Adsense

Isnin, 1 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tuah bersama Aaron, Erra

Posted: 30 Sep 2012 07:38 AM PDT

KAUM lelaki, sememangnya dianugerahkan kebolehan memikat dan pandai bermain kata. Andai telahan ini tidak benar, mana mungkin ada perempuan yang merelakan diri mereka berkongsi kasih menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat atau paling tidak sanggup terjerat dalam hubungan yang mempunyai kepastian.

Namun, isu yang cuba dikupas menerusi Ngorat, buah tangan terbaru Prof Madya Abdul Razak Mohaideen adalah sebaliknya. Bakal menjengah pawagam pada 4 Oktober nanti, Ngorat sebuah karya mengisahkan kehidupan Ijam, seorang jejaka kacak yang 'loser' dan tidak pernah mempunyai teman wanita.

Didukung oleh pelakon yang boleh dikategorikan masih 'hijau' di lapangan lakonan, Iedil Putra, 28, khabarnya resah gelisah menantikan kemunculan filem itu yang turut diterajui pelakon hebat seperti Aaron Aziz, Erra Fazira dan Zain Ruffedge.

"Bersarang rasa gementar di hati saya menantikan kemunculan filem ini, tambahan pula ia adalah filem pertama saya jayakan sebagai watak utama.


"Berganda keresahan kerana filem ini dibintangi pelakon hebat seperti Aaron, Erra dan Zain. Pun begitu saya amat berbangga berpeluang menimba pengalaman dengan mereka yang tidak pernah lokek ilmu, namun rasa rendah diri tetap ada.


"Saya mungkin tidak perlu merasa bimbang kerana kekuatan nama mereka saja sudah cukup menarik perhatian peminat dan pencinta filem ke panggung. Namun saya juga tidak mahu kehadiran saya di dalam filem ini di pandang sepi.

"Tak ingin saya dengar komentar, sama ada atau tidak ada saya di dalam filem ini tidak memberi sebarang kesan pun biarpun jujur saya akui, saya sudah bersedia menerima sebarang komen sama ada yang membina ataupun berbaur negatif.
Saya mahu kepercayaan yang diberikan pengarah ada impaknya buat penonton," katanya.

Bercerita mengenai karakter Ijam, Iedil mengakui bertuah kerana berpeluang bekerja secara rapat dengan Aaron juga primadona filem Melayu, Erra Fazira.

"Ijam menempuhi pelbagai kesukaran dalam usahanya untuk memikat wanita dan di sinilah bermulanya plot utama filem ini apabila Arjuna Kasih watak dimainkan Aaron muncul dan membantu menyediakan tips untuk digunakan oleh Ijam untuk mendapatkan teman wanita.

"Arjuna Kasih atau 'Love Guru' ada kalanya muncul sebagai jelmaan Jack Sparrow dan bermacam-macam lagi karakter yang bakal mencuit hati penonton. Saya tabik dengan kemampuan Aaron yang memberikan gambaran berbeza-beza pada setiap karakternya.

"Sementara Erra pula yang membawakan watak Kira, menjadi sahabat baik saya di dalam filem ini. Tanpa sedar, Ijam sebenarnya menyimpan perasaan terhadap sahabatnya itu yang sangat lantang dan berkelakuan tomboi," katanya.

Temu bual yang berlangsung di Balai Berita baru-baru ini, tidak hanya membabitkan Iedil yang baru saja selesai menjalani penggambaran filem KL Zombie yang dibintangi Siti Saleha, Zizan Razak dan Faezah Elai. Malah turut disertai Zain Hamid, 33, atau lebih dikenali sebagai Zain Ruffedge.

Memegang watak sebagai Rizal, sahabat baik kepada Ijam juga adik kandung Kira, pergolakan wataknya kali ini sedikit berbeza daripada karakter yang pernah dibawakan sebelum ini.

"Pendek kata, karakter saya kalau mereka yang menonton akan menganggap Rizal seorang yang 'poyo' kerana sering menasihatkan Ijam soal perempuan sedangkan dirinya juga tidak punya teman wanita.

"Di luar nampak macho walhal di rumah seorang adik yang cukup manja dengan kakaknya (Erra). Sebab utama saya memilih untuk terbabit dalam projek ini bukan hanya ingin merebut peluang bekerja dengan Erra dan Aaron juga pengarah Prof Razak, tetapi juga kerana karakter Rizal itu sendiri yang tidak pernah saya jayakan sebelum ini," katanya.

Zain turut menyifatkan Ngorat yang diterbitkan oleh Grand Brilliance itu adalah hasil karya yang lain daripada lain pernah ditampilkan Razak yang sebelum ini terkenal dengan himpunan filem berkaitan kehidupan anak mami.

"Sememangnya sejak dari dulu saya pernah menyimpan impian untuk bekerja dengannya. Walaupun sering mendengar filemnya dikritik, saya pula berpendapat sebaliknya.

"Saya seorang yang suka alami sendiri pengalaman itu sebelum jatuh hukum dan saya dapati sepanjang bekerja dengan Prof Razak sangat mudah dan menyeronokkan.
Saya tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengannya lagi.

"Berbalik semula pada filem Ngorat ini, ia adalah sebuah filem yang berbeza daripada filem pernah ditampilkan sebelum ini sekali gus menunjukkan sudut kreatif yang lain yang ada pada Prof.

"Selain itu, penonton juga pasti terkejut dengan persembahan Aaron yang selama ini terkenal dengan watak hero dan macho kerana siapa sangka Aaron sebenarnya mampu menghidupkan watak komedi.

"Saya jamin penonton akan ketawa melihatnya dan harus saya akui Arjuna Kasih salah satu watak Aaron yang paling baik pernah saya saksikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Seniman perlukan RM1 juta

Posted: 30 Sep 2012 07:20 AM PDT

SEBANYAK RM6 juta diperuntukkan kerajaan dalam menyokong usaha pembangunan seni dan RM1 juta daripadanya diharapkan Presiden Seniman, Zed Zaidi, untuk disalurkan ke dalam persatuan pimpinannya itu.

Zed Zaidi, memaklumkan hal itu ketika dihubungi Harian Metro, sebaik saja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak RM6 juta diperuntukkan kerajaan dalam mengiktiraf usaha karyawan dan seniman dalam pembentangan Belanjawan 2013, yang berlangsung Jumaat lalu.

"Saban tahun, Persatuan Seniman menerima peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM30,000, namun sejak dua tahun kebelakangan ini iaitu pada 2011 dan 2012, kami langsung tidak menerimanya. Sedangkan dua tahun lalu kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM200 juta untuk kegunaan penggiat industri seni, tetapi mana perginya wang itu?

"Jumlah RM30,000 bagi saya tidak cukup untuk Seniman bergerak secara aktif serta menjalankan operasinya yang merangkumi pentadbiran, organisasi, bantuan kebajikan untuk artis serta mempergiatkan aktiviti-aktiviti secara berterusan.

Selain itu, Seniman juga amat prihatin dengan nasib artis tempatan yang bertanding di luar negara untuk mengharumkan nama negara, tetapi tiada pihak berminat memberi tajaan.

"Justeru, Seniman mahu menjadi persatuan yang mempunyai peruntukan untuk membantu pembiayaan artis tempatan yang terbabit dalam pertandingan peringkat antarabangsa.

"Jika jumlah yang diberikan cukup, mudah untuk persatuan seperti kami menyediakan apa yang diperlukan penggiat seni dan saya percaya tidak akan timbul lagi cerita artis tempatan pada pandangan sesetengah masyarakat umpama peminta sedekah.

"Terus-terang saya kesal melihat situasi seperti itu. Banyak karya penggiat seni menjadi tontonan umum. Jika hendak melariskan sesuatu produk atau kempen-kempen tertentu, artis dijadikan tarikan kerana populariti mereka mampu mempengaruhi umum, tetapi pengakhiran hidup anak seni selalunya melarat, meskipun ada antara mereka itu bertaraf primadona dan legenda," katanya.

Mungkin sesetengah pihak menyifatkannya keterlaluan apabila secara lantang memohon RM1 juta untuk Seniman, namun Zed Zaidi yakin kredibiliti Seniman sebagai persatuan yang telus menjalankan tugas mereka khususnya dalam memelihara hak serta kebajikan ahlinya yang terdiri daripada penggiat seni, persatuan itu layak menerima perolehan jumlah berkenaan.

Selama 38 tahun, Seniman yang kini menaungi 5,000 artis termasuk 30,000 penggiat seni yang lain terpaksa berhempas-pulas untuk mendapatkan dana bagi menjalankan aktiviti untuk ahli.

"Tahun 2011 dan 2012 paling memberikan kesan kerana seperti saya katakan tadi, kami tidak lagi menerima peruntukan berkenaan atas alasan ketiadaan bajet.
Jadi, kami terpaksa mendapatkan sendiri dana daripada sumber lain bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Jadi, di manakah keadilan sebenar untuk anak seni kerana kami juga adalah kelompok rakyat yang mengundi dan membayar cukai?

"Pada saya, suara anak seni dan seniman perlu diberikan perhatian sejajar dengan slogan kerajaan untuk mendahulukan rakyat. Kami adalah barisan depan yang berhadapan dengan rakyat melalui media massa seperti televisyen, radio, Internet dan persembahan luar.

"Sebagai contohnya, baru-baru ini Shila Amzah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Secara tak langsung, kejayaan beliau memberikan sumbangan yang besar kepada negara sekali gus membantu ekonomi negara.

"Bagaimanapun, dia seperti dianaktirikan kerana kepulangannya ke tanah air tidak disambut secara besar-besaran seperti atlit yang berjaya di peringkat antarabangsa. Anak seni juga wajar diberikan insentif sama seperti yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan," katanya.

Presiden Seniman itu menambah lagi, kepentingan anak seni juga sama seperti atlit negara kerana jelas golongan ini adalah pewaris budaya. Budaya adalah identiti sesebuah negara, tanpa budaya pincanglah keutuhan sesebuah negara.
Karya-karya yang dihasilkan penggiat seni harus diakui mempunyai pengaruh besar untuk menyampaikan mesej kerajaan.

"Mungkin jumlah penggiat seni di Malaysia cuma 30,000 orang saja, namun kekuatan kami di mana karya yang dihasilkan mampu mempengaruhi separuh daripada rakyat negara ini.

"Secara tidak langsung membuktikan penggiat seni adalah golongan yang wajar mendapat pembelaan dan perhatian kerajaan. Harapan saya, pengagihan dapat dibuat dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas oleh kementerian tertentu yang mengendalikan pembahagian dan pengagihan dana berkenaan.

"Apapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mendengar serta mempertimbangkan suara kami dalam pembentangan bajet baru-baru ini. Ini adalah hadiah kemenangan buat anak seni seluruh Malaysia!" katanya.

Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Datin Paduka Shuhaimi Baba pula menambah, RM6 juta yang diperuntukkan walaupun bukanlah satu jumlah yang besar, tetapi ia masih dapat membantu penggiat seni khususnya kegunaan bermanfaat untuk perkembangan industri.

"Peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri dapat membantu persatuan yang memerlukan bajet kecil untuk projek mereka seperti teater bajet kecil, kumpulan muzik yang memerlukan peralatan baru, persatuan yang memerlukan peruntukan untuk berfungsi dan memperkasakan bakat ahli melalui bengkel profesional serta kebajikan ahli.

"Dengan peruntukan yang ada, saya percaya ia akan membantu lebih ramai pengkarya menghasilkan produk berkualiti. Tetapi kami mengharapkan berita yang lebih spesifik daripada bajet untuk dana industri kreatif 2013. Pengagihan juga kami harapkan dilakukan dengan adil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30