Adsense

Selasa, 9 Oktober 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Hero baru Thai

Posted: 08 Oct 2012 04:38 PM PDT

Aaron mengaku dilamar syarikat produksi dari negara jiran

Peminat Aaron Aziz mungkin harus menerima kenyataan pedih andainya satu hari nanti dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada industri perfileman tempatan.

Namun, perkara itu masih samar-samar dan jika berlaku sekali pun, ia bukanlah dalam waktu terdekat.

Ditemui di set penggambaran filem arahan Ahmad Idham, Lari, di Kuala Perlis baru-baru ini, Aaron mendedahkan dirinya dilamar pengarah lagak ngeri Thailand, Nong, yang turut terbabit dalam projek terbitan Excellent Pictures itu, untuk menjayakan judul aksi dari negara jiran itu.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 itu tertarik dengan tawaran berkenaan kerana ia bakal menjadi titik permulaan buat kerjaya lakonannya ke peringkat antarabangsa. Bagaimanapun sebelum persetujuan dicapai, pelbagai faktor harus dipertimbangkan.

"Tawaran itu memang menarik, tetapi saya belum dapat memberikan jawapan. Mereka pula merancang memulakan penggambaran tahun depan. Saya perlu melihat jadual kerja terlebih dulu, supaya tidak bertembung dengan 'job' yang sudah dijanjikan lebih awal.

"Kalau boleh, memang saya ingin berlakon dalam filem itu. Namun saya tidak boleh mementingkan diri dengan menerima saja tawaran berkenaan, semata-mata untuk mencipta nama di luar negara. Jika ditakdirkan hasrat itu tidak tercapai, saya reda," katanya yang membawakan watak Khaliff dalam Lari.

Bergaduh betul-betul
Berkampung di Perlis sejak 16 September lalu bagi menyiapkan penggambaran filem yang mengangkat tema pemerdagangan manusia melakar pengalaman baru kepada kerjaya pelakon ini.

Biarpun pernah menjayakan filem aksi menerusi KL Gangster, namun Lari lebih mencabar kemampuannya apabila perlu melakukan aksi pergaduhan membabitkan pukulan serta tendangan sebenar, dengan berpandukan koreografi Nong.

"Penat tetapi puas kerana saya perlu beradu kekuatan dengan pelakon tambahan yang ada asas muay thai. Tidak seperti filem sebelum ini di mana pelakon tambahannya tidak mempunyai asas seni mempertahankan diri.

"Awalnya saya agak bimbang kerana banyak aksinya yang tidak pernah saya lakukan. Saya juga hanya belajar daripada pengarah lagak ngeri ketika di set. Nong seorang yang sistematik dan dia sudah menyiapkan koreografinya di iPad. Setiap babak memaparkan aksi berbeza, jadi saya hanya perlu berpandukan kepada lakaran dibuat.

Bakal jadi bualan

"Saya tertarik dengan filem ini kerana aksi lagak ngerinya setaraf dengan judul dari Thailand dan Hong Kong. Untuk babak bertarung, kami dikehendaki berlawan betul-betul. Contohnya, kami memang betul-betul melayang apabila ditendang.
Bagaimanapun kami diberikan pelapik keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya yang tidak kisah walaupun pernah tercedera sewaktu penggambaran.

Berpeluang meninjau penggambaran filem itu memberi gambaran positif, filem menelan belanja sekitar RM2.5 juta ini mungkin bakal menjadi bualan.

Bagaimanapun, kata Aaron, kejayaan Lari belum boleh diukur dari sudut pembikinan sematamata. Sebaliknya, kejayaan hanya dapat dinilai apabila ia ditayangkan.

Samseng juga manusia biasa

Posted: 08 Oct 2012 04:35 PM PDT

The Gangster - Antapal papar kegemilangan gangsterisme di Thailand era 1950-an

Berdasarkan kisah benar era samseng Thai pada 1956, penonton akan dapat menyaksikan filem berjudul The Gangster - Antapal di pawagam seluruh negara, mulai Khamis ini. Filem arahan Kongkiat Khomsiri ini berkisar mengenai dua samseng terkenal ketika itu, Daeng dan Jod.

Pada era berkenaan, pemuda yang bertarung dalam pertempuran berdarah antara kumpulan samseng dilihat sebagai selebriti dan wira. Orang ramai memandang tinggi golongan ini dan samseng berkenaan dilihat berlenggang di sekitar kota Bangkok seperti dunia ini mereka yang punya.

Bagaimanapun, apabila diktator tentera berkuasa, mereka mengarahkan segala kegiatan berkaitan samseng dihapuskan dan golongan pemuda terbabit mula berdepan masa depan gelap. Golongan terbabit akan ditembak mati ataupun dihumban ke penjara.
Dua anggota samseng popular era itu, Daeng dan Jod, begitupun berazam untuk terus kekal bertahan menempuh saat sukar.

Dari era rock & roll tiba pula dekad hippie. Jod (Krisada Sukosol Clapp) dan temannya, Daeng (Somchai Kemklad) ingin membuat kemunculan semula. Kedua-duanya bekerja untuk mafia yang berkuasa, yang menjalankan kegiatan memberikan perlindungan serta menguasai bar yang wujud ketika itu.

Pada masa masa, dua anak muda, Thong (Sakarin Suthamsamai) dan Piak (Krisada Suparpprom), baru saja memulakan kehidupan dalam dunia gangsterisme serta menjadikan dua lelaki itu sebagai idola masing-masing.

Meskipun begitu, Jod mula melihat kitaran hidupnya yang tidak membawa apa-apa faedah. Kekejaman bukanlah jaminan untuknya mendapat penghormatan, dan pihak polis pula kembali memburu mereka.
Thong dan Piak mempunyai pandangan berbeza terhadap kehidupan penuh bahaya, berlainan daripada dunia didiami Jod dan Daeng. Ketika Bangkok dan dunia berubah, kedua-duanya perlu meleraikan konflik dan membuat keputusan sama ada ingin terus mengikuti jalan hitam ataupun memulakan hidup baru.

Filem aksi dengan elemen kemanusiaan

Kekejaman, maruah dan persaudaraan yang diserlahkan anggota samseng pada era terbabit menjadi inspirasi buat Kongkiat, antara pembikin filem muda paling berbakat di Thailand, untuk muncul bersama filem ini.

"Saya ingin menghasilkan filem gangster yang mempunyai cita rasa Thai. Saya bukannya mahu mengagungkan Daeng dan Jod, sebaliknya memaparkan diri mereka sebagai manusia yang juga mempunyai perasaan serta dimensi.

"Samseng juga sama seperti kita. Mereka turut berdepan masalah. Ada kala mereka gembira dan ada saatnya turut berduka. Mereka juga menghargai persahabatan dan keluarga. Mereka menyayangi dan membenci antara satu sama lain. Bukanlah sesuatu yang menyeronokkan untuk menyerang orang lain dengan menggunakan pisau mahupun senapang.
Malah mereka turut berasa takut. Jadi, idea saya adalah untuk menghasilkan filem aksi yang mempunyai elemen kemanusiaan yang kental sekali," kata pengarah ini.
Zaman di mana kejadian yang dipaparkan amat penting buat sutradara ini. Jadi, dia tidak kisah apabila perlu berdepan kesukaran untuk menghasilkan kembali fesyen dan gaya popular pada era itu.

Zaman rock & roll, hippie

Pada era pertengahan 1950-an, pengaruh Barat begitu kuat dirasakan di kalangan anak muda Thai, yang mengagumi bintang seperti Elvis Presley dan James Dean. Selepas itu pula muncul dekad hippie yang menular ke seluruh dunia.

"Saya meletakkan keseluruhan tenaga dalam menunjukkan peredaran waktu dan implikasi budaya yang wujud, seiring dengan peristiwa berlaku ketika itu. Pada mulanya zaman rock & roll, dan itulah kemuncak anak muda seperti Jod dan Daeng. Selepas itu datang pula hippie dengan budaya dadah dan fesyen baru. Semuanya berlaku dalam perubahan sosial di kalangan masyarakat Thai, dengan kehadiran pemerintahan tentera serta pelbagai lagi bentuk keganasan lain.

"Samseng pada awalnya bertarung menggunakan pisau. Dengan tangan terikat, mereka menyerang antara satu sama lain. Kemudian mereka mula menggunakan senapang kerana ia lebih pantas lagi. Saya ingin menunjukkan perubahan ini dalam karakter masing-masing, sebagai hasil daripada budaya yang dominan di sesebuah negara dan mungkin juga dunia," kata Kongkiat.

Antapal yang mula ditayangkan pada 11 Oktober ini turut dibintangi Pakchanok Wo-Onsri, Wasu Saengsingkaew dan Nantarat Chaowaraj.

Tiket menonton percuma

  • Sempena tayangan The Gangster - Antapal di negara ini, BH dan United International Pictures memberikan peluang kepada pembaca untuk menontonnya secara percuma, lebih awal daripada penonton lain.
  • Tayangan percuma The Gangster - Antapal diadakan pada jam 9 malam ini, bertempat di Dewan 9, TGV KLCC.
  • Pembaca boleh menebus tiket percuma dengan membawa keratan artikel The Gangster - Antapal ini ke kaunter pertukaran di TGV KLCC mulai jam 8 malam.
  • Setiap keratan melayakkan pembaca menerima dua (2) tiket percuma dan seorang pembaca boleh menebus maksimum empat (4) tiket saja.
  • Tiket percuma diberikan kepada pembaca berdasarkan siapa cepat dia dapat. Tiket percuma ini tidak boleh ditukarkan kepada wang tunai ataupun dijual.