Adsense

Selasa, 16 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Elfira bukan kekasih Randy

Posted: 15 Oct 2012 03:52 PM PDT

Pelakon dan penyanyi Indonesia, Randy Pangalila, 22, menafikan dirinya bercinta dengan bintang muda negara ini, Elfira Loy.

Malah, pemuda terbabit mengaku sudah pun mempunyai teman wanita bernama Michella Putri, 19, yang juga gandingannya dalam drama bersiri Nada Cinta. Tidak terkejut mahupun marah dengan gosip mengaitkannya dengan pelakon remaja yang kian meningkat popular itu, Randy sebaliknya berkata, dia sudah lali dengan cerita sebegitu.

Randy juga menyifatkan Elfira sebagai teman rapatnya kerana mereka sering digandingkan bersama dalam beberapa projek. Selepas telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, kini kedua-duanya digandingkan lagi dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman.

"Kami hanyalah kawan kerana saya pun sudah ada cewek di Indonesia. Kami sudah berpacaran sejak dua tahun lalu. Secara jujur, kami memang serius, tetapi untuk berkahwin, saya masih belum tahu bila waktunya," - Randy Pangalila

"Kami hanyalah kawan kerana saya pun sudah ada cewek di Indonesia. Kami sudah berpacaran sejak dua tahun lalu. Secara jujur, kami memang serius, tetapi untuk berkahwin, saya masih belum tahu bila waktunya," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaru lakonannya itu di ibu kota, barubaru ini.

Elfira turut mengaku tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa dengan Randy, malah dia amat menghormati hubungan Randy bersama Michella. Sebagai teman rapat, Elfira tahu Randy begitu menyayangi teman wanitanya.

Bagaimanapun, bagi peminat yang menyukai gandingan Randy-Elfira, mereka pasti gembira apabila drama bersiri 13 episod lakonan dua bintang muda ini akan ditayangkan mulai 29 Oktober nanti di saluran Astro Ria, setiap Isnin, jam 9.30 malam.

Menurut sutradaranya, Micheal Ang, kedua-duanya disatukan kembali berikutan sambutan memberangsangkan daripada peminat telefilem sebelum ini. Jika sambutan sebegitu berterusan, dia tidak teragak-agak untuk menghasilkan filem buat mereka berdua.
Rezeki Randy juga semakin lebat di Malaysia apabila pada penghujung tahun ini, dia sekali lagi akan turun ke sini bagi menjayakan filem KL Meroyan, juga arahan Micheal. Dalam filem itu, dia akan digandingkan dengan Erra Fazira dan Didie Alias, selain Elfira.

Tidak masuk secara haram

Sementara itu, pemuda ini sekali lagi menegaskan, dia tidak bimbang untuk terus mencari rezeki di negara ini kerana dirinya yakin, permit kerjanya sah di sisi undang-undang.

Sememangnya, Randy sedar isu kemasukannya ke Malaysia dan terbabit dalam beberapa projek keluaran negara ini menjadi isu buat sesetengah pihak.

Katanya, dia sudah bersedia dari awal dan permit ialah perkara pertama yang dititikberatkan sebelum menerima tawaran lakonan daripada Cube Film Sdn Bhd pada tahun lalu.

"Isu tiada permit itu hanya salah faham dan saya pun tidak mahu memperbesarkan benda ini. Permit memang ada dan sudah diuruskan Cube Film sendiri. Saya pun tahu permit itu penting untuk saya. Sebelum saya datang pun, perkara pertama yang saya tanya ialah soal permit.

"Saya juga tidak mahu memasuki negara orang secara haram. Saya selesa berlakon bersama produksi di Malaysia dan jika ingin dibandingkan dengan di Indonesia, berlakon di bawah arahan pengarah di sini lebih memberikan kepuasan. Sebagai pelakon, saya dapat menghayati jalan cerita dari awal sampai habis, dengan pemberian skrip sebelum penggambaran.

"Tidak seperti di Indonesia, skrip hanya diberikan sehari sebelum penggambaran dijalankan dan kami tidak tahu penghujung ceritanya kerana jalan cerita digubah mengikut rating dan kehendak pengarah. Peralatan digunakan di sini juga lebih maju, dan gambar tampak lebih berkualiti. Cuma dari segi bayaran, di Indonesia ia lebih mahal," ujar pemuda ramah ini.

INFO: Randy Pangalila

  • Nama: Randy Dionisius Pangalila
  • Umur: 22 tahun
  • Asal: Surabaya, Jawa Timur.
  • Telefilem: Oh Baby (2008), Kutukan Suster Ngesot (2009), Saya Cinta, Bajingan (2009), Pasangan Romantis (2010), Tiga Cinta (2010) dan Biar Mimpi Sampai

Aku Terima Nikahnya raih RM1.3 juta

Posted: 15 Oct 2012 03:38 PM PDT

AKU Terima Nikahnya membuktikan filem bergenre drama cinta masih mendapat tempat di hati penonton.

Filem Eyra Rahman terbitan Metrowealth itu berjaya membuat pungutan kasar RM1.3 juta bagi tempoh empat hari tayangan, bermula 11 Oktober lalu.

Membariskan pelakon popular, Adi Putra dan Nora Danish, filem yang dikatakan mempunyai persamaan dengan The Vow dari Hollywood itu mengisahkan bagaimana seorang isteri cuba memenangi semula cinta suaminya selepas si lelaki terbabit dalam kemalangan, menyebabkan dirinya tidak mengingati peristiwa masa lampau.
Penerbitnya, David Teo, berkata kejayaan filem itu dilihat sebagai keajaiban dan ia secara tidak langsung mampu mengembalikan kegemilangan filem romantik tanah air.

"Filem romantik sebenarnya sukar mendapat tempat di negara ini. Jika kita perhatikan, filem berpaksikan cinta sejak dulu memang susah melepasi kutipan pecah panggung.

Namun, saya tidak boleh menidakkan kejayaan filem Ombak Rindu yang mempunyai keajaiban tersendiri.

"Menerusi rekod MIG, kami pernah mencatat kutipan memberangsangkan menerusi genre yang sama. Filem Cuti-Cuti Cinta turut mencatat kutipan pecah panggung sebanyak RM3.5 juta dan kali ini kejayaan itu bakal berulang," katanya optimis, ketika dihubungi HIP, semalam.
Bukan sekadar meraih perhatian peminat di negara ini, malah filem berkenaan juga turut menarik tumpuan khalayak di Singapura.

"Kami agak terkejut apabila sambutan filem ini cukup hebat di Singapura. Mungkin ia disebabkan pelakonnya, Adi Putra, yang berasal dari sana serta masih memiliki peminat yang ramai di negara itu. Apatah lagi kali ini dia digandingkan bersama pelakon jelita, Nora Danish, yang memang disukai ramai.

"Saya rasa inilah masa yang paling baik melihat perkembangan industri perfileman kita kembali rancak dengan pencapaian pecah panggung," katanya yang menyasar kutipan sebanyak RM3 juta untuk filem terbabit, sehingga habis tayangan.

Sementara itu, menurut sumber pawagam, sebuah lagi filem yang mula ditayangkan pada minggu lalu, Cinta Beruang, hanya meraih kutipan RM63,000.

Filem terbitan Fantastic Villa Sdn Bhd dan diedarkan Primeworks Sdn Bhd itu dijayakan pelakon komedi terkenal, Nabil Ahmad, Jue Aziz, Tauke, Sathiya, Ropie, Ilya Buang, Mat Over, Angeline Tan, Maimunah Talib dan Khatijah Talib.