Adsense

Khamis, 20 Disember 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Nelydia Senrose sedia bersaing

Posted: 20 Dec 2012 06:05 PM PST


PENGLIBATAN Nelydia Senrose atau nama sebenarnya, Nik Zaris Nelydia Senrose Nik Sen sebagai seorang pelakon boleh dikira sudah agak lama.
Pelakon jelita mula dikenali sejak membintangi drama bersiri Spa Q kira-kira lima tahun lalu. Kemudian namanya seperti tenggelam timbul kerana agak jarang muncul di kaca televisyen.
Meskipun dia dilihat mempunyai bakat yang cukup besar dalam bidang lakonan, namun namanya masih kurang menjadi sebutan dan tidak terlalu menyinar berbanding beberapa pelakon wanita yang lain.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang diadakan di Sri Pentas, TV3, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Nelydia mengakui dirinya masih belum lagi menyerlah.
"Kalau diikutkan penglibatan saya dalam bidang seni, lima tahun merupakan satu tempoh yang cukup lama. Lagipun peminat memang mengenali saya sejak membintangi drama Spa Q dahulu.
"Selepas drama tersebut saya ada berlakon dalam beberapa buah drama lain, tetapi ia kurang memberi impak kepada diri saya. Jadi, saya akui masih kurang popular, meskipun sudah lama menceburi bidang lakonan," ujar anak ketiga daripada tujuh orang adik-beradik itu.
Selain itu, Nelydia turut menjelaskan antara faktor utama yang menyebabkan dirinya agak sukar untuk mengecap populariti kerana statusnya sebagai pelajar sekolah sebelum ini.
Ujarnya, disebabkan itu dia terpaksa menolak banyak tawaran lakonan yang diterima memandangkan terpaksa memberi sepenuh tumpuan terhadap persekolahannya.
"Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu, saya sudah kembali aktif berlakon. Beberapa bulan kemudian saya kembali menyambung pelajaran semula menyebabkan saya kurang berlakon.
FAKTA menarik tentang Nelydia yang sering membawa karakter wanita matang ini ialah dia sebenarnya baru berusia 18 tahun.


"Ketika ini saya cuma berlakon sewaktu cuti semester dan hanya menerima satu tawaran supaya senang untuk memberikan sepenuh tumpuan kepada lakonan," jelas penuntut semester dua jurusan Psikologi dari Kolej Universiti SEGi, Kuala Lumpur.
Ditanya adakah dia tidak kisah apabila namanya sehingga kini masih kurang popular meskipun sudah lama bergelar pelakon, Nelydia menjelaskan dia tidak terlalu mementingkan populariti.
Menurutnya, dia menceburi bidang lakonan bukan kerana mahu popular, sebaliknya dia memang begitu minat berlakon dan menganggap lakonan merupakan sebahagian daripada jiwanya.
"Ada segelintir pihak yang beranggapan sekiranya mahu cepat popular mereka perlu dikaitkan dengan kisah kontroversi, tetapi rasanya dengan cara sebegitu ia tidak akan kekal lama.
"Saya lebih selesa dengan keadaan sekarang ini tanpa terpalit dengan sebarang cerita negatif. Tidak semestinya pelakon yang kurang popular jarang dapat tawaran berlakon kerana semuanya bergantung pada rezeki masing-masing," ujarnya.
Lebih dewasa
Bagi penonton yang selalu melihat kemunculan Nelydia di kaca TV, pastinya mereka akan menyangka pelakon itu sudah berusia sekitar 24 atau 25 tahun.
Namun begitu, pada hakikatnya pelakon berkenaan baru sahaja mencecah 18 tahun.
"Sebenarnya saya tiada masalah membawakan karakter wanita yang berbeza daripada usia sebenar, malah saya juga pernah mendapat tawaran memegang watak sebagai seorang ibu," ujarnya.
"Berkenaan dengan sesuatu watak saya memang tidak pernah terlalu memilih, tetapi saya hanya akan bersetuju sekiranya sudah yakin membawakan watak yang diberikan," katanya.

BARISAN karyawan drama bersiri Setia Hujung Nyawa yang menampilkan Nelydia Senrose dan Amar Ashraf sebagai tonggak utama.


Bercerita lebih lanjut mengenai wataknya dalam Setia Hujung Nyawa pula, Nelydia memberitahu, dia diberikan kepercayaan memegang watak seorang gadis remaja yang baru tamat alam persekolahan.
Melakonkan peranan gadis bernama Ersalina, pelakon itu menyatakan watak yang dibawakannya itu berbeza dengan lakonannya sebelum ini iaitu seorang remaja yang sudah terlanjur dengan bekas kekasihnya.
"Dalam drama ini saya merupakan seorang remaja yang naif dan baru tamat sekolah, tetapi terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dikenali iaitu Zain Hakimi (lakonan Amar Ashraf).
"Walaupun saya menjadi seorang gadis remaja yang memang sesuai dengan usia sekarang, watak sebagai Ersalina agak berat dan memerlukan penghayatan yang mendalam," jelasnya.
Mengenai gandingannya bersama Amar dalam drama berkenaan, pelakon itu berkata tidak sukar untuk mencari keserasian bersama dan mereka akan berbincang terlebih dahulu sebelum melakonkan babak yang membabitkan kedua-duanya.
"Sepanjang berlakon bersamanya memang tiada masalah besar yang timbul kerana kami selalu berkomunikasi, malah saya juga sudah menganggapnya seperti seorang abang," ujarnya.


 
- ---

Botoks Bukan Amalan Datuk Shake

Posted: 20 Dec 2012 05:42 PM PST

Datuk Shake menunjukkan album terbarunya.
KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Shake berkata disiplin yang tinggi dan penjagaan pemakanan seimbang merupakan rahsia penampilan awet mudanya selama ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh, 62, berkata, sejak dulu lagi dia mengamalkan kedua-dua aspek itu dan tidak percaya terhadap suntikan botoks atau pembedahan plastik.
"Kalau orang lain nak buat biarlah itu hak mereka tetapi saya tidak percaya kepada botoks atau pembedahan plastik (untuk kekal muda).
"Dari dulu, saya tekankan disiplin kepada senaman dan pemakanan. Biasanya selepas solat Subuh saya akan bersenam dan kawal makanan yang saya ambil.
"Alhamdulillah, saya masih kuat dan berstamina pada usia begini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album bahasa Malaysia terbaharunya Chameleon di Hard Rock Cafe di sini, petang Khamis.
Mengenai kemunculan semula di persada muzik tanah air, penyanyi yang mencipta nama di Perancis itu berkata, 2013 adalah waktu terbaik untuk meraikan peminat yang merinduinya.
Masih bergaya pada usia 62 tahun.
"Sudah banyak permintaan di kalangan peminat di sini yang mahu saya kembali. Kemunculan album Chameleon adalah untuk mereka.
"Selain album ini, saya bercadang untuk adakan konsert jelajah di seluruh negara pada tahun hadapan jika ada penajaan. Saya mahu adakan konsert terbuka untuk rakyat," jelasnya.
Ditanya mengenai keberaniannya mengetengahkan konsep elektro dan "urban" dalam album itu, Shake berkata, ia perlu dilakukan bagi menawarkan elemen segar dalam muziknya.
"Kalau di luar ramai sahaja penyanyi lama seperti Rolling Stones dan Stevie Wonder berani menghasilkan muzik kontemporari, mengapa tidak saya mencuba?
"Muzik tiada sempadan usia. Kalau budak-budak (penyanyi baru) tak nak buat, biar saya buat mana tahu mereka akan ikut nanti," kongsi datuk kepada lima cucu ini.
Album yang memuatkan 12 lagu antaranya Material, Berpusing, Kembalilah, Topeng, Mengapa dan Oh Kasihku itu kini dipasarkan secara digital menerusi www.dreammusic.com.my.
- ---

Siti Fazurina Kahwin Lari?

Posted: 20 Dec 2012 05:40 PM PST

Siti Fazurina
PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri Trilogi Cinta, Siti Fazurina dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Haikal, 30-an tanpa pengetahuan keluarganya.
Sumber terdekat keluarganya mendedahkan, Fazurina atau nama sebenarnya Siti Fazurina Mohd Famir, 30, pernikahan tersebut berlangsung di Masjid Jamek Sungai Pinang, Pulau Pinang pada kira-kira pukul 3.30 petang Khamis berwalikan bapa saudaranya.
"Fazurina langsung tidak memaklumkan mengenai perkahwinan tersebut kepada keluarganya malah telah menghilangkan diri selama sebulan tanpa khabar berita.
"Kami sangat terkejut dan kecewa dengan tindakannya yang membelakangkan keluarga terutama ibunya," jelasnya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, sumber memberitahu, pihak keluarga perempuan ada menerima mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu yang menjadi saksi pernikahan bagi memaklumkan majlis berkenaan.
Malah dalam SMS tersebut, individu itu meminta supaya ibu Fazurina bersabar dan reda dengan perkahwinan yang dilakukan secara sembunyi tanpa pengetahuan keluarga itu.
"Jika benar mereka ingin berkahwin mengapa tidak berjumpa dengan ibunya untuk meminta restu.
"Ibunya sangat kecewa dengan tindakan Fazurina bernikah tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu.
"Malah pihak kami tidak mengenali dan berjumpa keluarga pihak lelaki," ujarnya.
Sementara itu, usaha untuk menghubungi Fazurina bagi mendapatkan penjelasan gagal kerana dia mungkin masih mahu merahsiakan majlis itu.
- ---

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Produksi filem perlu daftar dengan persatuan

Posted: 20 Dec 2012 04:07 AM PST

[unable to retrieve full-text content]KUALA LUMPUR 20 Dis. - Bermula Januari 2013, semua produksi tempatan dan luar yang mahu menjalankan pengambaran di negara ini perlu memastikan semua pihak yang terlibat berdaftar dengan persatuan-persatuan...

Artis muncul di TV perlu patuhi etika berpakaian

Posted: 20 Dec 2012 12:54 AM PST

[unable to retrieve full-text content]KUALA LUMPUR 20 Dis. - Artis yang terlibat dalam penerbitan program untuk tayangan di stesen televisyen perlu mematuhi etika berpakaian yang ditetapkan beberapa kod etika dan garis panduan, kata Timbalan...

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Seksi suami suka

Posted: 19 Dec 2012 03:32 PM PST

Zila Bakarin selesa berimej berani, tak tersinggung dek cercaan

Sejak dulu, imej seksinya memang menjadi bualan dan perhatian ramai. Justeru, jika ada yang mencerca serta berasa sakit di mata apabila memandang penampilan dirinya, pelakon, Zila Bakarin, tidak mudah melatah.

Bagi wanita ini, biarlah apa saja kata orang, dia tetap menjadi dirinya. Asalkan semua itu tidak menjejaskan periuk nasi sebagai anak seni, segala cemuhan dan pandangan serong diberikan ditelannya begitu saja.

Zila juga mengaku dia tidak pernah tersinggung apabila ada yang melabelkan dirinya sebagai artis murahan. Apatah lagi dia tidak berpura-pura, kerana di luar lokasi mahupun dalam lakonan, begitulah cara dia berpakaian. Pada masa sama, suaminya, Azri Izhar, juga tidak menghalang.

Bagi ibu kepada dua cahaya mata, Kaseh, 3, dan Chinta, lima bulan, setiap orang punya cara tersendiri dalam menterjemahkan gaya penampilan. Selagi tidak menjejaskan hubungan dalam rumah tangga dan kerjaya, dia selesa dengan imejnya sekarang.

Walaupun usianya sudah menjangkau 37 tahun, Zila tidak sekali-kali berasa ingin berubah meskipun watak lakonannya kini lebih kepada seorang ibu serta wanita jahat.

"Kalau dulu memang seksi habis. Selagi boleh nampak dan menonjol, selagi itu Zila akan buat, tetapi sekarang sudah kurang sikit sebab watak pun lebih kepada ibu, jadi elemen seksi itu sudah kurang" katanya.

Seronok dapat watak bertudung
Begitupun, tidak selamanya dia mengenakan imej seksi kerana ada antara stesen televisyen amat menitik beratkan soal penampilan, yang tidak melanggar syarat penyiaran. Dalam hal ini, Zila turut bangga apabila bakatnya juga dipandang stesen TV AlHijrah.

Julung kali menyarung jubah dan berhijab nyata memberikan pengalaman berbeza buat Zila. Malah dia menganggap itulah peluang yang sudah lama diinginkan.

"Bila dapat tawaran ini, Zila rasa bangga dan seronok kerana dapat pakai jubah dan tudung. Ia nyata menampakkan kelainan dan itulah yang Zila inginkan.

"Zila tak kisah apa orang nak cakap pasal penampilan. Yang penting suami suka. Kalau Zila bertudung dan bertutup, tetapi hati tak baik dan mulut masih lancang, tak guna juga," katanya.

Akui wanita ini, seperti insan lain, dia juga punya perasaan segan tatkala berada dalam kelompok pelakon muda. Saat itu, dia harus menjaga gaya penampilannya agar tidak keterlaluan. Malah, ketika ditemui pada sesi ramah mesra drama bersiri Setia Hujung Nyawa, gaya penampilannya sedikit tertutup walaupun masih menampakkan sisi seksinya.

Dalam drama 24 episod itu, dia melakonkan watak antagonis, Datin Adibah. Katanya, dia sukakan watak sedemikian yang dirasakan sesuai dengan diri dan gaya penampilannya.

"Zila tak suka watak baik kerana muka pun sudah nampak jahatnya. Kalau jadi emak pun, mesti watak itu ada perasaan benci serta dendam kerana karakter sebegini akan meninggalkan kesan kepada penonton," ujarnya.

Menyesal suntik wajah

Mengaku dirinya mengambil suntikan kecantikan, Zila bagaimanapun kesal atas perubahan wajahnya.

"Zila buat muka empat tahun lalu, tetapi sekarang tidak lagi. Memang kini Zila menyesal kerana terlampau mengikut orang. Sekarang, bila Zila tengok balik, wajah Zila dulu lagi cantik," katanya.

Harapan Baby Shima

Posted: 19 Dec 2012 03:28 PM PST

Bekas Bintang Idola BH tunggu radio putarkan single Tak Sabar, enggan imej disamakan artis K-pop

Penampilan dan persembahan bintang baru ini tak ubah seperti artis K-pop. Malah klip video single sulungnya yang berjudul Tak Sabar juga persis artis dari Korea.

Tidak mahu disamakan dengan artis lain atau jauh sekali dituduh meniru gaya artis Korea, Baby Shima mendakwa dirinya ada identiti sendiri. Malah, katanya dia sudah lama berimej sedemikian sebelum menjadi penyanyi.

Biar apa pun tanggapan peminat terhadap gaya penampilan dan persembahannya, Shima mahu melihat karyanya diterima peminat muzik terutama golongan remaja.

"Penampilan saya amat sesuai dengan lagu sebab catchy dan ia suatu kelainan berbanding artis lain. Setahu saya, belum ada artis yang tampil dengan gaya begini dan sasaran saya adalah peminat remaja," katanya yang mahu terus menghasilkan lagu berkonsep catchy.

Album penuh April depan

Bekas juara Bintang Idola BH (BIBH) 2010 ini cukup bertuah kerana bernaung di bawah label KRU Studios. Baby Shima diletak di bawah pengurusan Aico Empire Group milik Adam AF yang dianggap mampu mengubah impiannya dalam industri seni.

Bakal menghasilkan album sulung pada April depan, Shima bernasib baik kerana album itu mendapat sentuhan beberapa komposer terkenal seperti Edry Abdul Halim, Azmeer, Cat Farish dan Adam AF.
"Saya jangka ada lima hingga lapan lagu baru termasuk single Tak Sabar dalam album itu kelak. Apa yang pasti, perbezaan saya berbanding penyanyi lain adalah dari segi tarian selain lagu yang dikatakan 'comel'.

Mendapat bimbingan koreografi daripada kumpulan VIP dan guru tari, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli ini pada mulanya kurang pandai beraksi di pentas persembahan.

Sejak memenangi BIBH, nama Baby Shima mula mendapat tempat di hati peminat cilik yang gemarkan lagunya meskipun sukar untuk didengari di stesen radio.

Lantas, dirinya kecewa kerana ada stesen radio swasta dikatakan tidak mahu memutarkan singlenya itu. Namun, ia tidak mematahkan semangat gadis dari Johor ini untuk terus mengejar impian dalam dunia seni.

"Sudah lebih sebulan saya menghantar single Tak Sabar ke stesen radio, entah kenapa sampai sekarang ia masih belum diputarkan di kebanyakan stesen radio. Bukanlah semua stesen radio, sebaliknya ada stesen radio yang sudi memainkan lagu itu.

"Perasaan kecewa itu memang ada, tetapi nak buat macam mana jika itu kehendak mereka. Walaupun sukar didengari di radio, tetapi jika pergi ke mana-mana, peminat kenal siapa saya," katanya yang muncul dengan single Tak Sabar, Mei lalu.

Rabu, 19 Disember 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Kamal Adli Dan Intan Ladyana Belum Rancang Kahwin

Posted: 19 Dec 2012 05:38 PM PST

Kamal Adli
PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah jemu dan tidak larat lagi untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan mengahwini kekasihnya aktres Intan Ladyana.
Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, soalan mengenai perancangan berkahwin yang berulang-kali diajukan kepadanya dan Intan menyebabkan mereka berasa 'letih' untuk memberikan penjelasan.
"Soalan ini (kahwin) sudah banyak kali dan tidak henti-henti ditanya baik kepada saya atau pun Intan. Sebagaimana saya, dia juga sudah tidak larat untuk jawab soalan ini.
"Tak guna nak sorok kalau memang kami nak berkahwin. Masalahnya, kami belum bersedia dan tiada perancangan lagi buat masa ini," katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu.
Kamal berkata, keutamaan mereka pada waktu ini adalah mengembangkan kerjaya masing-masing memandangkan keluarga kedua belah pihak tidak mendesak agar mereka segera disatukan.
"Saya baru sahaja bergerak sendiri selepas keluar daripada pengurusan MIG. Biarlah saya bina kerjaya semula buat masa ini.
Intan Ladyana
"Begitu juga dengan Intan. Dia juga mahu mengukuhkan kerjayanya. Lagi pun, keluarga memahami dan tidak mendesak agar kami segera berkahwin," jelasnya.
Sementara itu Intan berkata, soal berumahtangga adalah menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk menentukannya.
Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahya, 30, berkata, sebagai wanita adalah tidak manis sekiranya dia yang banyak bercakap mengenai perancangan itu.
"Saya serahkan kepada Kamal. Biarlah dia yang bercakap mengenai hal itu. Saya tak mahu komen apa-apa kerana tak manis kalau pihak perempuan yang bercerita soal itu (kahwin)," katanya.
Jelasnya lagi, walaupun sudah empat tahun menjalinkan cinta namun kata Intan bukan mudah untuknya bergelar isteri orang disebabkan komitmen yang bakal diberi.
Ujarnya, komitmen kerja juga antara penyebab mereka tidak terlalu serius untuk memikirkan hal demikian.
"Kalau kita dah kahwin, nak kena jaga makan minum suami dan uruskan rumah tangga dengan baik. Ia bukan mudah kalau kita tidak bersedia," jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mencintaimu untuk siaran RTM.
- ---

Shakilla Koriri Disuruh Pakai Seksi

Posted: 19 Dec 2012 05:34 PM PST

Shakilla gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa 
KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Koriri mengakui ada segelintir pihak pernah mencadangkan agar dia berimej seksi dan mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dengan mudah.
Shakilla, 23, berkata, walaupun percaya cara itu mampu menaikkan namanya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri lakonan tempatan, dia tetap dengan pendiriannya untuk menapak secara perlahan.
"Memang ada yang memberi cadangan untuk mereka-reka kontroversi agar saya lebih mudah diberi perhatian. Tetapi untuk apa? Adakah kedudukan kita itu akan berkekalan selama-lamanya?
"Bagi saya biarlah lambat asalkan orang kenal kita daripada hasil kerja kita atau paling tidak, perkara-perkara positif yang ditonjolkan.
"Saya percaya, apabila orang dah mula kenal siapa saya, itu tandanya kerja kita semakin berkualiti kerana ia mula dipandang umum serta daripada golongan industri," katanya.
Tambah Shakilla, dia gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa yang turut menampilkan Aaron Aziz dan Nadia Nissa menjadi tumpuan umum.
Malah pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikut nasihat Nadia untuk tidak terlalu terburu-buru mengejar perhatian ramai.
"Diakui saya tidak boleh nak tipu diri sendiri apabila hasil usaha selama enam tahun dalam industri hanya dipandang sebelah mata.
"Tetapi apabila orang dah mula kenal, perasaan takut pula muncul. Saya risau sekiranya populariti yang diraih membuatkan saya lupa diri.
"Saya sering pesan kepada keluarga dan rakan-rakan rapat supaya mengingatkan diri ini sekiranya saya terlajak daripada landasan sebenar dalam bidang ini," tuturnya.
Dalam perkembangan lain, Shakilla bakal muncul menerusi drama Erna Shuraya bergandingan dengan pelakon Tasha Shila dan Amran Ismail yang akan disiarkan pada 1 Januari 2013 di TV2.
Ia turut menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Shukri Mahari, Sharin Bali dan Norakmalina Iskandar.
- ---

Chef Riz Secara Rasmi Lepaskan Ana Dahlia Talak Satu

Posted: 19 Dec 2012 05:28 PM PST

Perkahwinan Ana dan Chef Riz gagal dipertahankan apabila mereka membuat keputusan untuk bercerai.
PETALING JAYA: Teka-teki mengenai status pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz terjawab apabila kedua-dua mereka bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor dekat sini pada 10 Disember lalu.
Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengesahkan perkara itu secara ringkas ketika dihubungi  di sini, pada petang Rabu.
"Benar, kemelut perhubungan kami sudah selesai. Kami telah pun bercerai talak satu secara sah," katanya ringkas kerana sibuk berada di gimnasium.
Keretakan perkahwinan pasangan tersebut mula dihidu pada Oktober lalu selepas Ana dan Riz dikatakan sedang menghadapi masalah rumah tangga walaupun perkahwinan mereka belum menjangkau setahun lagi.
Penceraian itu dikatakan berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka selain perkenalan singkat iaitu selama lapan bulan yang turut menjadi penyebab perpisahan itu.
Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar dan Riz telah diijabkabulkan pada 11 Disember 2011.
Ia adalah perkahwinan kedua buat Ana.
Sementara itu, Ana yang dihubungi pula berkata, dia berasa sedikit sunyi sejak berpisah dengan anak lelaki tukang masak selebriti popular Chef Wan itu.
"Saya berasa sunyi sedikit, mungkin kerana saya tinggal bersendirian. Tetapi kesannya tidaklah teruk mana kerana sebelum ini pun saya tinggal sendiri juga.
"Inilah ketentuan dan takdir Tuhan. Saya terima seadanya dan berharap agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah," tuturnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Kerana Lelaki Itu.
Tambah Ana, walaupun kedua-dua mereka telah bercerai, namun dia tidak pernah menganggap Riz sebagai musuhnya dan masih lagi berkawan seperti biasa.
"Saya tidak pernah memusuhinya, kami kawan seperti biasa. Cuma hubungan kami tidaklah seperti dahulu lagi," ujarnya.
- ---

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Sandiwara Shila, Sharnaaz?

Posted: 18 Dec 2012 02:40 PM PST

ND Lala mahu anak tumpu kepada kerjaya, bukan ulas cerita peribadi

Belum reda perihal luahan kasar pelakon, Sharnaaz Ahmad, 27, di laman Twitter gara-gara ucapan kekasihnya, Shila Amzah, 22, ketika Anugerah Planet Muzik (APM) Ahad lalu, sehari kemudian penyanyi itu pula membuat pendedahan sudah menerima lamaran jejaka terbabit.

Seperti drama rantaian dengan aneka konflik, episod turun naik percintaan yang bagai sengaja mahu dipertontonkan kepada umum menerusi laman sosial akhirnya dibiarkan bungkam begitu saja apabila Shila mahu pun Sharnaaz mengambil pendekatan berdiam diri.

Walau si lelaki mendakwa akaun Twitternya digodam dan Shila pula memadamkan status 'lamaran' yang ditulisnya tidak lama kemudian, ia tetap mengundang perhatian ramai.

Selepas usaha mendapatkan kedua-duanya menerusi panggilan serta sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berbalas, kenyataan soal lamaran yang sepatutnya lebih manis tidak dibicarakan secara terbuka itu diajukan kepada bapa Shila, ND Lala.

Harumkan negara lebih penting

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara veteran ini, sebagai insan yang melihat jatuh bangun anak sulungnya itu selama 12 tahun untuk berada pada tahap sekarang, dia lebih selesa andai Shila memberikan tumpuan terhadap kerjaya berbanding hal peribadi.

Menerusi kiriman e-mel, ND atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, berkata dia tidak mahu Shila memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu berikutan tumpuan yang perlu diberikan kepada persiapan rapi untuk ke World Music Awards (WMA) di Miami, Florida, pada 22 Disember ini.
"Terima kasih kepada media, peminat dan masyarakat kerana terus memberi perhatian terhadap kerjaya Shila dan saya melihat tumpuan mengangkat nama baik negara lebih penting daripada hal yang bersifat peribadi.

"Buat masa ini saya tidak mahu Shila memberi ulasan kerana perhatiannya lebih kepada WMA memandangkan dia dicalonkan untuk kategori Artis Wanita Terbaik dan Penghibur Terbaik, sekali gus sejarah bagi industri muzik kita di mata dunia," katanya.

Bersaing dengan Siti, Adele

Selain Shila, Datuk Siti Nurhaliza turut terpilih sebagai wakil negara bagi edisi ke-23 WMA yang menampilkan lebih 200 selebriti terkenal dunia merebut trofi daripada sembilan kategori dipertandingkan.

Bagaimanapun, Siti hanya dicalonkan dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang menyaksikan persaingan dengan Madonna, Adele, Taylor Swift, Pink, Kelly Clarkson, Alicia Keys serta lebih 30 penyanyi antarabangsa lain.

Pada masa sama, ND juga memberi penegasan bahawa hal peribadi yang boleh ditatap orang lain adalah tidak wajar dan secara tidak langsung seakan merujuk kepada keterbukaan anaknya di laman sosial.

Tiket konsert laris

Posted: 18 Dec 2012 02:34 PM PST

Peminat Anuar boleh dapatkan harga diskaun sehingga hari ini

Seperti dijangka, apa saja persembahan membabitkan Anuar Zain, peminat tegar penyanyi ini tidak akan pernah berkira. Semahal manapun harga tiket persembahannya, mereka tetap akan keluarkan duit kerana masing-masing tahu, ia amat berbaloi.

Justeru tidak hairanlah sebaik saja tiket konsert Tiga Dekad Muzik Cinta Dan Sanubari, yang bakal dijayakan penyanyi bervokal mantap ini mula dijual, sambutan diterima cukup menggalakkan.

Tiketnya pula bukan calang-calang harga. Paling tinggi ialah RM698 bagi kategori Platinum, yang boleh dikatakan setaraf dengan harga tiket konsert artis antarabangsa.

Mengulas lanjut mengenai jualan tiket, Pengurus Promosi konsert berkenaan, Sam Kassim, mengingatkan peminat Anuar supaya segera mendapatkannya kerana hari ini ialah hari terakhir tiket berkenaan dijual dengan harga potongan sebanyak 15 peratus.

"Hari ini ialah hari terakhir untuk peminat mendapatkan semua tiket dengan harga diskaun, kecuali untuk tiket berharga RM138, yang dijual pada harga biasa. Sehingga kini 40 peratus tiket sudah pun dijual," kata Sam ketika dihubungi HIP.

Harga lain ialah RM598 (Gold), RM398 (Silver), RM298 (Bronze), RM138 dan RM88 (Palladium B). Ia boleh didapati di TicketCharge (www.ticketcharge.com.my).

Pakej 3Dekad 1Destinasi
Menyedari peminat penyanyi yang semakin popular menerusi lagu Ajari Aku ini datang dari seluruh pelusuk negara, termasuk dari Singapura, penganjur turut menyediakan khidmat pengangkutan awam yang dinamakan pakej 3Dekad 1Destinasi.

Bercerita mengenai pakej ditawarkan itu, Anuar berkata, ia program eksklusif bagi memberikan pengalaman istimewa buat peminatnya yang berada di luar Kuala Lumpur untuk sama-sama rasai pengalaman menarik ketika menyaksikan konsert berkenaan.

"Kami menyediakan pengangkutan untuk perjalanan dua hala (pergi dan balik) lengkap dengan jamuan ringan dan cenderahati," katanya mengenai fasa pertama pakej itu yang meliputi kawasan Kota Bahru, Jerteh, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Singapura.

Peminat boleh melayari laman rasmi www.facebook.com/3Dekad1Destinasi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tempahan.

Tayangan sambungan Ajari Aku

Mengulas lanjut mengenai konsert berskala mega itu, Anuar, 42, berkata selain menjanjikan persembahan menarik dan mampu memberi kepuasan kepada peminat, acara itu juga bakal menyaksikan bintang lelaki ini menayangkan sambungan kepada video muzik Ajari Aku.

"Memandangkan ramai yang bertanya apa kesudahannya cerita dalam video klip Ajari Aku, kami memutuskan untuk menayangkan sambungan video muzik itu melalui lagu Sempurnakan Aku dan ia akan ditayangkan secara eksklusif pada konsert terbabit.

"Ia hasrat saya sendiri yang mahukan ia ditayang pada konsert itu sebagai hadiah untuk peminat yang akan bersama-sama saya pada malam itu," ujarnya mengenai klip baru untuk lagu terbabit.

Konsert yang meraikan tiga dekad pembabitan penyanyi itu dalam bidang seni akan berlangsung pada 16 Februari 2013, jam 8.30 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil.

My Gosip .com | Gosip Artis Malaysia Terkini Dan Gambar Artis Malaysia

My Gosip .com | Gosip Artis Malaysia Terkini Dan Gambar Artis Malaysia


Gambar Percutian Neelofa Dan Keluarga Di Dubai

Posted: 18 Dec 2012 10:56 PM PST

keluarga Neelofa di Dubai
Jika Anda masih ingat, ketika Neelofa dilanda kontroversi dengan designernya, Neelofa enggan memberi sebarang komen kerana tidak mahu merosakan mood bercutinya ke Dubai bersama keluarga.. Pengacara "Meletop" ini dikatakan telah bertolak ke Dubai bersama keluarganya sekitar minggu lepas dan sempat berkongsi gambar percutiannya bersama keluarga bersama peminat..

Apa yang boleh kami lihat, Neelofa dan keluarga begitu gembira dan menghayati percutian disana.. Tanpa membuang masa lagi, Jom kita layan beberapa keping gambar Neelofa dan keluarga dibeberapa tempat pelancongan menarik di Dubai kat bawah ni..

Selasa, 18 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Anugerah terbaik

Posted: 17 Dec 2012 03:33 PM PST

Kelahiran Putri Nur Fatehah lengkapkan rumah tangga Nora, Johan

Ketika namanya diumumkan sebagai penerima trofi Lagu Nasyid Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2012, 17 November lalu, penyanyi, Nora, terlebih dulu menerima anugerah begitu berharga dalam hidupnya.

Kelahiran anak keempatnya bersama komposer, Johan Nawawi, umpama melengkapkan lagi mahligai bahagia yang dibina sejak 20 tahun lalu.

Kehadiran bayi perempuan yang baru berusia sebulan, Putri Nur Fatehah, itu juga melengkapi kuota dua pasang cahaya matanya iaitu Syakir Iman (19), Syakir Alif (13) dan Putri Nur Dahlia (8).

Nora yang bersyukur dengan kurniaan empat cahaya mata dalam hidupnya itu berkata, kini tumpuannya adalah untuk membesarkan mereka dengan sebaik-baiknya.

"Saya mahu membesarkan dan mendidik anak-anak dengan sempurna. Pada zaman yang serba moden ini, menjadi cabaran besar buat ibu bapa untuk mendidik anak-anak.

"Untuk membesarkan mereka mungkin tidak menjadi masalah, tetapi untuk mendidik anak kita agar menjadi insan yang berguna sememangnya tanggungjawab yang amat besar," katanya yang ditemui pada majlis cukur jambul anak bongsunya di Petaling Jaya, kelmarin.

Anak doa supaya hamil
Nora turut memanjatkan kesyukuran kerana sejak awal proses kehamilan sehingga bayi berkenaan dilahirkan, semuanya dipermudahkan.

"Hamil pada usia 39 tahun cabaran yang besar buat wanita. Namun saya bersyukur segala-galanya dipermudahkan - dari tempoh hamil sehinggalah saya selamat melahirkan Putri Nur Fatehah pada 16 November lalu.

"Kelahiran ini sangat dinantikan semua anak-anak, terutama Putri Nur Dahlia, yang teringin sangat memiliki adik perempuan. Setiap kali solat, dia tidak putus-putus berdoa agar saya mengandung.

"Sepanjang waktu hamil pula, anak-anak juga yang menjaga makan minum dan sangat mengambil berat mengenai kesihatan saya, termasuklah selepas bersalin serta ketika berpantang," katanya yang semakin sihat dan kuat, biarpun dalam tempoh berpantang.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan proses kelahiran anaknya sebelum ini.

Tak sempat meriahkan AIM

Turut diadakan sekali pada hari itu ialah majlis kesyukuran atas kejayaannya pada AIM 2012, baru-baru ini.

Nora, yang dicalonkan dalam empat kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik dan Album Terbaik, sebenarnya memasang impian untuk hadir sama pada majlis anugerah itu.

Sebelum tiba malam yang dinantikan, Nora terlebih dulu ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kandungan kerana dibimbangi berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika majlis berlangsung.

"Memang saya teringin sangat untuk hadir kerana anak-anak juga dicalonkan dalam kategori Artis Nasyid Terbaik di bawah Voice Of Ummi. Sehari sebelum itu (16 November) saya membuat pemeriksaan di hospital dan doktor terus menahan saya kerana katanya, masanya sudah tiba untuk saya melahirkan.

"Walaupun hanya berpeluang dapat menonton di televisyen, namun saya bersyukur dengan kemenangan itu dan berbangga kerana anak-anak yang mewakili saya menerima anugerah terbabit," katanya.

Rindu peminat

Posted: 17 Dec 2012 03:29 PM PST

Erra Luang masa dekati ahli kelab BE

Bukan saja Erra Fazira, 38, malah anaknya, si cinta hati, Engku Aleesya Engku Emran turut menjadi perhatian ramai. Ini yang dilihat pada majlis minum petang bersama pelakon jelita itu anjuran kelab peminatnya, Bersama Erra (BE) di Restoran Puteri, Sungai Penchala, kelmarin.

Gelagat si comel yang genap empat tahun, Mac depan membuatkan ramai peminat menahan geram dan tidak sabar bergambar dengannya. Apatah lagi, majlis itu dihadiri kira-kira 100 peminat bertuah Erra yang mengambil kesempatan mendekati aktres kesayangan pada majlis penuh intimasi.

Pada sesi itu, Erra begitu asyik melayan peminatnya. Setiap meja makan disinggahi pengacara program bual bicara, Primadona di saluran Astro Prima itu. Sesekali ada ruang bertemu orang ramai, Erra tak akan lepaskan peluang menghargai peminat yang menjadi tulang belakang kepada kerjaya seninya.

Erra tiba di Restoran Puteri hampir jam 3.30 petang ditemani Aleesya. Bertemakan warna merah jambu dan putih, majlis itu tanpa dirancang 'memaksa' Erra menyumbangkan suara menyanyi beberapa lagu hitnya seperti Pertemuan, Hanya Di Mata dan Jendela Hati.

"Seingat Erra, kali terakhir Erra bersama peminat dalam majlis seumpama ini hampir 10 tahun lalu. Alhamdulillah, akhirnya majlis ini berjaya dianjurkan. Erra bertuah kerana majlis ini dapat direalisasikan dengan bantuan bekas kakitangan Erra, penari dan peminat.

"Erra terharu sehingga kini peminat masih tak putus-putus memberi sokongan sekali gus sesuai dengan tagline BE iaitu 'Dulu, Kini dan Selamanya'," kata Erra.

Berlakon watak ustazah
Mengenai kerjaya seninya, tidak lama lagi Erra akan sibuk di lokasi filem Longkai terbitan Metrowealth (MIG). Filem itu diarah Hashim Rejab serta turut dibintangi Faizal Hussein, Dira Abu Zahar dan Wawa Zainal. Erra memberitahu, dia akan memegang watak pembantu iaitu sebagai ustazah dalam filem itu.

"Sejak dulu lagi, ia bukan suatu isu bagi Erra memegang watak pembantu. Malah ketika Erra asyik diberi peluang sebagai teraju utama, Erra sendiri pernah meminta watak pembantu," katanya yang kali terakhir bersama MIG kira-kira tiga tahun lalu melalui drama Mentua VS Menantu dan Aqasha.

Mengalih cerita dalam dunia pengacaraan pula, Erra memberitahu, dia baru saja selesai rakaman 13 episod program Primadona bersama Rozita Che Wan, Ziela Jalil dan Raja Azura dan rakaman musim baru akan bermula bulan depan.

Jika masih ingat, Erra pernah mengacarakan program Fesyen Tempo pada 2002 yang diterbitkannya sendiri. Sehubungan itu, bidang pengacaraan bukan terlalu asing buatnya.

"Namun, Erra masih dalam peringkat belajar selain cuba mencipta keserasian dengan tiga lagi pengacara. Malah, kalau mahu dibandingkan daripada episod pertama hingga kini, ada perbezaan yang boleh dibanggakan secara peribadi.

"Erra mengacarakan Primadona pun secara kebetulan. Ia tak dirancang langsung dalam agenda seni Erra. Tapi dengan kepercayaan yang diberi, Erra cuba memberi yang terbaik. Siapa tahu barangkali selepas ini, Erra akan kembali mengacara secara solo pula," kata Wajah Eksklusif Astro itu.

Serah pada peminat tentukan nasib pada ABPBH 2012

Ditanya mengenai namanya yang tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 untuk tiga kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, Erra reda dan berserah selagi peminat mahu dia berada di kelompok Top 5.

"ABPBH sudah menjadi penanda aras untuk kerjaya seni artis. Erra melihat ABPBH perlu dijadikan sasaran terutama untuk artis baru dalam melebarkan sayap. Bagi Erra, ia suatu rezeki jika terpilih," kata Erra.

BE kini ditadbir penari Erra iaitu Imam Hussein. Untuk maklumat lanjut layari Facebook BE dengan menaip Bersama Erra atau Twitter @bersamaerra.

My Gosip .com | Gosip Artis Malaysia Terkini Dan Gambar Artis Malaysia

My Gosip .com | Gosip Artis Malaysia Terkini Dan Gambar Artis Malaysia


Zahid ERA fm Selamat Merisik Kekasih Hati

Posted: 17 Dec 2012 09:11 PM PST

zahid dan kekasih
Sudah lama kita tidak mendengar berita mengenai Zahid Baharudin atau lebih dikenali sebagai Zahid AF2, Tiba-tiba sahaja Zahid dikatakan telah selamat merisik teman wanitanya, Sarah Julifa dalam satu majlis merisik yang hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat sahaja.. Pada majlis merisik tersebut, Zahid telah memberi 7 dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan..

Melalui laman rasmi Era.fm, zahid menerangkan mengenai ciri-ciri yang membuatkan Zahid terpaut kepada bakal isterinya itu, katanya adalah kerana Sarah pandai memasak dan membuat kek. Tambahan lagi, personaliti Sarah yang sekepala dengannya membuatkan beliau benar-benar jatuh cinta.

Tarikh perkahwinan Zahid masih menjadi misteri dan hanya akan diumumkan apabila tiba masanya nanti.

"InsyaAllah tahun depan bulan 6, tapi tarikhnya saya akan beritahu nanti lah, surprise!" tambah Zahid lagi.

Tahniah buat Zahid kerana telah melangkah ke satu hubungan yang lebih serius.. Kami doakan semoga Zahid dan kekasihnya akan berkekalan sehingga ke jinjang pelamin nanti… Apa-apa pun jom layan sebuah video temubual eksklusif bersama Zahid mengenai merisik ini yang disediakan oleh ERA…

Acong Sweet Child Selamat Bernikah Setelah 10 Tahun Menduda

Posted: 17 Dec 2012 07:35 PM PST

acong sweet child nikah
Tahniah MyGosip ucapkan buat Acong Sweet Child kerana telah selamat bernikah dengan Marya Zuraida pada hari Sabtu yang lalu di Masjid Sultan Abdul Halim Sungai Petani, Kedah.. Dengan hanya sekali lafaz sahaja mereka berdua telah menjadi suami isteri yang sah.. Hampir 400 orang tetamu yang telah hadir ke majlis pernikahan Acong dan Marya bagi memeriahkan lagi majlis tersebut..

Pada majlis pernikahan tersebut, Acong telah menghantar tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dulang oleh pengantin perempuan sementara mas kahwin pula sebanyak RM2,000.. Bagaimanapun, mereka berdua enggan mendedahkan jumlah wang hantaran.

Acong juga sempat berkongsi cerita bahawa hatinya mula terbuka untuk berumah-tangga setelah 10 tahun menduda apabila dia melihat ramai rakan-rakanya yang telah mempunyai keluarga sendiri..

"Saya ambil keputusan untuk berkahwin kerana keinginan untuk berumah tangga semakin memuncak apabila melihat rakan-rakan saya sedang bahagia dengan anak-anak dan keluarga mereka sedangkan saya masih hidup seorang selepas 10 tahun menduda

"Sejak mengenali Marya, saya berasa selesa dengannya kerana kami berkongsi banyak persamaan dan dia memahami serta menyokong kerjaya saya," katanya yang teruja kerana mendapat 'anak ekspres' daripada perkahwinan itu.

Manakala Marya pula menjelaskan bagaimana perkenalanya dengan Acong kira-kira 14 tahun yang lalu telah bertukar menjadi hubungan yang lebih serius..

"Kami kenal ketika saya berusia 17 tahun pada 1998 di Kuantan, Pahang. Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan membantu Acong dan kumpulan Sweet Child menjual album ketika mereka mengadakan promosi di sana.

"Bagaimanapun, kami hanya kawan biasa ketika itu dan tidak lagi berjumpa. Kami bertemu semula pada dua tahun lalu menerusi Facebook.

"Pada peringkat awal perkenalan kami, saya tidak terfikir ia akan jadi serius sehinggalah Acong meluahkan hasrat untuk memperisterikan saya pada Disember tahun lalu," katanya..

Tambah Marya lagi, pintu hatinya terbuka untuk berumah tangga semula selepas lima tahun bergelar ibu tunggal kerana dia terpikat dengan sikap Acong yang kuat bekerja dan menerima anak perempuannya Qistina Yasmin yang berusia enam tahun seadanya..

Sumber:Mstar

Isnin, 17 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Intai peluang

Posted: 16 Dec 2012 03:07 PM PST

Ummi Nazeera pukau pembikin filem Asia Pasifik pada FFAP 55 di Macau

Anggun berbaju kebaya rekaan moden rona kuning, kemunculan pelakon hitam manis, Ummi Nazeera di bilik menunggu ketika acara Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) Ke-55 yang berakhir di Macau, malam kelmarin, memukau mata delegasi lain antaranya dari Jakarta, Seoul dan Tokyo.

Gadis ini juga tidak kekok berbual mesra dengan mereka walaupun kali pertama bersua muka. Pelakon yang mewakili filem Hikayat Merong Mahawangsa ini nyata begitu teruja kerana dapat mewakili negara ke sebuah festival bertaraf antarabangsa.
Selain dapat melihat bagaimana festival di luar negara dianjurkan, saya juga dapat kawan baru," Ummi Nazeera, Pelakon

"Saya seronok kerana ini pengalaman baru buat saya. Selain dapat melihat bagaimana festival di luar negara dianjurkan, saya juga dapat kawan baru, Pevita Pearce iaitu pelakon filem 5 Sentimeter dari Indonesia.

"Sebenarnya, saya baru mengenalinya, mungkin kami serasi kerana saya berkawan dengan salah seorang rakannya yang sama-sama berlakon dalam filem itu. Jadi, mungkin itu yang membuatkan kami mudah mesra," katanya.

Ummi Nazeera juga dapat berkenalan dengan ramai penerbit filem dari negara peserta yang lain.

"Ada antara mereka menyatakan hasrat untuk bekerjasama tetapi saya tidak mengambil serius kata-kata mereka kerana kami hanya sempat bertukar-tukar kad saja," katanya.
Tak sempat berlibur di Macau

Empat hari berada di Macau, gadis ini mengakui tidak banyak aktiviti dapat dilakukan. Malah, dia tidak sempat bersiar-siar di kota pelancongan itu.

Sepanjang berada di Macau, seperti delegasi lain, Ummi Nazeera juga berdepan masalah utama iaitu kesukaran mendapatkan makanan halal.

Bagaimanapun, ia tidak sedikitpun menerbitkan rasa kesal di hati gadis ini untuk mengikuti rombongan yang dibawa oleh Perbadanan Filem Nasional (FINAS) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) ini.

Selain itu, Ummie tidak kisah dengan kepayahan yang terpaksa ditempuhi berikutan penganjuran FFAP 55 yang dilihat tidak teratur dan kelam kabut.

"Ini kali pertama Macau diberi peluang menganjurkan FFAP, jadi kesilapan teknikal bagi saya adalah sesuatu yang normal.

"Kita tidak harus menyalahkan mereka, malah kita harus terus menyokong penganjuran festival ini supaya filem kita dapat terus ke depan.

"Siapa tahu, jika kita terus menghasilkan filem berkualiti, tidak mustahil suatu hari nanti filem kita dapat menjengah pasaran lebih besar seperti Hollywood," katanya.

Tak patah semangat

Biarpun gagal meraih trofi pada Festival Filem Asia Pasifik ke-55 (FFAP 55) yang berakhir di Macau, malam kelmarin, ia tidak mematah semangat delegasi Malaysia untuk menyertai festival sama termasuk acara penganugerahan peringkat antarabangsa lain, pada masa depan.

Sebaliknya, kekalahan itu menjadi pembakar semangat penerbit, pengarah serta pelakon untuk memberi persembahan terbaik pada masa akan datang.

Filem Bunohan terbitan Apparat Sdn Bhd dan Songlap (Grand Brilliance) yang menjadi harapan delegasi Malaysia yang berkampung di Macau sejak Khamis lalu, gagal membawa pulang sebarang trofi dari lima kategori yang dipertandingkan.

Filem Bunohan bersaing dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Sinematografi Terbaik. Manakala filem Songlap berentap dalam kategori Lakon Layar dan Muzik Terbaik.

Pengarah Bunohan, Dain Said berkata, beliau tidak kecewa malah tidak menganggap kekalahan sebagai satu kegagalan.

"Saya tidak mahu memburu kemenangan, tetapi jika itu keputusannya, saya terima dengan senang hati," katanya kepada HIP.

Dain berkata, dia tidak takut kepada kekalahan.

"Bagi saya, tiada yang perlu dimalukan kerana yang lebih penting filem ini dapat bertanding selain filem hebat dari rantau Asia Pasifik," katanya.

Filem Hong Kong bolot empat trofi

Selain Bunohan dan Songlap, Malaysia turut menghantar tiga filem lain iaitu Hikayat Merong Mahawangsa, Nur Kasih The Movie dan Ombak Rindu. Tetapi ketiga-tiga filem itu gagal melangkah ke Top 5.

FFAP yang memasuki edisi ke-55, pertama kali dianjurkan di Macau. Sebelum ini, FFAP diadakan dua tahun berturut-turut di Taiwan.

Sementara itu, filem dari Hong Kong membolot empat anugerah dari 12 kategori yang dipertandingkan iaitu Filem Terbaik (Life Without Principle); Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Lo Hoi Pang/Life Without Principle); Suntingan Terbaik (Cold War) dan Bunyi Terbaik (The Silent War).

Tahun ini, acara yang berlangsung di Cotai Arena, Hotel The Venetian itu menyaksikan penyertaan dari 23 ahli bersekutunya seperti India, Korea, Jepun, Singapura, Thailand, Australia, Indonesia dan Iran.

Keputusan peringkat akhir dinilai tujuh juri iaitu dengan Pengarah Bahagian Festival Filem Antarabangsa Cannes, Christian Juene diundang sebagai Ketua Juri.

Artis yang mewakili negara pada FFAP 55 ialah Maya Karin, Shaheizy Sam, Bront Palarae, Ummi Nazeera dan Shafie Naswip.

Keputusan

Filem Terbaik
Life Without Principle (Hong Kong)

Pengarah Terbaik
Hirokazu Kore-eda (I Wish/Tokyo)

Pelakon Lelaki Terbaik
Eddie Garcia (Bwakaw/Manila)

Pelakon Wanita Terbaik
Gwei Lun Mei (GF.BF/Taipei)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik
Lo Hoi Pang (Life Without Principle/ Hong Kong)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik
Watanabe Makiko (Capturing Dad/ Tokyo)

Lakon Layar Terbaik
Ahmad Reza Motamedi (Alzheimer/Tehran)

Sinematografi Terbaik
Jake Pollock (Starry Starry Night)

Suntingan Terbaik
Kwong Chi Leung/Wong Hoi (Cold War/Hong Kong)

Bunyi Terbaik
Traithep Wongpaiboob/ Nopawat Likitwong (The Silent War/Hong Kong)

Muzik Terbaik
Pritam Chakraborty (Barfi/Mumbai)

Pengarah Seni Terbaik
Wasiq Khan (Gang of Wasseypur 1 &2/ Mumbai)

Jurassic Park 3D temui penonton tahun depan

Posted: 16 Dec 2012 03:01 PM PST

Ketika asyik melayari internet untuk melihat senarai filem besar Hollywood yang akan ditayangkan sepanjang tahun depan, tiba-tiba mata saya tertangkap pada sebuah judul yang sememangnya menjadi kegemaran saya dari dulu sampai sekarang. Hati saya cukup berbunga apabila dalam senarai yang cukup panjang berkenaan, turut menemui penonton ialah Jurassic Park. Filem hebat ini akan kembali menggegarkan pawagam pada April 2013.

Filem ini bagaikan sebuah fenomena ketika ia mula ditayangkan kepada umum pada Jun 1993. Ketika itu, belum banyak judul yang menggunakan kepakaran imejan janaan komputer (CGI). Begitu juga penggunaan teknologi animatronik yang semakin maju. Apatah lagi apabila pengarahnya, Steven Spielberg, mengetengahkan tema campur tangan manusia dalam kejadian alam semula jadi. Apabila manusia cuba menjadi Tuhan, bencana tidak dapat dielakkan. Kisah haiwan purba yang sudah pupus selama 65 juta tahun, kembali dihidupkan oleh saintis di sebuah pulau, sudah tentu ia umpan terbaik untuk menarik penonton ke panggung pada dekad berkenaan.

Jurassic Park berjaya mencatatkan pungutan kira-kira RM2.8 bilion dari seluruh dunia apabila ia menamatkan tayangan beberapa bulan kemudian, seterusnya muncul judul paling popular di Amerika Syarikat pada tahun berkenaan. Ia juga menduduki tempat ke-24 dalam senarai filem pecah panggung dunia, sehingga ke hari ini. Apabila kejayaan sebegitu besar dicatat menerusi filem sulung, pastinya pihak penerbit inginkan laba yang lebih lagi. Justeru, terhasillah filem susulannya iaitu Lost World: Jurassic Park (1997) dan Jurassic Park III (2001). Khabarnya filem keempat dalam francais dinosaur ini sedang dalam perancangan penerbitan.

Masih saya ingat pengalaman menonton filem lakonan Sam Neill sebagai Dr Alan Grant, Laura Dern (Dr Ellie Sattler), Jeff Goldblum (Dr Ian Malcolm), Richard Attenborough (John Hammond), Ariana Richards (Lex Murphy) dan Samuel L Jackson (Ray Arnold) ini, 19 tahun lalu. Ketika itu, filem ini muncul sebagai perintis dalam sistem bunyi canggih, DTS. Saat itu juga pawagam negara ini turut mula mempertingkatkan sistem bunyi mereka. Lalu, sebuah pengalaman hebat dapat dirasakan penggemar filem pada dekad terbabit, bermula dengan Jurassic Park. Dengan sistem bunyi yang canggih, ngauman haiwan purba didengar dengan lebih jelas serta menakutkan.

Usaha Spielberg membawa aspek bunyi filem ke tahap lebih tinggi nampaknya berbaloi apabila judul terbabit menerima tiga trofi pada Anugerah Academy ke-66. Ia mendapat pengiktirafan dalam kategori teknikal, iaitu Suntingan Bunyi Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik. Filem ini juga mengungguli kategori Kesan Visual Terbaik, hasil kecanggihan teknologi yang digunakan oleh pasukan Spielberg. Maklum saja, bagi mendapatkan naskhah yang kini boleh dianggap klasik, filem berkenaan menelan belanja sekitar RM190 juta untuk disiapkan.

Bukan sekadar aspek teknikal saja yang membuatkan karya Spielberg ini antara judul paling menghiburkan, malah elemen kejutan yang disokong penceritaan kuat turut menjadikannya antara filem kesukaan ramai sampailah sekarang. Babak T-Rex menyerang kereta dinaiki Alan, Ellie serta dua kanak-kanak dalam suasana hujan di kawasan berbecak kukuh melekat di ingatan. Saat itu, nafas penonton turut terhenti apabila watak Lex yang baru saja melepaskan diri daripada kereta yang diterbalikkan dinosaur ganas itu tiba-tiba berdepan makhluk sepanjang 12 meter, dan beratnya mencecah hampir 7 metrik tan berkenaan.

Babak Velociraptor memburu kumpulan yang terselamat di dalam kompleks pengurusan taman tema haiwan purba itu juga amat mendebarkan, terutama apabila kaki seorang kanak-kanak terbabit terjuntai dari siling manakala sang dinosaur pula siap hendak menerkam dari bawah. Ketika itu, usah malu andai kaki anda turut terangkat sama.
Cuma pada tahun depan, filem ini akan lebih berganda debarannya apabila ia ditayangkan dalam format tiga dimensi (3D). Jurassic Park antara judul besar yang akan kembali menemui penonton dalam format berkenaan, selepas kejayaan beberapa filem lain seperti Toy Story dan Toy Story 2, The Lion King, Beauty and the Beast, Star Wars Episode 1: The Phantom Menace, Titanic dan Finding Nemo.