Gosip Artis Malaysia |
- Kamal Adli Dan Intan Ladyana Belum Rancang Kahwin
- Shakilla Koriri Disuruh Pakai Seksi
- Chef Riz Secara Rasmi Lepaskan Ana Dahlia Talak Satu
Kamal Adli Dan Intan Ladyana Belum Rancang Kahwin Posted: 19 Dec 2012 05:38 PM PST PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli sudah jemu dan tidak larat lagi untuk menjawab pertanyaan mengenai perancangan mengahwini kekasihnya aktres Intan Ladyana. Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 26, berkata, soalan mengenai perancangan berkahwin yang berulang-kali diajukan kepadanya dan Intan menyebabkan mereka berasa 'letih' untuk memberikan penjelasan. "Soalan ini (kahwin) sudah banyak kali dan tidak henti-henti ditanya baik kepada saya atau pun Intan. Sebagaimana saya, dia juga sudah tidak larat untuk jawab soalan ini. "Tak guna nak sorok kalau memang kami nak berkahwin. Masalahnya, kami belum bersedia dan tiada perancangan lagi buat masa ini," katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu. Kamal berkata, keutamaan mereka pada waktu ini adalah mengembangkan kerjaya masing-masing memandangkan keluarga kedua belah pihak tidak mendesak agar mereka segera disatukan. "Saya baru sahaja bergerak sendiri selepas keluar daripada pengurusan MIG. Biarlah saya bina kerjaya semula buat masa ini. "Begitu juga dengan Intan. Dia juga mahu mengukuhkan kerjayanya. Lagi pun, keluarga memahami dan tidak mendesak agar kami segera berkahwin," jelasnya. Sementara itu Intan berkata, soal berumahtangga adalah menjadi tanggungjawab pihak lelaki untuk menentukannya. Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahya, 30, berkata, sebagai wanita adalah tidak manis sekiranya dia yang banyak bercakap mengenai perancangan itu. "Saya serahkan kepada Kamal. Biarlah dia yang bercakap mengenai hal itu. Saya tak mahu komen apa-apa kerana tak manis kalau pihak perempuan yang bercerita soal itu (kahwin)," katanya. Jelasnya lagi, walaupun sudah empat tahun menjalinkan cinta namun kata Intan bukan mudah untuknya bergelar isteri orang disebabkan komitmen yang bakal diberi. Ujarnya, komitmen kerja juga antara penyebab mereka tidak terlalu serius untuk memikirkan hal demikian. "Kalau kita dah kahwin, nak kena jaga makan minum suami dan uruskan rumah tangga dengan baik. Ia bukan mudah kalau kita tidak bersedia," jelasnya yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Mencintaimu untuk siaran RTM. - --- |
Shakilla Koriri Disuruh Pakai Seksi Posted: 19 Dec 2012 05:34 PM PST KUALA LUMPUR: Pelakon Shakilla Koriri mengakui ada segelintir pihak pernah mencadangkan agar dia berimej seksi dan mencetuskan kontroversi untuk meraih publisiti dengan mudah. Shakilla, 23, berkata, walaupun percaya cara itu mampu menaikkan namanya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam industri lakonan tempatan, dia tetap dengan pendiriannya untuk menapak secara perlahan. "Memang ada yang memberi cadangan untuk mereka-reka kontroversi agar saya lebih mudah diberi perhatian. Tetapi untuk apa? Adakah kedudukan kita itu akan berkekalan selama-lamanya? "Bagi saya biarlah lambat asalkan orang kenal kita daripada hasil kerja kita atau paling tidak, perkara-perkara positif yang ditonjolkan. "Saya percaya, apabila orang dah mula kenal siapa saya, itu tandanya kerja kita semakin berkualiti kerana ia mula dipandang umum serta daripada golongan industri," katanya. Tambah Shakilla, dia gembira apabila bakatnya mula dikesan selepas lakonannya menerusi drama Adam dan Hawa yang turut menampilkan Aaron Aziz dan Nadia Nissa menjadi tumpuan umum. Malah pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini turut mengikut nasihat Nadia untuk tidak terlalu terburu-buru mengejar perhatian ramai. "Diakui saya tidak boleh nak tipu diri sendiri apabila hasil usaha selama enam tahun dalam industri hanya dipandang sebelah mata. "Tetapi apabila orang dah mula kenal, perasaan takut pula muncul. Saya risau sekiranya populariti yang diraih membuatkan saya lupa diri. "Saya sering pesan kepada keluarga dan rakan-rakan rapat supaya mengingatkan diri ini sekiranya saya terlajak daripada landasan sebenar dalam bidang ini," tuturnya. Dalam perkembangan lain, Shakilla bakal muncul menerusi drama Erna Shuraya bergandingan dengan pelakon Tasha Shila dan Amran Ismail yang akan disiarkan pada 1 Januari 2013 di TV2. Ia turut menampilkan pelakon popular Brunei iaitu Shukri Mahari, Sharin Bali dan Norakmalina Iskandar. - --- |
Chef Riz Secara Rasmi Lepaskan Ana Dahlia Talak Satu Posted: 19 Dec 2012 05:28 PM PST PETALING JAYA: Teka-teki mengenai status pelakon Ana Dahlia dan Chef Riz terjawab apabila kedua-dua mereka bercerai secara rasmi dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, Selangor dekat sini pada 10 Disember lalu. Riz atau nama sebenarnya Mohd. Nadzri Redzuawan, 31, mengesahkan perkara itu secara ringkas ketika dihubungi di sini, pada petang Rabu. "Benar, kemelut perhubungan kami sudah selesai. Kami telah pun bercerai talak satu secara sah," katanya ringkas kerana sibuk berada di gimnasium. Keretakan perkahwinan pasangan tersebut mula dihidu pada Oktober lalu selepas Ana dan Riz dikatakan sedang menghadapi masalah rumah tangga walaupun perkahwinan mereka belum menjangkau setahun lagi. Penceraian itu dikatakan berpunca kerana tiada persefahaman di antara mereka selain perkenalan singkat iaitu selama lapan bulan yang turut menjadi penyebab perpisahan itu. Ana atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar dan Riz telah diijabkabulkan pada 11 Disember 2011. Ia adalah perkahwinan kedua buat Ana. Sementara itu, Ana yang dihubungi pula berkata, dia berasa sedikit sunyi sejak berpisah dengan anak lelaki tukang masak selebriti popular Chef Wan itu. "Saya berasa sunyi sedikit, mungkin kerana saya tinggal bersendirian. Tetapi kesannya tidaklah teruk mana kerana sebelum ini pun saya tinggal sendiri juga. "Inilah ketentuan dan takdir Tuhan. Saya terima seadanya dan berharap agar kami dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik, Insya-Allah," tuturnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Kerana Lelaki Itu. Tambah Ana, walaupun kedua-dua mereka telah bercerai, namun dia tidak pernah menganggap Riz sebagai musuhnya dan masih lagi berkawan seperti biasa. "Saya tidak pernah memusuhinya, kami kawan seperti biasa. Cuma hubungan kami tidaklah seperti dahulu lagi," ujarnya. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |