Adsense

Selasa, 9 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Reen kena gasak

Posted: 08 Oct 2012 06:02 AM PDT

LIMA bulan memateri bakatnya di layar perak, perlahan-lahan nama Noreen Ashikin Abdul Rahim (Reen Rahim), 24, mula disebut-sebut. Tidak kisahlah, ada sekadar pernah dengar atau memang mengenali pelakon jelita ini, apapun aturan langkahnya semakin deras. Kecintaan menebal terhadap lakonan tetap mengatasi segalanya.

Lama tidak bersua dengannya, nyata banyak perubahan boleh dilihat terutama sekali pembawaan dirinya menyapa media. Ramah dan bijak menyusun kata, mungkin pergaulan bersama artis lain jadi pencetus kepadanya untuk tampil lebih yakin dalam berkomunikasi.

Mendengar sisi perkembangan kerjayanya, pelakon yang makin meraih perhatian menerusi lakonannya dalam Runtun Qalbu di TV3 itu bagaimanapun masih mendambakan banyak pengalaman. Masih mentah di bidang ini, secara tepatnya, dia mahu sisi lainnya digali lebih jauh lagi.

Bagaikan menurut stigma kebiasaan, wajah sering dijadikan antara faktor pemberian watak. Memiliki wajah jelita, sedikit raut sombong dan kelihatan garang, Reen tidak terlepas daripada skeptikal tawaran watak antagonis.


Mengakui sehingga kini, watak yang ditawarkan padanya selalu saja dalam kategori itu, dia teringin untuk berubah angin mencuba watak lain pula.


"Sejak menyertai rancangan Pilih Kasih 3 (PK3) lagi, asal saja watak antagonis, mesti akan diberikan kepada saya. Kalau bukan watak jahat, mesti dapat watak yang lebih kurang sebegitu sehinggalah masuk ke industri sekarang pun, saya mengalami nasib sama.

"Bukan hendak mengeluh, apatah lagi saya ini masih terlalu baru dalam lakonan, tetapi saya risau nanti kebolehan sebenar saya tidak terserlah. Saya takut nanti produser mahupun peminat hanya melihat saya dalam takuk itu dan melabel saya hanya mampu membawa satu watak saja.

"Menjadi impian bagi setiap pelakon untuk maju lebih ke hadapan dan diberikan peluang memegang watak yang pelbagai. Begitu juga saya, sekurang-kurangnya profil saya menjadi lebih kuat dan dipercayai," katanya.

Sibuk menjalani penggambaran filem keduanya selepas Gangster Celop, bertajuk Balun, Reen amat berharap akan diberikan watak yang lebih mencabar lagi selepas ini.

"Laluan yang saya tempuhi untuk terus berdiri kuat dalam bidang ini tidak seindah seperti pelakon baru lain. Namun, tidak pernah putus tawaran, saya sudah cukup bersyukur dan apa yang perlu saya lakukan sekarang hanyalah membuktikan kualiti lakonan saya.

"Oleh itu, kalau boleh saya mahu muncul dengan satu produk atau watak yang benar-benar buat orang mempercayai bakat saya. Saya ingin melakukan watak yang tidak ada dalam diri saya di dunia realiti.

"Contohnya watak yang saya dapat dalam filem Balun iaitu seorang wanita ranggi dan pandai bertarung. Sebenarnya, watak ini antara yang menjadi idaman saya dan tidak sangka pula tawaran itu datang sebelum saya sempat mempersiapkan diri.

"Sebelum ini juga, saya sudah ada perancangan untuk menghadiri kelas mempertahankan diri. Tiba-tiba dapat tawaran Balun, saya memang teruja sangat tapi pada masa sama, rasa macam kurang bersedia pula.

"Maka, untuk mendapat kepuasan diri, saya katakan pada pengarah, saya mahu melakukan sendiri aksi lasak yang membabitkan watak saya. Nasib baiklah, kami turut diberikan latihan mempertahankan diri itu sepanjang penggambaran dijalankan. Dari situlah saya menyerap semua ilmu yang diajar dan setakat ini, saya berjaya melakukan semua aksi lasak berkenaan," ujarnya yang turut bercadang menghadiri kelas tarian pula selepas ini.

Kerap mendapat watak pembantu dan belum pun diberi peluang menjadi teraju mana-mana drama ataupun filem, Reen tidak pernah langsung menganggap perkara itu ralat baginya.

"Mungkin ramai pelakon baru akan suka sekiranya diberikan watak utama, tetapi saya terus terang masih belum bersedia untuk itu. Bukan tidak mahu, namun memegang watak utama bermakna ia satu tanggungjawab yang sangat berat.

"Saya sasarkan sekurang-kurangnya saya perlukan dua tahun untuk belajar menjadi pelakon yang bagus. Memang ramai juga pelakon baru yang diberikan kepercayaan memegang watak utama, namun tidak langsung terdetik rasa cemburu.

"Itu bermakna, produser benar-benar yakin dengan kebolehan mereka dan saya percaya suatu hari nanti, sekiranya rezeki memihak, saya juga berpeluang merasai pengalaman itu," katanya.

Demi kelangsungan jadual kerja, hampir semua artis melantik pengurus untuk diri masing-masing, namun anak jati Klang, Selangor ini tidak pula berbuat demikian.
Ditanya bagaimana dia menguruskan kariernya sepanjang tempoh selepas berakhirnya PK3, Reen ternyata selesa berhaluan sendiri.

"Sudah ramai juga yang menyarankan saya untuk mengupah seorang pengurus. Namun bagi saya, belum menjadi keperluan untuk memiliki pengurus sendiri buat masa sekarang kerana saya lebih selesa bergerak sendiri.

"Bukan tidak mahu, tetapi setakat ini, semuanya masih terkawal dan semestinya akan tiba masanya nanti, saya akan mencari seseorang juga. Bagaimanapun, saya amat teliti dalam hal sebegini kerana kalau adapun pengurus nanti, saya mahu seseorang yang betul-betul berkaliber dan boleh memberikan komitmen 100 peratus.

"Mungkin sudah terbiasa berdikari, lagipun saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dengan bidang ini. Jadi, untuk ke set penggambaran misalnya, saya lebih suka pergi sendiri dan berasa tidak selesa kalau ada yang mengikut," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Bicara bersama Dr Zakir

Posted: 08 Oct 2012 05:52 AM PDT

SELEPAS rancangan 30 Minit Ustaz Don, kini TV AlHijrah (TVAH) memperkenalkan program bicara agama terbaru, Tonight With Dr Zakir Naik yang mula disiarkan Sabtu lalu, jam 9.30 malam. Program istimewa itu menemui penonton TVAH (saluran Astro 114) sebanyak 13 episod yang memuatkan pelbagai topik menarik.

Antara topik pilihan akan dibincangkan berkisar kepada kehidupan serta norma Islam yang sesuai dijadikan panduan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama.
Justeru, secara tidak langsung ia mengetengahkan Islam sebagai agama sejagat, memupuk persaudaraan, kesederhanaan, kasih sayang dan perpaduan.


Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Bukhari Che Muda berkata, program itu diterbitkan sempena jalinan kerjasama kali pertama antara TVAH dengan stesen televisyen Islam, Peace TV yang berpangkalan di Dubai. Katanya, Peace TV adalah saluran televisyen satelit pertama dunia dalam format definisi tinggi (HD).

"Peace TV dilancarkan pada 2006 dan beroperasi selama 24 jam sehari.
Berkonsepkan Islamic Edutainment, stesen ini boleh ditonton lebih 150 negara di Asia, Eropah, Australia dan Amerika Utara. Malah, melalui wakilnya, Harmonic Media, TVAH sudah mengadakan lawatan ke ibu pejabat Peace TV di Dubai.


"Justeru, TVAH sudah meneliti rangkaian program disiarkan Peace TV dan ada beberapa program yang dipilih untuk disiarkan stesen ini kepada untuk penonton kami pada tahun depan. Antara yang menjadi pilihan ialah program kanak-kanak dan juga ceramah berkaitan agama seperti Tonight With Dr Zakir Naik ini.

"Kerjasama ini dimantapkan lagi dengan kedatangan Dr Zakir ke negara ini dalam rangka menjayakan siri ceramah beliau sempena 'Malaysian Tour 2012' yang bermula di Johor dan berakhir di Kuala Lumpur. Jadi, rangkuman siri ceramah beliau di sini dan negara lain dipilih untuk ditayangkan.

"Memandangkan siri ceramah dijayakan beliau agak banyak, TVAH akan memilih topik perbahasan sesuai terutama yang memberi gambaran mengenai Islam sebenar," katanya memaklumkan Islam bukanlah agama suatu bangsa tetapi sejagat yang mengetengahkan ketenangan dan perpaduan ummah.

Berbicara mengenai fokus sasaran penonton TVAH pula, Bukhari berkata, ia masih tertumpu pada golongan muda dan profesional. Atas sebab itu, segala topik perbincangan bersandarkan hujah, fakta dan ilmu pengetahuan. Malah, ceramah disiarkan dalam bahasa Inggeris itu turut dipadatkan dengan sari kata bahasa Melayu.

Mengenai persaingan, Bukhari berkata, TVAH tidak pernah ingin bersaing dengan stesen TV lain. Ujarnya, apa yang dilakukan TVAH kini adalah sekadar memberi alternatif pilihan kepada penonton untuk memilih rancangan digemari serta berusaha mengisi ruang kosong yang ada untuk program kerohanian.

Turut mengulas mengenai perancangan TVAH beroperasi 24 jam sehari, Bukhari menjelaskan, setakat ini pihak pengurusan stesen belum lagi merancang ke arah itu. Cuma, dalam waktu terdekat ini iaitu bermula Sabtu lalu, TVAH melanjutkan dua jam waktu siarannya dari jam 6 pagi hingga 2 pagi berbanding sebelum ini dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, Dr Zakir berkata, beliau sangat teruja apabila meraih peluang menjayakan program Tonight With Dr Zakir Naik untuk disiarkan TVAH. Katanya yang pernah bertugas sebagai doktor perubatan, apatah lagi program itu disiarkan di Malaysia yang bukan saja didiami pelbagai kaum, tetapi aman.

"Ia secara tidak langsung menunjukkan Islam adalah agama sejagat yang sesuai dianuti sesiapa saja. Islam adalah garis panduan hidup sebenar yang menitikberatkan persaudaraan, kesederhanaan, kasih sayang dan perpaduan.
Diharapkan siri ceramah saya nanti mampu menyuntik kesedaran dan pemahaman lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08