Adsense

Selasa, 9 Oktober 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Ramlah Ram Diugut Selepas Akaun Facebook, Twitter Digodam

Posted: 09 Oct 2012 06:00 PM PDT

Ramlah Ram
PETALING JAYA: Penjenayah siber berjaya menggodam beberapa laman sosial milik penyanyi Ramlah Ram sehingga meletakkan status serta mesej berbaur ugutan terhadap penyanyi itu dan juga beberapa artis lain.
Presiden Kelab Peminat Ramlah Ram Group (RRG), Idmiszal Soaid berkata, dia menyedari perkara itu pada pagi Sabtu lalu apabila terbaca di sebuah blog yang mengatakan laman Twitter milik Ramlah digodam.
"Tidak lama kemudian iaitu pada pukul 3 petang hari yang sama penggodam itu menghantar mesej berbaur ugutan dalam Twitter Ramlah yang ingin memusnahkan semua akaun laman sosial milik Ramlah termasuklah Facebook, E-mel dan akaun YouTube.
individu yang menamakan dirinya sebagai 'Force Encryption' sengaja menggunakan wajah orang lain untuk menggodam laman sosial Ramlah Ram.
"Lebih menakutkan apabila penggodam mengugut (di Facebook) mahu menggodam telefon bimbit serta komputer riba Ramlah bertujuan untuk mendedahkan foto-foto peribadi miliknya," katanya yang dihubungi di sini petang Selasa.
Tambah Idmiszal, Ramlah yang baru pulang dari Terengganu pada malam Sabtu lalu terus membuat laporan polis di Balai Polis Kajang kira-kira pukul 1 pagi (Ahad) selepas mendapat tahu kejadian tersebut.
Malah, sebagai langkah keselamatan, Ramlah bertindak menghubungi beberapa bank bagi menyekat akaun-akaunnya agar segala urusan dihentikan buat sementara waktu.
Status menerusi akaun Twitter ini bukan tulisan Ramlah Ram kerana ia sudah dicerobohi individu tidak bertanggungjawab.
"Selain Ramlah, saya juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Kajang dan dua orang ahli RRG membuat laporan serupa di Taman Pelangi, Johor kerana akaun laman sosial kami juga digodam.
"Malah penggodam itu telah menghantar mesej kepada saya dengan mengatakan dia tidak sukakan sebarang promosi yang berkaitan Ramlah. Peliknya, orang yang menghantar mesej itu daripada seorang lelaki negara luar.
"Dia siap ugut mahu menggodam laman sosial artis-artis lain pula seperti Azwan Ali, Lisa Surihani dan Fazura," ujarnya.
Ditanya keadaan Ramlah, Idmiszal berkata, penyanyi itu menjadi fobia sehingga dia tidak berani untuk menjawab sebarang panggilan telefon.
"Dia masih lagi fobia tambahan pula pelbagai ugutan yang diterima. Begitu juga dengan kami, takut juga apabila ada yang cuba dengki mahu menjatuhkan reputasi Ramlah.
"Tambah pula dia album barunya iaitu Aspirasi Cinta akan dipasarkan pada Jumaat ini yang diterbitkan sendiri oleh RRG. Saya takut ada yang tidak senang hati," ujarnya.
Sementara itu Ramlah Ram yang dihubungi tidak menjawab panggilan telefon bagi mengulas kejadian tersebut.
- ---

