Harian Metro: Rap |
Posted: 15 Oct 2012 07:54 AM PDT AKHIRNYA selepas melihat kebarangkalian dan mendengar keluhan peminat, trio bersaudara yang pernah mencetuskan fenomena menerusi program televisyen Disney, Jonas Brothers sepakat untuk kembali berbincang mengenai perancangan mereka. Tiga tahun membawa haluan sendiri, berusaha membina empayar secara individu hingga mengetepikan profil saudara yang ada, Jonas Brothers yang dianggotai abangnya yang kini berusia 25 tahun, Paul Kevin Jonas II, Joseph Adam Jonas, dua tahun lebih muda dan si kecil berusia 20 tahun, Nicholas Jerry Jonas melihat 'bersatu dan bersama' adalah alternatif terbaik. Peluang menemubual ketiga-tiga saudara ini awal minggu lalu menerusi Skype secara langsung dari New York memberikan perspektif baru mengenai perjuangan muzik dan perancangan terbaru mereka. Menurut abang sulungnya yang sinonim dengan panggilan Kevin menyifatkan Jonas Brothers adalah sebuah biografi muzik keluarga yang acap kali memberikannya nafas dan inspirasi.
"Maklumlah kami bermula sejak awal bersama, dari program Disney hingga ke hari ini, kami bertiga sudah terikat dengan genre dan percaturan Jonas Brothers sendiri sedangkan saya tahu kedua-dua adik saya punya visi dan objektif berlainan. "Oleh itu, peluang yang ada untuk kami memikirkan kreativiti masing-masing terlebih dulu dan mengukur sejauh mana kemampuan kami. "Justeru, selepas lebih tiga tahun, Joe dan Nick yang sudah puas melihat kredibiliti sendiri tanpa Jonas dan mengembangkan kreativiti masing-masing dalam mengukuhkan empayar muzik secara solo, mereka kembali ingin meneruskan perjuangan kami bersama," katanya. Tambah Kevin yang dilahirkan di Wyckoff, New Jersey dan kini sudahpun berkahwin dengan wanita pilihannya, Danielle Deleasa, 25 tahun pada Disember 2009, menyifatkan tempoh tiga tahun membawa haluan sendiri adalah ruang terbaik buat mereka bertiga berehat dan menumpukan pada kehidupan peribadi masing-masing. "Saya bertuah kerana dipertemukan dengan Danielle dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Kiranya dalam tempoh kami berehat seketika daripada Jonas Brothers, setidak-tidaknya saya berpeluang menumpukan perhatian kepada kehidupan baru sebagai suami. Ia satu pengalaman paling manis dan indah kerana itulah yang selalu saya inginkan sejak dulu. "Bangun pagi dan melihat wanita yang paling saya cintai berada di sebelah. Kevin dan Danielle akan muncul dalam program realiti terbitan saluran E! berjudul Married to Jonas yang turut menampilkan Joe dan Nick dalam membongkar kehidupan perkahwinan pasangan muda ini. Nick pula yang dilahirkan di Dallas, Texas berjaya membina nama dan jenama lakonannya sendiri menerusi siri Smash yang disiarkan di saluran NBC, selain diberikan kepercayaan menggantikan watak Daniel Radcliffe dalam How to Succeed in Business Without Really Trying on Broadway. Abangnya, Joe kini sedang bersiap sedia untuk membintangi beberapa filem termasuk ingin bergelar penerbit selepas menjadi bintang undangan siri TV, Hot in Cleveland. Jelas Joe kelahiran Casa Grande, Arizona yang sebelum ini pernah membintangi drama siri Band in a Bus dan Night at The Museum: Battle of The Smithsonian, sudah tiba masanya mereka kembali bersatu untuk mengubati rindu peminat yang tidak jemu menanti kehadiran mereka. "Kami rasa 2012 adalah jawapan kepada segala persoalan yang selama ini peminat nantikan. Selepas tiga tahun berehat, akhirnya Jonas Brothers muncul dengan satu persembahan jelajah istimewa seluruh dunia bagi menghiburkan mereka," katanya bersemangat. Kumpulan yang mula mencetuskan fenomena di seluruh dunia melalui filem keluaran Disney iaitu Camp Rock dan juga sekuelnya, Camp Rock 2: The Final Jam pada sekitar 2009 ini sudah banyak kali menerima pengiktirafan seluruh dunia termasuk Anugerah Muzik Amerika, Teen Choice Award serta beberapa anugerah lain. Bakal menggegarkan Stadium Negara pada 24 Oktober ini dengan konsert sulungnya di negara ini, Jonas Brothers sudah lebih awal menyusun sesuatu yang istimewa untuk dikongsi dengan peminat. Jelas Nick yang tampak lebih ceria di samping dua abangnya ketika berinteraksi bersama wakil media menerusi Skype pagi itu menyifatkan Malaysia sebagai sebuah destinasi yang amat dinantikan memandangkan ramai peminat mereka di sini yang selalu bertanyakan bila agaknya Jonas Brothers akan datang ke Malaysia. "Walaupun kami berehat seketika, namun masing-masing masih rajin melayan pertanyaan peminat terutamanya daripada facebook dan twitter. Memang ramai yang bertanya bila untuk kembali dan Malaysia juga antara negara di Asia yang acap kali kami terima ucapan dan pertanyaan. Justeru, dengan kehadiran kami menerusi konsert sulung ini, saya harap mereka akan hadir untuk berhibur bersama kami," katanya. Jonas Brothers sedia untuk menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu popular mereka yang dipetik daripada empat album studio mereka termasuk It's About Time yang diterbitkan pada 2006, Jonas Brothers (2007), A Little Bit Longer (2008) dan Lines, Vines and Trying Times, setahun kemudian. Jonas Brothers yang popular dengan lagu Mandy, Hold On dan Time For Me To Fly menyifatkan jelajah sulung mereka ke Asia sebagai satu eksperimen berani untuk mendekatkan diri dengan peminat di sini. Tambah Kevin, inilah peluang yang mereka ada untuk mendengar sendiri keseronokan dan nyanyian peminat di sini yang tidak pernah ditemui mereka. "Ada yang pernah ke Asia namun semuanya secara berasingan ketika sibuk membawa jenama masing-masing. Kiranya ini adalah pengembaraan kami ke Asia secara rasmi bersama," katanya berjenaka. Tiket bagi menyaksikan konsert Jonas Brothers pada 24 Oktober di Stadium Negara ini berharga RM88, RM188, RM238 dan RM288. Tiket boleh didapati menerusi TicketCharge Online dengan melayari ticketcharge.com.my. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15 |
Posted: 15 Oct 2012 07:28 AM PDT "SAYA tidak pernah bertemu Allahyarham A Ramlie ketika hayatnya kerana beliau sudah meninggalkan kita pada 2001 dan ketika itu saya baru berusia 13 tahun. Namun, saya pernah bermimpi mengenai arwah dan ia meninggalkan kesan cukup mendalam dalam diri sampai sekarang," kata penyanyi lagu 60-an dan Naib Juara Peringkat Kebangsaan, Bintang Asli Remaja 2006 (RTM), A Rozainie. Bagi pemilik nama sebenar, Roszaini Razalli, 25, mimpi bertemu penyanyi terkenal era 60-an, A Ramlie itu mempunyai makna yang cukup mendalam pada dirinya. "Dalam mimpi itu, saya lihat wajah arwah yang saya panggil pak cik nampak sedih saja. Arwah hanya memakai seluar pendek dan saya juga sempat menyikat rambutnya. Saya pun bertanya, sama ada arwah ingin baring atas tilam dan dia terus senyum dan wajahnya kembali berseri apabila saya mula memanggilnya ayah. "Pada pandangan saya, mungkin kerana arwah teringin untuk memiliki anak lelaki sebab itu dia ingin saya memanggilnya sebagai ayah dalam mimpi itu, sekali gus meneruskan perjuangannya sebagai penyanyi irama 60-an selepas pemergiannya.
"Arwah adalah anak sulung daripada 18 beradik. Bapa saya pula adalah adiknya dan mereka cukup rapat dulu. Melalui bapa jugalah saya banyak mengetahui kisah hidup arwah. "Begitu juga hubungan saya dan Marliana yang rapat sampai sekarang. Saya pernah bertanya Marliana kenapa dia tidak menyanyi seperti ibu bapanya. Jawapannya mudah saja, dia tidak minat menyanyi dan lebih meminati bidang tarian. Selain itu, saya turut ada perancangan untuk menghasilkan album duet dengan ibu saudara iaitu Maria tidak lama lagi," katanya. Ditanya sama ada dia tidak kisah dilabel penyanyi klon A Ramlie, anak muda kelahiran Jelebu, Negeri Sembilan ini mengakui berasa bangga kerana dapat memartabatkan lagu yang pernah dipopularkan arwah dulu. "Saya mula menyanyi sejak di bangku sekolah rendah dengan menjadikan Allahyarham Datuk Ahmad Jais sebagai idola ketika itu. Malah, saya sering menyampaikan lagu popular Ahmad Jais ketika pertandingan. "Tapi akhirnya orang anggap saya klon A Ramlie pula. Saya juga menyanyi dengan cara sendiri tetapi orang tetap samakan suara saya dengan arwah. "Setiap kali menjayakan persembahan, orang tetap anggap saya sebagai klon arwah atau arwah 'hidup semula' di pentas. Saya pula anggap diri tidak sehebatnya dan belum mampu menandingi kehebatan arwah yang bertaraf legenda itu," katanya. Terus terang, kata Rozainie, dia ingin dikenali sebagai penyanyi lagu asli dan tradisional serta bukan sekadar penyanyi lagu irama 60-an semata-mata. "Saya bukan saja boleh menyanyi lagu irama 60-an saja tapi semua lagu asli, ghazal dan tradisional. Saya percaya, tidak ramai generasi muda hari ini yang minat atau mempunyai bakat untuk menyanyi lagu lama kerana menganggap ia lagu orang tua. "Saya sendiri tak kisah jika orang label diri seperti itu kerana minat dan bakat ini adalah anugerah Allah dan tidak wajar untuk disia-siakan begitu saja kerana kita perlu pelapis untuk menyanyi lagu sedemikian. Kalau saya tak teruskan siapa lagi yang ingin teruskan warisan budaya kita ini?" katanya. Jika ramai artis lain mengeluh kurang dapat undangan, rezeki duda seorang anak, Noralya Natasya, 7, ini tidak pernah putus kerana sentiasa mendapat undangan persembahan saban bulan sejak berkecimpung dalam bidang nyanyian selama 10 tahun. "Saya bersyukur kerana rezeki murah dalam bidang seni. Saya juga belum dapat bercuti kerana agenda seni yang padat saban bulan membabitkan undangan persembahan ke serata tanah air hinggalah ke Singapura dan Brunei Darussalam," katanya yang sudahpun memiliki pengganti untuk mengisi kekosongan hatinya selama ini. Dalam perkembangan lain, A Rozanie juga mempertaruhkan bingkisan album Kenangan Mengusik Jiwa - Live dengan iringan D-Warisan/Javaroot terbitan Warisan Records. Ia memuatkan lagu seperti Oh Fatimah, Harapan Menanti, Kasih Tak Sudah, Mencari Bahagia, Menimbang Rasa, Peracun Kalbu, Seruan Ku, Hari Berganti Hari, Hidup Bersama, Ingat Padaku dan Dendang Anak Tani. Terdahulu, dia muncul dengan album A Rozainie - Fatimah Pujaanku dan irama 60-an, A Rozainie - Fatimah Pujaanku, versi karaoke yang berada di pasaran pada tahun lalu. Ia memuatkan lagu seperti Fatimah Pujaanku, Dilambung Rindu, Ikhlas Setia, Indah Di Jiwa, Terbayang Dinda, Ku Kenang Dalam Derita, Belum Jodoh, Pujangga Desa, Kerana Ibunya dan Ke Alam Baru. Album pertamanya berjudul Rentak Warisan dihasilkan sekitar 2007 dan menyusul selepas itu, Jelmaan A Ramlie. Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/15 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |