Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Akui pernah merajukBIARPUN tampil dengan imej bertudung sejak awal kemunculannya dalam bidang seni, ternyata pelakon Rafidah Ibrahim tidak dapat mengelak daripada terjebak dengan kisah-kisah panas yang menjadi lumrah dalam kehidupan seorang artis. Kontroversi Rafidah atau mesra dipanggil Fida bermula apabila gambarnya yang tidak bertudung tersebar di internet yang berpunca daripada perbuatan bekas kekasihnya iaitu Mamat Sepah sehingga mengakibatkan hubungan mereka berakhir. Tidak lama kemudian, pelakon yang berusia 28 tahun itu dikatakan pula sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan bertaraf VIP serta menjadi isteri kedua. Terkini, menerusi akaun Twitternya pelakon itu membuat pengakuan bahawa dia mahu berhijrah ke Indonesia, sekali gus membuatkan para peminatnya terkejut dengan keputusan yang dibuatnya itu. Berkesempatan bertemu Fida sewaktu siri jelajah Anugerah Skrin 2012 yang berlangsung di Gurney Plaza, Pulau Pinang baru-baru ini, dia lantas menjelaskan maksud di sebalik kenyataan tersebut. "Ya, saya pernah berhasrat untuk berhijrah ke Indonesia semasa bulan Ramadan yang lalu dan itu yang menyebabkan saya membuat kenyataan di laman Twitter. "Apabila difikirkan semasak-masaknya serta dinasihatkan oleh beberapa orang rakan, akhirnya saya membatalkan hasrat tersebut. Lagipun pada masa itu Hari Raya Aidilfitri juga semakin hampir dan seelok-eloknya saya terus bersama keluarga," jelasnya. Ditanya apakah punca dia membuat keputusan sedemikian, pelakon yang membintangi drama bersiri Runtun Qalbu itu mengakui bahawa dia sebenarnya merajuk sehingga mahu membawa diri ke Indonesia. Bagaimanapun, Fida tidak mahu membuka mulut serta enggan menjelaskan perkara yang sebenar punca membuatkan dirinya merajuk, meskipun diasak berulang-ulang kali. "Tidak perlulah ditanyakan punca saya merajuk memandangkan saya masih belum bersedia untuk bercerita mengenainya buat masa sekarang. Apa yang boleh saya katakan, rajuk saya itu tidak berkaitan dengan industri hiburan, sebaliknya ia lebih bersifat peribadi. "Kalau boleh biarlah ia terus menjadi rahsia dan saya anggap semua yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Kini, biarlah saya memberi sepenuh tumpuan kepada kerjaya seni," ujarnya sambil menafikan segala yang terjadi berpunca daripada insan bergelar lelaki. Namun begitu, Fida memberitahu hasrat untuk ke Indonesia masih lagi ada terutamanya untuk melebarkan sayap perniagaan minuman kesihatan Teh Misai Kucing yang sedang dijalankannya sekarang.
Menurut Fida, dia mula menjalankan perniagaan tersebut sejak bulan Mei lalu ketika menyertai program Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya dan kini dia berusaha mengembangkan lagi perniagaannya itu. "Sebelum ini saya pernah menjalankan perniagaan tudung, tetapi ia tidak dapat diteruskan setelah berdepan beberapa masalah. Kini saya beralih pula dengan perniagaan sekarang. "Pada mulanya saya sekadar menjadi pengguna biasa minuman Teh Misai Kucing ini, namun setelah mendapati minuman tersebut mengandungi pelbagai khasiat, saya membuat keputusan untuk menjualnya pula," ujarnya. Masih berkawan Sebelum ini Fida pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelawak Mamat Sepah pada tahun lalu, tetapi kini kisah cinta mereka sudah berakhir dan tinggal menjadi sejarah buat mereka berdua. Walauapun tidak lagi menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan pelawak berkenaan, Fida menyatakan hubungan mereka sekarang tidak lebih daripada seorang kawan. "Rasanya tidak salah kalau kami terus berkawan seperti biasa, meskipun dia sekarang merupakan bekas kekasih saya. Lagipun tidak guna kalau kami terus bergaduh dan bermusuh. "Sekarang ini kami lebih selesa dalam hubungan sebagai kawan dan apa yang berlaku antara saya dan Mamat dahulu biarlah menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna," ujarnya. Mengenai status dirinya sekarang setelah menafikan pernah mendirikan rumah tangga, pelakon berkenaan menyatakan dia sekarang masih lagi tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. "Biarlah saya beri lebih tumpuan kepada kerjaya sekarang memandangkan rezeki dalam bidang seni semakin banyak. Lagipun, jadual harian saya bertambah padat kerana kini saya sudah mula berjinak-jinak dengan nyanyian dan baru sahaja menghasilkan single terbaharu," ujarnya. Nafas baharu Bercerita dengan lebih lanjut mengenai single terbaharunya iaitu Apo Kono Eh Jang, Fida menyatakan dia baru selesai menjalani penggambaran klip video lagu tersebut pada 13 Oktober lalu. Menurut Fida, menerusi lagu yang pernah dipopularkan oleh Ally Noor dan Mastura itu, dia turut menjalinkan kerjasama dengan Datuk AC Mizal dan Stella Band. "Komposer Sheikh Qalam merupakan individu yang telah memberi idea untuk merakamkan semula lagu ini setelah kami melakukan perbincangan bersama apabila saya menyatakan hasrat mahu menghasilkan single baharu. "Beliau juga memainkan peranan membuat susunan muzik semula dan memberi nafas baharu dan lagu ini sudah siap dirakamkan dua bulan lalu. Secara keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan hasilnya dan ia memberi kelainan berbanding lagu asal," jelasnya. Ujarnya, single terbaharunya itu sudah pun mula diputarkan di beberapa buah stesen radio popular dan gembira kerana ia mendapat maklum balas yang positif daripada para peminatnya.
"Ada peminat saya yang memberikan pujian kerana saya mampu menyanyikan lagu berkenaan dengan baik, walaupun mereka tahu saya bukan berasal dari Negeri Sembilan. Ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk mempromosikan lagu ini," ujarnya. Jelasnya, menerusi single yang akan datang, dia sudah berbincang dan akan terus bekerjasama dengan komposer berkenaan untuk merakamkan sebuah lagu lama yang turut diberi nafas baharu. | ||||
Posted: Sama tapi tak serupa
FILEM Aku Terima Nikahnya lakonan Adi Putra dan Nora Danish kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. Sebaik ia ditayangkan, ada beberapa perkara yang dibangkitkan pihak media serta audiens. Ia adalah tentang persamaan filem tersebut dengan sebuah filem Hollywood berjudul, The Vow serta adegan yang agak intim antara Adi dan Nora. Aku Terima Nikahnya mengisahkan Johan (lakonan Adi Putra) dan Arlisa (Nora Danish) yang baru sahaja mendirikan rumah tangga telah berhadapan dugaan terbesar apabila Johan mengalami kemalangan. Akibat kemalangan tersebut, Johan telah hilang ingatan dan disahkan mengalami sejenis penyakit yang dikenali sebagai Selective Amnesia. Ia menyebabkan Johan sekadar mengingati perkara yang berlaku sehingga usianya 31 tahun, iaitu dua tahun sebelum dia mengenali isterinya itu. Jalan cerita tersebut didakwa mempunyai persamaan yang begitu ketara dengan filem The Vow lakonan Rachel McAdams dan Channing Tatum. Perbezaannya, dalam The Vow yang ditayangkan pada Februari tahun ini, bukan watak suami (lakonan Tatum) tetapi sebaliknya karakter si isteri (McAdams) yang hilang ingatan. Menjawab persoalan tersebut, pengarah Aku Terima Nikahnya, Eyra Rahman dengan tegas berkata, jalan cerita kedua-dua filem berkenaan jauh berbeza. Bagaimanapun, dia mengakui persamaan yang wujud adalah dari segi konsep cerita. "Saya tahu mereka yang menonton filem ini pastinya akan membandingkan dengan filem The Vow. Saya akui konsep cerita memang sama, tetapi bukanlah meniru keseluruhan jalan ceritanya. "Menerusi The Vow, yang hilang ingatan ialah watak isteri. Dalam Aku Terima Nikahnya pula, si suami yang mengalami hilang ingatan. Namun, jalan cerita yang dipaparkan memang jauh berbeza," jelasnya tentang filem yang menjalani penggambaran selama 18 hari dengan kos sekitar RM1.8 juta di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur, Seremban dan Port Dickson, Negeri Sembilan itu. Gandingan mantap Menurut Eyra lagi, biar apa sahaja pandangan khalayak, dia menerima dengan hati terbuka kerana ia merupakan buah tangan sulungnya di layar perak. Malah, dia sangat berpuas hati dengan hasil cerita tersebut selain yakin mampu menambat hati penonton dengan lakonan para pelakon yang memberangsangkan. Ditanya tentang pemilihan Adi dan Nora sebagai teraju utama filem tersebut, Eyra menjelaskan ia dibuat berdasarkan perbincangan yang telah dilakukan dan menganggap ia merupakan gandingan yang cukup mantap. "Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan lakonan yang ditampilkan memandangkan kedua-duanya telah membawakan watak yang diberikan dengan baik," ujarnya yang pernah menjadi penolong pengarah beberapa buah filem seperti Rempit V3, Sekali Lagi dan Senario Beach Boy. Sementara itu, Adi dengan penuh terbuka menjawab persoalan tentang adegan intim dan romantik antara dirinya dengan Nora. Menganggap sudah begitu serasi dengan pelakon jelita tersebut, termasuk untuk adegan romantik kerana mereka pernah membawa watak sebagai suami isteri dalam drama rantaian Tentang Dhia, kata Adi, dia melihat adegan romantik mereka itu sekadar satu lakonan. "Saya melihat ia (adegan romantik) sebagai satu keperluan cerita dan sudah menjadi tanggungjawab buat saya melaksanakannya dengan baik. "Malah, salah satu sebab saya menerima tawaran berlakon dalam filem ini juga adalah kerana jalan cerita romantiknya yang lain daripada lain," ujar Adi yang mengaku pada awalnya tidak tahu siapa heroin filem tersebut. Tambahnya, selain menganggap ia sebagai satu tanggungjawab pelakon, paling utama, isterinya, Aida, faham dengan tanggungjawabnya sebagai pelakon yang perlu terbabit dengan adegan romantik dalam filem ke-66 terbitan Metrowealth Sdn. Bhd. itu. "Apabila berlakon dalam filem ini semua pihak terutamanya isteri faham dengan watak yang dibawakan dan saya sekadar menjalankan tugas sebagai pelakon. Jadi, tidak timbul sebarang isu termasuk membabitkan cinta di lokasi," jelasnya yang sebelum ini didakwa hampir bercerai dengan isterinya kerana Nora. | ||||
Wanita lebih pandai bercinta - Shah Rukh Khan Posted: Wanita lebih pandai bercinta - Shah Rukh Khan
TERKENAL dengan variasi filem romantik, menurut pandangan bintang terkenal, Shah Rukh Khan, golongan wanita lebih memahami emosi dalam bercinta berbanding lelaki. Tambahnya, cinta merupakan sebuah emosi yang ringkas dan perlu disimpan rapi dalam hati. "Apabila bercinta, kita perlu jadi diri sendiri. Perkara-perkara kecil perlu diambil kira seperti menjadi pendengar setia antara satu sama lain dan memberikan pelukan. "Wanita tahu bagaimana untuk bercinta berbanding lelaki dan ia adalah perkara personal yang tidak perlu digembar-gemburkan," katanya kepada laman web BollywoodCelebden.com. Shah Rukh banyak melakonkan karakter utama dalam filem romantik antaranya Veer Zara, Dil To Pagal Hai, Mohabbatein dan Kuch Kuch Hota Hai. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |