Adsense

Rabu, 24 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Belum berpuas hati

Posted: 23 Oct 2012 09:30 AM PDT

DEMI mengejar cita-cita, Soo Wincci sanggup meninggalkan teman lelakinya kerana dia tidak mahu jejaka itu terus menunggunya demi sebuah impian yang belum dilaksanakan. Daripada membiarkan terus menanti, bimbang ada yang patah hati.

Cerita Wincci, kini bekas kekasihnya itu akan berkahwin dan Wincci pula semakin deras memacu langkahnya untuk menguasai industri seni. Ternyata impian si jelita itu bukan sekadar angan-angan kerana dia sudah pun mengambil langkah dengan mencuba nasibnya sebagai penyanyi dan pelakon di Taiwan. Sebahagian dari masanya, dia akan berada di negara itu.

"Ketika saya sibuk merancang ke Taiwan, dapat pula tawaran menyertai Masterchef Selebriti Malaysia dan pada masa sama menghasilkan mini album lagu Melayu.
Selepas setahun lebih mengadakan perancangan untuk ke sana, baru sekarang saya berpeluang.

"Sedang album ini masih pada peringkat promosi, saya dapat lampu hijau untuk memulakan projek di Taiwan menghasilkan album penuh memuatkan 10 lagu dalam bahasa Mandarin. Sejak dua minggu lalu saya berulang-alik antara Taiwan-Kuala Lumpur kerana saya tidak boleh mengabaikan kerjaya seni dan peminat saya di Malaysia. Lama menghilang, nanti mereka lupakan saya.

"Isnin hingga Jumaat saya di Taiwan. Pada hujung minggu saya balik ke Kuala Lumpur untuk melakukan aktiviti seni dan memenuhi undangan persembahan di sini pula. Proses rakaman album di Taiwan hampir siap yang menyisipkan dua lagu baru dan bakinya kompilasi lagu daripada album Mandarin saya yang terdahulu. Album itu dijangka akan keluar di pasaran pada Disember ini.

"Menghasilkan dua album serentak, cabaran yang besar kerana saya terpaksa memberikan sepenuh komitmen. Saya tidak boleh mengabaikan salah satu daripadanya kerana kedua-dua adalah impian saya.

"Jarak antara dua negara pula tidak menjadi halangan kerana mudah direntasi dengan pengangkutan udara. Saya berada dalam industri hiburan tempatan sudah tiga empat tahun dan saya lihat laluan saya bukanlah mudah. Saya tidak puas hati dengan apa yang saya ada dan saya perlu bekerja keras lagi," katanya.

Jelas Wincci, dia memilih mengembangkan kerjayanya di Taiwan kerana negara itu adalah pusat pop muzik terbesar untuk pasaran di China.

"Industri muzik di Taiwan sangat besar dan saya perlu mencipta nama di negara itu sebelum boleh mengembangkan kerjaya di negara lain seperti Hong Kong. Bakat saya perlu dikenali dan diiktiraf di Taiwan sebelum membolehkan saya merintis jalan ke negara lain.

"Di Taiwan, saya bekerjasama dengan syarikat rakaman bebas berpengaruh di sana selepas saya menghubungi mereka dan menghantar kertas kerja. Ia bukan proses yang senang kerana selepas setahun setengah barulah terjadinya kerjasama itu.

"Sebagai pengenalan diri kepada peminat seni di sana, saya tampil dengan imej baru berambut paras bahu. Saya terpaksa mengorbankan rambut panjang saya.
Walaupun penat dengan jadual kerja yang padat, tetapi saya menyukainya dan dengan kesibukan itu tiada masa untuk saya memikirkan perkara lain.

"Sebab itulah saya sanggup korbankan cinta saya kerana saya tidak mahu si dia terus menunggu. Impian saya bukan hanya mahu terkenal di Malaysia dan Taiwan, tetapi juga di Hollywood. Sebelum itu, saya akan menguasai pasaran di Asia dulu. Kalau saya mahu berjaya, saya kena harungi satu persatu dan melakukan semua perkara.

"Di Taiwan persaingan sangat sengit dan saya ke sana dengan persediaan yang lengkap," katanya.

Wincci mengagumi kejayaan Shila Amzah yang berjaya menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 di Shanghai, China, sekali gus membuka peluang kepada artis Malaysia yang ingin mencari ruang di sana.

"Dia bagus dan sebutannya ketika menyanyikan lagu Mandarin sangat sempurna.
Saya tidak cemburu dengan kejayaannya bahkan bangga dengannya. Sekurang-kurangnya mereka di sana tahu artis Malaysia juga berkebolehan," katanya.

Menurut bekas Ratu Malaysia 2008, dia juga akan berlakon di Taiwan dalam drama 30 episod yang bakal disiarkan di stesen televisyen paling popular di negara itu, Set TV.

"Perancangan dan strategi mesti tepat. Saya menghasilkan album dulu dan selepas orang di sana mengenali saya sebagai penyanyi, barulah saya akan berlakon.
Kalau terus berlakon, nanti mereka tertanya-tanya siapa saya," katanya.

Aktiviti dan perjalanan seninya di Taiwan akan direkodkan dalam tesis pengajian PhDnya. Wincci akan mengupas tajuk bagaimana mahu mengembangkan bakat artis Malaysia pada peringkat antarabangsa.

Dia sudah pun memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari University of Reading, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Segi, Kota Damansara dan kini mendapat biasiswa melanjutkan pengajian PhD (Pentadbiran Perniagaan) dari Open University Malaysia (OUM).

Dia juga ada sijil vokal, bermain piano dan menggubah lagu.

"Saya menggunakan diri sendiri sebagai bahan uji kaji kerana lebih senang merekodkan perjalanan kerjaya seni sendiri dan saya sanggup belajar lagi sebagai contoh kepada remaja. Saya tidaklah pandai, tetapi saya kena belajar untuk jadi orang pandai.

"Untuk melakukan semua kerja pada satu masa, saya kena korbankan masa tidur saya," katanya.

Wincci ditemui pada pelancaran klip video single Terus Teranglah, lagu ciptaan Ajai dan lirik oleh Ajai serta Joe Flizzow.

"Saya gembira kerana berjaya menghasilkan album Melayu yang pertama. Album ini akan dipasarkan pada November ini yang memuatkan lima lagu," katanya.

Lagu lain terdapat dalam album itu, Musim Asmara, Jangan Risau, Nombor 1 dan Terus Teranglah (minus one).

Klip video itu diarahkan oleh Jin dari New Stream Production dan dirakamkan di Museum Restoran Bar, Setia Walk Puchong, Sentimas Auto, Jalan Gombak dan Bluwater Bungalow, The Mines Seri Kembangan.

"Saya puas hati dengan pembikinan klip video walaupun rakamannya dibuat di Malaysia, tetapi dengan kreativiti Jin, ia nampak seperti di Hollywood," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23


Perginya Raja Filem Cinta

Posted: 23 Oct 2012 09:02 AM PDT

PASTI peminat filem Hindi sukar melupakan kehebatan filem cinta, Dil To Pagal Hai yang menampilkan lakonan hebat Datuk Shah Rukh Khan, Madhuri Dixit dan Karisma Kapoor. Filem itu diterbitkan pada awal 1990-an oleh produser dan penerbit lebih dikenali sebagai Raja Filem Cinta, Yash Rash Chopra.

Bagaimanapun, malam Ahad lalu, peminat filem Hindi menerima khabar yang Yash sudah pergi buat selamanya dengan meninggalkan khazanah filemnya yang sangat berharga. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Lilavati, Mumbai, selepas seminggu diserang demam denggi serta tidak memberikan tindak balas terhadap rawatan diberikan.

Dia dimasukkan ke hospital itu pada 13 Oktober lalu untuk mendapatkan rawatan demam denggi, tetapi kerana usianya yang sudah lanjut, demam itu dengan cepat memberi kesan kepada organnya yang lain apabila ia tidak dapat berfungsi.
Upacara pembakaran mayatnya dikatakan berlangsung kelmarin.

Sebelum pergi meninggalkan keluarga dan pencinta karyanya buat selama-lamanya, Yash sempat meraikan hari jadinya yang ke-80 tahun dan juga menghadiri majlis hari jadi bintang filem legenda, Amitabh Bachchan ke-70.

Dengan pemergiannya itu, dia tidak sempat untuk menyaksikan pelancaran filem terbaru terbitan syarikatnya yang berjudul Jab Tak Hai Jaan.

Selama 53 tahun menjadi pengarah bebas, karyanya sangat istimewa dan sukar ditandingi pengarah lain. Yash adalah pengarah filem cinta yang dapat merasai segenap ruang rasa cinta dan kasih sayang sesama manusia.

Sedikit latar Yash, dia dilahirkan sebagai anak bongsu daripada lapan beradik di Lahore, India. Meningkat dewasa, dia mengikuti abang sulungnya, Baldev Raj (B R) Chopra ke Mumbai. Berbekalkan pengalaman bekerja dengan abangnya itu, dia mengorak langkah mengarah filemnya sendiri yang berjudul Dhool Ka Phool (1959) dan menjadi 'super hit'.

Berikutan kehebatan sentuhannya, dia satu-satunya pengarah filem yang berjaya mengutip tiket pecah panggung selama lima dekad. Selepas mengarah beberapa filem, dia menubuhkan Yash Raj Films (YRF). Antara filem arahannya yang menyentuh hati ialah Waqt, Ittefaq, Daag, Deewaar, Kabhi Kabhie, Trishul, Chandni, Darr dan Veer-Zaara.

YRF juga berjaya melahirkan ramai pengarah baru termasuklah anaknya sendiri, Aditya Chopra diikuti oleh Kabir Khan dan Sanjay Gadhvi. Yash pernah memenangi anugerah antarabangsa sebagai menghargai jasanya selaku pembikin filem dan sumbangannya dalam sektor pelancongan terutama kepada negara Switzerland yang menjadi lokasi penggambaran kegemarannya. Yash kini tinggal dalam kenangan isterinya, Pamela Chopra dan dua anaknya, Aditya dan Uday.

Antara artis yang terawal menziarahi mayatnya di hospital ialah Shah Rukh Khan, Anil Kapoor, Karan Johar, Madhur Bhandarkar, Dilip Kumar dan Saira Banu.

Mayatnya dibawa balik ke banglo sebelum diletakkan di YRF untuk dilawati keluarga, rakan penggiat seni dan peminat buat kali terakhir. Aktor dan aktres yang kelihatan memberikan penghormatan terakhir, Madhuri Dixit, Lata Mangeshkar dan Mahesh Bhatt.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/23