian daripada keluarga.

"Aktiviti hari ini memberi peluang kepada pekerja-pekerja kami untuk mengeratkan hubungan bersama anak-anak yang dapat melihat tugas-tugas ibubapa mereka.

''Di samping itu, mereka juga mempelajari pelbagai bidang dan kemahiran yang boleh wujud di sebuah tempat kerja," katanya.

Abah ku kaki judi

Posted: 01 Jul 2010 01:02 AM PDT

HARI Bapa yang diraikan tahun ini telah berlalu, banyak kenangan yang ditinggalkan bagi mereka yang menyambutnya.

Ada yang gembira ada yang berduka.

Semuanya itu menjadi lumrah dan akan kekal menjadi sebahagian daripada episod kehidupan kita sebagai manusia.

Namun perlu kita ingat, di sebalik keseronokan anak-anak menyambut hari bapa, ada insan yang bersedih kerana tidak dapat bersama bapa tersayang.

Mungkin mereka telah pergi menghadap Ilahi atau juga hilang tanpa dikesan akibat perpisahan dalam rumah tangga antara bapa dengan ibu.

Namun ada juga anak-anak yang menangis dalam menyambut hari bapa kerana bapa yang diharap menjadi pelindung tidak dapat memenuhi tanggungjawab seperti bapa orang lain.

Demikian kisah yang ingin saya kongsi bersama pembaca minggu ini. Kisah seorang bapa yang menjadikan judi sebahagian daripada hidupnya dan mengetepikan tanggungjawab terhadap isteri, anak-anak dan rumah tangga.

Kisah ini luahan hati seorang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Zie untuk renungan bersama.

"Saya merupakan anak pertama dalam lima beradik dan dibesarkan di dalam serba sederhana.

"Apa yang ingin saya ceritakan adalah mengenai sikap abah saya yang suka berjudi sejak dari zaman muda hingga zaman emas hingga kini.

"Biarpun pelbagai teguran dibuat oleh mak dan kami anak-anak, abah tetap macam itu, langsung tidak mahu berubah.

"Abah saya merupakan bekas anggota badan beruniform dan ada pangkat.

Sikapnya yang suka berjudi menjadi-jadi selepas kami berpindah ke Selangor.

"Bermula dari tikam ekor untuk suka-suka akhirnya dia berjinak pula dengan judi mesin.

"Sebagai anak saya merasa amat malu dengan jiran-jiran yang selalu terserempak dengan abah di kedai ekor dan kedai permainan judi.

"Tambah malu kerana bapa bekas anggota pasukan keselamatan tetapi gila judi. Apa perasaan anda, kalau berada di tempat saya?

"Dulu semasa saya berada di bangku sekolah, kawan-kawan sekolah selalu beritahu mereka terserempak dengan abah di kedai judi tapi saya tidak percaya.

"Tuhan itu adil, mungkin Allah ingin menunjukkan kepada kami, satu hari saya dan adik sendiri terjumpa abah di tempat sama.

"Kami menangis sambil berpelukan. Saya merasa amat malu dan berfikir selama ini kami makan dan belanja duit yang abah dapat daripada hasil berjudi.

"Saya merasakan duit itu tidak halal dan tidak berkat digunakan untuk menampung kehidupan kami.

"Barulah saya sedar selama ini hidup kami tidak tenang dan tenteram kerana sikap abah yang buruk itu.

"Bukan itu sahaja setiap masa kami kesempitan wang sebab gaji abah dihabiskan untuk tujuan tersebut.

"Apabila habis duit abah minta pada mak dan kami anak-anaknya. Kalau tidak kerana mak dapat upah jaga anak orang, tentu kami semua tidak makan.

"Saya sedih melihat keadaan mak yang selalu menyimpan perasaan sedih dan kecewa terhadap kelakuan abah.

"Mak amat penyabar dan tidak pernah jemu menasihati abah supaya berubah.

"Malangnya setiap teguran dan nasihat mak dibalas dengan tengking dan jeritan.

"Sudah puas cakap elok-elok mak turut mendapatkan nasihat ustaz untuk mengembalikan abah ke pangkal jalan.

"Namun tidak ada perubahan berlaku, abah tetap macam itu juga. Sekarang abah telah pencen tetapi menghabiskan masa dan duit pencen di kedai judi.

"Kalau orang lain ada bapa yang menghabiskan hayatnya setelah berpencen dengan beribadah dan bertaubat di masjid, tapi abah saya mensia-siakan hidup nya dengan berjudi.

"Hidup kami bertambah malang apabila sering diganggu oleh orang bank yang menuntut hutang tertunggak yang dibuat oleh abah.

"Semua barang di dalam rumah hampir disita, mujurlah ada pakcik yang datang menolong kerana kasihankan kami. Itu pun abah tidak insaf dan sedarkan diri lagi.

"Sikap abah menyebabkan anak-anak menjauhkan diri daripadanya. Saya sudah jarang dan kalau boleh tidak mahu pulang ke kampung sebab abah akan minta duit tetapi kemudian hilang sehari suntuk untuk berjudi.

"Saya kini tinggal di bandar J kerana bekerja. Jika balik pun kerana rindukan mak dan adik-adik yang memerlukan perhatian saya.

"Saya amat kecewa dan sedih dengan sikap abah. Saya malu dengan kawan-kawan, jiran dan saudara mara.

"Saya teringin mempunyai seorang abah yang baik, beriman, penyayang dan bertanggungjawab.

"Sayangnya abah saya tidak macam abah orang lain. Sebagai anak saya tidak pernah putus asa untuk berdoa.

"Saya amat berharap satu hari nanti abah akan insaf dengan perbuatannya dan kembali ke pangkal jalan.

"Setiap kali solat saya tidak pernah lupa berdoa agar abah akan berubah.

"Saya teringin melihat abah sujud menyembah Allah, mengimamkan isteri dan anak-anaknya serta berdoa untuk kesejahteraan kami sekeluarga.

"Saya berdoa agar abah akan berubah sebelum Allah menjemputnya pulang.

"Pesanan saya kepada kaum lelaki yang bakal menjadi suami dan bapa jangan ikut perangai abah saya. Jadilah suami dan bapa yang bertanggungjawab dan sayangkan rumah tangga serta keluarga," kata Azie menutup cerita.

Saya bersimpati membaca kisah Azie. Pengalaman Azie memang pahit bagi seorang anak berbanding orang lain.

Bagaimanapun saya kagum dengan ketabahan Azie dan ibunya menangani masalah ini.

Saya berharap Azie dapat mencari orang tengah untuk menyelesaikan kemelut bapanya ini seperti seperti bapa saudara atau orang tua yang disegani oleh bapanya.

Saya tahu ia sukar tetapi sekurang-kurangnya berusahalah. Pinta saya, sebagai anak, teruskan berdoa supaya bapa anda berubah.

Bapa juga manusia biasa tidak terlepas daripada kesilapan.

Saya juga berharap dan berdoa agar dalam masa terdekat abah Azie akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Mengundur diri, pesanan saya Sesungguhnya Allah jika mencintai dan menyayangi hamba Nya, maka Dia akan mengujinya.

Salam

Impak fabrik polos

Posted: 01 Jul 2010 01:01 AM PDT


Perincian pada dada dan leher menyerlahkan rekaan.


CUBA menampilkan keunikan dan kelainan dalam fesyen Hari Raya Aidilfitri kali ini, Rizalman Ibrahim, 39, dilihat berani bermain dengan warna-warna terang dan garang selain penggunaan kain jenis jersi.

Rekaan kali ini sememangnya direka khusus buat wanita-wanita muslimah di mana pakaian yang ditampilkan tidak seksi serta gaya bertudung yang diketengahkan nampak elegan dan mewah.

Sentuhan terbaru Rizalman ini pastinya menepati cita rasa anda.

Masih bekerjasama dengan butik Puteh, Rizalman dilihat menampilkan rekaan-rekaan yang bermutu di samping pemilihan kain polos untuk fesyen Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurut Rizalman, pemilihan kain jenis jersi adalah kerana ia memberi impak yang menarik ketika dipakai selain bersesuaian dengan iklim di Malaysia.

''Sebenarnya jika dilihat, kain jenis jersi ini merupakan jenis material yang selesa untuk dipakai dan ia juga sesuai untuk dibuat baju.

''Pada masa yang sama, kain jersi ini senang dijahit dan dibentuk dan jika dilihat daripada segi pemilihan warna pula, ia merupakan warna-warna baru.

''Untuk kain polos pula ia sebenarnya akan menampilkan perincian yang tersembunyi dan tidak salah sekiranya anda bergaya dengan kain polos,'' ujarnya ketika ditemui selepas majlis pertunjukan Raya 2010 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 30 koleksi jubah kaftan dan baju kurung diperagakan di samping telekung.

Jika dilihat daripada rekaan yang dihasilkan, ia sememangnya memberi kelainan dalam dunia fesyen hari ini kerana dengan kain yang kosong dan penggunaan warna-warna yang terang dan garang, ia diserikan lagi dengan aksesori-aksesori yang menarik untuk digayakan.

Jelas Rizalman lagi, koleksinya kali ini disasarkan kepada orang-orang bandar dan selain sesuai untuk digayakan di pagi raya, ia juga sesuai untuk dipakai ketika menghadiri rumah terbuka.

Tambah beliau, fesyennya kali ini juga dihasilkan inspirasi daripada suasana kampung di samping penutupan aurat yang maksimum.

''Jika dilihat rekaan yang dihasilkan, terutama tudung yang berselepang, ia adalah cara pemakaian orang-orang kampung zaman dahulu menutup rambut mereka ketika keluar rumah.

''Daripada situlah idea tercetus malah kesemua rekaan hari ini juga menutupi aurat si pemakai pada tahap yang maksimum,'' katanya.

Kekal langsing

Posted: 01 Jul 2010 12:59 AM PDT


Joanne Yeong (kiri) bersama duta baru Marie France Bodyline, Umie Aida.


MEMILIKI tubuh badan yang langsing, pinggul yang pejal dan kulit yang gebu serta menawan merupakan impian setiap insan yang bergelar wanita. Namun, untuk memenuhi hasrat ini tidak semudah yang disangka.

Bagaimanapun, hari ini terdapat pelbagai kaedah dan pilihan pusat pelangsingan badan untuk membantu menurunkan serta mengekalkan berat badan secara berkesan.

Antara yang sentiasa menjadi pilihan wanita hari ini ialah Pusat Pelangsingan Marie France Bodyline.

Mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam membantu individu mengurangkan berat badan secara semula jadi, Marie France Bodyline juga merupakan pusat pakar pelangsingan bertaraf dunia.

Menurut Pengurus Besarnya, Joanne Yeong, rawatan yang digunakan membantu pelanggan menghilangkan berat badan berlebihan selain membentuk kembali bahagian tubuh untuk tujuan kesihatan dan kecantikan.

''Yang pasti kami memberikan rawatan yang terkini untuk mendapatkan kesan yang berbaloi kepada pelanggan,'' ujarnya.

Sering menjadikan selebriti-selebriti terkenal sebagai duta pusat pelangsingannya, jelas Joanne, yang terbaru Marie France Bodyline telah memilih pelakon terkenal, Umie Aida sebagai duta baru jenama itu.

Artis popular Malaysia itu menyertai senarai elit selebriti yang pernah mewakili jenama tersebut seperti model dan pelakon antarabangsa, Christy Chung, Irene Ang dan selebriti tempatan seperti Normala Samsudin dan Noryn Aziz.

Dalam pada itu, Umie ketika ditemui berpuas hati dengan 'hasil' yang diperoleh setelah mencubanya selama seminggu.

''Sebelum saya bersetuju untuk menjadi duta Marie France Bodyline awal tahun ini, saya telah mencubanya selama seminggu terlebih dahulu untuk melihat kesannya.

''Setelah mendapat 'hasil' yang memuaskan dengan satu rawatan saya bersetuju untuk menjadi duta mereka selama setahun. Untuk pengetahuan ramai, ini merupakan kali pertama saya menjadi duta untuk pusat pelangsingan badan,'' ujarnya.

Dia memberitahu apabila menjalani rawatan di pusat pelangsingan badan, perkara yang paling penting ialah tanggungjawab serta disiplin.

Ini kerana gabungan kedua-duanya akan memberikan 'hasil' yang lebih cepat selain dapat mengekalkan bentuk badan untuk tempoh yang lama.

Sementara itu, menurut Joanne, Marie France Bodyline menawarkan peluang kepada bakal pengantin untuk menang sambil kelihatan menawan pada hari perkahwinan melalui 'Peraduan Pengantin Sempurna'.

Pasangan yang ingin mengadakan majlis perkahwinan sekitar Oktober 2010 hingga Jun 2011 digalakkan menyertai peraduan tersebut. Tiga peserta terpilih akan melalui program pelangsingan badan Marie France Bodyline yang bernilai RM8,000 setiap satu.

Peserta dengan penurunan berat badan yang paling tinggi akan memenangi peluang berbulan madu ke kepulauan Maldives, baucer Marie France Bodyline bernilai RM3,333 dan sebuah pakej fotografi perkahwinan berharga RM4,988 daripada Keep Gallery Wedding Studio.

Pendaftaran peraduan kini dibuka hingga 4 Julai 2010 dan untuk maklumat lanjut sila layari www.mariefrancebodylinecontest.com.my.

Semua peserta yang mendaftar juga akan menerima baucer Marie France Bodyline bernilai RM380.

Baru-baru ini sempena sambutan ulang tahun yang ke-26, Marie France Bodyline turut mengadakan rumah terbuka dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Kulit kekal lembap

Posted: 01 Jul 2010 12:58 AM PDT


Salah seorang pakar terapi mengukur kelembapan kulit selepas penggunaan Eucerin.


AIR merupakan molekul yang meliputi hampir 75 peratus permukaan bumi. Pancaran matahari akan menyerap dan mengubah jisim air daripada bentuk cecair ke gas yang kemudiannya menjadi ais dan proses ini akan berulang supaya air sentiasa bergerak dalam suatu aliran yang sempurna.

Keseimbangan air ini akan kekal, namun kuantiti bukan segala-galanya kerana pengedaran air adalah lebih penting. Begitu juga hakikatnya bagi kulit kita.

Sebagai organ terbesar, kulit menyimpan satu pertiga daripada keseluruhan air dalam tubuh. Kelembapan kulit hanyalah satu daripada keperluan untuk kulit sentiasa sihat dan kekal berseri.

Menurut Pakar Estetik, Dr. Yap Lok Huei, dalam kaedah ini Eucerin memahami fisiologi kulit kita dan bagaimana kelembapan kulit dibekal dan dikekalkan kepada kulit kita.

''Selepas bertahun-tahun kajian dan cetusan daripada suatu penemuan yang telah dianugerahkan Hadiah Nobel, katanya, Eucerin memperkenalkan AquaAporin Active suatu produk pelembapan kulit yang berinovasi tinggi.

''Inspirasi yang berdasarkan unsur alam semula jadi, formula dalam AquaAporinActive ini akan mengaktifkan saluran mikroskopik baru yang terletak di dalam membran sel yang berfungsi untuk mengawal pengangkutan molekul air dari sel ke sel," ujarnya.

Tambahnya, saluran air semula jadi ini dipanggil Aquaporin yang membolehkan kelembapan mengalir dengan lebih bebas kerana kelembapan dalam kulit ini boleh disebarkan dari sel ke sel.

Sementara itu Pengarah Pemasaran Beiersdorf, Ng. Hock Guan, memberitahu, kajian klinikal Beirsdorf di negara Jerman menunjukkan bahawa tahap kelembapan kulit kekal lebih tinggi dan stabil walaupun telah berhenti menggunakan produk ini selama tiga hari.

Katanya, tubuh kita terdiri daripada lebih kurang satu ratus bilion sel. Bagi mengekalkan tekanan seimbang di dalam sel-sel ini, adalah amat penting air dapat mengalir keluar dan masuk daripada sel-sel tersebut tanpa halangan.

''Selama lebih kurang 100 tahun, saintis menyangka bawa air hanya mampu tersebar melalui membran sel, teori ini tidak menerangkan bahawa pergerakan air adalah sangat laju sehinggalah pada tahun 1988.

''Di mana ahli biologi molekul dari Amerika Syarikat, Peter Agre telah menjumpai suatu protein di dalam membran sel. Kajian yang selanjutnya lebih mendalam menunjukkan bahawa terdapat satu liang yang mengawal pengangkutan molekul air keluar dan masuk dari sel tersebut,'' katanya.

Laluan air pertama akhirnya berjaya dikenal pasti. Pada tahun 2003, tambahnya, Peter Agre telah dianugerahkan Anugerah Nobel Kimia untuk penemuannya iaitu Aquaporin-1.

Sejak penemuan itu, ratusan laluan (liang) telah ditemui dalam tumbuhan, haiwan dan organisma-organisma asas dan lebih daripada 12 aquaporin lain juga ditemui dalam tubuh manusia itu sendiri.

Katanya, bentuk aquaporin yang aktif secara biologikal ialah suatu tetramer, iaitu satu kompleks yang terdiri daripada empat protein aquaporin.

''Aquaporin boleh dijumpai di dalam buah pinggang, kanta mata, otak dan juga kulit yang mana ia membentuk suatu rangkaian kelembapan semula jadi yang membantu pengedaran air yang optima di dalam kulit,'' katanya.

Kerja 'main-main mekap' jadi serius

Posted: 01 Jul 2010 12:55 AM PDT


Maselma Masdon (kiri) berganding bahu bersama adiknya, Maselda untuk muncul sebagai pengarah jualan Mary Kay termuda.


SAYA seronok dengan kerjaya saya sekarang. Ia seperti kanak-kanak yang bermain mekap dengan kawan-kawan jujur," kata Maselma Masdon, gadis manis yang ditemui di ibu pejabat Mary Kay, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pun begitu, apabila mendengar pendapatan yang diperoleh daripada 'kerja main-main mekap' itu, penulis kagum dengan kejayaan yang diperoleh oleh Maselma.

Pada usia semuda 27 tahun dan masih solo, dia sudah memperoleh pendapatan mencecah lima angka sedangkan ramai lagi yang sehingga pencen pun tidak mampu untuk mendapat gaji sebanyak yang diperoleh olehnya.

Memegang jawatan sebagai pengarah jualan Mary Kay, sebuah syarikat kosmetik beribu pejabat di Dallas, Amerika Syarikat sejak tiga tahun lalu, Maselma berjaya memperoleh jualan sebanyak AS$800,000 (RM2.8 juta) pada tahun lalu.

Jumlah ini merupakan satu jumlah yang besar bagi seseorang yang baru menyertai syarikat tersebut apatah lagi pada usianya yang masih muda.

Kejayaan Maselma ini memberi dorongan dan semangat kepada adiknya Maselda yang turut menyertai Mary Kay dan memperoleh jualan sebanyak AS$700,000 (RM2.4 juta) tahun lepas.

Kejayaan dua beradik ini menjadikan mereka diiktiraf sebagai pengarah jualan Mary Kay yang termuda di Malaysia. Ini melayakkan setiap seorang daripada mereka untuk memiliki sebuah kereta Toyota Altis Eksekutif merah jambu bernilai RM112,000 dan merupakan yang termuda di Asia Pasifik yang menerimanya.

Menurut Maselma, hanya terdapat 30 buah sahaja kereta sedemikian di Malaysia dan mereka merupakan adik beradik pertama dalam Mary Kay yang dianugerahkan kereta tersebut.

Lima tahun menyertai Mary Kay, setiap tahun itu juga dia mendapat pengiktirafan dan menerima pelbagai insentif seperti cincin berlian, percutian percuma ke Bangkok, China, Amerika Syarikat dan Australia.

Dengan pendapatan yang diperoleh juga Maselma berpeluang menunaikan fardu haji dan membawa ibu bapa dan adik beradiknya bercuti setiap tahun ke luar negara.

Berkongsi kejayaannya, Maselma yang berkelulusan Sarjana Akaun dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), pernah bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat audit sebaik menamatkan pengajian.

Bagaimanapun rutin tugas yang sama pada setiap hari, berhadapan dengan angka dan tidak berpeluang bergaul dengan orang lain membuatkan jiwanya resah dan ingin keluar daripada dunia yang mengongkong dirinya.

''Saya inginkan perubahan dan tidak mahu kehidupan muda saya berlalu dengan perasaan tertekan sedangkan gaji yang diperolehi tidak sebanyak mana.

''Falsafah Mary Kay yang mahu memperkaya kehidupan wanita dan mengutamakan Tuhan, keluarga dan karier amat menarik hati saya untuk menyertainya. Kini saya bersyukur kerana selain saya sendiri suka dengan kerjaya ini, saya juga dapat membantu keluarga serta wanita lain di Malaysia,'' ujar anak kedua daripada enam beradik ini.

Menurut Maselma, tugas-tugas yang diserahkan kepadanya dapat dilakukan dengan baik seperti mengadakan kelas kecantikan dan mengajar wanita yang berminat untuk menjadi cantik, menjaga kecantikan kulit wajah serta cara mekap dan bergaya yang betul.

Maselma juga diberi kepercayaan untuk menjaga jualan di Malaysia dan Singapura dan di antara 10 orang pengarah jualan yang layak membuka pasaran di Singapura.

Mengulas perubahan pada dirinya sendiri sebelum dan selepas menyertai syarikat tersebut, kata Maselma; ''Jika dahulu semasa bekerja dengan syarikat audit saya tidak pandai langsung mengenakan mekap pada wajah mahupun menjaga kebersihan kulit muka namun sekarang setiap hari saya menggunakan lebih 10 langkah penjagaan bagi mendapatkan kulit yang bersih, berseri dan halus.''

Kolej Sains dan Kejururawatan Islam WP diperluas

Posted: 01 Jul 2010 12:54 AM PDT

PUTRAJAYA 30 Jun – Kolej Sains dan Kejururawatan Islam Wilayah Persekutuan bakal diperluaskan bagi memberi peluang kepada anak-anak golongan fakir dan miskin mendapat pelajaran dalam bidang itu sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, selain menjamin peluang pekerjaan, langkah ini bertepatan untuk mengisi keperluan negara yang kekurangan profesion itu.

Sehubungan itu, kata beliau, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diarahkan untuk mencari kira-kira 13,000 golongan asnaf bagi merebut peluang tersebut.

"Anak-anak mereka tentu ada yang ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan syarat ini kita akan gunakan sebagai kelayakan untuk menyambung pelajaran di kolej ini.

"Jadi, apabila mereka belajar dalam tempoh tiga tahun, mereka bukan sahaja keluar daripada garisan kemiskinan malah membantu keluarga mereka iaitu golongan asnaf yang dibantu tiap-tiap bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima wang zakat bernilai RM602,212 daripada Percetakan Nasional Berhad (PNMB) untuk diserahkan kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZ) di sini hari ini.

Jamil Khir berkata, walaupun kolej itu yang mempunyai 300 pelajar dan terbuka kepada semua rakyat negara ini, ia bagaimanapun lebih memberi tumpuan kepada golongan fakir dan miskin untuk menyambung pelajaran mereka di situ.

Jelasnya, yuran pengajian di kolej itu akan ditampung oleh MAIWP bagi mereka yang kurang berkemampuan.

"Kini lebih separuh daripada pelajar sedia ada dibantu oleh MAIWP dari segi bayaran yuran pengajian.

"Ini strategi kita melihat pusingan wang tabung zakat ini secara berterusan di samping keuntungan melalui Hospital Pusrawi disalurkan semula kepada wang tabung MAWIP bagi membantu golongan tidak bernasib baik," katanya.

Patuhi jadual imunisasi

Posted: 01 Jul 2010 12:53 AM PDT


Kanak-kanak memperoleh banyak manfaat daripada program suntikan vaksin yang diperkenalkan oleh kebanyakan negara di dunia.


PROSES imunisasi telah berjaya meningkatkan kesihatan, tempoh hayat dan kesejahteraan berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Melalui proses itu kanak-kanak memperoleh manfaat daripada vaksin-vaksin yang dihasilkan.

Tetapi malang sekali, hari ini masih terdapat ibu bapa mengabaikan atau tidak menyedari kepentingan imunisasi kepada anak-anak mereka.

Sesetengah ibu bapa pula ditakutkan dengan laporan-laporan yang mengatakan bahawa ada kemungkinan sesetengah vaksin akan memberikan kesan-kesan sampingan.

Tetapi hakikatnya ialah risiko kepada kesihatan anak anda akan menjadi lebih teruk jika mereka tidak diberikan suntikan imunisasi.

Sebagai ibu bapa bertanggungjawab, anda perlu memastikan anak- anak mendapat kesemua vaksin yang telah disyorkan.

Menurut Pakar Pediatrik, Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. (Hospital Pusrawi), Dr. Ruzini Abd. Ghani, vaksin yang diguna pakai adalah selamat dan lazimnya tidak ada masalah selepas suntikan.

Tambah beliau, kesan sampingan jika ada hanya merupakan tindak balas yang ringan seperti demam, kemerahan atau kebengkakan di tempat suntikan malah jarang sekali terjadi tindak balas yang membahayakan.

''Apabila anak anda diberikan sesuatu vaksin, dia sebenarnya disuntik dengan kuman yang telah dilemahkan atau organisma yang telah dibunuh.

''Vaksin ini boleh merangsang badannya untuk menghasilkan antibodi yang akan melindunginya daripada penyakit-penyakit yang berbahaya apabila diperlukan.

''Prosedur pemberian imunisasi ini dijalankan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan ini merupakan perlindungan seumur hidup mereka,'' ujarnyai.

Jelas beliau lagi, imunisasi perlu diberikan pada usia-usia tertentu untuk keberkesanan serta perlindungan yang maksimum.

Katanya, anak-anak sepatutnya mendapat kebanyakan imunisasinya sebelum menyambut hari lahirnya yang kedua.

Ini akan melindunginya daripada 10 penyakit utama seperti tuberkulosis (batuk kering), polio, campak, benguk, rubela, pertusis (batuk kokol), difteria, tetanus, penyakit-penyakit yang disebabkan oleh haemophilus influenza (Hib) dan hepatitis B.

Terdapat juga beberapa imunisasi lain untuk pelbagai penyakit-penyakit menular termasuk cacar air (chicken pox), cirit-birit, influenza, rabies, meningitis meningokokal, jangkitan pneumokokal dan hepatitis A.

Mengulas lanjut mengenai imunisasi, Dr. Ruzini berkata, di negara ini, perkhidmatan imunisasi disediakan secara percuma oleh pusat kesihatan dan dikenakan sedikit bayaran oleh klinik atau hospital swasta.

''Jadual imunisasi merupakan aspek yang perlu diambil berat oleh orang ramai kerana pemberian imunisasi yang terlalu lewat sukar untuk mencegah penyakit tersebut.

''Jumlah dos juga perlu diambil kira kerana dos yang tidak mencukupi tidak akan memberikan perlindungan yang mencukupi,'' katanya.

Hindari jangkitan pneumokokus

Posted: 01 Jul 2010 12:25 AM PDT


Ibu bapa harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak.


WABAK influenza A(H1N1), yang pertama kali dikesan pada pertengahan April 2009, boleh dikatakan reda buat seketika. Namun, kemunculan semula penyakit itu pada akhir suku pertama tahun ini mungkin menandakan permulaan gelombang kedua wabak H1N1. Sungguhpun situasi semasa tidak seburuk 2009, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan terus mengambil langkah untuk mencegah jangkitan dan komplikasi daripada penyakit ini.

Meskipun kebanyakan kes H1N1 tidak serius dan ramai antara mereka yang dijangkitinya sembuh, terdapat juga kes yang teruk dengan komplikasi yang boleh menbawa maut.

Perangkaan dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) menunjukkan bahawa kes influenza menjadi bertambah buruk disebabkan jangkitan bakteria sekunder, khususnya streptococcus pneumoniae.

Pemantauan bakteria oleh CDC mendapati kes penyakit pneumokokus invasif (IPD) meningkat lebih daripada yang dijangkakan, seiring dengan peningkatan kes kemasukan hospital yang dikaitkan dengan influenza.

Komplikasi yang paling kerap berlaku adalah pneumonia, iaitu jangkitan paru-paru. Malah, dalam setiap wabak influenza yang berlaku di seluruh dunia baru-baru ini, pneumonia yang berpunca daripada jangkitan bakteria sekunder sering didapati menjadi punca penyakit dan kematian.

Ini kerana influenza memudahkan individu mendapat pneumonia dengan melemahkan daya ketahanan paru-paru, membolehkan bakteria seperti streptococcus pneumoniae menyusup masuk dan menjangkiti tisu organ tersebut.

Bakteria itu juga boleh memasuki darah dan bendalir di sekeliling otak, menyebabkan bakteremia dan meningitis.

Influenza dan Kanak-kanak

Agak sukar untuk mengesan influenza di kalangan kanak-kanak kecil kerana mereka kerap kali tidak menunjukkan gejala influenza biasa seperti demam, sakit tekak dan kesukaran bernafas.

Justeru, sebagai ibu bapa, anda harus mengambil perhatian sebarang perubahan yang menandakan influenza di kalangan kanak-kanak.

Segera bawa anak berjumpa doktor jika mereka menunjukkan gejala berikut kerana mereka mungkin telah dijangkiti virus influenza A(H1N1):

*Demam, batuk dan selsema

*Letih, lesu, tiada selera makan, cirit-birit dan/atau muntah

*Sukar bernafas

*Kulit/bibirnya kebiru-biruan

*Mengalami sawan

*Kurang tindak balas dan sukar bangun daripada tidur

*Dehidrasi (jika bayi, lampin tidak basah selama 12 jam)

Sesetengah kanak-kanak, terutama yang berumur bawah dua tahun dan mempunyai sistem imun yang lemah atau mengalami masalah paru-paru, jantung, hati, darah, otak, otot, tulang atau gangguan metabolisme, lebih berisiko dijangkiti influenza yang teruk dan mendapat jangkitan bakteria sekunder.

Mencegah komplikasi pneumokokus

Jangkitan H1N1 yang dikomplikasi oleh penyakit pneumokokal adalah salah satu punca utama kematian yang boleh dicegah dengan imunisasi.

Untuk mencegah penyakit Influenza, CDC mengesyorkan supaya orang ramai mendapatkan vaksin influenza bermusim setiap tahun sebagai langkah pertama menentang influenza bermusim.

Vaksin tiga serangkai yang termasuk influenza H1N1 kini boleh didapati dan kanak-kanak berusia antara enam bulan dan 10 tahun diberi keutamaan, kerana mereka lebih mudah mendapat jangkitan ini.

Di samping itu, vaksin pneumokokus juga disyorkan oleh CDC untuk mengurangkan penyakit dan kematian akibat jangkitan pneumokokus sekunder, terutama sekali di kalangan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Vaksin konjugat pneumokokal (PCV7) untuk kanak-kanak memberi perlindungan daripada tujuh jenis pneumokokus manakala Vaksin Konjugat Protein D Hemofilus Influenzae Tidak Berjenis (PHiD-CV) yang baru melindungi daripada 10 jenis umokokus.

Dapatkan perlindungan vaksin

Penyakit influenza merupakan jangkitan tahunan dan tahun 2009-10 merupakan wabak H1N1 yang masih belum lagi reda.

Ia akan terus menjadi bahagian penting dalam kehidupan manusia. Seperti kebanyakan penyakit, kanak-kanak kecil adalah kumpulan berisiko tinggi.

Ibu-bapa hendaklah memainkan peranan mereka dengan memastikan anak-anak mereka mendapat perlindungan yang sewajarnya.

Lindungi anak-anak anda dengan vaksin Influenza sebelum terlambat. Anda juga harus ambil tahu tentang vaksin pneumokokus serta vaksin lain yang mencegah jangkitan bakteria lain (seperti Hemofilus Influenzae b) untuk menghindar daripada jangkitan bakteria sekunder yang boleh menimbulkan komplikasi daripada H1N1.

Nadi operasi TUDM

Posted: 01 Jul 2010 12:23 AM PDT


Mohd. Shahrulnaim Hussin (tengah) bersama Mohd. Zakri Mohamad (kiri) dan Omar Yusof bersama piala masing-masing selepas majlis Penyampaian Sijil dan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara TUDM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


SEBUT sahaja Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pastinya ramai antara kita akan membayangkan seorang juruterbang yang berpakaian segak dan memandu pesawat pejuang membelah angkasa.

Mungkin itulah juga yang sering bermain di minda kebanyakan rakyat negara ini apabila dikaitkan dengan salah satu cabang utama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain daripada Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Hakikatnya, ramai terlepas pandang tentang kepentingan satu lagi unit dalam TUDM yang menentukan kejayaan sesuatu misi udara yang dijalankan.

Kuartermaster Udara. Begitulah namanya. Ia merupakan antara unit penting yang menjadi tunjang dalam menentukan kejayaan sesuatu operasi udara yang dijalankan oleh TUDM.

Ketika majlis Penyampaian Sijil dan Sayap Penerbangan Kuartermaster Udara Pesawat Nuri Siri 19/05 dan Pesawat Angkut Siri 05/09 baru-baru ini, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud berkata, kuartermaster udara merupakan elemen penting dalam perkhidmatan TUDM.

"Kuartermaster Udara akan membantu dalam operasi pesawat-pesawat bagi memastikan kejayaan setiap misi," kata beliau.

Menurutnya, pesawat-pesawat pada zaman ini serba canggih, berteknologi tinggi dan direka dengan konsep pelbagai krew dan pelbagai fungsi.

Ia bagi melaksanakan pelbagai jenis tugas termasuk mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan serta bencana alam tanpa mengira waktu dan keadaan persekitaran.

Sehubungan itu katanya, Kuartermaster Udara perlu menanam azam untuk meningkatkan kemahiran dan memperbaiki diri sendiri dari segi kepakaran serta ilmu dalam bidang masing-masing.

"Untuk memastikan tugas yang dilaksanakan menjadi lebih cekap dan efisien, teruskanlah mendalami ilmu penerbangan," nasihatnya pada majlis berkenaan.

Pada majlis itu, seramai 16 anggota TUDM, tiga anggota TLDM serta tiga anggota Unit Udara Bomba menerima sijil dan sayap penerbangan masing-masing.

Kursus

Kursus Kuartermaster Udara bagi Pesawat Nuri Siri 19/05 dan Pesawat Angkut Siri 05/09 itu dijalankan selama sembilan bulan mulai Januari 2009 sehingga bulan September tahun yang sama.

Ia dibahagikan pada dua fasa iaitu enam bulan di Pusat Latihan Terbang 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar sebelum dihantar ke Pusat Latihan Taktikal di Kem Butterwoth pada tiga bulan berikutnya.

Ketika di Alor Setar, pelatih akan mempelajari mengenai pelbagai ilmu asas penerbangan.

Bagaimanapun, apabila memasuki fasa kedua kursus, mereka akan mendalami dan mempelajari mengenai sistem dan keadaan pesawat iaitu Nuri dan angkut.

Selain itu, mereka juga akan menjalani fasa penerbangan peralihan pesawat .

Ketika peringkat latihan itulah, semua pelatih melalui dua fasa iaitu latihan dan penerbangan dan selepas berjaya menamatkan semua peringkat dan fasa latihan, barulah mereka layak dianugerahkan Sayap Kuartermaster Udara.

Mencabar

Bagi Sarjan Udara, Mohd. Shahrulnaim Hussin, 30, Kuartermaster Udara sememangnya mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

Dia yang dipilih sebagai pelajar terbaik kursus berkenaan bagi Siri 05/09 berkata, bidang itu sememangnya mencabar dan sentiasa menguji ketahanan fizikal.

Menurutnya, antara cabaran paling getir ialah sepanjang tiga bulan terakhir ketika berkursus.

"Bagaimanapun, disebabkan terlalu minat untuk bergelar seorang Kuartermaster Udara sejak menyertai TUDM, saya tidak menjadikan cabaran itu satu halangan.

"Saya juga berharap dapat meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini pada masa akan datang," jelas bapa kepada seorang anak perempuan itu.

Sementara itu, lain pula kisahnya dengan seorang pegawai TLDM iaitu Bintara Muda Bahagian Teknikal, Marin dan Elektronik 'Kuasa' atau BMTME'K', Omar Yusof, 32.

Omar merupakan antara tiga anggota TLDM yang menyertai kursus selama sembilan bulan itu.

"Ramai yang tidak tahu bahawa TLDM juga mempunyai unit udaranya sendiri yang menempatkan dua skuadron iaitu Skuadron 501 dan Skuadron 502.

"Bagaimanapun disebabkan tiada kepakaran, kami menyertai kursus yang dianjurkan oleh TUDM ini," ujar anak kelahiran Kuala Pilah yang telah berkhidmat selama 11 tahun dalam TLDM.

Kata Omar, kerjaya sebagai seorang kuartermaster memang satu tugas yang mencabar dewasa ini.

"Selain terlibat dengan misi atau operasi yang dijalankan, kami juga perlu lebih peka dan memahami segenap aspek berkaitan pesawat termasuk dari segi penyelenggaraan.

"Justeru, kerjasama antara ketiga-tiga pihak iaitu juruterbang, pembantu juruterbang serta Kuartermaster Udara perlu dalam menjayakan sesebuah misi," katanya.

FASHA Mengaku Akhirnya

Posted: 01 Jul 2010 12:16 AM PDT

Setelah puas mengelak apabila diajukan persoalan cinta, artis kontroversi, Fasha Sanda akhirnya mengakui hubungan cinta yang terjalin antaranya dengan Rizal Ashram Ramli atau lebih dikenali sebagai Jejai. Menjadi kekasih tanggal 18 Mei lalu tika Rizal memberikan kejutan dengan tiba menaiki helikopter semasa penggambaran drama Duyong Aridinata.

"Saya tak dapat menolak perasaan cinta apabila melihat kesungguhan Rizal cuba untuk membuka pintu hati saya untuk bercinta. Namun perancangan untuk berkahwin, rasanya belum tiba masa yang sesuai," ujarnya.

Menafikan menjadi punca keruntuhan rumahtangga Rizal bersama pelakon comel, Nora Danish. Fasha menegaskan mereka hanya mula rapat selepas perceraian berlaku dan bukanlah seperti yang didakwa sebelum ini.

"Saya bukan punca keruntuhan rumahtangganya dengan Nora Danish. Saya akui telah lama mengenali Rizal sejak tujuh tahun lalu, namun hanya mula rapat selepas mereka bercerai," ujarnya mengakui keluarga kedua-dua pihak merestui hubungan yang terjalin.

Pelakon jelita ini juga tidak mahu memberikan sebarang komen lanjut berhubung permasalahannya dengan Tiz Zaqyah apabila pelakon tersebut dituduh mengganggu kekasihnya.

Zul 'Dirasuk' Dalam MANTRA

Posted: 30 Jun 2010 11:55 PM PDT

Bukan mudah tanggungjawab yang dipegang, membawakan watak lelaki yang jauh menyimpang daripada agama akibat dianiaya. Mantra yang dibaca secara tidak langsung menyeru makhluk yang tidak sepatutnya hadir dalam pandangan mata. Kuat benar penangan Mantra kepada pelakon utamanya, Zul atau lebih dikenali sebagai Zul Handy Black.

"Saya puas hati dengan hasilnya. Nampak natural sebab memang ia datang dalam diri sewaktu shooting. Sebab kita baca mantera yang betul dari Siam dan Jawa so secara tak langsung menyeru makhluk itu hadir. Saya akui diganggu namun syukur tak ada perkara buruk yang terjadi, sebaliknya filem ini nampak lebih real.

"Tiap kali saya ingin menghafal skrip dan membaca mantera di dalamnya, pasti ada semacam perasaan menakutkan, oleh itu saya dinasihatkan hanya membaca skrip dan mantera hanya dibaca ketika ingin shooting. Ada satu scene sewaktu di Penjara Pudu dan saya perlu membaca mantera yang saya sendiri tak hafal. Waktu itu, entah bagaimana saya bagai dirasuk dan boleh menghafal mantera itu sampai habis. Ketika kami mainkan kembali scene itu, saya tahu itu bukan diri saya namun ia berjaya buatkan watak saya nampak lebih hidup.

"Satu lagi ketika scene dalam kubur di mana kaki saya tiba-tiba berdarah ketika nak masuk ke dalam liang lahad," ujar Zul mengimbau kembali peristiwa sewaktu penggambaran filem Mantra.


Aida Tetap Yang Terbaik

Nampaknya, watak ini benar-benar menjadi di tangan Zul. Bukan hanya sekadar menjiwai watak yang diberikan, menurutnya Mantra telah menguasai diri sehinggakan segalanya terlampau istimewa. Perpisahan dengan Aida Aris selepas tiga tahun menjalin cinta menurutnya banyak membantu untuk masuk ke dalam watak Muzir yang kehilangan cinta selepas dikhianati teman baik sendiri.

"Kami putus secara baik selepas sedar selama ini kami hanya sesuai menjadi kawan. Perpisahan terjadi sebelum shooting Mantra so feel sedih dan kehilangan itu saya salurkan menerusi watak Muzir. Tiada orang ketiga dalam hubungan kami, cuma kami sedar menjadi kawan adalah keputusan terbaik. Saya kecewa kerana wanita yang ingin disunting menjadi isteri selama ini hanya ditakdirkan menjadi teman. Perkenalan dengan Aida hanyalah sekadar mengajar saya perasaan cinta dan rindu.

"Kami sudah kenal rapat dengan keluarga masing-masing dan kalau boleh saya tak mahu ikatan silaturahim tersebut putus. Aida adalah wanita terbaik yang pernah saya kenal dan saya gembira dia sudah bertemu pengganti," kata Zul.

Ella dah ready

Posted: 30 Jun 2010 11:48 PM PDT

Setelah konsert terakhir di Esplanade, Singapura pada 2007, Ella kini bersedia beraksi di pentas prestij Istana Budaya (IB), sebuah konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-25 pemegang gelaran ratu rock negara dalam industri hiburan tanah air.

Bagi Ella, konsert ini adalah suatu penghargaan kepada para peminat yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sejak 1985 lagi sewaktu bersama The Boys. Ella akan berkonsert pada 1 dan 2 Julai 2010 mulai pukul 8.30 malam. Kini dia sudah ready sepenuhnya.

Ella janji persembahan terbaik.

Melengkapkan repertoire persembahan, Ella bakal menyanyikan 25 buah lagu sepanjang dua jam selama dua malam konsert sempena Festival Muzik Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Canon.

Selain lagu hits seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Pengemis Cinta, Sembilu, Permata Pemotong Permata, Layar Impian, Kitalah Bintang, Dua Insan Bercinta, Simbiosis dan Rama-Rama, konsert Ella kali ini akan menonjolkan elemen muzik tradisional apabila penyanyi yang dilabel sebagai ikon muzik genre rock wanita ini bakal tampil dengan lagu-lagu irama tradisional seperti Ulik Mayang, Jauh Di Mata dan sebuah lagu duet Budi Setahun Segunung Intan, julung kali berkolaborasi bersama Datuk Ahmad Jais.

Selain diiringi barisan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan dan The Love Beggars, persembahan Ella dalam konsert ini turut dimantapkan dengan petikan gitar daripada Joe Wings dan paduan suara Awie dalam buah lagu, iaitu Baldu Biru dan lagu baru yang akan dimuatkan dalam album baru Ella, berjudul Mana Menghilang.

Sebuah lagi lagu baru, iaitu Engkau, Aku Dan Mereka akan turut dinyanyikan pertama kali di hadapan khalayak penonton konsert yang bakal melengkapkan profil Ella dalam kerjaya seninya.

Memandangkan konsert ini dijangka mendapat sambutan, JKKN menasihatkan penonton agar membeli tiket lebih awal dari tarikh persembahan untuk mengelakkan fenomena kehabisan tiket di saat-saat akhir. JKKN turut memaklumkan bahawa persembahan ini tidak akan dilanjutkan.

Tiket-tiket berharga RM50, RM80, RM180, RM200 dan RM250 boleh dibeli terus di kaunter Box Office, Istana Budaya. Pembelian secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.ticket2u.biz.

Maklumat lanjut, sila hubungi talian 03-4149 8600 dan 03-4026 5558 (waktu pejabat: 9.00 pagi – 6.00 petang), atau layari www.klfestival.org.my.

Uji-Hail berkonsert lagi

Posted: 30 Jun 2010 11:39 PM PDT

Kalau sebut nama Uji Rashid pasti tak sah kalau kita tak ingatkan pasangan duetnya, Hail Amir. Mereka memang pasangan duet serasi daripada tahun 1970-an sehingga ke hari ini.

Sebab itulah ada sahaja penganjur persembahan yang memilih mereka apabila ada keperluan untuk mengadakan sesebuah persembahan berkonsep nostalgia. Banyak lagu duet mereka yang segar sehingga ke hari ini.

Lagu nostalgia Uji-Hail masih diminati.

Mereka akan berdendang lagi dalam sebuah konsert amal pada 10 Julai ini di Dewan Seri Siantan, Putrajaya. Konsert anjuran Star Blockbuster dengan kerjasama Pertubuhan Masyarakat Prihatin (PMP) itu akan menyalurkan sumbangan kewangan bagi membantu orang yang memerlukan.

Hasil penjualan tiket konsert amal ini akan disalurkan kepada PMP iaitu pertubuhan yang membela nasib ibu tunggal dan anak penghidap HIV/AIDS.

Uji dan Hail menjadi pilihan penganjur kerana diyakini memiliki pengaruh tersendiri dalam usaha menarik perhatian masyarakat. Apatah lagi mereka sudah lama tidak mengadakan persembahan eksklusif sedemikian.

Pastinya lagu-lagu popular seperti Antara Matamu Dan Mataku, Katakanlah, Juitaku Sayang, Kukejar Bayanganmu, Merayu Asmara, Hujan, Sikit Kasi Banyak Minta, Menunggu Nasi Minyak dan lain-lain akan dipersembahkan.

Uji-Hail masih ramai peminat setia.

Uji sendiri ada banyak lagu popular yang masih mahu dinikmati oleh pendengar antaranya, Namamu Terukir Di Hatiku, Hendakku Tanya Terasa Malu, Kau Penggoda, Mengapa Derita Yang Dicari, Semakin Hari Semakin Sayang, Kuingin Selalu Di Sampingmu, Merpati, Rinduku Semakin Mendalam dan banyak lagi.

Lagu-lagu Wajah Kesayangan Hamba, Kau Datang Lagi Dalam Fikiranku, Biarku Kenalmu, Cinta Bukan Khayalan, Bukan Jodoh Bukan Suratan, Kasih Dan Sayang, Daku Kau Lupakan, Lain Dulu Lain Sekarang dan lain-lain pasti meninggalkan banyak nostalgia buat peminat Hail Amir.

Bagi individu atau syarikat yang mahu menyumbang, boleh membeli pakej tajaan yang bermula harga RM50,000 (pakej platinum), RM30,000 (pakej emas) dan RM20,000 (pakej perak).

Meja sepuluh orang untuk menonton konsert pada malam berkenaan yang ditawarkan pada dua harga iaitu RM2,500 dan RM2,200.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-89223985 atau Jeffry Jaafar (019-3185797), Zaufi Jaafar (012-3030613) dan Arinah Yatim (017-2008213).

JKM tidak boleh bantu

Posted: 30 Jun 2010 11:38 PM PDT

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak dapat membantu pengurusan Rumah Titian Kasih (RTK) di Persiaran Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, bagi mendapatkan premis mereka sendiri kerana ia di luar bidang kuasanya.

NASIB...penghuni Rumah Titian Kasih akan mula berpindah hari ini.
NASIB...penghuni Rumah Titian Kasih akan mula berpindah hari ini.
Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, sehubungan itu berharap pihak tertentu tampil memberi bantuan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan konsep masyarakat penyayang.


Bagaimanapun, katanya, jika RTK masih gagal mendapatkan mana-mana premis untuk beroperasi, JKM akan menyelamatkan penghuni RTK berkenaan sama ada mengembalikan mereka kepada penjagaan keluarga atau penempatan mengikut institusi di bawah jabatan bersesuaian.


"Sejak 2001, JKM sentiasa membantu pengendali RTK mengikut bidang kuasa jabatan seperti membantu mendaftarkan pertubuhan berkenaan mengikut Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 agar dapat beroperasi sebagai pertubuhan yang sah.


"JKM turut mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan pengecualian cukai untuk pertimbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya orang ramai lebih berminat untuk memberi sumbangan kepada RTK," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Semalam, akhbar ini melaporkan seramai 73 penghuni wanita termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di RTK yang kini sedang menghitung detik untuk 'bersesak-sesak' bersama lebih 50 penghuni lelaki di sebuah lagi rumah perlindungan selepas diarah keluar dari kediaman itu.


Mereka terpaksa berpindah dalam tempoh 24 jam dari rumah yang disewa di Persiaran Titiwangsa selepas pemilik meminta mahkamah mengeluarkan arahan keluar dari rumah itu, April lalu.


Sementara itu, Pengasas RTK, Sharifah Adlan atau lebih dikenali dengan Mak Pah, berkata semua penghuni berpindah mulai hari ini sebagai menghormati perintah mahkamah.


Beliau berkata, mereka tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa bersesak di rumah perlindungan lelaki yang menempatkan lebih 50 orang walaupun sedar tidak mungkin rumah berkenaan dapat menempatkan semua penghuni RTK.


Katanya, ada beberapa pihak tampil untuk membantu, tetapi hanya berminat untuk mengambil anak yatim dan memindahkan ke pusat jagaan mereka sejak berita itu disiarkan.


"Saya hargai niat mereka, tetapi bukan bantuan sebegitu yang diharapkan kerana hubungan semua penghuni RTK sangat rapat dan tidak sewajarnya mereka dipisahkan apatah lagi rumah ini bukan seperti rumah anak yatim lain," katanya.

'Ulat’ patah pinggang

Posted: 30 Jun 2010 11:37 PM PDT

KUALA LUMPUR: Akibat cuba lari, seorang ulat tiket veteran meraung kesakitan dipercayai patah pinggang apabila terjatuh dari bukit ketika sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cuba menahannya di Terminal Bas Sementara Bukit Jalil di sini, kelmarin.

MERAUNG...suspek dipercayai ulat tiket meraung kesakitan selepas  terjatuh dari bukit ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat  kuasa JPJ, semalam.
MERAUNG...suspek dipercayai ulat tiket meraung kesakitan selepas terjatuh dari bukit ketika cuba melarikan diri daripada ditahan penguat kuasa JPJ, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, sepasukan penguat kuasa JPJ menjalankan operasi membanteras ulat tiket dan melakukan penyamaran sebagai pelanggan yang ingin membeli tiket bas sebelum berjaya memerangkap suspek.

Difahamkan, suspek yang berusia 50 tahun didapati menjual tiket kepada seorang penguat kuasa JPJ yang menyamar dan ketika cubaan menahannya, suspek bertindak melarikan diri ke sebuah bukit berhampiran terminal sementara itu.

Sumber JPJ berkata, empat penguat kuasa JPJ bertindak mengejar mangsa sejauh beberapa meter ke seberang jalan berhadapan terminal itu, namun sebaik saja tiba di kaki bukit, suspek tiba-tiba berhenti kerana kepenatan.

"Suspek mengatakan ingin menyerah diri kerana sudah tidak larat untuk berlari lagi.

"Namun sebenarnya dia hanya berpura-pura, sebaik anggota kami menghampirinya untuk menahannya dia bertindak memanjat bukit," katanya.Menurutnya, dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek sempat melarikan diri ke puncak bukit berkenaan setinggi kira-kira 50 meter, namun tiba-tiba tergelincir dan berguling jatuh ke kaki bukit.


"Hujan lebat baru saja reda ketika itu dan keadaan permukaan bukit yang curam dan berumput itu agak licin menyebabkan suspek tergelincir.

"Suspek juga melanggar seorang anggota kami yang mengekorinya hingga menyebabkan anggota terbabit jatuh," katanya.

Menurut sumber, suspek pengsan di kaki bukit itu selama beberapa minit dan segera diberi rawatan kecemasan sehingga sedarkan diri.

"Sebaik sedarkan diri, suspek meraung kesakitan mengatakan pinggang dan belakang badannya sakit. Lebih kurang 30 minit selepas itu bantuan ambulans tiba dan suspek dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi semalam berkata, pihaknya belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Seorang anak setiap malam

Posted: 30 Jun 2010 11:35 PM PDT

KOTA KINABALU: Pada pandangan luaran, dia dianggap seorang bapa bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu.

Namun, perbuatan jijik duda berusia 40-an itu terbongkar kelmarin apabila seorang daripada anak perempuannya mendedahkan episod hitam yang ditanggungnya bersama dua kakak sejak lebih enam bulan lalu kerana terpaksa menjadi pemuas nafsu bapa kandung sendiri.

Lebih mengaibkan, tiga beradik berusia 11, 13 dan 14 tahun itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam.

Ketiga-tiga mangsa yang bersekolah di daerah ini bimbang mengadu perbuatan kejam bapa mereka kepada orang luar terutama pihak berkuasa kerana khuatir lelaki itu bertindak lebih kejam.

Bagaimanapun, tembelang bapa durjana itu terbongkar apabila anak bongsunya secara tidak sengaja menceritakan kejadian dialaminya kepada ibu saudaranya yang tinggal berhampiran rumah mereka, kelmarin.

Ibu saudara mangsa yang terkejut dengan pengakuan itu melaporkannya kepada ibu kandung mereka di Sandakan yang segera menghubungi anak sulungnya berusia 18 tahun yang bekerja di bandar raya ini supaya mengambil kedua-dua adiknya sebelum membuat laporan di Balai Polis Kota Marudu, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Deputi Superintendan Mohd Isa Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, siasatan sedang dijalankan.


"Ketiga-tiga mangsa hadir ditemani kakak, ibu dan ibu saudara mereka ketika membuat laporan di balai polis.

"Bagaimanapun, polis yang berkunjung ke rumah suspek sebaik menerima laporan hampa apabila mendapati lelaki berkenaan tiada di rumah dan dipercayai sudah melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, tiga beradik itu mendakwa sering dirogol bapa mereka ketika nyenyak tidur dalam bilik sebelum ditarik ke biliknya seorang demi seorang bagi memuaskan nafsunya.

"Anak suspek berusia 14 tahun turut mengaku pertama kali dirogol pada Januari lalu dan kejadian terakhir pada awal bulan lalu.

"Mangsa yang berusia 13 tahun pula mendakwa dirogol pada pertengahan Mei hingga Jun lalu, manakala adik bongsu mereka berusia 11 tahun mengalami nasib sama bermula awal Jun lalu," katanya.

Menurut Mohd Isa, berdasarkan siasatan, ketiga-tiga mangsa dipercayai merahsiakan kejadian itu daripada pengetahuan orang lain berikutan bimbang tindakan balas lelaki berkenaan.

"Berikutan itu, suspek mula melakukan sesuka hati termasuk merogol anak kandungnya seorang demi seorang apabila tiba waktu malam kerana hanya mereka saja tinggal di rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, semua mangsa sudah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk pemeriksaan kesihatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.