Berita Harian: Hip |
Posted: 18 Dec 2012 02:40 PM PST ND Lala mahu anak tumpu kepada kerjaya, bukan ulas cerita peribadi Belum reda perihal luahan kasar pelakon, Sharnaaz Ahmad, 27, di laman Twitter gara-gara ucapan kekasihnya, Shila Amzah, 22, ketika Anugerah Planet Muzik (APM) Ahad lalu, sehari kemudian penyanyi itu pula membuat pendedahan sudah menerima lamaran jejaka terbabit. Seperti drama rantaian dengan aneka konflik, episod turun naik percintaan yang bagai sengaja mahu dipertontonkan kepada umum menerusi laman sosial akhirnya dibiarkan bungkam begitu saja apabila Shila mahu pun Sharnaaz mengambil pendekatan berdiam diri.
Selepas usaha mendapatkan kedua-duanya menerusi panggilan serta sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak berbalas, kenyataan soal lamaran yang sepatutnya lebih manis tidak dibicarakan secara terbuka itu diajukan kepada bapa Shila, ND Lala. Harumkan negara lebih penting Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara veteran ini, sebagai insan yang melihat jatuh bangun anak sulungnya itu selama 12 tahun untuk berada pada tahap sekarang, dia lebih selesa andai Shila memberikan tumpuan terhadap kerjaya berbanding hal peribadi. Menerusi kiriman e-mel, ND atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, berkata dia tidak mahu Shila memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu berikutan tumpuan yang perlu diberikan kepada persiapan rapi untuk ke World Music Awards (WMA) di Miami, Florida, pada 22 Disember ini.
"Buat masa ini saya tidak mahu Shila memberi ulasan kerana perhatiannya lebih kepada WMA memandangkan dia dicalonkan untuk kategori Artis Wanita Terbaik dan Penghibur Terbaik, sekali gus sejarah bagi industri muzik kita di mata dunia," katanya. Bersaing dengan Siti, Adele Selain Shila, Datuk Siti Nurhaliza turut terpilih sebagai wakil negara bagi edisi ke-23 WMA yang menampilkan lebih 200 selebriti terkenal dunia merebut trofi daripada sembilan kategori dipertandingkan. Bagaimanapun, Siti hanya dicalonkan dalam kategori Artis Wanita Terbaik yang menyaksikan persaingan dengan Madonna, Adele, Taylor Swift, Pink, Kelly Clarkson, Alicia Keys serta lebih 30 penyanyi antarabangsa lain. Pada masa sama, ND juga memberi penegasan bahawa hal peribadi yang boleh ditatap orang lain adalah tidak wajar dan secara tidak langsung seakan merujuk kepada keterbukaan anaknya di laman sosial. |
Posted: 18 Dec 2012 02:34 PM PST Peminat Anuar boleh dapatkan harga diskaun sehingga hari ini Seperti dijangka, apa saja persembahan membabitkan Anuar Zain, peminat tegar penyanyi ini tidak akan pernah berkira. Semahal manapun harga tiket persembahannya, mereka tetap akan keluarkan duit kerana masing-masing tahu, ia amat berbaloi. Justeru tidak hairanlah sebaik saja tiket konsert Tiga Dekad Muzik Cinta Dan Sanubari, yang bakal dijayakan penyanyi bervokal mantap ini mula dijual, sambutan diterima cukup menggalakkan.
Mengulas lanjut mengenai jualan tiket, Pengurus Promosi konsert berkenaan, Sam Kassim, mengingatkan peminat Anuar supaya segera mendapatkannya kerana hari ini ialah hari terakhir tiket berkenaan dijual dengan harga potongan sebanyak 15 peratus. "Hari ini ialah hari terakhir untuk peminat mendapatkan semua tiket dengan harga diskaun, kecuali untuk tiket berharga RM138, yang dijual pada harga biasa. Sehingga kini 40 peratus tiket sudah pun dijual," kata Sam ketika dihubungi HIP. Harga lain ialah RM598 (Gold), RM398 (Silver), RM298 (Bronze), RM138 dan RM88 (Palladium B). Ia boleh didapati di TicketCharge (www.ticketcharge.com.my). Pakej 3Dekad 1Destinasi
Bercerita mengenai pakej ditawarkan itu, Anuar berkata, ia program eksklusif bagi memberikan pengalaman istimewa buat peminatnya yang berada di luar Kuala Lumpur untuk sama-sama rasai pengalaman menarik ketika menyaksikan konsert berkenaan. "Kami menyediakan pengangkutan untuk perjalanan dua hala (pergi dan balik) lengkap dengan jamuan ringan dan cenderahati," katanya mengenai fasa pertama pakej itu yang meliputi kawasan Kota Bahru, Jerteh, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Singapura. Peminat boleh melayari laman rasmi www.facebook.com/3Dekad1Destinasi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai tempahan. Tayangan sambungan Ajari Aku Mengulas lanjut mengenai konsert berskala mega itu, Anuar, 42, berkata selain menjanjikan persembahan menarik dan mampu memberi kepuasan kepada peminat, acara itu juga bakal menyaksikan bintang lelaki ini menayangkan sambungan kepada video muzik Ajari Aku. "Memandangkan ramai yang bertanya apa kesudahannya cerita dalam video klip Ajari Aku, kami memutuskan untuk menayangkan sambungan video muzik itu melalui lagu Sempurnakan Aku dan ia akan ditayangkan secara eksklusif pada konsert terbabit. "Ia hasrat saya sendiri yang mahukan ia ditayang pada konsert itu sebagai hadiah untuk peminat yang akan bersama-sama saya pada malam itu," ujarnya mengenai klip baru untuk lagu terbabit. Konsert yang meraikan tiga dekad pembabitan penyanyi itu dalam bidang seni akan berlangsung pada 16 Februari 2013, jam 8.30 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |