Harian Metro: Rap |
‘Tolong fikir perasaan kami’ Posted: 07 Sep 2012 05:53 AM PDT "MENGARUT! gosip itu cerita lama. Mengapa ia dibangkitkan semula? Adakah kerana ada pihak tidak senang apabila dicubanya cucuk kisah rumah tangga saya tidak jalan? "Direka pula gosip suami saya berkahwin lain juga tidak jalan dan sekarang ini mereka bangkitkan pula hubungan saya dengan pelakon baru itu?" kata primadona filem Melayu, Erra Fazira. Kenyataan Erra itu sebagai mengulas pertanyaan mengenai desas-desus kononnya dia mempunyai hubungan dengan pelakon baru, Amar Baharin. Ditemui pada majlis rumah terbuka Indigital dan Cube Film, di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Bangsar, Erra menyambut pertanyaan dengan wajah terpinga.
Pada pertemuan itu, Erra mengakui dia sendiri buntu dari mana datangnya gosip yang diperkatakan, namun dia percaya hal ini diperbesarkan pihak media apabila mendapat gegaran daripada ruangan gosip di Internet. "Saya sedar kerjaya saya sebagai artis memungkinkan diri saya sewenang-wenangnya difitnah. Ada ketika saya membelek kisah artis di Internet khususnya yang berkaitan dengan saya, saya beristighfar panjang. "Mereka yang menulis itu seolah kenal benar dengan saya, tahu luar dan dalam atau lebih mengenali saya daripada diri saya sendiri. Saya tidak hairan kalau pihak media dapat sumber yang salah. "Zaman sekarang dengan adanya Internet segalanya mungkin," kata wanita jelita juga pemegang peranan utama filem pecah panggung, Sembilu itu. Obsesi orang memperkatakan soal rumah tangga ada kalanya membuatkan Erra ketawa sendiri. Bayangkan sehingga saat Erra memperkenalkan single terbarunya Cinta Diam-Diam ciptaan Manusia Putih, ada pihak membuat spekulasi kononnya lagu itu ada kaitan dengan kisah peribadinya. Menyangkal sama sekali dakwaan itu, Erra memaklumkan, sesebuah lagu yang dicipta berdasarkan imaginasi serta pengalaman yang pernah dilalui penulis lirik mahupun komposer itu sendiri. "Perlu ke setiap lagu yang dihasilkan harus ada kena mengena dengan penyanyi? Lagu ini saya terima daripada Manusia Putih lengkap berserta dengan liriknya. "Saya sukakan lagu ini kerana melodinya ringkas bahkan konsepnya juga memenuhi intipati dalam album terbaru nanti. Lagipun saya suka judulnya, Cinta Diam Diam yang menangkap. "Indonesia sudah lama menggunakan judul seperti Kekasih Gelapku misalnya, tetapi di Malaysia apa yang diperkenalkan Manusia Putih ini masih baru. Jadi sebelum orang lain buat, lebih baik saya mulakan," katanya yang berpuas hati dengan penerbitan lagu berkenaan. Daripada kisah peribadi, menyingkap pula soal kerjaya. Baru-baru ini, Erra mengejutkan ramai pihak apabila menarik diri daripada pementasan teater Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang sepatutnya mula dipentaskan di Istana Budaya sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55. Teater itu bagaimanapun akhirnya terpaksa ditunda lagi pada tarikh baru iaitu 14 September ini. Akui Erra, dia berasa amat sedih terpaksa menarik diri daripada pementasan berkenaan. Bagaimanapun, dia mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian. "Pementasan teater itu beberapa kali ditunda menyebabkan tarikh baru diterima bertindih dengan projek yang sudah saya persetujui. Kerana begitu hendak menjayakan pementasan teater berkenaan, beberapa projek yang saya terima ini sudah beberapa kali juga ditukar tarikhnya. "Mujurlah pengarah dan produser faham. Disebabkan perubahan tarikh terbaru pementasan teater itu, saya memang sudah tidak mampu untuk memberi komitmen dan tidak mahu hanya kerana pembabitan saya menerusi teater itu, produksi yang lain mendapat susah. "Jadi saya ambil keputusan melepaskan watak isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4, Tun Dr Siti Hasmah. Terus terang saya sangat sedih kerana ketika pementasan Tun Mahathir, tidak lama dulu, saya yang bawakan watak itu. "Justeru, apabila pihak produksi memaklumkan untuk mementaskan pula kisah ketokohan Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan sekali lagi memberi kepercayaan kepada saya, memang saya amat teruja. "Namun, apa yang berlaku di luar jangkaan dan saya terima dengan hati terbuka. Saya harapkan semoga Lisa Surihani yang menggantikan tempat saya dapat