Kosmo Online - Hiburan |
Diana, Farid berpisah selepas kahwin Posted: Diana, Farid berpisah selepas kahwinBERPISAH selepas berkahwin. Itu realiti yang bakal dihadapi aktres jelita, Diana Danielle selepas selamat melangsungkan pernikahannya dengan tunangnya, aktor Farid Kamil. Perkahwinan antara Diana dan Farid dijadualkan berlangsung pada 3 November ini. Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, yang ditemui pada program Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) di pusat beli-belah e@Curve baru-baru ini, perpisahan itu disebabkan dia mahu menyambung pelajaran di luar negara. "Saya berasa cemburu apabila melihat rakan seusia yang dapat menimba ilmu di negara orang. Saya lantas telah membincangkan tentang perkara tersebut bersama Farid. Dia nyata amat menyokong niat saya untuk menyambung pelajaran," ujarnya. Diana bakal menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia dalam jurusan produksi siaran langsung selama setahun. "Sebenarnya saya hanya mengambil kursus intensif. Selepas kami berkahwin, saya akan menyambung pelajaran sekitar awal tahun hadapan. "Butirannya masih terlalu awal untuk dikongsi. Namun, nampaknya, kami terpaksa berjauhan buat sementara selepas kahwin nanti. Itu pengorbanan yang harus dilakukan demi masa depan kami berdua," luahnya. Meskipun berat hati untuk berpisah, namun kata Diana, bakal suaminya itu juga akan melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah di Malaysia pada waktu yang sama. "Kami berdua sama-sama melanjutkan pelajaran, rasanya tidak akan ada masalah. Bukanlah saya tidak akan pulang langsung ke Malaysia, masih ada kerja yang harus diselesaikan di sini. "Jika ingin berjumpa, jarak antara Malaysia dan Australia tidaklah jauh sangat. Kami akan berulang-alik. Pada waktu itu kami sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada masalah untuk Farid datang melawat saya," tuturnya. Menyentuh soal kenapa dia ingin menimba ilmu di Australia sedangkan banyak lagi pusat pengajian tinggi berprestij di Malaysia, ketika karier lakonannya kini sedang berkembang maju, Diana melontarkan alasannya. Ujarnya: "Pengalaman (belajar) di negara orang tidak sama dengan negara sendiri, dan menyambung pelajaran (di luar negara ) sememangnya merupakan impian saya. "Sementelah, ilmu yang saya timba itu nanti amat berguna untuk kerjaya dan kehidupan saya pada kemudian hari. Sampai bila saya mahu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai pelakon?" Tambah Diana: "Saya sudah mengalami bagaimana rasanya diri berada dalam zaman popular dan kejatuhan. Ada masa pendapatan yang diperoleh lumayan dan ada masanya tidak. "Jadi, ilmu yang bakal ditimba nanti adalah sebagai persediaan kerana saya dan Farid merancang untuk menubuhkan produksi kami sendiri pada masa hadapan." Tinggalkan zaman remaja Usianya yang bakal mencecah 21 tahun pada 22 November ini dirasakan terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga. Bagaimanapun, Diana mempunyai pandangan yang tersendiri, malah, berkahwin awal merupakan pilihannya tanpa ada unsur paksaan daripada mana-mana pihak termasuk Farid. "Tiada siapa yang paksa untuk saya kahwin awal, sedangkan ketika bertunang pada 2 September lalu, kedua-dua belah pihak keluarga memberi masa dalam tempoh setahun untuk kami berkahwin. "Tempoh setahun diberikan kerana pihak keluarga tidak mahu kami menghadapi kesukaran. Mereka tahu proses untuk berkahwin bukan satu hal yang mudah, pelbagai perkara harus diambil kira. "Kami berdua sama-sama membuat keputusan untuk segera berkahwin. Cepat atau lambat tiada bezanya, jadi lebih baik dipercepatkan. Sementelah, hubungan kami sudah mencecah tiga tahun, jadi buat apa tunggu lama-lama," katanya sambil tertawa manis. Tambah Diana, perkahwinan dan bertemu jodoh adalah ditetapkan Allah dan juga merupakan pilihan setiap individu. "Saya secara peribadi sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Usia muda atau tua bukan satu ukuran. "Apabila saya sudah berjumpa dengan lelaki yang baik dan serasi dengan saya, saya sedia untuk mempunyai komitmen. Orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi dalam keluarga saya, ramai yang berkahwin awal," ujarnya. Walaupun muda, tiada istilah belum puas menikmati zaman remaja untuk Diana. Terlibat dalam bidang seni dalam usia belasan tahun lagi dan dilimpahi kehidupan penuh glamor sudah memadai buatnya. "Memang saya bukan jenis yang suka menghabiskan masa di luar rumah dan dengan kehidupan glamor, tetapi saya lebih berasa cukup puas menghabiskan masa senggang dengan rakan-rakan. "Selepas ini, biar suami pula yang menemani saya ke mana-mana (ketawa). Alhamdulillah, Farid amat memahami saya, jadi tiada masalah untuk saya teruskan kerjaya yang saya minati," ungkapnya. Diana minat Farid Membuka cerita bagaimana cinta mereka mula berputik, kata Diana, sebelum menceburi bidang seni, dia langsung tidak mengenali siapakah Farid Kamil. Akuinya, sebelum ini, cita-citanya lebih terarah kepada bidang nyanyian. Disebabkan itu, Diana tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai dunia lakonan tempatan. "Waktu itu saya masih budak-budak lagi, memang saya gila sangat menyanyi. Sebaliknya kini, saya bukan bergelar penyanyi tetapi lebih dikenali sebagai pelakon. Sejak itulah baru saya mengenali Farid Kamil. "Kami berkenalan ketika sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift. Pada ketika itu, saya suka cara dia bertutur dan sikap dirinya. Tidak lebih daripada itu," luahnya. Minat Diana yang bercambah terhadap bakat lakonan Farid tercetus selepas Diana menonton filem Anak Halal lakonan Farid bersama Maya Karin. "Selepas menonton filem Anak Halal, saya mula meminati Farid. Bagi saya, dia seorang pelakon yang bagus. Sekarang, bila fikir saya bakal berkahwin dengan orang yang saya minati, rasa diri ini amat bertuah," tutur Diana. Harapan Diana hanya satu iaitu agar perkahwinannya bersama Farid kekal sehingga ke akhir hayat. "Walaupun ramai yang kata perkahwinan selebriti banyak dugaannya, bagi saya semua orang mempunyai dugaannya yang tersendiri. Saya cuma berharap, Farid merupakan jodoh saya sehingga saya menutup mata," katanya dalam senyuman yang bahagia. |
Posted: Almy kurus selepas dibedahOleh HARYATI KARIM PELAKON Almy Nadia yang sebelum ini hangat dengan kontroversi cintanya bersama aktor Fizz Fairuz mengakui dirinya kurang popular berbanding pelakon seangkatannya yang lain. Almy atau nama penuhnya Almy Nadia Aminuddin Shah yang ditemui pada program Jelajah Anugerah Skrin (ASK) 2012 di pusat beli-belah e@Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini juga sudah hampir setahun lebih tidak muncul di khalayak ramai. Bukan merajuk ataupun mengelak daripada bertemu pihak media dan peminat, kata Almy, dia sudah lama dia tidak meraih tawaran lakonan mahupun acara bertemu peminat daripada mana-mana pihak. Selepas kontroversi cintanya dengan Fizz, akui Almy, dia telah banyak berubah dan kini berusaha keras untuk kembali diterima dalam bidang lakonan. Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon berusia 26 tahun ini. Kosmo!: Boleh dikatakan sudah lama pihak media tidak bertemu Almy pada acara-acara hiburan, ke mana anda menghilangkan diri? ALMY NADIA: Sebenarnya sudah setahun lebih saya tidak muncul pada acara bertemu peminat seperti ini, bukan tidak mahu tetapi tiada jemputan. Saya rasa diri tidak popular dan kurang keyakinan diri, mungkin sebab itu saya kurang mendapat tawaran. Kalau Almy tak popular, kenapa pula drama Cinta Buat Emelda meraih sambutan hangat daripada penonton sebelum ini? Popular ketika drama itu ditayangkan sahaja, selepas itu semuanya kembali seperti biasa. Saya pun tidak tahu di mana silapnya, cuma saya masih menganggap diri saya sebagai pelakon baharu dan masih banyak perkara yang harus dipelajari. Apakah tindakan Almy untuk mengekalkan kerjaya lakonan? Sebelum ini, saya sedikit berisi dengan berat badan mencecah 75 kilogram (kg), namun selepas menjalani pembedahan apendiks sekarang berat saya berkurangan kepada 51kg. Saya berusaha untuk kembali kurus untuk meraih tawaran lakonan. Almy sedih dengan perjalanan kerjaya lakonan sekarang ini? Rezeki terletak di tangan Allah, saya sedaya upaya cuba berfikiran positif dan berusaha keras. Saya percaya ada hikmah sebalik apa yang berlaku. Selepas kontroversi cinta dengan Fizz Fairuz, bagaimana dengan hubungan kalian sekarang ini? Bagi saya, tidak elok untuk bercakap lagi tentang perkara lalu. Ibu saya merupakan orang pertama yang akan marah jika saya bercakap lagi tentang soal cinta. Pasti orang ramai juga sudah muak dengan kisah itu. Sekarang ini, fokus saya untuk kerjaya sahaja. Apakah yang dipelajari Almy daripada kontroversi cinta itu? Banyak yang saya belajar daripada apa yang telah berlaku. Saya banyak berubah dan menjadi lebih kuat. Rasanya Almy hari ini bukan lagi Almy yang dahulu. Saya lebih terbuka tetapi dalam masa yang sama masih menyimpan apa yang perlu disimpan daripada khalayak. Bukan semua benda kita boleh kongsikan dengan orang ramai. Andai ada lelaki yang ingin memperisterikan Almy, apakah syarat utamanya? Lelaki itu harus menerima saya seadanya dan juga sayangi anak angkat saya, Nurafrina Darwisyah yang kini berusia tiga tahun. |
