Adsense

Rabu, 24 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Amal untuk Gaza

Posted: 23 Oct 2012 04:51 PM PDT

Rabbani, Sharifah Aini dilantik ikon projek amal bina hospital di Palestin

Penderitaan penduduk Gaza tidak pernah sunyi daripada perhatian dunia termasuk dari selebriti yang sanggup memberi apa saja bantuan diperlukan.

Terbaru, Majlis Perundangan Islam Malaysia (MAPIM) mengambil inisiatif melantik ikon dari kalangan selebriti tempatan bagi meraih kesedaran masyarakat membantu nasib umat Islam di Gaza.

Projek Gaza ini sudah kami laksanakan sejak 2008 dengan pelbagai aktiviti persembahan dijayakan setiap tahun. Namun, pertemuan bersama MAPIM ini adalah kali pertama," - Azadan Abd Aziz, Pengarah Komunikasi Korporat Rabbani

Untuk tujuan itu, biduanita negara, Datuk Sharifah Aini dan ikon kumpulan nasyid popular, Rabbani dilantik menjadi jurucakap bagi projek Hospital For Gaza (H4G) dengan kemuncak majlis makan malam amal mengumpul derma.

Pengarah Komunikasi Korporat Rabbani, Azadan Abd Aziz berkata, kerjasama dengan MAPIM dianggap hubungan dua hala yang berteras misi sama.

"Sebenarnya, pertemuan ini suatu rahmat kepada kedua-dua pihak. Seperti sebelum ini, Rabbani sentiasa meluangkan masa melakukan kerja amal bagi mengimbangi tanggungjawab kami yang tidak mengharapkan aktiviti komersial saja.

"Projek Gaza ini sudah kami laksanakan sejak 2008 dengan pelbagai aktiviti persembahan dijayakan setiap tahun. Namun, pertemuan bersama MAPIM ini adalah kali pertama," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir di sidang akhbar itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Ahmad Maslam dan Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Mohd Nazri Sahat.

Misi pungut RM15 juta dari seluruh dunia

Majlis makan malam amal bagi mengutip derma membina hospital di Gaza itu bakal berlangsung pada 26 Januari depan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Azadan berkata, sejumlah RM15 juta derma dari seluruh dunia disasarkan sepanjang projek H4G.

"Persembahan amal ini akan dijayakan di empat zon di seluruh negara bermula Kuala Lumpur pada 26 Januari diikuti pantai timur, utara dan selatan.
"Dalam hal ini, Rabbani dan Sharifah Aini hanya diberi amanah untuk melaksanakan aktiviti projek H4G di Malaysia.

"Pada masa sama, MAPIM akan mengatur projek H4G dengan kerjasama 10 negara lain," katanya yang mengharapkan syarikat korporat membeli meja untuk majlis makan malam amal itu kelak.

Meja pada majlis makan malam amal itu dijual pada harga RM5,000; RM2.500 dan RM1,500. Keterangan lanjut sila hubungi penganjur di talian 03-62721225.

Identiti Eddie

Posted: 23 Oct 2012 04:32 PM PDT

Single terbaru 'Akur Janji' duet bersama Wanie bukti komposer lagu berhantu masih diminati ramai

GABUNGAN generasi lama dan baru. Itulah gambaran sesuai bagi single terbaru dendangan komposer, Eddie Hamid dan rakan duetnya berusia 18 tahun, Nurul Syazwanie Mohd Basir atau Wanie yang berjudul 'Akur Janji'.

Pada sesi fotografi di Studio The New Straits Times Press (NSTP) di Bangsar, baru-baru ini, Eddie dan Wanie tampak serasi walaupun berbeza usia. Kata Wanie, mana tidaknya, dia sudah mengenali Eddie yang digelar 'komposer lagu-lagu berhantu' sejak tiga tahun lalu apabila menjadi penyanyi latarnya.

Apabila mendapat perhatian ramai, saya terfikir untuk membawa single ini selangkah ke hadapan. Saya merasakan karya ini yang boleh dikomersialkan kerana ada permintaan," - Eddie Hamid, Komposer

Wanie yang ditemani ibu pada sesi fotografi itu berkata, dia membesar pada era kegemilangan Eddie yang mana baginya, naskhah ciptaan komposer itu indah dan puitis. Keserasian itulah agaknya yang memberi impak terhadap single 'Akur Janji' yang kini mula diperdengarkan di stesen radio seperti THR, Hot FM Pantai Timur dan Sinar FM.

"Sejak usia empat tahun, saya sudah diajar ayah yang juga guru muzik untuk mendalami bidang nyanyian. Ini minat dan cita-cita saya sejak kecil. Walaupun tahu banyak dugaan perlu ditempuhi, saya perlu kuat dan mengambil risiko kerana ia pilihan sendiri. Ibu pula sentiasa menyokong saya," katanya yang cukup menggemari lagu Krisdayanti, Menghitung Hari.

Wanie yakin bertapak dalam bidang seni

Wanie berkata, dia sering menyertai pertandingan nyanyian dan kenangan paling manis tentulah ketika muncul naib juara Bintang Idola Berita Harian 2009.
"Saya tidak pernah takut untuk terus berada dalam bidang ini. Walaupun tahu amat sukar membuat album penuh dan hanya mampu melahirkan single, saya yakin akan bertapak dalam dunia ini.

"Sekarang orang sudah tidak jual album, jika adapun kita hanya boleh membuat album kompilasi saja. Tidak ada syarikat rakaman yang mahu menanggung risiko dan kos pembikinan yang tinggi. Industri kita hanya berharap pada syarikat telekomunikasi melalui jualan nada dering saja sekarang," katanya.

Namun, situasi itu tidak mematahkan semangat Wanie malah bersyukur masih mampu mencari rezeki melalui undangan persembahan termasuk kontrak dengan sebuah kelab di Bukit Bintang.

Wanie berkata, biarpun mampu menyanyi pelbagai genre muzik, balada tetapi di hatinya.

Tak kisah dilabel komposer kampung

Cerita Eddie, idea untuk menghasilkan single ini cukup istimewa untuk dikongsi bersama peminat.

Segala-galanya bermula apabila dia diminta menghasilkan lagu untuk ditujukan kepada anak kenalannya yang melangsungkan perkahwinan. Apa yang menarik, lagu karyanya itu dijadikan cenderahati kepada tetamu majlis berkenaan dan ia digemari.

Ramai tetamu mengakui melodi lagu itu berunsur kemelayuan dan memikat hati.
"Apabila mendapat perhatian ramai, saya terfikir untuk membawa single ini selangkah ke hadapan. Saya merasakan karya ini yang boleh dikomersilkan kerana ada permintaan," katanya.

Eddie berkata, dia terharu apabila lagu itu dimuatkan dalam laman Youtube malah sudah ada 21 versi klip video lagu itu yang dihasilkan peminat.

"Saya masih seorang komposer dan rezeki saya makin bertambah. Jika zaman dulu, saya cipta sebuah lagu untuk tempoh dua bulan, sekarang saya ada sebuah lagu untuk tempoh sebulan.

Ingat pesan Loloq

"Jadi, saya tidak merasakan diri tidak diperlukan lagi dan ini masih zaman saya," katanya.

Ditanya apakah tidak gusar karyanya dikatakan bertaraf kampung, Eddie berkata:

"Saya tidak kisah kerana lagu saya masih hit. Lihat saja Halimah Jongang, lagu itu mendapat sambutan. Saya masih ingat pesanan arwah Loloq supaya jangan sesekali saya meniru identiti orang lain. Jadi saja diri sendiri.

"Arwah berpesan itu adalah keistimewaan saya kerana saya bukan M Nasir atau Ajai," katanya.