menghidupkan watak itu dengan baik. Walaupun tidak terbabit, saya tetap akan menyokong pementasan berkenaan," katanya. Terikat dengan dua projek drama bersiri, satu telefilem dan satu filem berjudul KL Meroyan, Erra turut ditanya sejauh mana kepuasan diperoleh menerusi pembabitan dalam drama TV. "Semua drama lakonan saya disiarkan di Astro dan ia hanya dapat disaksikan pelanggan stesen berkenaan saja. Kepuasan dari segi lakonan pula, saya belum dapat yang betul-betul mencabar seperti pernah saya lakukan untuk filem. "Seperti sekarang ini, saya memang teringin sangat hendak berlakon kisah aksi. Zaman saya berlakon filem dulu, kisah aksinya tidak seperti sekarang yang saya kira lebih menarik dan memberi kepuasan," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07 |
Posted: 07 Sep 2012 05:21 AM PDT PERANCANGAN rapi dibuat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk memasarkan dokumentari tempatan ke peringkat antarabangsa nampaknya membawa hasil positif. Bahkan, ada di antara dokumentari itu sudahpun dibeli syarikat penyiar terkenal seperti Discovery Channel dan AETN. Bagaimanapun, setiap dokumentari dihasilkan itu seiring dengan kehendak corak persembahan yang sudah ditetapkan syarikat penyiar terbabit. Justeru, ia kelihatan agak terikat dan hanya mengikut acuan seperti dikehendaki penyiar. Apapun, antara dokumentari yang sudah dibeli Discovery Channel ialah Royal Press - A Printing Relic, Royal Carver, Agarwood - The Black Gold Of The Forest, Spirit Of Wood dan Tanjung Pagar - The Last Train. AETN pula membeli 1941: The Fall Of Penang dan Last Journey To Sarawak. Ketua Pengarah (KP) Finas, Mohd Naguib Razak berkata, kini pihaknya merancang untuk membawa dokumentari tempatan menembusi pasaran lebih jauh lagi untuk mengetengahkan keunikan Malaysia di mata dunia.
"Apatah lagi, masih ramai warga asing kurang mengetahui mengenai Malaysia. Kebanyakan mereka melihat Malaysia adalah bangsa Melayu dan tanggapan itu sebenarnya salah," katanya. Sehubungan itu, Mohd Naguib berkata, hasil dokumentari Sanctuary of Faith The Mosque, The Church & The Temple akan disiarkan di stesen televisyen Perancis iaitu MIPCom. Malah, kemudian ia dibawa pula ke World Congress of Science and Factual Producers di Washington DC, Amerika Syarikat, November nanti. Terdahulu, majlis pelancaran dokumentari itu dilakukan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim di Studio Sound Stage, Finas, baru-baru ini. Malah, pada majlis itu juga turut diserahkan surat pelantikan penerbitan dokumentari kenegaraan kepada produksi tempatan terpilih. Dr Rais juga turut meluangkan masanya seketika untuk menghadiri majlis rumah terbuka anjuran Finas sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini. Turut hadir memeriahkan majlis itu, penggiat seni tanah air terdiri daripada artis veteran dan karyawan filem tempatan. Selain itu, berbicara mengenai dakwaan negatif yang mengatakan Mohd Naguib 'kurang membuat kerja' sejak menggalas tugas KP Finas sejak 1 September tahun lalu, dia dengan senyuman terukir di bibir menyangkal dakwaan itu. Katanya, bukan mudah untuk membuat perubahan dalam industri hiburan tempatan hanya dalam jangka masa yang singkat. Ujar beliau lagi, setiap perubahan yang ingin dibuat memerlukan strategi yang disusun rapi dan masa yang agak lama. "Apapun, rasanya orang industri tahu apa yang sudah saya lakukan selama menerajui Finas. Cuma, ia tidak terlalu diuar-uarkan saja. Apatah lagi, saya sendiri lebih selesa melakukan sesuatu kerja dalam diam-diam. Bagi saya, apabila sudah berjaya, barulah seronok untuk dihebahkan. "Masih banyak lagi yang perlu diubah. Bahkan, buat masa ini, kami di Finas masih lagi merombak dan menyusun semula infrastruktur pasaran filem mengikut transformasi ekonomi dengan menambah beberapa sistem baru," katanya. Menyentuh soal perasaan kesalnya terhadap dakwaan tak berasas itu, Mohd Naguib berkata, dia tidak sedikit pun berasa kesal mahupun kecewa terhadap tuduhan itu. Ujarnya, ia adalah situasi yang normal berlaku dalam industri hiburan tempatan apabila ada pihak berusaha cuba menjatuhkan nama baiknya sebagai peneraju Finas. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/07 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |