Adsense

Selasa, 16 Oktober 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Baggio Nyaris Kehilangan Nyawa

Posted: 16 Oct 2012 05:48 PM PDT

Baggio (duduk) ketika diziarahi rakan artis Ali (belakang) dan Lola XPDC pada minggu lalu.
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Baggio (Damsutra) yang menghidap deman denggi nyaris kehilangan nyawa apabila klip saluran cecair intravena yang dicucuk ke tangannya tercabut tanpa disedari sehingga mengakibatkan pendarahan serius.
Baggio atau nama sebenarnya Bahagia Daharun, 41, berkata, insiden itu berlaku ketika dia tidak sedarkan diri akibat tindak balas ubat yang dimakannya ketika dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini kira-kira dua minggu lalu.
"Insiden itu terjadi pada malam ketiga saya ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri. Selepas memakan ubat batuk, saya berasa sangat mengantuk dan tidur lena sehingga saya tidak sedar klip saluran intravena yang dicucuk ke tangan saya tercabut.
"Malangnya, keadaan itu turut tidak disedari isteri saya Nelly yang menemani saya, sehingga darah mengalir keluar dengan banyak dan mengancam nyawa saya," katanya ketika dihubungi di sini, petang Selasa.
Penyanyi yang popular dengan lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi itu menghidap demam denggi pada awal bulan ini dan ditahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang selama seminggu selepas tiga hari mengalami demam.
Selain Baggio, anak lelakinya Danial Sufi, 5, turut dimasukkan ke hospital yang sama kerana penyakit berkenaan.
Kata Baggio, menurut cerita isterinya, semasa kejadian itu pihak hospital terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan bagi menstabilkan semula keadaan dirinya yang berada dalam kritikal.
Baggio dan isterinya, Nelly.
"Mujurlah, isteri dan petugas hospital bertindak cepat untuk menyelamatkan keadaan. Kalau tidak, mungkin saya sudah tiada lagi," katanya.
Berkongsi pengalamannya yang pertama kali mengalami demam yang teruk, Baggio berkata, dia hampir berputus asa apabila bacaan platelet darahnya menurun secara mendadak selepas tiga hari ditahan di wad.
"Saya masuk wad kira-kira dua minggu lalu. Selepas mengalami demam selama tiga hari, saya pergi buat pemeriksaan darah. Bacaan platelet darah saya adalah 79 bilion per Liter (bpL) iaitu separuh daripada bacaan normal 150 – 450 bpL bagi orang sihat.
"Bacaan platelet itu turun dan naik sepanjang seminggu sehingga sampai ke satu tahap ia menurun kepada 10 bpL. Ketika itu, timbul juga kebimbangan mengenai sejauh mana peluang saya untuk selamat.
"Dalam keadaan reda, saya hanya mampu berdoa agar dipanjangkan umur dan dapat pulih kembali," kongsinya.
Baggio yang kini masih bercuti di rumah berkata, pengalaman terkena demam denggi itu adalah ujian Tuhan untuk membersihkan diri dan dosa-dosanya selama ini.
"Saya tidak pernah sakit teruk. Apabila terkena demam denggi dan insiden hampir kehilangan nyawa, saya anggap ia adalah pembersihan diri atas segala dosa yang saya lakukan selama ini.
"Saya bersyukur kesihatan beransur sembuh. Buat masa ini, saya masih berehat sehingga hujung minggu ini selepas keluar dari hospital pada Khamis lalu," kata pelakon drama bersiriMetro Skuad ini.
- ---

Raja Azura Tidak Akan Hidup Bermadu

Posted: 16 Oct 2012 05:40 PM PDT

Raja Azura
KUALA LUMPUR: Penyampai radio Sinar FM dan pelakon Raja Azura tidak akan mencari pengganti di kalangan suami orang kerana prinsipnya enggan hidup bermadu.
Raja Azura, 40, berkata, walaupun dalam agama Islam tidak menghalang kehidupan bermadu namun perkara itu haruslah hadir dengan keikhlasan hati kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Terus terang jika ingin mencari pengganti, saya tidak mahu cari di kalangan mereka yang sudah berkahwin dan saya tidak mahu hidup bermadu.
"Ia telah menjadi prinsip hidup saya dan rasanya saya bukan insan yang terpilih untuk hidup berpoligami," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran program bual bicara Primadona di Astro, di sini pada Selasa.
Selain Raja Azura, program tersebut turut menampilkan Erra Fazira, Ziela Jalil dan Rozita Che Wan sebagai pengacara gandingan.
Ia akan menemui penonton bermula 2 November depan setiap hari Jumaat pukul 9 malam menerusi Astro Prima.
Dalam pada itu, Raja Azura tidak menafikan ada lelaki yang cuba mendekatinya sejak dia berpisah dengan Adzmin Osman. Bagaimanapun dia lebih selesa dengan kehidupan solonya kini.
Malah tumpuannya adalah kepada anak-anak selain kerjaya sebagai penyampai radio Sinar FM.
Raja Azura dan Adzmin berpisah pada 28 September 2010 selepas hampir sepuluh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Megat Muhammad Raziq,10, Megat Luqman Hakim,9, dan Puteri Mkia Maizurah, 6.
Adzmin merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof.
Sementara itu, Raja Azura memberitahu gembira dapat bekerjasama dan berkongsi pentas bersama tiga lagi rakan artis dalam Primadona.
Walaupun terkenal dengan kepetahan sebagai penyampai radio dan pengacara televisyen, itu tidak bermakna dia akan menguasai program itu.
"Memang saya banyak bercakap tetapi untuk Primadona kita banyak melakukan latihan sebelum membuat rakaman supaya semua pengacara tidak "tenggelam" di antara satu sama lain," katanya.
- ---

Kuswadinata Semakin Kritikal

Posted: 16 Oct 2012 05:39 PM PDT

Pelakon Kuswadinata dikunjungi rakan artis (dari kiri) Freddie, Azizul Khamis dan Deen Maidin.
KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Kuswadinata, 74, berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang di sini akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.
"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.
"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.
"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.
Rizal ditemui di Hospital Ampang ketika kunjungan pihak media bersama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) yang mahu melawat ayahnya itu.
Kuswadinata kelihatan segak semasa sihat.
Karyawan diwakili Presidennya, Datuk Freddie Fernandez.
Selain pendarahan usus, Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang turut mengalami penyakit prostat dan masalah buah pinggang yang teruk sehingga sukar untuk beliau buang air kecil secara normal.
Isterinya, Kamariah Mohd Said, 57, berkata pada September lalu, Kuswadinata dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat penyakit yang sama.
"Penyakit suami saya mungkin berpunca daripada kanser usus yang dihidapinya pada 2008 dan dia pernah menjalani pembedahan di HKL.
"Kemudian ia melarat pada buah pinggangnya dan doktor juga mendapati dia mengalami kanser darah yang menjadi punca kepada semua penyakit.
"Sekarang ini, sebelah kiri buah pinggangnya sudah tidak boleh berfungsi manakala di bahagian kanan pula semakin membengkak," ujarnya.
Sementara itu Freddie Fernandez telah menghulurkan sumbangan berupa wang tunai kepada keluarga pelakon itu bagi mengurangkan beban mereka selain berharap agar mereka tabah menerima sebarang dugaan.
Selain Rizal, pelakon itu mempunyai tiga orang anak iaitu Jasmine, 27, Hafsham, 26 dan Irwan, 25.
- ---