Posted: Michael Bolton bikin kejutanOleh SITI KAMILAH MUSTAPHA MENGUNGKAPKAN kata-kata terima kasih dalam bahasa Melayu ketika tampil di pentas Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, dia meraih tepukan gemuruh hampir 3,000 peminatnya. Penyanyi tersohor Amerika Syarikat, Michael Bolton, 59, muncul untuk persembahan konsertnya, Live In Kuala Lumpur Sabtu lalu, selepas kali terakhir mengadakan konsert jelajahnya di Malaysia pada tahun 2005 iaitu di Genting Highlands. Dia juga pada tahun lepas, telah hadir ke negara ini atas jemputan penyanyi dan komposer terkenal David Foster untuk konsert jelajah Asia yang telah berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kali ini dia tampil sekali lagi di Malaysia, dibawa oleh JS Concert and Fatboys. Walaupun konsert itu bermula agak lewat - kira-kira 45 minit daripada waktu ia dijadualkan sepatutnya bermula iaitu pada pukul 8.30 malam, Bolton bijak berjenaka 'memujuk' para pengunjung konsertnya itu. Kata Bolton, kelewatannya itu disebabkan trafik yang teruk berdekatan KLCC menjelang malam. "Saya sudah beberapa kali datang ke sini (Kuala Lumpur), sepatutnya sudah arif dengan trafik perlahan sekitar kawasan ini. Kalau pemandu cakap akan sampai 10 minit lagi nampaknya saya akan terlewat," jelasnya. Memulakan persembahan dengan lagu klasiknya, To Love Somebody dengan diiringi petikan gitarnya sendiri, dia mula membuatkan peminatnya tidak senang duduk. Dia seterusnya menyanyikan barisan lagu hit dirinya seperti Said I Loved You..But I Lied dan Said I Love You, How Can We Be Lovers sambil menyanyi bersama-sama hadirin. Dalam pada itu, Bolton yang beberapa kali melemparkan pemetik gitarnya kepada hadirin setiap kali selesai bermain gitar juga berkata, dia mahu semua yang menyaksikan persembahannya membuat bising. "Saya tahu anda semua mahu menyanyi dengan saya, ambil sebanyak mana gambar yang boleh walaupun diberitahu tidak boleh berbuat demikian," ujarnya berjenaka. Pemenang dua Aanugerah Grammy dan enam Anugerah American Music ini juga menjanjikan pada malam itu dia akan menyanyikan lagu-lagu popularnya dan mengimbas kembali nostalgia kegemilangan yang pernah dicapainya pada era tahun 1980-an hingga 1990-an. Konsert Bolton di Kuala Lumpur kali ini turut diiringi enam pemuzik termasuk pemain saksafon, Michael Lington dan penyanyi, Kelly Levesque. Lington muncul bermain saksafon untuk lagu hit miliknya, You And I ketika Bolton berehat seketika. Bolton seterusnya muncul berduet bersama Levesque menerusi lagu Make You Feel My Love, Somewhere Over The Rainbow dan single yang telah terjual lebih 12 juta unit di seluruh dunia, How Am I Supposed To Live Without You. Suasana selepas itu menjadi sedikit emosi apabila Bolton turut berkongsi perasaannya menerusi pengalamannya yang berpeluang menyanyi bersama penyanyi soprano legenda Itali, Luciano Pavarotti. "Dia (Luciano Pavarotti) seorang yang sangat merendah diri. Saya cukup berbangga berpeluang menyanyi bersamanya," ujar Bolton turut mengalunkan lagu Itali berjudul Nessen Dorma. Selepas menikmati nyanyian lagu-lagu medley oleh Kelly Levesque ketika Bolton sekali lagi berehat, pengunjung konsert tersebut tergamam apabila Bolton tiba-tiba muncul dengan membuat kejutan sambil menyanyikan lagu When A Man Love A Women di tengah-tengah dewan yang gelap-gelita sewaktu semua lampu dipadamkan. Ketika itu para peminat wanita turut mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya walaupun Bolton dikelilingi beberapa pengawal peribadi. Dia juga kelihatan begitu teruja melayan hadirin yang ingin bersalam dengan dirinya walaupun mempunyai waktu agak terhad. Persembahan hampir dua jam oleh Bolton itu turut dihadiri oleh penyanyi tempatan Anuar Zain. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |