Adsense

Selasa, 18 Disember 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Anugerah terbaik

Posted: 17 Dec 2012 03:33 PM PST

Kelahiran Putri Nur Fatehah lengkapkan rumah tangga Nora, Johan

Ketika namanya diumumkan sebagai penerima trofi Lagu Nasyid Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) 2012, 17 November lalu, penyanyi, Nora, terlebih dulu menerima anugerah begitu berharga dalam hidupnya.

Kelahiran anak keempatnya bersama komposer, Johan Nawawi, umpama melengkapkan lagi mahligai bahagia yang dibina sejak 20 tahun lalu.

Kehadiran bayi perempuan yang baru berusia sebulan, Putri Nur Fatehah, itu juga melengkapi kuota dua pasang cahaya matanya iaitu Syakir Iman (19), Syakir Alif (13) dan Putri Nur Dahlia (8).

Nora yang bersyukur dengan kurniaan empat cahaya mata dalam hidupnya itu berkata, kini tumpuannya adalah untuk membesarkan mereka dengan sebaik-baiknya.

"Saya mahu membesarkan dan mendidik anak-anak dengan sempurna. Pada zaman yang serba moden ini, menjadi cabaran besar buat ibu bapa untuk mendidik anak-anak.

"Untuk membesarkan mereka mungkin tidak menjadi masalah, tetapi untuk mendidik anak kita agar menjadi insan yang berguna sememangnya tanggungjawab yang amat besar," katanya yang ditemui pada majlis cukur jambul anak bongsunya di Petaling Jaya, kelmarin.

Anak doa supaya hamil
Nora turut memanjatkan kesyukuran kerana sejak awal proses kehamilan sehingga bayi berkenaan dilahirkan, semuanya dipermudahkan.

"Hamil pada usia 39 tahun cabaran yang besar buat wanita. Namun saya bersyukur segala-galanya dipermudahkan - dari tempoh hamil sehinggalah saya selamat melahirkan Putri Nur Fatehah pada 16 November lalu.

"Kelahiran ini sangat dinantikan semua anak-anak, terutama Putri Nur Dahlia, yang teringin sangat memiliki adik perempuan. Setiap kali solat, dia tidak putus-putus berdoa agar saya mengandung.

"Sepanjang waktu hamil pula, anak-anak juga yang menjaga makan minum dan sangat mengambil berat mengenai kesihatan saya, termasuklah selepas bersalin serta ketika berpantang," katanya yang semakin sihat dan kuat, biarpun dalam tempoh berpantang.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan proses kelahiran anaknya sebelum ini.

Tak sempat meriahkan AIM

Turut diadakan sekali pada hari itu ialah majlis kesyukuran atas kejayaannya pada AIM 2012, baru-baru ini.

Nora, yang dicalonkan dalam empat kategori iaitu Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Rakaman Album Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik dan Album Terbaik, sebenarnya memasang impian untuk hadir sama pada majlis anugerah itu.

Sebelum tiba malam yang dinantikan, Nora terlebih dulu ke hospital untuk melakukan pemeriksaan kandungan kerana dibimbangi berlaku sesuatu yang tidak diingini ketika majlis berlangsung.

"Memang saya teringin sangat untuk hadir kerana anak-anak juga dicalonkan dalam kategori Artis Nasyid Terbaik di bawah Voice Of Ummi. Sehari sebelum itu (16 November) saya membuat pemeriksaan di hospital dan doktor terus menahan saya kerana katanya, masanya sudah tiba untuk saya melahirkan.

"Walaupun hanya berpeluang dapat menonton di televisyen, namun saya bersyukur dengan kemenangan itu dan berbangga kerana anak-anak yang mewakili saya menerima anugerah terbabit," katanya.

Rindu peminat

Posted: 17 Dec 2012 03:29 PM PST

Erra Luang masa dekati ahli kelab BE

Bukan saja Erra Fazira, 38, malah anaknya, si cinta hati, Engku Aleesya Engku Emran turut menjadi perhatian ramai. Ini yang dilihat pada majlis minum petang bersama pelakon jelita itu anjuran kelab peminatnya, Bersama Erra (BE) di Restoran Puteri, Sungai Penchala, kelmarin.

Gelagat si comel yang genap empat tahun, Mac depan membuatkan ramai peminat menahan geram dan tidak sabar bergambar dengannya. Apatah lagi, majlis itu dihadiri kira-kira 100 peminat bertuah Erra yang mengambil kesempatan mendekati aktres kesayangan pada majlis penuh intimasi.

Pada sesi itu, Erra begitu asyik melayan peminatnya. Setiap meja makan disinggahi pengacara program bual bicara, Primadona di saluran Astro Prima itu. Sesekali ada ruang bertemu orang ramai, Erra tak akan lepaskan peluang menghargai peminat yang menjadi tulang belakang kepada kerjaya seninya.

Erra tiba di Restoran Puteri hampir jam 3.30 petang ditemani Aleesya. Bertemakan warna merah jambu dan putih, majlis itu tanpa dirancang 'memaksa' Erra menyumbangkan suara menyanyi beberapa lagu hitnya seperti Pertemuan, Hanya Di Mata dan Jendela Hati.

"Seingat Erra, kali terakhir Erra bersama peminat dalam majlis seumpama ini hampir 10 tahun lalu. Alhamdulillah, akhirnya majlis ini berjaya dianjurkan. Erra bertuah kerana majlis ini dapat direalisasikan dengan bantuan bekas kakitangan Erra, penari dan peminat.

"Erra terharu sehingga kini peminat masih tak putus-putus memberi sokongan sekali gus sesuai dengan tagline BE iaitu 'Dulu, Kini dan Selamanya'," kata Erra.

Berlakon watak ustazah
Mengenai kerjaya seninya, tidak lama lagi Erra akan sibuk di lokasi filem Longkai terbitan Metrowealth (MIG). Filem itu diarah Hashim Rejab serta turut dibintangi Faizal Hussein, Dira Abu Zahar dan Wawa Zainal. Erra memberitahu, dia akan memegang watak pembantu iaitu sebagai ustazah dalam filem itu.

"Sejak dulu lagi, ia bukan suatu isu bagi Erra memegang watak pembantu. Malah ketika Erra asyik diberi peluang sebagai teraju utama, Erra sendiri pernah meminta watak pembantu," katanya yang kali terakhir bersama MIG kira-kira tiga tahun lalu melalui drama Mentua VS Menantu dan Aqasha.

Mengalih cerita dalam dunia pengacaraan pula, Erra memberitahu, dia baru saja selesai rakaman 13 episod program Primadona bersama Rozita Che Wan, Ziela Jalil dan Raja Azura dan rakaman musim baru akan bermula bulan depan.

Jika masih ingat, Erra pernah mengacarakan program Fesyen Tempo pada 2002 yang diterbitkannya sendiri. Sehubungan itu, bidang pengacaraan bukan terlalu asing buatnya.

"Namun, Erra masih dalam peringkat belajar selain cuba mencipta keserasian dengan tiga lagi pengacara. Malah, kalau mahu dibandingkan daripada episod pertama hingga kini, ada perbezaan yang boleh dibanggakan secara peribadi.

"Erra mengacarakan Primadona pun secara kebetulan. Ia tak dirancang langsung dalam agenda seni Erra. Tapi dengan kepercayaan yang diberi, Erra cuba memberi yang terbaik. Siapa tahu barangkali selepas ini, Erra akan kembali mengacara secara solo pula," kata Wajah Eksklusif Astro itu.

Serah pada peminat tentukan nasib pada ABPBH 2012

Ditanya mengenai namanya yang tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 untuk tiga kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular, Pelakon Filem Wanita Popular dan Pengacara TV Wanita Popular, Erra reda dan berserah selagi peminat mahu dia berada di kelompok Top 5.

"ABPBH sudah menjadi penanda aras untuk kerjaya seni artis. Erra melihat ABPBH perlu dijadikan sasaran terutama untuk artis baru dalam melebarkan sayap. Bagi Erra, ia suatu rezeki jika terpilih," kata Erra.

BE kini ditadbir penari Erra iaitu Imam Hussein. Untuk maklumat lanjut layari Facebook BE dengan menaip Bersama Erra atau Twitter @bersamaerra.