Adsense

Selasa, 4 Disember 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Panas’ dalam hujan

Posted: 03 Dec 2012 05:29 AM PST

INSIDEN hampir tergelincir dan harus beraksi dalam rintik hujan, pastinya membuatkan Kuala Lumpur salah satu daripada ratusan destinasi persembahannya yang paling sukar dilupakan.

Hujan lebat yang melanda kotaraya Kuala Lumpur sejak petang (Ahad lalu), biarpun sedikit reda namun rintiknya tetap berterusan hingga saat mula penghibur antarabangsa ini beraksi sekitar jam 9.10 malam sehingga saat tirai persembahan berlabuh.

Tanpa mempedulikan risiko bakal menimpanya berpanggung dalam keadaan yang memungkinkannya tercedera, Jennifer Lopez atau JLo, barangkali memperoleh semangat untuk meneruskan persembahan apabila melihat ribuan peminat yang rata-rata hilang 'glamor' kerana terpaksa mengenakan baju hujan, begitu setia serta langsung tidak berganjak.

Penghibur berdarah Latin dilahirkan dengan nama Jennifer Lynn Lopez memulakan persembahan dengan lagu Get Right. Bagaimanapun sebelum muncul di pentas, enam penarinya yang kesemuanya kacak dan berbadan sasa terlebih dulu mempamerkan skil mereka.


"Kamu semua OK? Walaupun hujan dan keadaan pentas agak licin, saya di sini untuk menghiburkan anda dan membuat anda berasa gembira. Hujan bukan penghalang bukan? Mari kita sama-sama berhibur!" antara sebahagian kenyataan JLo seawal bermula persembahannya.


Ibu dua anak ini awalnya tampil dengan persalinan rona hitam penuh perincian labuci, sekali gus mematuhi garis panduan dan etika berpakaian yang ditetapkan untuk Konsert Dance Again World Tour 2012, di Stadium Merdeka, kelmarin.

Namun lama-kelamaan, imejnya menjadi semakin seksi dan menggiurkan. Lebih kurang enam persalinan kesemuanya diperagakan pada konsert berdurasi 105 minit itu termasuk ala rapper, gaun meleret rona biru muda, ala Charlie Chaplin dan baju renda potongan bikini dipadankan dengan ʻleggingʼ. Dia juga tampil persis diva menerusi persalinan rona emas sewaktu mengakhiri persembahan.

Sekitar 18 lagu diperdengarkan selain Get Right, JLo menyampaikan deretan lagu hitnya iaitu Love Don't Cost A Thing, I'm Into You, Waiting For Tonight dan Goinʼ In.

Terdapat satu segmen medley hip hop diperkenalkan menerusi konsert dibawakan oleh Galaxy Group itu, di mana JLo menyampaikan lagu I'm Real, All I Have , Ain't It Funny dan Jenny From The Block. Manakala untuk medley seterusnya, penghibur dilahirkan pada 24 Julai 1969 itu memperdengarkan pula I'm Glad, Brave, Secrectly.

Bagaimanapun JLo paling seksi dalam lagu Let's Get Loud yang berentak pop salsa. Ketika menari dia cuba merangsang penonton dengan gelekan pinggul yang kencang!

Pada usia 43 tahun, pasti ramai tertanya-tanya dari mana superstar Latin yang juga bekas isteri kepada penyanyi hebat, Marc Anthony itu memperoleh tenaga kerana hampir semua lagu disampaikan disulami tarian penuh 'energetik'.

Sesekali JLo mengundang rasa cemburu terutamanya penonton wanita menerusi babak tari secara solo bersama kekasihnya, Casper Smart yang bukan saja 18 tahun lebih muda daripadanya tetapi juga kacak.

Cukup luar biasa walaupun dari segi vokal, JLo tidaklah begitu 'wow' seperti mana Celine Dion atau Michael Jackson, yang pernah membuat konsert di negara ini.

Malah, menurut penyanyi Fazli Zainal, dari segi suara, Adam Levine iaitu vokalis Maroon 5, yang turut beraksi di Stadium Merdeka, baru-baru ini, jauh lebih baik.

"Bagaimanapun dari segi persembahan iaitu mengambil kira tarian dan caranya mengemudi pentas, JLo memang seorang diva. Ini antara konsert artis antarabangsa paling interaktif kerana JLo nampaknya suka berinteraksi dengan penonton dan membuatkan mereka berasa selesa apatah lagi dalam keadaan hujan yang kurang selesa," katanya.

Selain Fazli Zainal, antara selebriti tempatan yang hadir Amy Search bersama isteri dan anaknya, Nabila Huda, Ziana Zain, Anuar Zain, Jaclyn Victor, Dafi, Linda Onn, Nana Mahazan, Farah Fauzana termasuk pasangan kekasih, Neelofa dan Hans Isaac.

Turut berangkat menyaksikan konsert itu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda.

Sedikit informasi, kunjungan sulung JLo ke negara ini turut disertai anak kembarnya, Maxim dan Emme Anthony. Difahamkan hampir 100 orang bersamanya termasuk ahli keluarga, penari, penyanyi latar dan pemuzik.

Bintang The Wedding Planner itu, dilaporkan menetap di tingkat 35, Presidential Suite, Hotel Hilton Kuala Lumpur. Malam sebelum konsert, JLo sempat berhibur di kelab Zeta Bar.

Konsert Dance Again World Tour 2012 dilancarkan di Republik Panama dan meneruskan penjelajahan ke Amerika Latin dan Brazil.

Negara Asia pertama yang disinggahinya ialah Manila, Isnin lalu dan difahamkan lebih 13,000 penonton membanjiri konsertnya itu. Selepas Manila, JLo singgah ke Jakarta.

Sambutan hebat diberikan kedua-dua negara itu turut diulangi sejarahnya di negara ini apabila konsert yang berlangsung di Stadium Merdeka Ahad lalu, menyaksikan 8,000 penonton.

Selepas ini, JLo akan menjelajah lima lokasi lagi di Australia iaitu Brisbane, Adelaide, Sydney, Melbourne dan Perth, JLo juga akan mengembara ke seluruh Amerika Syarikat, Eropah dan Kanada untuk konsert berkenaan.

Bekas juri program realiti American Idol dan kini menyertai program realiti Q'Viva! The Chosen itu mula meledak dalam industri hiburan pada 1999 dengan kemunculan album sulungnya, On The 6 yang memuatkan lagi If You Had My Love dan Waiting For Tonight.

Sehingga kini, beliau sudah memiliki lima album yang terjual sehingga AS$70 juta (RM210 juta) di seluruh dunia. Bagaimanapun pada 2011 jumlah berkenaan dikatakan meningkat kepada AS$150 juta (RM450 juta).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03



Bimbang nasib anak

Posted: 03 Dec 2012 05:21 AM PST

PASTINYA ramai tersentuh hati melihatkan keadaan pelakon Maimon Mutalib sekarang. Jika dulu, pelakon yang mesra dipanggil Kak Mon ini nampak sihat dan ceria setiap kali berjumpa di mana-mana, kini situasinya berubah sama sekali. Yang kedengaran kini hanyalah cerita duka mengenai masa depan serta anak-anak yang masih memerlukan perhatiannya.

Pelakon berusia 54 tahun yang berjaya membawakan pelbagai karakter ini hanya mampu berada di atas katil akibat kanser payudara yang mula dikesan sejak setahun lalu. Paling membimbangkan kanser ini merebak ke bahagian tukang belakang menyebabkan tulangnya mereput dan sukar bergerak serta turut menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehinggakan kelopak matanya sukar dibuka.

Selepas dibenarkan pulang berehat di rumah sejak malam Khamis lalu, Maimon yang kali terbaru tampil menerusi filem Budak Pailang dibawa semula ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam untuk proses imbasan dan dibenarkan pulang. Berikutnya dia akan ke hospital semula pada Khamis ini untuk rawatan susulan proses memasukkan chemo-port bagi menyalurkan ubat.

Ditemui pada Jumaat lalu, Maimon yang kematian suami sejak 15 tahun lalu, melahirkan kebimbangan terhadap nasib anak-anaknya sekiranya berlaku apa-apa nanti. Menerusi hasil lakonan, dia bekerja keras membesarkan Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, dan kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.


Kamarul dan Surayatul Nadia sudah berkahwin. Bagaimanapun Surayatul Nadia mengidap sakit buah pinggang yang serius dan terpaksa menjalani dialisis selama empat jam setiap hari. Surayatul Natasya pula lulusan ijazah skrin dari Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) dan pernah bekerja dengan beberapa produksi. Kini dia terpaksa berhenti kerja sementara bagi menjaga ibunya.


Memburukkan keadaan pasangan kembar yang kini menuntut di Sekolah Menengah Vokasional Klang pula mengidap semput dan turut memerlukan perhatian yang khusus.

"Doktor suruh beli beg sokongan yang berharga RM1,000 ke atas untuk menyokong tulang belakang. Chemo-port juga berharga lebih RM1,000. Doktor juga akan buat proses CT Scan untuk tengok sama ada urat saraf terganggu. Sebaik disahkan menghidap kanser payudara lebih setahun lalu, saya diselubungi rasa bimbang.

"Saya tak nak menghebohkannya kerana tak mahu mengganggu kerja. Begitu juga saya merahsiakannya daripada anak-anak kerana ada yang tak sihat dan masih bersekolah. Saya rasa takut, bimbang dan risau memikirkan selama mana hayat saya ada. Sedangkan ketika sihat pun pendapatan yang saya dapat pun tak seberapa.

"Mereka mengerti hidup kami. Saya berdikit-dikit berbelanja untuk makan. Tak lama lagi sekolah nak buka semula, bayangkan di mana saya nak cari belanja untuk persiapan dua kembar ini. Orang boleh cakap macam-macam tapi hanya saya yang tahu perkara sebenarnya. Sebab itulah selagi boleh bergerak saya akan cuba berlakon.

"Apabila sudah sakit macam ini, kalau nak meminjam dengan kawan-kawan nak bayar dengan apa? Ketika masuk wad, doktor bagi semangat pada saya dan minta saya bertenang. Saya tak sedih sangat kerana sudah melalui perkara ini begitu lama. Ketika di wad sebelum ini, saya tak boleh makan. Saya terasa sakit pun saya tak panggil anak kerana tak mahu mereka risau," katanya.

Maimon mengakui dia dimarahi oleh keluarga dan ramai pihak apabila berita mengenai penyakitnya tersebar. Bagaimanapun dia terpaksa melakukan perkara ini disebabkan alasan-alasan ini.

"Mereka marahkan saya kenapa simpan sendiri dan tak kongsi. Saya sebenarnya tak biasa nak mengadu dan tak mahukannya jadi bahan percakapan orang. Saya takut orang akan jadi mengumpat pula gara-gara sakit saya ini. Saya tahu ramai yang sayangkan saya. Sebenarnya saya jujur berkawan dengan semua orang tanpa ada kepentingan diri.

"Bila sakit, saya risau dengan nasib anak kembar saya. Mereka sangat mengerti kesusahan ibunya. Bayangkan mereka hanya berbelanja wang sebanyak RM50 seminggu dan bawa bekal ke sekolah. Apapun saya bersyukur kerana anak-anak saya menjadi dan berjaya dalam pelajaran. Saya tak nak orang pandang anak artis sebagai tiada pelajaran.

"Saya bukanlah jenis yang suka meminta. Bahkan ketika sihat, saya buat pinjaman dengan bank kerana nak bayar semula. Duit itu digunakan untuk baiki rumah termasuk bumbung yang bocor dan kahwinkan Surayatul Nadia," katanya.

Pada hari sama, Maimon turut menerima kunjungan Yayasan Artis 1Malaysia yang diwakili Pengerusinya, Datuk Irwan Shah atau DJ Dave yang ditemani Datuk M Nasir dan Nash Lefthanded menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000. Maimon berterima kasih terhadap keprihatinan yang diberikan dan berharap nasib anak-anaknya akan terbela sekiranya berlaku apa-apa kepadanya selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/03