Syamsul Yusof Sudah Sedia Kahwin

Posted: 09 Oct 2012 05:51 PM PDT

Syamsul Yusof bersedia menggalas tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Foto ART CHEN
SHAH ALAM: Pengarah dan pelakon Syamsul Yusof mengakui bersedia untuk meneruskan fasa kehidupannya ke alam rumah tangga selepas melihat kerjayanya dalam bidang seni semakin kukuh.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Yusof, 28, berkata, selepas pelbagai kejayaan dan pengiktirafan yang diraih terutamanya sebagai pengarah, hatinya sudah mula terdetik untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami pula.
"Alhamdulillah, pada usia muda sebegini, terasa seperti mimpi sahaja apabila filem-filem saya diiktiraf dalam negara ini.
"Segala usaha selama ini dengan bantuan ayah dan krew produksi membuatkan saya berdiri kukuh seperti sekarang.
"Dan kerana itu, sekarang hati saya mula terdetik untuk ke arah itu (berkahwin). Mahu kahwin dan cepat-cepat dapat anak," katanya.
Syamsul meraih empat anugerah masing-masing menerusi filem 'KL Gangster' dan 'Khurafat' pada Anugerah Blokbuster 2011. Foto AZLINA ABDULLAH
Bagaimanapun, Syamsul yang enggan mendedahkan kekasihnya itu menambah, perasaan ingin berkahwin itu sekadar perancangannya sahaja dan berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Kita hanya merancang, tetapi semua itu ketentuan Allah. Moga jodoh saya dipercepatkan. Saya harapkan doa daripada semua," ujarnya.
Menerusi Anugerah Blokbuster 2011 pada Sabtu lalu, filem arahan Syamsul iaitu KL Gangster menang besar selepas berjaya meraih bagi kategori Filem Terhebat, Filem Aksi Terhebat dan Tuan Director Terhebat.
Malah filem Khurafat arahannya turut menang bagi kategori Filem Takut Terhebat.
Sementara itu, disebabkan pelbagai kejayaan yang diraih filem KL Gangster sepanjang tahun ini, Syamsul berharap agar "prekuel" filem tersebut iaitu KL Gangster 2 yang akan ditayangkan pada awal tahun depan dapat menandingi filem berkenaan yang pertama.
"Saya tahu ramai yang menantikan KL Gangster 2 dan itu sangat merisaukan. Saya takut kerana penonton akan meletakkan harapan yang tinggi selepas kejayaan KL Gangster.
"Insya-Allah, ia dapat memuaskan hati semua yang menyaksikannya kerana filem prekuel ini lebih aksi dan mempunyai sudut syot' yang berbeza," katanya.
- ---

Detik Cemas Fadlan (VIP) Dikejar Dua Samseng

Posted: 09 Oct 2012 05:37 PM PDT

Fadlan berasa cemas apabila dua lelaki tidak dikenali telah mengekorinya semasa dalam perjalanan ke lokasi penggambaran di Klang, Selangor pada Isnin lalu.
PETALING JAYA: Anggota kumpulan VIP, Fadlan Hazim, 20, berhadapan dengan detik cemas apabila kereta yang dipandunya dihimpit sewaktu dikejar oleh dua lelaki yang dipercayai samseng dalam kejadian di lebuh raya Duta-Ulu Klang (DUKE) pada petang Isnin lalu.
Fadlan berkata, kejadian itu berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Melawati, dekat sini ke lokasi penggambaran drama 6 Progresif di Klang.
"Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.45 petang ketika saya sedang memandu di lorong tengah lebuh raya itu dan tiba-tiba sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna merah menghimpit kereta saya yang datang dari arah kiri.
"Dua lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut meminta saya berhenti sambil menunjukkan sepucuk surat yang saya yakin sebagai taktik untuk mengelirukan saya," ujarnya ketika dihubungi pada Selasa.
Jelas Fadlan lagi, dia yang berasa tidak sedap hati dengan motif dua lelaki tersebut memecut laju kenderaannya dan terus dikejar samseng berkenaan yang mahu membuat sesuatu agar dia terbabas.
"Ia seperti di dalam sebuah filem dan saya tidak faham mengapa mereka mengejar saya? Kalau nak kata mereka penarik kereta, saya membayar ansuran kenderaan saya tiap-tiap bulan dan kalau nak kata pemungut hutang saya tidak pernah meminjam daripada Ah Long," jelasnya.
Fadlan yang memandu kereta Suzuki Aerio berkata, dia turut bimbang sekiranya penjenayah berkenaan membawa pistol dan menembaknya sehingga membuatkan dia memberi isyarat untuk mendapatkan perhatian daripada pemandu lain tetapi tidak diendahkan.
Pemandangan lebuh raya DUKE dari udara.
"Saya risau jika mereka ada membawa pistol dan cuba menembak saya sebab itu saya cuba memecut laju supaya mereka tidak dapat menghimpit saya," jelasnya.
Fadlan berkata, nasibnya baik apabila dia berjaya menyelamatkan diri dengan berhenti di bahu jalan lebuh raya terbabit ketika hampir tiba di plaza tol untuk meminta bantuan pemilik sebuah kenderaan yang kebetulan rosak di laluan berkenaan.
Katanya, ketika memberhentikan kenderaannya itu, dia telah mengadu kepada individu tersebut yang turut membantu memberi perlindungan kepadanya kerana bimbang perkara yang tidak dingini berlaku.
"Pada waktu itu saya nampak penjenayah tersebut telah menjauhkan diri daripada saya lalu membayar tol sebelum menghilangkan diri.
"Walaupun mereka tidak mengejar saya tetapi saya menunggu di tepi jalan lebih kurang 30 minit bagi memastikan mereka benar-benar meninggalkan kawasan itu sebelum saya meneruskan perjalanan ke lokasi penggambaran," katanya.
Sementara itu, Fadlan memberitahu dia belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu namun ada meminta bantuan seorang pelakon yang mempunyai kenalan dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti kereta yang mengekorinya itu.
"Saya cemas ketika itu dan tidak ingat nombor kenderaan mereka. Bagaimanapun atas bantuan daripada seorang pelakon senior ini, kereta berkenaan telah dikenal pasti menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di lebuh raya itu," katanya.
Fadlan berkata kejadian berkenaan menyebabkan dia trauma dan bimbang jika diekori lagi selepas ini.
Sehubungan itu dia meminta orang ramai agar tidak memberhentikan kenderaan masing-masing apabila berlaku situasi sedemikian.
- ---

Oscar: Bunohan dicalon, Zahiril terkejut

Posted: 09 Oct 2012 05:32 PM PDT



FILEM Bunohan, arahan Dain Iskandar Said yang berlatarbelakangkan masyarakat Kelantan telah tersenarai dalam pencalonan awal kategori Filem Bahasa Asing Terbaik anugerah Oscar.

Penyampaian Anugerah Academy ke-85 akan diadakan awal tahun depan. Ia bakal berentap bersama 70 filem lain dari seluruh dunia.

Ketika dihubungi Sinar Harian Online, pelakon utamanya, Zahiril Adzim akui dia terkejut apabila dimaklumkan pagi ini.

"Saya mendapat tahu pagi ini tentang pencalonan Bunohan  dalam Oscar dan saya memang terkejut," demikian reaksi Zahiril ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Nashrul Shah Hamid memberitahu Sinar Harian Online bahawa pihaknya telah "menghantar filem Bunohan untuk dicalonkan di anugerah Oscar."

"Buat masa ini pihak Finas masih menunggu keputusan daripada pihak Oscar tentang pencalonan filem tersebut," katanya menerusi e-mel.

Laman web Oscar pula menyenaraikan nama kesemua 71 filem yang dicalonkan untuk kategori Filem Bahasa Asing Terbaik.

Pencalonan anugerah Oscar akan diumumkan secara langsung pada 10 Januari depan.

Bunohan ditayangkan di Malaysia pada 8 Mac lalu, namun hasil kutipannya kurang memberangsangkan meskipun hasil garapan pengarah dilaporkan amat bagus.

 "Sebagai sebahagian daripada krew produksi, saya berbangga kerana dapat menaikkan nama negara di mata dunia melalui karya seni kita sendiri.

"Tidak ada perkataan lain selain bersyukur yang dapat saya katakan," katanya.

Malah katanya, "sebelum ini PGL (Puteri Gunung Ledang) juga telah sampai ke tahap ini walaupun tidak menang."

Ketika ditanya tentang pengarah filem itu, Zahiril berkata, Dain Said mempunyai cara kerja yang lain dan beliau lebih teliti terhadap kerjanya.

Difahamkan Dain kini berada di luar negara.

"Saya bersama Dain Said selama dua bulan untuk belajar bahasa Kelantan dan di situ saya melalui proses adaptasi supaya kami sama-sama dapat mencapai tahap yang kami inginkan.

Zahiril memberitahu, sebuah syarikat penerbitan asing juga menawarkan pembelian hak pengedaran filem ini.

"Filem ini mungkin tidak mendapat sambutan di Malaysia, memang tidak dinafikan perasaan kecewa itu ada.

"Tetapi apabila ada pihak yang menawarkan untuk membeli hak pengedaran filem ini di tempat mereka, saya fikir orang luar mahu melihat apa yang mereka tidak ada sedangkan masyarakat kita sudah terdedah dengan suasana dalam Bunohan," jelasnya.

Zahiril menambah, "memang lumrah manusia, kita mahu melihat apa yang kita tidak ada."

Filem yang menggandingkan pelakon hebat seperti Faizal Hussein, Pekin, Bront Palarae, Namron dan Shoffi Jikan ini dilihat membawa kelainan dalam genre filem Melayu di Malaysia.- ---

Ramli Ibrahim rakyat Malaysia pertama terima Anugerah Akademi Sangeet Natak

Posted: 09 Oct 2012 05:30 PM PDT


NEW DELHI - Ramli Ibrahim, ikon kebudayaan dan guru tarian klasik India lagenda Malaysia, hari ini menerima Anugerah Akademi Sangeet Natak 2011 dan sekali gus merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah berprestij itu.
   
Anugerah berkenaan merupakan penghormatan tertinggi yang diberi kepada artis persembahan, guru serta sarjana seni persembahan dan menjadi idaman para seniman.
   
Ramli, 59, menerima anugerah itu daripada Presiden India Pranab Mukherjee pada majlis khas di Presidential House.
   
Tiga puluh lima artis lain daripada pelbagai bidang turut menerima anugerah tersebut.
   
Ramli diberi anugerah itu sebagai mengiktiraf sumbangannya terhadap Odissi, yang dipercayai tarian tertua India berdasarkan bukti arkeologi, yang masih diamalkan hingga kini.
   
Berasal dari Orissa, sebuah negeri di timur India, Odissi adalah satu daripada lapan tarian klasik India.
   
"Anugerah Akademi Sangeet Natak adalah sesuatu yang amat saya hargai.
   
"Sebagai rakyat Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij ini, saya amat menghargainya," kata penari yang telah mengadakan persembahan di peringkat antarabangsa selama lebih tiga dekad ini selepas menerima anugerah itu.

"Banyak ranjau dan duri yang perlu ditempuhi untuk berjaya dalam tarian klasik India, terutama Odissi kerana dengan penduduk berjumlah lebih satu bilion, terdapat ramai orang yang berbakat besar di India," katanya dalam temu bual dengan Bernama.
    
Ramli memainkan peranan penting dalam mengubah senario tarian di Malaysia dengan melakar laluan baharu secara berseorangan untuk menjadikan Odissi tarian yang diterima ramai.
    
Penari yang mahir dalam tarian balet, moden dan klasik India ini adalah pengarah seni Sutra Dance Theatre dan telah mencipta beberapa gerakan hebat serta menggilap ramai penari berbakat di Malaysia.
    
Ditanya adakah memang menjadi impiannya untuk memenangi anugerah itu, Ramli berkata" Tidak sama sekali. Ia amat mengejutkan saya. Saya tak pernah berbuat sesuatu kerana mengharapkan hasil seperti ini".

Setiap pemenang anugerah tersebut menerima Rs1 lakh (RM5,894), angavastram (skaf panjang daripada kain kapas yang dipakai di bahu oleh lelaki) dan tamrapatra (plat tembaga berukir).
    
Akademi Sangeet Natak Akademi, yang ditubuhkan kerajaan India pada 31 Mei, 1952, merupakan akademi nasional bagi bidang muzik, tarian dan drama.
    
Ia merupakan badan tertinggi di India yang bertanggungjawab memulihara dan mempromosi tradisi seni persembahan negara ini.
    
Antara kegiatan utama akademi ini ialah memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada artis yang meletakkan seni persembahan pada taraf tinggi serta menempatkan kembali seni dan seniman di tempat sewajarnya. - Bernama- ---

Gitaris Kristal, rakan terselamat

Posted: 09 Oct 2012 05:17 PM PDT

Kereta Mohd Nor Azhar yang rosak teruk selepas bertembung dengan kereta Gian Hau di persimpangan lampu isyarat di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, semalam.

Ammar Izwan Alwi Aizhar

gitaris kumpulan Kristal, Ammar Izwan Alwi Aizhar, 25, nyaris maut apabila kenderaannya dirempuh sebuah daripada dua kereta yang bertembung dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sama, pemandu kereta Toyota Camry, Lim Gian Hau, 32, maut, manakala, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mohd Nor Azlan Zainal Abidin, 26, yang memandu kereta Proton Saga BLM, cedera parah.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, salah sebuah daripada kereta terbabit melangggar lampu isyarat merah menyebabkan berlaku pertembungan di tengah-tengah simpang empat itu.

Kereta Toyota Camry yang datang dari arah Jalan Sri Permaisuri Satu merempuh kereta Proton Saga BLM dari arah Jalan Sri Permaisuri menyebabkan kedua-dua kenderaan itu berpusing beberapa kali.

Menurut Ammar Izwan, dia dan rakannya yang juga bekas peserta Bintang Klasik Nasional, Nor Fazrah Bahari, 25, atau Fazz yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback ketika itu berhenti di simpang lampu isyarat yang sama.

Katanya, kejadian berlaku sekelip mata, sebelum keretanya tiba-tiba dirempuh di bahagian depan.

"Saya nampak kereta Toyota Camry dipandu laju dari arah bertentangan, manakala kereta Proton Saga BLM pula dari arah kanan. Kedua-duanya bertembung dan berpusing beberapa kali di tengah-tengah simpang empat ini.

"Ketika itu, saya sedang berhenti menunggu lampu isyarat bertukar hijau dan terkejut apabila Toyota Camry itu merempuh bahagian depan kereta saya," katanya.

Menurutnya, rempuhan itu menyebabkan keretanya remuk, namun bersyukur dia dan rakannya terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Gian Hau disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk, manakala, Mohd Nor Azhar yang cedera parah menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).- ---