Adsense

Isnin, 8 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Rithan pilihan Steve Vai

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar NOOR ADZRENE MOHD. NOR

SEBAGAI gitaris, Rithan boleh dikatakan bertuah. Ini kerana, di kalangan gitaris Malaysia hebat yang ada, dia satu-satunya yang telah berjaya menambat hati Steve Vai. Gitaris legenda bertaraf dunia dari Amerika Syarikat itu bukan sahaja mengagumi skil petikan gitar Rithan, malah dia turut menjemputnya sebagai artis undangan pada konsertnya di Singapura pada tahun 2004. Sayangnya, ramai peminat yang tidak mengetahui tentang kemunculan istimewa Rithan meskipun ketika konsert itu diadakan dia masih lagi mentah dalam bidang muzik.

Menurut gitaris berusia 33 tahun ini, semuanya bermula apabila ibu saudaranya, Shabita memasukkan namanya sebagai peserta dalam suatu pertandingan yang diiklankan di internet yang dikenali sebagai Sound Check With Steve Vai kira-kira sembilan tahun lalu.

Lebih 300 gitaris terkemuka sekitar rantau Asia Tenggara telah terpilih dalam sesi uji bakat pertandingan itu. Jelas Rithan, dia bernasib baik kerana menjadi salah seorang daripada sembilan finalis uji bakat itu dan sekali gus diangkat sebagai juara pada sesi uji bakat yang diadakan di negara pulau tersebut.

"Tiga juri yang mengadili uji bakat itu ialah sepupu mendiang gitaris legenda Jimi Hendrix iaitu Ricky Hendrix, anggota kumpulan Mr. Big, Billy Sheehan dan seorang gitaris dari Singapura, Paul Daniel. Ekoran kemenangan itu, saya telah diberi peluang untuk bertemu dengan Steve Vai di sana.

"Pada pertemuan itu, saya juga sempat menunjukkan bakat saya bermain gitar di depan Vai. Dia kemudiannya tertarik dengan cara saya bermain gitar dan secara peribadi terus menjemput saya sebagai gitaris undangan pada konsertnya di Singapura pada tahun yang sama.

"Apabila mendapat tawaran itu, saya macam tidak percaya. Ini kerana, selama ini saya hanya mengagumi Vai dari jauh sahaja tetapi hari itu saya dapat bermain gitar bersama dengannya di atas satu pentas. Itu memang sesuatu yang susah saya hendak percaya," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.

Vai, 53, yang sebelum itu pernah bermain gitar untuk banyak kumpulan rock terkemuka dunia seperti Frank Zappa, Public Image Ltd., Alcatrazz, David Lee Roth, G3 serta Whitesnake merupakan salah seorang gitaris rock yang menjadi idolanya sejak dia masih di bangku sekolah lagi.

Sayangnya, jelas Rithan atau nama sebenarnya Vimlarithan Vijaya Kanthan ini, tidak ramai peminat tempatan yang mengetahui kemunculannya pada konsert tersebut. Antara sebabnya kerana kurang publisiti selain namanya yang masih baru dalam bidang muzik.

"Ketika itu saya sekadar bermain gitar sendiri kerana minat yang mendalam untuk menjadi seorang gitaris. Album pun tidak ada, peminat jauh sekali tetapi pengalaman itu membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencuba nasib dalam bidang ini," ujarnya.

Lisa Surihani memilih

Posted: 07 Jul 2013 11:54 PM PDT

Lisa Surihani bangga dipilih sebagai duta Garnier kerana mengguna produk itu sejak di bangku sekolah lagi.

SEJAK akhir-akhir ini ada yang bertanya ke mana Lisa Surihani menghilang, lantaran lakonannya dalam drama kurang. Adakah dia dihalang oleh suaminya, Yusry Abdul Halim untuk aktif.

Kata Lisa, suami tercinta tidak pernah menghalangnya untuk terus berlakon, cuma dia sahaja yang memilih bagi memastikan setiap penampilannya memberi impak kepada penonton.

Malah katanya, dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran filem Manisnya Cinta di Cappadocia, arahan Bernard Chauly, terbitan Red Communications, bulan lalu.

"Akhir-akhir ini saya memang kurang berlakon drama bukan sebab tidak ada tawaran tetapi demi menjaga nilai eksklusif. Maklumlah kalau muncul kerap sangat orang bosan. Saya mahu kehadiran dalam bidang seni ini dirindui peminat dan kalau boleh setiap kali muncul dalam drama atau filem, mampu meninggalkan kesan kepada mereka.

"Walaupun nampak saya tidak muncul dalam drama atau filem, tetapi untuk bulan ini jadual kerja saya padat. Boleh kira hanya lima hari sahaja saya ada masa rehat atau untuk berbuka puasa bersama keluarga. Selebihnya saya ada undangan majlis berbuka atau acara lain," kata Lisa yang ditemui pada majlis memperkenalkan produk Garnier Light Complete, di Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lisa yang sudah empat tahun dilantik menjadi duta jenama Garnier berkata, sekarang ini minatnya tertumpu pada bidang alih suara yang diminati sejak dulu lagi.

Untuk permulaan, Lisa berpeluang menunjukkan bakat alih suaranya itu bagi versi filem The Smurf 2 dan Madagascar 3: Europe's Most Wanted yang disiarkan di saluran Astro.

"Setakat ini, itu sahaja peluang yang ada, di mana saya buat alih suara dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Kalau boleh saya nak buat alih suara untuk filem asal.

"Bila sudah berpeluang buat alih suara, baru saya tahu sebenarnya susah juga berbanding lakonan. Kalau berlakon, kita boleh menggunakan pergerakan untuk menggambarkan emosi. Ini kita perlu menggunakan emosi untuk dipadankan dengan pergerakan karakter," katanya.

Dalam pada itu, Lisa yang sering diaju soalan tentang cahaya mata berkata, setakat ini dia dan Yusry hanya berserah kepada Allah kerana sejak mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012, mereka tidak pernah merancang.

"Kata orang kalau nak merancang keluarga pun biarlah anak kedua atau ketiga disebabkan masa atau kewangan. Untuk anak pertama, semua orang mengharapkan kehadiran cahaya mata. Begitu juga dengan kami, tapi nampaknya belum ada rezeki.

"Sebenarnya saya memang suka kanak-kanak. Setakat ini hanya anak-anak saudara yang menjadi pengubat rindu dan setiap hari saya berdoa agar cepat menjadi ibu," katanya penuh harapan.

Dalam perkembangan terbaru, Lisa memberitahu yang dia bakal berlakon filem arahan Yusry selepas raya nanti.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Elemen 3D Mantapkan Lagi Despicable Me 2

Posted: 07 Jul 2013 05:15 PM PDT

ADVERTORIAL:

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2.

Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak animasi yang direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan mengenai seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah, Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia, Anti Villain untuk menyiasat satu kes kehilangan formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru adalah seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.

Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat berkenaan.
Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.

Kesan 3D yang digunakan juga memberikan impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat berasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai.

Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini, sekali gus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

Siti unggul di DFP

Posted: 07 Jul 2013 05:14 PM PDT

Kekuatan vokal, komunikasi baik pada konsert solo pertama catat memori indah buat peminat

Sedekad lalu, dia hanyalah penyanyi undangan kepada bintang legenda, Tan Sri SM Salim, sewaktu penyanyi malar segar itu menjayakan konsertnya bersama Orkestra Filharmonik Malaysia atau MPO. Kehadiran Datuk Siti Nurhaliza waktu itu sekadar menyampaikan dua lagu, iaitu Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Mohon Kasih.

Bermula saat itu, penyanyi jelita ini mula menyimpan hasrat untuk beraksi secara solo di pentas berprestij terbabit. Ternyata Tuhan menjawab doa Siti apabila impian itu akhirnya menjadi kenyataan.

Tanggal 5 Julai lalu, selama tiga malam berturut-turut, penyanyi berasal dari Kuala Lipis, Pahang, ini mencatat sejarah peribadi apabila diberi mandat mengadakan persembahan secara solo dengan diiringi kumpulan orkestra ternama itu.

Sebuah persembahan yang bukan saja dinanti-nantikan peminat tegar Siti, tetapi juga oleh si empunya diri. Selepas mengadakan persembahan di Royal Albert Hall, London, tujuh tahun lalu, Dewan Filharmonik Petronas ialah lokasi impian Siti demi memantapkan lagi portfolionya dalam bidang seni.

Bertemankan pemuzik berpengalaman yang hampir memenuhi ruang pentas, berserta seorang konduktor, Kevin Field, Siti memulakan tugasnya dengan menyampaikan lagu Kau Kekasihku. Ibarat cinta pandang pertama, lagu ciptaan Ajai dengan pantas meresap ke dalam jiwa penonton, sekali gus menjanjikan persembahan memakan masa selama dua jam itu amat berbaloi untuk ditonton.

Rasa bagai nak demam

Cabaran utama yang harus dilalui mana-mana penyanyi yang pernah beraksi di pentas DFP adalah bagaimana mahu terus membuat penonton teruja dan terpana dengan persembahan mereka. Berbeza dengan lokasi lain, menyanyi di pentas terbabit tidak memerlukan sebarang gimik. Malah, ruang pentas yang amat terhad juga membataskan pergerakan si artis. Justeru, tiada apa yang mampu ditawarkan selain vokal ampuh.
Ternyata, Siti 'lulus' ujian itu apabila suaranya diadun dengan begitu baik sekali bersama susunan muzik kebanyakan lagu yang didendangkan pada konsert itu.

"Beberapa hari sebelum persembahan, Siti akui gementar dan rasa nak demam. Lebih-lebih lagi apabila memikirkan yang Siti perlu menyanyi lagu yang mencabar vokal, seperti rangkaian lagu balada," ujar Siti ketika berceloteh di atas pentas.

Walaupun mungkin ada yang menganggap, menyanyi bagi Siti umpama memakan kacang, namun bagi empunya badan, untuk mendapatkan nada yang sesuai apatah lagi diiringi orkestra, kesilapan boleh berlaku pada bila-bila masa jika tidak berhati-hati.

"Siti teringat pesanan Tan Sri SM Salim, menyanyi dengan orkestra ini bukan mudah. Ada kala mereka mengikut tempo kita, ada ketika kita pula terpaksa mengejar mereka. Seperkara yang Siti belajar, susunan muzik semalam, tak akan sama dengan hari ini. Jadi kita kena peka dan sentiasa bersedia," kata Siti lagi.

Penghargaan buat legenda negara

Untuk segmen pertama, selain Kau Kekasihku, Siti memilih untuk menyampaikan lagu Badarsila, medley balada seperti Jerat Pecintaan, Bukan Cinta Biasa, Diari Hatimu dan Percayalah.

Turut didendangkan ialah lagu Hanya Dia, Di Taman Teman, Seindah Biasa dan Biarlah Rahsia, iaitu lagu yang bukan saja menyerlahkan vokal buluh perindu penyanyi ini, tetapi juga susunan muziknya yang menjadi. Saat Siti mendendangkan lagu berkenaan, penonton seperti terpaku dek kelunakan serta rasa yang diserlahkan olehnya.

Seperti yang dijanjikannya sebelum ini, Siti turut menyanyikan lagu penyanyi legenda lain seperti Tan Sri P Ramlee, iaitu Malam Bulan Di Pagar Bintang dan Tiada Kata Secantik Bahasa.

Sewaktu menyanyikan lagu Cindai pada segmen kedua pula, sempat Siti menunjukkan kemahirannya memukul gendang Arab atau Darbuka.

"Idea untuk memukul gendang ini memang sudah lama Siti fikirkan. Lucunya, disebabkan Siti sibuk dengan latihan nyanyian dan tarian, Siti terpaksa berlatih memukul Darbuka ini sewaktu hendak tidur. Mahu tak mahu, suami Siti (Datuk K) terpaksalah mendengarnya," cerita Siti ketika ditemui pada sidang media kemudiannya.

Anggun mengenakan gaun berenda rekaan Cosry serta tatarias oleh Nurul Shukor, ketika menghiburkan peminat pada malam kedua, Siti juga semakin menunjukkan kematangan ketika berkomunikasi. Ada ketika dia berjenaka sekali gus membuatkan keheningan dewan itu dipecahkan dengan deraian ketawa hadirin.

Persembahan eksklusif

Jika pada segmen pertama Siti menyanyikan lagu P Ramlee, untuk segmen kedua, Siti memilih lagu yang pernah dipopularkan oleh Datuk Sudirman Arshad dan Jamal Abdillah, iaitu Terasing serta Senandung Semalam.

"Siti memang sengaja memilih lagu penyanyi lelaki kerana ini juga satu cara untuk Siti menguji vokal kerana nada suara lelaki berbeza dengan perempuan," jelasnya.

Puas menyanyikan lagu perlahan, Siti mengubah atmosfera dengan menyanyikan lagu rancak iaitu rangkaian lagu Ku Mahu, Ya Maulai dan Balqis, sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada penonton menerusi lagu Muara Hati yang disampaikan secara solo, kali ini.

Persembahan selama tiga malam itu turut disifatkan Siti sebagai sangat eksklusif. Bukan bercakap kosong kerana konsert Siti Nurhaliza In Symphony itu tidak dirakam dalam bentuk audio mahupun visual.

"Ini memang kehendak Siti dan moga ia menjadi kenangan terindah buat penonton untuk sepuluh, dua puluh tahun akan datang," katanya yang turut memperdengarkan lagu terbaru, yang ditujukan khas buat suami tersayang, berjudul Lebih Indah.

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


Sherry Ibrahim Akui Bukan Mudah Bercinta Jarak Jauh

Posted: 08 Jul 2013 01:32 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Sherry Ibrahim mengakui bukan mudah untuk menjalani kehidupan bercinta jarak jauh dengan kekasihnya yang merupakan seorang lelaki berasal dari Mauritius.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, berkata, keadaan itu memerlukan kepercayaan yang tinggi antara satu sama lain agar tiada sebarang perbalahan namun dia tetap bersyukur kerana kekasihnya itu seorang yang penyabar.

"Alhamdulillah, dia (kekasih) sentiasa gembira dengan apa yang saya lakukan. termasuklah keputusan untuk memberi keutamaan pada kerjaya lakonan.

"Duduk berjauhan juga bukan mudah, kami perlu memiliki kesabaran yang sangat tinggi. Mujurlah dia juga seorang yang memahami dan penyabar," katanya yang enggan mendedahkan identiti sebenar lelaki tersebut.

Ditanya adakah dia akan menamatkan zaman bujangnya dengan lelaki tersebut, Sherry hanya menyerahkan perkara itu kepada jodoh dan takdir.

"Kahwin? Jika ada jodoh, saya sudah bersedia," ujarnya.

Sementara itu, mengenai kerjaya lakonan pula, Sherry gembira apabila drama pertama selepas dia berehat sementara dalam dunia seni iaitu Teduhan Kasih (siaran TV3) mendapat respons yang positif daripada peminat.

Kata Sherry, dia tidak sangka, drama yang juga dibarisi pelakon Adi Putra, Nabila Huda dan Zarina Zainoordin itu telah memberikan impak yang tersendiri sehingga menimbulkan fenomena di kalangan penonton.

"Apabila respons yang diberikan sangat positif ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja seni saya.

"Kerana itu juga saya mendapat beberapa tawaran lakonan lain pula. Semua ini berkat kepercayaan yang diberikan oleh pengarah Teduhan Kasih iaitu Jamal Khan," tuturnya.

Dalam perkembangan lain, Sherry bakal memulakan penggambaran telefilem Cinta Kapcai bergandingan dengan Amar Baharin terbitan Pujangga Kreatif.

Nurul Wahab Gembira Bakal Terima Anak Lelaki

Posted: 08 Jul 2013 01:31 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi Noorul Huda Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Nurul wahab mengakui teruja apabila mendapat tahu bakal menimang cahaya mata lelaki pada Oktober depan.

Nurul, 36, berkata, dia memang berharap agar dikurniakan seorang anak lelaki sebagai pelengkap kehidupan rumah tangganya bersama Eric Daniel Depp, 48.

"Saya baru diberitahu bayi dalam kandungan adalah bayi lelaki dan Alhamdulillah saya gembira sangat.

"Saya memang mengharapkan untuk mendapat bayi lelaki sebagai pelengkap keluarga kami," katanya ketika ditemui pada pertandingan akhir Ceria Popstar, di sini, Ahad.

Tambah Nurul, anak pertama hasil perkongsian hidup bersama komposer Ajai, Ayu Nazirah yang kini sudah berusia 15 tahun bertindak menjadi penjaganya sepanjang mengandung.

"Ayu sangat gembira nak dapat adik, dia yang banyak jaga saya di rumah. Kalau apa sahaja saya tidak buat dia akan membebel," katanya.

Tambah Nurul, dia juga sudah membeli barang keperluan bayi sebagai persediaan awal.

"Memang orang kata tidak elok kalau beli awak-awal barang bayi, tapi sekarang sudah masuk enam bulan mungkin sudah boleh beli sikit-sikit.

"Lepas dapat tahu bayi lelaki saya tidak terlalu ghairah membeli kerana barang bayi lelaki tidak banyak pilihan seperti bayi perempuan," katanya.

Sementara itu, Nurul berkata, dia akan bercuti ke rumah mertuanya di Perancis pada Isnin ini selama sebulan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana.

"Saya sengaja bercuti dan kesempatan itu juga saya ambil untuk belajar bahasa Perancis dan mempraktikkan di sana.

"Kalau di Malaysia sudah beberapa kali saya ambil kelas tetapi tidak dipraktikkan hingga terlupa," katanya.

Nurul dan Depp yang merupakan perunding kesihatan warganegara Perancis telah mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2012.

Penyanyi itu juga mempunyai seorang anak perempuan bernama Ayu Nazirah, 15, hasil hubungan dengan suami pertama, penyanyi dan komposer, Ajai.

Ahad, 7 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Tiket konsert kumpulan heavy metal Metallica jadi rebutan

Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT

KUMPULAN heavy metal legenda dari Amerika Syarikat, Metallica akan mengadakan konsert sulung di Kuala Lumpur 21 Ogos depan.

KUALA LUMPUR 7 Julai - Aura kumpulan heavy metal legenda dari Amerika Syarikat (AS), Metallica sudah mula dirasai di negara ini apabila ratusan peminat kumpulan itu berkumpul untuk menjadi antara kumpulan terawal yang mendapatkan tiket konsert mereka tidak lama lagi.

Sungguhpun tiket untuk menyaksikan konsert sulung kumpulan itu di negara ini hanya mula dijual bermula pukul 11.30 pagi semalam, tetapi itu tidak menghalang sebilangan daripada mereka untuk setia menanti lebih awal daripada itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Galaxy, Alan Chan berkata, melihat pada sambutan yang diberikan peminat kumpulan tersebut, konsert Metallica ini pasti akan menjadi satu sejarah.

"Konsert ini pasti akan menjadi satu sejarah selain daripada pengalaman yang tidak akan dilupakan peminat mereka di sini," katanya.

Metallica yang dianggotai oleh James Hetfields (penyanyi, gitaris), Lars Ulrich (dram), Kirk Hammett (gitaris) dan Rob Trujillo (bassis) memiliki peminat yang besar di Malaysia.

Selepas berkunjung ke Kuala Lumpur, Metallica yang terkenal dengan album seperti Masters of Puppets, Kill'em All, Ride The Lightning dan And Justice For All, akan mengadakan konsert di Singapura pada 24 Ogos ini.

Tiket-tiket yang berharga antara RM680, RM550, RM450, RM380, RM350 dan RM195 sudah boleh didapati di ruang legar pusat beli belah Fahrenheit 88 dan bermula pada 8 Julai, tiket-tiket akan mula dijual di kaunter tiket Galaxy bertempat di Mid Valley dan Sungei Wang Plaza.

Pembelian tiket juga boleh dilakukan dengan melayari laman web www.ticketcharge.com.my manakala untuk sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi talian 03-22822020 atau kunjungi laman web www.galaxy.com.my.

Nurul bakal dapat anak lelaki

Posted: 07 Jul 2013 01:38 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM

NURUL WAHAB... bakal menimang anak lelaki pada Oktober ini. - UTUSAN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Penyanyi Nurul Wahab bakal menimang anak lelaki apabila bersalin kelak.

Dia yang sedang hamil enam bulan setengah, membuat pengumuman tentang jantina bayi yang dikandung pada konsert akhir program Ceria PopStar di Astro, Bukit Jalil di sini hari ini.

Nurul yang merupakan juri tetap program tersebut dijadual bersalin pada 15 Oktober depan.

"Alhamdulillah, sewaktu saya pergi melakukan imbasan untuk mengetahui jantina bayi dua minggu lalu, doktor mengesahkan bayi yang saya kandung adalah lelaki.

"Saya gembira sangat kerana bakal dapat anak lelaki, lagipun Ayu Nazirah (anak) memang nak adik lelaki. Harap saya dan bayi sihat sehingga bersalin nanti," katanya tersenyum.

Bagi meraikan kegembiraan tersebut, Nurul dan suami Eric Depp akan pergi ke Perancis pada malam esok untuk bertemu dengan mertuanya.

Pasangan itu akan menyambut Ramadan di sana sehingga 22 Ogos ini. - UTUSAN ONLINE

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


BH rangkul 4 anugerah FINAS

Posted: 06 Jul 2013 04:03 PM PDT

Pengiktirafan bersempena Malam Penghargaan Industri Filem 2013

Kuala Lumpur: Akhbar BH memenangi empat anugerah Hadiah Galakan Penulisan Industri Perfileman Trofi Samad Idris pada Malam Penghargaan Industri Filem 2013 anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), yang berlangsung malam tadi.

Pengarah prolifik, Mamat Khalid memenangi tempat pertama menerusi artikel tulisannya di BH, 'Promosi, Pembohongan dan Matlamat Dunia Perfileman'.

Kemenangan itu melayakkan BH memenangi piala Pusingan Trofi Samad Idris dan pemenang membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 serta sijil penghargaan. Pengarang Berita Edisi Mingguan, Zainuri Misfar dan Pengarang Bintang Popular BH Ahad, Akmal Abdullah, masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga penulisan berita hiburan bermutu membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 dan RM1,000 berserta trofi dan sijil penghargaan.

Zainuri menulis 'Kenapa Takut Sangat Filem, Cerita Seram?' manakala Akmal membangkitkan isu 'Filem Banyak Pawagam Terhad'.

Turut menerima anugerah ialah akhbar The Star dan Mstar masing-masing dimenangi oleh Grace Chen dan Niezam Abdullah bagi kategori bahasa Inggeris.

12 penerima
Selain Anugerah Trofi Samad Idris, Anugerah Pencapaian Karyawan Filem Tempatan di Peringkat Antarabangsa pula menyaksikan 12 penerima sama ada individu mahupun syarikat. Aktor Shaheizy Sam, pengarah U-Wei Haji Saari, Wee Meng Chee (Namawee) antara penerima yang diumumkan.

Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) diberikan kepada 10 syarikat produksi iaitu Metrowealth Pictures Sdn Bhd, Primeworks Studios Sdn Bhd, Genius Parade Sdn Bhd, Juita Viden Sdn Bhd, PTV Film Production Sdn Bhd, Adik Manja Sdn Bhd. Axis Line Ent Sdn Bhd, Astro Shaw Sdn Bhd, Excellent Pictures Sdn Bhd dan Megamovie Sdn Bhd.

Majlis dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Kamarudin Siaraf. Hadir sama, Ketua Pengarah FINAS, Raja Rozaimie Raja Dalnish Sha.

Elecoldxhot juara SHOWDOWN

Posted: 06 Jul 2013 04:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Kumpulan Elecoldxhot menjuarai program realiti tarian, SHOWDOWN 2013 di pentas akhir yang berlangsung di Stadium Negara, di sini, malam tadi.

Kumpulan yang bertanding bagi kategori All Star itu membawa pulang hadiah wang tunai RM75,000 dan perbelanjaan ke pertandingan tarian di peringkat antarabangsa bernilai RM125,000.

Naib juara dimenangi kumpulan Katoon Network yang membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000.

Kategori Terbuka pula menyaksikan pertembungan empat kumpulan iaitu Inversion, Keynectix, Le'z dan yang menyaksikan kumpulan 5>1 merangkul gelaran juara.

Bawa pulang wang tunai

Kumpulan itu memenangi hadiah wang tunai RM50,000 serta perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat Asia bernilai RM50,000. Kumpulan Inversion meriah tempat kedua dan memenangi hadiah wang tunai RM20,000.

Bagi kategori Junior, kumpulan Walawei menjuarai kategori itu selepas menumpaskan kumpulan Stay Cool dan Fresh Unity Crew serta memenangi hadiah wang tunai RM10,000. Naib juara kategori Junior dimenangi kumpulan Fresh Unity Crew, yang menerima hadiah wang tunai RM5,000.
Pemarkahan diadili oleh juri tetap, Joe Flizzow dan Maple Loo, yang mewakili 50 peratus, manakala selebihnya menerusi undian SMS penonton. Pertandingan akhir SHOWDOWN 2013 disiarkan secara langsung di saluran 8TV.

Sabtu, 6 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Dunia baharu Manifesto

Posted: 06 Jul 2013 05:35 AM PDT

NAMA Manifesto mungkin baharu dalam dunia muzik tempatan tetapi tidak bagi ahli-ahli kumpulan itu.

Mereka yang terdiri daripada Tomok, Johan, Fami, Sapik, Kirk dan Ainol telah lama berkecimpung dalam dunia muzik.

Jika Tomok terkenal menerusi kumpulan New Boyz, Johan, Fami, Sapik, Kirk dan Ainol tidak kurang hebatnya apabila dikenali melalui kumpulan Modread.

Mereka hanya disatukan di bawah satu kumpulan baru-baru ini dan terus meletup setelah menjuarai pertandingan muzik anjuran stesen televisyen tempatan.

Menurut Johan, walaupun berbeza aliran muzik, ia bukan penghalang kepada mereka untuk mencari keserasian dalam menghasilkan muzik serta persembahan mantap.

Katanya, jurang yang ada sentiasa dikurangkan melalui persefahaman dan toleransi.

Begitu banyak halangan terpaksa kami tempuhi untuk berdiri seperti hari ini," katanya kepada .com.

Menerusi penghasilan single sulung mereka yang bertajuk Manifesto, Tomok selaku vokalis kumpulan ini nyata tampil berbeza.

Dengan popularitinya yang semakin hangat sejak kebelakangan ini, pastinya membuka peluang buat peminat muzik tempatan menghilangkan tanggapan skeptikal apabila mendengar nama Tomok.

Walaupun dia lebih dikenali sebagai penyanyi lagu cinta

yang mendayu-dayu, kemunculannya bersama Manifesto jauh beza.

Pendek kata, Tomok dan Manifesto bakal menggegarkan peminat muzik tempatan dengan kredibiliti yang tersendiri.

Selepas memenangi pertandingan muzik baru-baru ini, langkah pertama Manifesto adalah menghasilkan single terbaharu.

Setakat ini, sudah 60 peratus siap dirakamkan dan jika tiada aral melintang, mungkin akan dikeluarkan selepas Aidilfitri ini," kata Tomok.

Tambahnya lagi, gelaran sebagai juara menyebabkan peminat meletakkan harapan yang sangat tinggi.

Kami akan lakukan yang terbaik dan tidak mungkin kami akan menghancurkan kepercayaan serta amanah yang telah diberikan peminat kepada kami," ujarnya.

Walaupun baru memiliki sebuah single, Manifesto yakin bergerak ke hadapan menerusi perancangan jangka panjang demi meneruskan kelangsungan mereka dalam industri seni.

Bagi peminat yang ingin mengenali mereka dengan lebih dekat, silalah layari laman https:// www.facebook.

com/Manifestoversus untuk mengikuti perkembangan semasa mereka. - SYAHRIL

jaguh veteran

Posted: 06 Jul 2013 05:35 AM PDT

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN

USIA 65 tahun tidak menghalang DJ Dave untuk kekal tangkas bermain badminton.

SEMAKIN dimakan usia, pastinya ramai di antara kita lebih gemar memilih untuk menghabiskan masa dengan berehat dan melakukan aktiviti-aktiviti ringan. Namun terdapat segelintir di antara kita yang menjadi aktif apabila semakin berusia.

Perkara ini sebenarnya sesuatu yang positif apatah lagi kesihatan kita lebih mudah terganggu sekiranya kita hanya duduk berdiam diri dan tidak melakukan aktiviti-aktiviti riadah bagi mengekalkan kecergasan fizikal.

Itulah perkara yang dilakukan oleh penyanyi veteran, Datuk DJ Dave bagi memastikan tahap kecergasannya tidak pernah luntur tatkala dirinya menghampiri usia 65 tahun.

Jelas Dave, dia memang memilih untuk mengamalkan gaya hidup yang aktif dengan melakukan aktiviti-aktiviti riadah, antaranya berjoging tetapi yang paling diminatinya, adalah sukan badminton.

Sebenarnya sewaktu saya muda dahulu, saya lebih gemar bermain bola sepak, kerana selain ia sukan paling popular di Malaysia, kita juga dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan.

Tetapi lama-kelamaan apabila semakin dikejar usia dan masing-masing sudah terikat dengan kehidupan sendiri, saya mula aktif dalam sukan badminton.

Selain daripada itu, antara sebab utama yang membuatkan saya memilih badminton adalah kerana saya pernah mengalami insiden patah tulang hidung sebanyak dua kali sewaktu bermain bola sepak," katanya yang mula aktif dengan sukan badminton pada usia 45 tahun.

Jelas Dave lagi, kebiasaannya dia akan mengunjungi gelanggang badminton kira-kira dua minggu sekali tetapi jika mempunyai kelapangan, dia akan ke sana tiga atau empat kali seminggu.

Menurutnya, adalah penting bagi dirinya kekal aktif kerana sungguhpun sudah semakin berusia, karier seninya masih tetap diteruskan memandangkan rasa cinta yang mendalam terhadap bidang nyanyian.

Melalui aktiviti seperti ini, saya dapat memastikan stamina diri sentiasa berada dalam keadaan terbaik. Ini kerana saya masih aktif sebagai penyanyi," katanya yang baru sahaja memenangi pingat perak dalam kategori perseorangan dan beregu di 42nd World Morning Cup Badminton Championship 2013 yang diadakan di Taipei, Taiwan, pada penghujung Mei lalu.

Tambah Dave lagi, dia mahu terus kekal aktif kerana selain dapat mengekalkan stamina, ia juga dapat membantunya menjaga disiplin diri selain memastikan tugas sehariannya berjalan dengan lancar.

Apabila aktif, kita akan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, bukan sahaja tubuh kita cergas, tetapi minda juga kekal cerdas.

Pastinya apabila kita mempunyai fizikal yang baik, kita akan mempunyai aura tenaga yang positif dalam mengharungi dugaan dan cabaran hidup seharian," tambah Dave lagi.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Shandy Aulia takut bergelar janda

Posted: 05 Jul 2013 06:31 PM PDT

Aktres popular Indonesia tidak sanggup hadapi kegagalan rumah tangga

Naik turun sebuah kehidupan menjadi lumrah yang harus ditempuhi setiap insan. Aktres yang melonjak lewat sinetron, Pacar Khayalan dan filem, Eiffel I'm In Love, Shandy Aulia turut merasai getir dalam mengejar cita-citanya.

Pelakon berusia 26 tahun itu mengakui, terlalu banyak dugaan yang menghalangi perjalanan kariernya malah pernah suatu ketika, dia berdepan kegagalan demi kegagalan.

"Setiap kita pernah mengalami jatuh bangun dalam kehidupan. Saya juga pernah gagal, tetapi saya enggan tunduk dan hanya pasrah kepada nasib," katanya.

Pemain watak Tita dalam filem, Eiffel I'm In Love itu berkata, dia tidak pernah gentar untuk berdepan rintangan yang menanti di depan matanya.

"Sudah berkali-kali saya gagal, namun paling ditakuti kegagalan berumah tangga. Perkahwinan adalah cermin kehidupan, sama ada dalam karier saya atau hal peribadi lain.

"Keluarga bagi saya adalah pelita yang menerangi hidup," kata isteri kepada ahli perniagaan, David Herbowo yang disatukan di Bali, Indonesia pada 12 Disember 2011.

Sedang berusaha untuk menyempurnakan sebuah biografi, Shandy berkata, tulisannya itu merangkumkan perjalanan hidupnya sejak kecil terutama membesar dalam keluarga berbeza pegangan.
Bapanya, Kemas Yusuf Effendy berasal dari Palembang dan menganut Islam, manakala ibunya, Elyse Dopong membesar di Manado dan beragama Kristian.

Ketika Shandy berusia 3 tahun, kedua orang tuanya memilih untuk membawa haluan sendiri. Shandy terpaksa berpisah dengan tiga kakaknya yang memilih untuk membesar bersama bapa mereka.

"Saya mulai biografi ini dari kecil, bagaimana saya membesar dalam keluarga berbeza agama. Ketika di bangku sekolah, saya di kelilingi lingkungan tidak sihat kerana pernah menjadi mangsa buli," katanya.

Shandy ditemui wartawan ketika majlis pelancaran filem terbarunya, Moga Bunda Disayang Allah di Cikini, Jakarta Pusat, Isnin lalu.

Menulis kata Shandy, bukan perkara baru kerana minat itu dipupuk sejak masih kanak-kanak. Cuma kini, dia mempunyai masa untuk menuang seluruh kisah hidupnya dalam sebuah catatan lengkap.

"Ia seperti catatan diari, cuma saya ubah formatnya menjadi sebuah novel. Mungkin ada yang melihat ia seperti sebuah biografi, namun ia cenderung kepada curahan isi hati," katanya.

Serius menggarap penulisan buku itu sejak empat bulan lalu, Shandy berkata, 2013 adalah momen paling tepat untuk melancarkannya kerana ia bersamaan ulang tahun ke-10 pembabitannya sebagai insan seni.

2 konsert percuma malam ini, esok

Posted: 05 Jul 2013 06:18 PM PDT

Artis tiga negara jayakan Festival Muzik Kuala Lumpur 2013

Bermula hari ini dan esok, pelbagai aktiviti menarik Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) 2013 diisi. Lebih istimewa memasuki tahun kesembilan penganjurannya, FMKL menampilkan sisi berbeza berbanding tahun terdahulu. Tiga elemen digabungkan iaitu persembahan, keilmuan dan kerohanian.

Ia disatukan menerusi paksi muzik. Dua konsert percuma pada malam ini iaitu persembahan kumpulan muzik dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura melalui Konsert "A Night With Life Record" dan diikuti malam esoknya, Konsert Rohani, sekali gus mengalu-alukan kedatangan Ramadan beberapa hari lagi.

Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka bakal menjadi saksi di mana kedua-dua konsert ini diadakan. Ia dipilih kerana ia disifatkan sebagai sebuah kawasan yang popular di kalangan pelancong dan ini bersesuaian dengan matlamat FMKL untuk menjadikan KL sebagai Pusat Kesenian Antarabangsa dan sebagai daya tarikan pelancong.

Konsert A Night With Life Record semestinya melihat pembabitan syarikat rakaman Life Record sendiri menggabungkan kumpulan pemuzik dari tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Singapura bersatu atas dinamik sebuah nama seni.

Konsert ini menampilkan artis dari Malaysia seperti kumpulan XPDC, Subculture, Dead Mushroom, Project Pistol, Keroz Nazri serta beberapa individu seperti Awang BPR, Andy Flop Poppy, Sharifah Zarina, Loka, Qayyum Mazlan, dan bakat yang dicungkil dari YouTube, Nana Sheme.

Penghibur yang dibawakan khas dari Indonesia untuk memantapkan konsert ini ialah Jenita Janet dan Pentaboyz, manakala Singapura diwakili oleh persembahan dari Daly Filsuf, Iskandar Ismail dan J Yantzen dari kumpulan Rusty Blade.
Konsert ini juga bakal diserikan dengan kehadiran penghibur Jepun, Miss Juli.
Konsert ini dijadual bermula sekitar jam 9 malam. Manakala acara kedua yang menerajui FMKL buat kali ini iaitu Konsert Rohani pula membariskan Ramli Sarip, Nash serta kumpulan nasyid Rabbani, Raihan dan Hijjaz malam esoknya jam 8.45. Kedua konsert ini akan diadakan di Pentas Utama, Jalan Raja.

Merealisasikan FMKL 2013, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bertindak sebagai penganjur utama dan urus setia. Tidak hanya konsert percuma, pengisian berbentuk ekspo muzik juga akan berlangsung selama dua hari dari pagi hingga ke malam dengan pembabitan syarikat rakaman, gajet muzik, pusat jualan peralatan muzik dan macam-macam lagi.

Bengkel muzik pula mengetengahkan pemuzik berkaliber untuk berkongsi ilmu dengan pemuzik amatur dan orang ramai termasuk cara teknik bermain dan pembuatan sebuah instrumen muzik. Antara yang terbabit ialah Steve Thornton, Jeffrey Yong dan Dylan Elise.

Seperti kebiasaan dalam sesebuah penganjuran karnival muzik terutamanya, ruang sebegini turut dimanfaatkan untuk mencungkil bakat baru dalam bidang muzik termasuk Uji Bakat Pertandingan Nyanyian Lagu Melayu Antarabangsa (PALMA) 2013 yang akan dilaksanakan di Panggung Bandaraya hari ini dari pagi hingga petang.

Seterusnya, Bakat Muzik Malaysia yang turut berlangsung hari ini menampilkan Pertandingan Muzik Tradisional dan Pertandingan Muzik Eksperimental. Tak ketinggalan pencungkilan bakat lain ialah Battle of Drums, sebuah pertandingan teknik bermain dram yang dianjurkan oleh JKKN dan diselia oleh JS Music bermula esok.

Selain konsert yang dijadualkan pada sebelah malam, FMKL 2013 turut membawakan persembahan bakat muzik Malaysia yang dicungkil menerusi program kerjasama strategik JKKN dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu Mimpi Ke Bintang. Mereka ialah The Siblings Band, Ismail Itam Daim, Jalan Lenteng, Umagad, Angklung Seni dan Kumpulan Warisan Seni Negeri Sembilan.

JKKN turut mengiktiraf pemuzik jalanan dengan membawakan persembahan mereka untuk ditonton oleh segenap lapisan masyarakat melalui iaitu kumpulan Amali, Nan Blues Buskers, Gemerincing dan BB Buskers. Jadi jom ramai-ramai meriahkan FMKL 2013 hari ini dan esok.

Jumaat, 5 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Belum mahu bercinta

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Gambar MOHD. FARIZWAN HASBULLAH dan FARAH AIN BAHAMAN (Pelatih Unisel)

Elfira Loy dan Zoey Rahman sudah lama mengenali antara satu sama lain.

JIKA diimbas kembali gosip-gosip yang melanda artis terutamanya artis di usia remaja, Elfira Loy antara artis yang paling banyak dikaitkan bercinta.

Bukan calang-calang artis yang dikaitkan dengan dirinya, semuanya aktor terkenal yang sudah menempa nama dalam industri.

Jangan silap, bukan artis tempatan sahaja yang dikaut oleh pelakon remaja berkening tebal ini, pelakon dari Indonesia juga antara yang berada dalam genggaman gosip cinta Elfira.

Antara aktor yang pernah dikaitkan bercinta dengan Elfira termasuklah Randy Pangalila, Zizan Razak, Baim Wong dan Zoey Rahman.

Baru-baru ini begitu galak pencari gosip mengatakan bahawa Elfira kelihatan begitu intim dengan Zoey Rahman.

Masakan tidak, gambar-gambar di laman sosial Instagram menunjukkan betapa rapatnya mereka seolah-olah sudah muncul bibit-bibit percintaan.

Lalu, soalan berkaitan dengan kisah cinta tidak diketahui ini ditanyakan. Seperti yang dijangka, Elfira menafikan dakwaan yang dia kini sedang bercinta dengan Zoey.

Bagi Elfira, hubungan rapat antara mereka berdua sudah terjalin dalam masa yang lama lagi, bukan ketika dia digandingkan bersama dalam sebuah drama bersiri Demi Dia.

"Saya sudah kenal Zoey sejak kecil lagi, Malah, bukan saya sahaja, keluarga kedua-dua pihak pun saling mengenali antara satu sama lain.

"Malah, kalau diikutkan, setiap kali saya berlakon dengan pelakon lelaki, pasti saya akan dikaitkan bercinta dengan mereka.

"Padahal sebelum ini ada juga saya ambil gambar berdua dengan Zoey, tetapi tidak pula dihebohkan.

"Bila dah berlakon bersama, baru ada yang mengatakan kami bercinta dan sebagainya. Itu yang saya musykilkan," kata pelakon remaja ini sambil tersenyum.

Jelas Elfira yang kini sedang menuntut diploma dalam jurusan Seni Persembahan & Komunikasi, Kolej Damansara Utama (KDU), dia tidak menafikan hubungan dengan Zoey memang rapat.

"Kalau hendak dibandingkan bagaimana rapatnya hubungan kami berdua, saya rasa hubungan kami seperti adik-beradik. Dia abang dan saya adik.

"Sebab itu bila kami berganding bersama sebagai suami dan isteri walaupun kekok tetapi selesa kerana sudah mengenali dia lama," katanya sambil tertawa.

Tambahnya lagi, dia tidak kisah gosip seperti ini berkeliaran kerana ia menunjukkan bahawa lakonannya bersama dengan Zoey memang menjadi.

"Saya tahu bagaimana hubungan kami berbanding mereka di luar. Itu sudah cukup. Lagipun ia menunjukkan betapa lakonan kami dilihat dan dinilai oleh penonton hingga dikatakan bercinta," katanya.

Menjelaskan persoalan sama ada dia sudah bertemu cinta hati atau tidak, ujar Elfira, dia masih lagi belum berminat untuk menjalinkan sebarang hubungan uda dan dara yang serius.

"Buat masa ini, saya lebih selesa untuk fokus pada pelajaran saya dahulu dan rasanya itu yang terbaik buat diri saya.

"Lagipun, dengan usia yang baru mencecah 19 tahun, saya merasakan terlalu awal untuk bercinta. Malah, saya belum terfikir lagi untuk bercinta dan sebagainya," katanya.

Bukan balas dendam

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my

BIDANG penciptaan lagu lebih menyerlahkan nama Azmeer berbanding pembabitannya sebagai penyanyi.

DIMAKI hamun dan pernah dihalau keluar dari pejabat-pejabat syarikat rakaman adalah antara pengalaman pahit yang terpaksa dilalui oleh Azmeer sebelum dia menjadi seorang komposer popular pada hari ini.

Semua itu gara-gara kerana dia mahu mengetengahkan lagu-lagu ciptaannya kepada beberapa buah syarikat rakaman di Kuala Lumpur pada tahun 1990-an. Ketika itu dia masih lagi setahun jagung dalam bidang tersebut.

Disebabkan tiada nama dan pengalaman, maka bakatnya itu seolah-olah diketepikan begitu sahaja. Pengalaman 23 tahun lalu itu masih dalam ingatannya walaupun ia pernah menggores hatinya untuk beberapa ketika.

Pengalaman itu menguatkan lagi semangatnya untuk terus berkarya. Pada masa sama, Azmeer juga menjadi seorang yang tegas sehingga sikapnya itu terbawa-bawa sewaktu dia membimbing penyanyi baru.

Menurut Azmeer, dia tidak berniat menjatuhkan semangat penyanyi baru dengan kritikan-kritikan pedasnya, termasuklah sewaktu menjadi pengkritik dalam pertandingan-pertandingan nyanyian sejak kebelakangan ini.

"Saya tiada niat mahu mendera mental ataupun membalas dendam terhadap apa yang pernah berlaku ke atas saya. Ini bukan kes buli seperti yang pernah berlaku di sekolah berasrama. Pelajar senior akan membuli yang junior.

"Tujuan saya mengkritik dengan kritikan yang jujur dan telus demi kebaikan penyanyi baru ataupun seseorang peserta pertandingan nyanyian. Malah, kritikan saya pun tidaklah terlampau sampai menghina seseorang itu.

"Mungkin saya percaya dengan kata-kata orang putih yang cakap you've to be brutal to be nice atau kita kena berlaku kejam kalau kita hendak berjaya," jelasnya kepada Hits semasa ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas komposer berusia 47 tahun ini, dia berharap para penyanyi baru yang pernah mendapat kritikannya berfikiran positif. Katanya, semua itu adalah salah satu proses pembelajaran yang berkesan untuk jangka panjang.

Sambil memanjangkan lagi pengalaman pahit yang pernah dilaluinya dua dekad lalu itu, komposer berasal dari Toa Payoh, Singapura ini menambah, jika tidak kerana semua itu dia mungkin tidak akan berjaya seperti pada hari ini.

"Secara peribadi saya mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang kuat syarikat rakaman seperti Datuk Aziz Bakar dari BMG dan Allan Kok di Sony Music yang pernah melemparkan begitu sahaja demo tape lagu-lagu ciptaan saya.

"Malah, saya juga pernah dihalau dari syarikat-syarikat rakaman itu kerana terhegeh-hegeh mahu mengetengahkan lagu-lagu saya. Pengalaman itu banyak mengajar saya lebih bersikap tegas termasuk ke atas orang lain.

"Sebab itu, saya juga lebih mudah lupa dengan puji-pujian orang, sebaliknya saya akan lebih ingat kalau orang pernah marah ataupun kutuk saya. Kalaulah tidak kerana mereka saya tidak akan dikenali seperti pada hari ini," ujarnya.

Nyanyikan lagu sendiri

Lagu-lagu ciptaan Azmeer yang pada mulanya dianggap seperti sampah oleh syarikat-syarikat rakaman tidak mematahkan semangat komposer ini. Sebaliknya, dia sentiasa berusaha bagi mencari jalan mengatasinya.

Dia antaranya merakamkan sendiri album solonya yang berjudul Kenangan pada 1990. Malah, dia turut berduet dengan ramai penyanyi wanita seperti Amy Mastura melalui lagu bertajuk Harapan Semalam.

Semua itu kata Azmeer sebagai salah satu strategi bagi mengetengahkan lagu-lagu gubahannya. Ternyata usaha itu sedikit demi sedikit turut membantu memperkenalkan namanya sebagai penyanyi.

"Selepas itu saya mula memberikan lagu-lagu ciptaan saya kepada ramai penyanyi. Antaranya Mimi Asmidar yang menyanyikan lagu Keikhlasanku dalam album pertamanya yang dijual lebih 30,000 unit pada 1991.

"Saya juga membuktikan banyak lagu-lagu saya menjadi popular. Contohnya lagu Tiga Malam Tanpa Bintang nyanyian Fiq telah dimuat turun sebanyak 300,000 kali dalam telefon bimbit," katanya dalam nada puas.

Biarpun berbakat menyanyi, tetapi Azmeer atau nama sebenarnya Mohd Azhar Abu Bakar berkata, dia bersyukur dengan pencapaiannya sebagai komposer dan hanya mahu memberi tumpuan terhadap bidang itu.

Sebaliknya, bapa kepada Md. Afrizal Alham, 19, Afrisya Adlina, 16, dan Alani Marrisya, 13, mahu memberi tumpuan kerja-kerja di belakang tabir sama ada dalam bidang penciptaan lagu mahupun yang berkaitan dengannya.

"Selain mencipta lagu, saya juga menjadi pensyarah sambilan di UiTM (Universiti Teknologi Mara) cawangan Puncak Perdana, Shah Alam mengajar dalam bidang Pengurusan Industri Muzik dan Kreatif sejak setahun lepas.

"Saya juga mempunyai syarikat sendiri iaitu Academeus Solution yang mana saya selalu dijemput mengadakan ceramah dan motivasi berkaitan muzik di universiti-universiti seluruh negara sejak kebelakangan ini," jelasnya.

Sejak menjadi komposer Azmeer telah mencipta lebih 500 buah lagu yang dinyanyikan oleh ramai penyanyi tempatan. Lagu terbaru ciptaannya berjudul Renjana Cinta nyanyian Uchop (Vokal - Bukan Sekadar Rupa).

Azmeer turut tidak ketinggalan mencipta dua buah lagu berjudul Debaran Rindu dan Syahdu Di Pagi Raya yang dimuatkan dalam album solo terbaru Datuk Jeffrydin terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. yang akan berada di pasaran 8 Julai ini.

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ambil iktibar

Posted: 04 Jul 2013 04:30 PM PDT

Maria Farida simpati nasib bekas kekasih, nasihat Shahz Jaszle lebih waspada

Hanya ungkapan simpati yang terbit dari bibir pelakon cantik, Maria Farida, tatkala ditanya berhubung isu hangat membabitkan pelakon, Shahz Jaszle (gambar kecil).

Ketika ditemui pada pelancaran kempen Cherita Di Pagi Raya, anjuran Habib Jewels, ibu tunggal yang pernah menjalin hubungan istimewa bersama aktor muda itu berkata, Shahz seharusnya lebih berhati-hati dalam setiap gerak geri.
Saya bersimpati dengan nasibnya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan dirinya kerana hubungan kami sudah lama berakhir." Maria Farida, Pelakon

Enggan dikaitkan lagi dengan bekas buah hatinya selepas hubungan mereka terputus sekitar 2011, apa yang berlaku kepada pemuda itu disifatkan Maria tidak ubah seperti putaran roda.

"Saya bersimpati dengan nasibnya, tetapi dia sendiri yang menjerat dirinya. Cuba buat perangai elok-elok, tentu perkara sebegini tidak berlaku.

"Kalau boleh saya tidak mahu lagi dikaitkan dengan dirinya kerana hubungan kami sudah lama berakhir. Cuma apa yang boleh saya katakan, inilah hukum karma. Mungkin juga inilah balasan terhadap sikapnya yang sering memainkan perasaan wanita," katanya.

Sara hidup tinggi
Pengalaman menjalin hubungan dengan jejaka jauh lebih muda membuatkan ibu kepada Mizan Ashley, 16, ini serik untuk bercinta dengan pucuk muda.

Dia yang masih solo selepas lebih 10 tahun hidup bersendirian mengakui tidak terburu-buru mencari pengganti. Bukan tiada golongan bergelar Datuk mahupun Tan Sri yang cuba mendekati, namun Maria dia tidak sanggup memperjudikan cinta semata-mata kerana harta.

"Jika saya hendak berkahwin sekali pun, hubungan itu perlulah terbit atas dasar cinta. Saya tidak mahu berkahwin kerana harta. Jika saya tamakkan harta tentu sudah lama saya kembali berumah tangga. Tidak perlulah saya hidup solo sebegini lama.

"Pada usia sekarang saya harus akui tahap toleransi saya semakin rendah. Saya pula seorang yang cerewet. Jadi saya perlu mencari pasangan yang benar-benar boleh memahami diri saya dan paling penting, antara kami perlu ada keserasian. Tetapi itu bukanlah bermaksud saya mencari pasangan yang sempurna.

"Hubungan itu harus lahir atas dasar cinta dan ikhlas, bukan kerana mengejar glamor semata-mata. Bakal suami juga perlulah menerima kehadiran anak saya sekiranya ingin menjadikan saya sebagai suri hidupnya," kata Maria.

Pelakon yang cukup popular menerusi filem Bisikan Cinta, lakonannya bersama Azhar Sulaiman, juga tidak malu mengakui sara hidup diri dan anaknya agak tinggi. Justeru, lelaki yang ingin mendampinginya haruslah mampu menerima gaya hidup mereka.

Semua tanggung sendiri

Bagaimanapun, dia berkata demikian bukan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya selama memegang status janda, segala-galanya ditanggung sendiri hasil titik peluhnya berlakon.

"Kos sara hidup saya tinggi, begitu juga dengan anak. Saya menghantar Mizan ke sekolah antarabangsa dengan yurannya mencecah puluhan ribu, setahun. Setiap minggu kami akan menjamu selera di restoran mewah, semua itu saya tanggung sendiri dengan wang hasil lakonan.

"Saya tidak mungkin merendahkan taraf hidup selepas berkahwin. Oleh itu, lelaki yang mahu berkahwin dengan saya kenalah terima gaya hidup kami anak beranak, serta berkemampuan menanggung kami," kata Maria.

Menyentuh kerjaya seni pula, pelakon yang memulakan langkah dalam bidang seni seawal usia 16 tahun berkata, sehingga kini dia masih tidak menang tangan menerima tawaran berlakon.

Baru saja selesai penggambaran cerita fantasi, Pujangga Budiman, untuk TVi, Maria kini mempersiapkan diri untuk menjalani penggambaran filem Showdown. Memandangkan jadual lakonan yang padat sejak tahun lalu, dia membuat keputusan berehat sepanjang Ramadan nanti bagi memberikan tumpuan kepada keluarga.

PRISM dapat lesen pungut royalti

Posted: 04 Jul 2013 04:27 PM PDT

Selepas menempuh pelbagai cabaran, akhirnya Performers Right's and Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM) sah menjadi badan kutipan royalti mewakili penyanyi dan pemuzik rakaman.

Lesen yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bertarikh 2 Julai lalu kepada organisasi terbabit tentunya memberikan khabar gembira terutama kepada 1,500 ahli, yang memberikan mandat kepada PRISM mewakili mereka.

Pengerusinya, Anuar Dahlan, berkata kelulusan sebagai badan kutipan royalti itu pastinya memberikan impak positif kepada perkembangan industri hiburan tanah air.

"Khabar gembira ini menjadi hadiah bermakna kepada ahli sempena Ramadan yang akan ditempuhi minggu depan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada kerajaan yang banyak membantu, selepas kami melalui pelbagai halangan untuk mendapatkan kelulusan permohonan.

Buat kutipan sendiri

"Bermula hari ini juga, kami memohon kerjasama kepada semua premis hiburan untuk mengemukakan lesen penggunaan hak daripada PRISM, agar proses kutipan dapat dijalankan dengan sempurna," katanya kepada HIP, semalam.
Menurut Anuar, proses kutipan akan dilakukan sendiri oleh pihak PRISM.

"Kami juga sudah mempunyai wakil ejen kutipan di setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak. Pada masa sama kami amat berharap semua ahli akan dapat menikmati royalti yang menjadi hak mereka, pada penghujung tahun hadapan," katanya.

Sebelum ini, MyIPO sudah pun meluluskan tiga badan kutipan royalti lain iaitu Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan (MACP) yang mewakili komposer dan penulis lirik, Badan Persembahan Awam (PPM) bagi syarikat rakaman dan Recording Performers Malaysia Bhd (RPM) untuk penyanyi dan pemuzik.

Khamis, 4 Julai 2013

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Rebecca Romijn masih dipanggil dengan nama bekas suami

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

LOS ANGELES 4 Julai - Aktres Rebecca Romijn menyatakan bahawa orang ramai masih memanggil dirinya dengan nama bekas suaminya

Pelakon berusia 40 tahun itu yang bahagia selepas berkahwin dengan Jerry O'Connel sejak enam tahun lalu, mendakwa dia sering dirujuk sebagai Rebecca Rimijn-Stamos, walaupun dia telah berpisah dengan bekas suami pertamanya itu, John Stamos lebih lapan tahun lalu dan telah menukar namanya.

"Perkara ini berlaku kepada saya semalam," ujarnya kepada ketika di wawancara oleh majalah Redbook untuk keluaran Ogos ini.

Bekas bintang drama bersiri Ugly Betty yang mempunyai sepasang anak kembar, Dolly dan Charlie hasil perkongsian hidup bersama O'Connell berkata, dia dan bintang filem Burning Star itu memilih untuk menjaga bersama anak kembar mereka dan tidak memilih untuk menyerahkannya kepada pengasuh sepenuh masa.

"Kami saling membantu antara satu sama lain, walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan dan inilah realiti kehidupan kami," ujarnya.

Pelakon filem King & Maxwell itu juga mengakui dia tidak merasakan dirinya tua dan mempunyai tekanan untuk menurunkan berat badannya selepas bersalin.

"Saya tidak bimbang keadaan diri selepas bersalin kerana mendapat rawatan selama enam bulan," ujarnya. - AGENSI

Ashton Kutcher, Mila Kunis kedekut

Posted: 04 Jul 2013 11:22 AM PDT

LONDON 4 Julai - Aktor Ashton Kutcher dan kekasihnya Mila Kunis dituduh kedekut kerana keberatan memberi tip kepada seorang tukang gunting rambut selepas mengunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di bandar Bridgwater, di Somerset, baru-baru ini.

Tukang gunting itu, Jim Clayton terkejut apabila teman wanita pelakon kacak itu mengambil semula baki wang selepas dia membayar wang kertas 10 pound kepadanya sebagai upah.

Tukang gunting itu mendakwa pasangan itu tiba 15 minit sebelum dia menutup kedainya dan dia terpaksa menutup kedainya lewat, semata-mata untuk melayan pelakon berkenaan, tetapi kesediaannya melayan mereka itu tidak dihargai oleh pasangan selebriti itu.

"Kunis menyerahkan 10 pound (RM48) kepada saya sebagai upah bayaran dan dia mengambil kesemua bakinya," ujar tukang gunting itu dengan kecewa.

Clayton mengakui dia tidak banyak berbual dengan pasangan pelakon itu dan hanya mengetahui mereka tinggal di Los Angeles.

"Kutcher tidak banyak berborak tetapi Kunis duduk bersama anjing saya, Bailey. Dia sangat menyayangi anjing tersebut," ujar Clayton.

Sambil memetik akhbar Metro, Clayton berkata, dia mahu bergambar dengan bintang filem Ted itu, kerana teruja dengan pelakon itu, tetapi tidak menyangka dapat bertemu dengannya. - AGENSI

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


YA1M adakan konsert amal tambah dana

Posted: 03 Jul 2013 04:46 PM PDT

Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M ) akan menganjurkan konsert amal pada 5 Oktober depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi mengisi dana tabung pertubuhan itu.

Konsert Amal YA1M itu ialah projek pertama mereka dalam mencapai objektif penubuhannya iaitu menjaga kebajikan semua artis tanah air.

Sebelum ini YA1M menerima dana RM2 juta daripada kerajaan yang diberikan kepada hampir 400 artis veteran daripada pelbagai bangsa dan agama.

Pengerusinya, Datuk DJ Dave, menerusi projek terbabit, penganjur berharap syarikat korporat tampil membantu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

"Inilah kali pertama YA1M mengadakan projek untuk menambah tabung pertubuhan, dengan menjual meja konsert. Di samping menjamu selera dan menyaksikan persembahan 10 penyanyi terkenal, secara tidak langsung mereka sebenarnya beramal membantu artis veteran tanah air.

"Sebanyak 100 meja akan dijual pada harga serendah RM2,000 hingga RM20,000. Kami berharap dapat memungut RM200,000 pada malam terbabit. Semua kutipan akan disalurkan kepada tabung YA1M," katanya pada majlis sidang media Konsert Amal YA1M - Satu Suara Satu Matlamat, di ibu negara semalam.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi & Multimedia, Datuk Jailani Johari.
Pada majlis itu, 48 artis veteran menerima sumbangan RM2,000 setiap seorang daripada YA1M.

"Sejak YA1M ditubuhkan dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, pada 11 November tahun lalu, inilah kali keempat sumbangan disampaikan kepada artis veteran yang belum pernah menerimanya.

"Tahun ini juga, kerajaan menjanjikan dana baru sebanyak RM3 juta, yang akan diagihkan kepada artis memerlukan," katanya yang mengalukan mana-mana artis yang akan menjangkau usia 60 tahun untuk menghubungi YA1M di talian 03-22763327.