Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Kunci bahagia Ella, AzharJODOH itu rahsia Allah SWT, begitu ungkapan yang keluar daripada mulut pasangan pengantin Ella atau Norzila Aminuddin dan Azhar Ghazali pada majlis resepsi mereka, di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Selangor (KDE), 1 Disember lalu. Ungkapan tersebut keluar daripada mulut mereka apabila membicarakan tentang pelayaran cinta yang ditempuh bertahun lamanya sehingga ia diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Seperti kata Azhar, dia sendiri tidak menyangka, perkenalan sembilan tahun lalu dengan penyanyi legenda rock tanah air tersebut akan menukar status dirinya daripada seorang peminat kepada suami buat Ella. Ella sendiri sepanjang perjalanan hidupnya, bukan seorang dua lelaki yang pernah dikenali, namun akhirnya tanpa disedari hatinya terpaut kepada juruterbang penerbangan tambang murah, Firefly tersebut. Sebab itu mereka sepakat mengatakan bahawa jodoh merupakan rahsia Allah SWT. "Niat yang baik, sentiasa berakhir dengan positif," tambah Azhar lagi dengan tutur kata yang teratur dan sopan. Kini, selepas melewati usia lima bulan menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah pada 7 Julai lalu, Ella dan Azhar mengaku kehidupan mereka cukup bahagia. "Alhamdulillah, kami sedang menikmati kehidupan yang bahagia. Sebenarnya, perjalanan rumah tangga kami sama sahaja dengan perjalanan rumah tangga pasangan lain, tiada apa yang berbeza," dedah Ella pula. Azhar kemudian menyambung, biar mereka mempunyai jadual kerja yang selalu bertembung, namun sebolehnya dia akan mencuri masa untuk dihabiskan dengan isteri tercinta. Jika punya waktu emas untuk dihabiskan bersama, pasangan tersebut akan melakukan aktiviti luar seperti berkelah di air terjun dan bersenam bersama. "Oh, baru-baru ini, Azhar juga ajar saya cara memandu kapal terbang," ujar Ella penuh teruja sebelum secara berseloroh, Azhar memberitahu: "Kalau saya sakit, dia boleh ganti memandu." Kebahagiaan mereka juga terlihat jelas apabila Ella yang duduk di sebelah Azhar memegang erat tangan suaminya itu selain memberi peluang Azhar menjawab persoalan media. Sering kali penyanyi tersebut bercanda dalam banyak bicara dengan media, termasuk saat dilontar persoalan, sudahkah dia mula memasak untuk suaminya itu. "Macam mana nak masak, kalau setiap kali mahu memasak, dia akan peluk saya dari belakang," jawab Ella manja sambil diiringi tawa daripada semua tetamu yang mendengar jawapan jujur penyanyi kelahiran Klang, Selangor tersebut.
Sementara itu, melontarkan persoalan kepada Azhar tentang perubahan hidupnya kini yang menjadi suami kepada penyanyi popular, akui lelaki berusia 32 tahun tersebut, dia mula dikenali banyak orang. Namun, hal tersebut langsung tidak mengganggu kehidupannya. "Ya, sudah ramai orang yang semakin mengenali saya sebagai suami Ella, tetapi ia tidak mengubah corak hidup saya. Sepanjang tempoh lima bulan menikahi Ella dan semakin dikenali ramai, saya hanya menjadi diri sendiri yang sebenar dan membawa diri saya sebaik mungkin pada mata khalayak. Saya senang begini," ujar Azhar. Tambahnya lagi, asuhan dan didikan daripada keluarga dan pergaulannya sehari-hari juga banyak membantu dia dalam berhadapan dengan situasi baharu apabila menerima tempias populariti isterinya yang menjadi pujaan ramai. Ella kemudian menambah, dia cukup senang dengan perwatakan suaminya yang tidak berubah dan menjadi diri sendiri. Paling membahagiakannya apabila Azhar tidak cepat melenting dengan hal-hal remeh yang selalu menjadi permainan dunia hiburan. Kata penyanyi berusia 47 tahun itu: "Suami saya seorang yang tenang dalam apa situasi pun, tidak cepat melatah dan seorang yang rasional terhadap apa sahaja perkara. Sebab itu saya sangat bersyukur kerana dinikahi oleh lelaki yang amat memahami diri dan karier saya." Reda Menjadi sesuatu perkara yang klise, sebaik berumah tangga, soalan wajib yang akan ditanya kepada pasangan pengantin baharu adalah tentang zuriat. Mengambil tanggungjawab menjawab persoalan tersebut, Azhar memberitahu, mereka tidak mempunyai perancangan keluarga, sebaliknya menyerahkan soal rezeki tersebut kepada Allah SWT. "Kami berusaha untuk memperoleh anak, tetapi segalanya bergantung kepada keizinan Dia. Jika diperkenan, Alhamdulillah, jika tidak, kami reda," ujar Azhar penuh sopan. Malah Ella yang diajukan persoalan sama ada dia cemburu atau tidak kepada pelakon Diana Danielle yang baru sebulan dinikahi Farid Kamil sudah hamil, dia pantas menggelengkan kepala sambil menjawab tidak perlu berasa cemburu. Katanya: "Saya tak cemburu, tapi mahu ucap tahniah buat mereka berdua. Insya-Allah, kalau ada rezeki buat kami timang cahaya mata, pasti ada nanti." Umrah Umpama satu tradisi bagi setiap pasangan pengantin baharu, agenda berbulan madu menjadi ritual wajib untuk mereka meraikan kemenangan cinta yang disimpul dengan ikatan sah.
Tidak terlepas bagi Ella dan Azhar. Mengaku sudah beberapa kali berbulan madu di dalam negeri dan pulau-pulau kegemaran mereka, namun ada sebuah destinasi yang menjadi misi mereka untuk dijejaki pada tahun hadapan. Mereka mahu menikmati manis dan mencari berkat ikatan rumah tangga dengan berbulan madu ke Madinah dan Mekah dalam rangka menunaikan umrah bersama-sama. "Sebelum mahu ke negara lain untuk berbulan madu, kami ingin melaksanakan impian untuk menziarah Madinah dan Mekah dulu. Kami mahu menunaikan umrah buat pertama kali sebagai pasangan suami isteri. Bagaimanapun kami belum mempunyai ketetapan waktu untuk menunaikan umrah," ujar Azhar. | ||||
Gabungan sulung Jamal dan Jay Jay Posted: Gabungan sulung Jamal dan Jay JayOleh NOOR ASHREEN ISMAIL DARI KIRI: Pengarah Urusan Lanjut Golden Beach Resort, Ghani Syam Rahim Jamal Abdillah,Jay Jay dan Ketua Pemasaran Korporat PNB, Junainah Abd. Jalil bergambar pada sidang akhbar Jamal Abdillah And Jay Jay Live Concert di Gloria Jeans, Wisma Nusantara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. BUAT julung-julung kalinya bagi peminat penyanyi legenda, Jamal Abdillah dan Jay Jay, mereka bakal menyaksikan gabungan dua penyanyi tersebut dalam satu pentas yang sama pada 24 Disember ini. Diberi nama Jamal Abdillah And Jay Jay Live Concert, konsert yang bakal diadakan di Lanjut Golden Beach & Golf Resort tersebut memberikan sedikit kelainan. Ini kerana kedua-dua penyanyi itu akan menghiburkan para peminat sambil menikmati hidangan barbeku antarabangsa di tepi pantai yang dinamakan sebagai Lanjut Carnivale Fiesta BBQ Around The World di Kuala Rompin, Pahang. Konsert tersebut juga akan membawa peminat dan pengunjung yang hadir melalui perjalanan nostalgia mereka dari dahulu hingga kini. Dalam konsert yang akan berlangsung selama dua setengah jam, Jamal akan menyampaikan sebanyak 22 lagu hit miliknya, manakala Jay Jay akan mendendangkan sebanyak tujuh buah lagu. Bercakap mengenai konsert tersebut yang telah mempertemukan dirinya dengan Jamal di atas satu pentas, Jay Jay menyifatkan ia sebagai sebuah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. "Sepanjang berdekad saya berada di dalam industri, saya belum pernah diberi peluang sebegini. Justeru apabila ditawarkan, saya menjadi teruja dan terkejut kerana ini merupakan penghargaan yang sangat besar buat saya untuk bergandingan dengan Raja Pop kita iaitu Jamal. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur atas undangan ini," ujar Jay Jay ketika sesi sidang akhbar yang bertempat di Gloria Jeans, Wisma Nusantara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Tambahnya, pada konsert itu nanti, dia akan menyampaikan lagu-lagu hit dari kumpulan lamanya, Carefree dan beberapa lagu solonya. Jika Jay Jay melahirkan rasa terharu kerana dapat berkongsi pentas dengan Jamal, penyanyi tersebut juga tidak menafikan bahawa dia amat teruja untuk mengadakan konsert bersama rakan seperjuangannya itu. Selain itu, kata Jamal, dia gemarkan konsep konsert yang dipersembahkan kerana ia sangat berbeza daripadaa apa yang dilakukannya sebelum ini. Ujarnya: "Selalunya saya melakukan konsert tertutup, tapi kali ini, konsepnya sedikit berbeza apabila ia dibuat di tepi kolam dan santai. Malah saya akan menyanyi di atas pentas terapung dan ia jarang dilakukan dalam persembahan sebelum ini. Saya amat berharap agar persembahan kami berdua akan dapat memuaskan pengunjung yang hadir. Gabungan Jay Jay dan Jamal dalam persembahan tersebut merupakan kerjasama di antara pihak Lanjut Golden Beach Resort & Golf Resort dan PNB Commercial Sdn. Bhd. Sementara itu, wakil penganjur resort, Ghani Syah Rahim, berkata perancangan untuk menggabungkan dua orang legenda seni tersebut adalah tepat kerana masing-masing mempunyai peminat yang tersendiri. "Pihak kami amat yakin peminat akan gembira dengan konsert yang dianjurkan dan ia akan memberi kepuasan kepada mereka. Walaupun sudah lama bertapak dalam industri dan banyak bakat baharu muncul, harus diakui aura Jay Jay dan Jamal masih tebal. Mereka masih diminati ramai dan kekal hebat," kata Ghani. Bagi peminat yang berminat untuk menonton persembahan mereka, tiket konsert boleh didapati dari harga bermula RM399 hingga RM699 (bersama barbeku) dan boleh ditempah melalui talian 09-414 5113. Selain itu, diskaun bagi harga bilik penginapan turut diberikan bagi mereka yang ingin bermalam di resort tersebut. | ||||
Posted: Misteri penyakit Manisha
AKTRES Manisha Koirala yang pengsan secara tiba-tiba baru-baru ini dan telah dikejarkan ke hospital dilaporkan telah dibenarkan keluar daripada hospital selepas ditahan beberapa hari untuk rawatan. Bagaimanapun, punca aktres berusia 42 tahun tersebut tiba-tiba jatuh pengsan menjadi persoalan banyak pihak. Ini termasuklah spekulasi yang mengatakan Manisha menghidap penyakit barah ovari. Kononnya, penyakit barah ovari tersebut disahkan oleh salah satu sumber terdekat Manisha yang cukup terkenal menerusi filem 1942: A Love Story dan Khamoshi. Kata sumber tersebut: "Manisha didiagnosis menghidap barah ovari dan sedang menjalani rawatan di Hospital Jaslok. Semua ahli keluarganya ada bersama dia." Namun, kenyataan tersebut telah disangkal oleh pegawai perhubungan awam hospital tersebut, Krishnakant Dasyam. Dia mendakwa kenyataan itu hanya satu spekulasi kerana pihak hospital masih belum mendapat laporan penuh tentang penyakit yang dialami aktres tersebut. Malah, pihak Manisha sendiri tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung penyakit yang dihidapi aktres tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |