Harian Metro: Rap |
Posted: 24 Sep 2012 07:32 AM PDT SHARIFAH Nor Azean Syed Mahadzir, 28, atau lebih dikenali sebagai Scha Al-Yahya, belum menunjukkan sebarang tanda kehamilan atau sebarang perubahan hormon selepas dia berkahwin dengan Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal. Jika ada yang berubah pun, pendirian Scha saja yang kini lebih selektif memilih watak untuk dilakonkan demi kemajuan kerjaya lakonannya dan peranan yang diberikan haruslah bersesuaian dengan statusnya kini. Bilang Scha, dia mahu lari daripada watak kebiasaannya yang pernah dibawakannya sebelum ini dan mahukan sesuatu yang asing. "Watak yang diberikan kepada saya balik-balik watak hampir sama, gadis lasak dan tomboi. Memang tugas sebagai pelakon harus mempelbagaikan lakonannya, tetapi saya juga ada masanya 'tepu' idea.
"Filem Dampak misalnya, saya diberikan peranan utama. Namun, saya tolak dan minta kepada pengarah untuk diberikan satu lagi watak yang hanya muncul beberapa babak saja kerana watak sampingan itu menawarkan karektor berlainan dan boleh membuka mata penonton bahawa saya juga boleh jadi versatil jika ada yang sanggup memberikan kepercayaan. "Saya tidak menyesal malah puas biarpun cuma sedikit. Terus-terang saya mencari kepuasan, tidak lagi seperti dulu saya berlakon kerana enggan mempersia-siakan peluang," katanya yang sedang sibuk mempromosikan filem Awan Dania. Jelas jurucakap kepada produk Bio Essence dan Avon itu, sekitar Oktober nanti kontraknya sebagai Wajah Eksklusif Astro akan tamat dan sempena pembebasan itu, dia mensasarkan lebih banyak peluang diperoleh daripada stesen televisyen tempatan untuk mengembangkan kebolehan lakonannya. "Tanpa Astro, saya akui saya harus lebih berdikari dan perlu pandai memasarkan diri. Saya tidak keberatan untuk mencuba apa jua watak, sekalipun kecil asalkan ia berbaloi selain mampu mengikis satu sisi yang sudah tertanam di minda penonton dan peminat seperti watak gadis lasak misalnya. "Saya sudah sedia diuji," ujar wanita tinggi lampai itu sewaktu ditemui pada majlis perasmian produk makanan, House Of Mini, di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini. Jika si isteri mensasarkan kelainan watak, berlainan pula ceritanya dengan suami yang memasang hasrat untuk beraksi di samping isteri sama ada menerusi program berbentuk realiti. "Sejak saya dan Scha muncul menerusi program Seia Kata Schawal yang memaparkan persediaan kami sebelum berkahwin, ramai peminat memberi maklum balas positif dan tidak kurang yang menyarankan kami hasilkan satu program seumpamanya. "Terus-terang antara drama dan program realiti, saya lebih sukakan konsep program realiti dan saya pernah ketengahkan idea kepada stesen TV untuk hasilkan program realiti membabitkan pasangan pengantin baru. "Saya suka menonton rancangan Guiliana & Bill, dua selebriti Hollywood yang sangat sukses, tetapi dalam kehidupan yang sebenar mereka sama saja seperti pasangan suami-isteri yang lain, tidak pernah putus usaha untuk mendapatkan cahaya mata. "Program realiti, kemungkinan untuk membuka aib pasangan itu memang ada. Namun saya percaya dengan garis panduan penerbitan program yang ada di Malaysia ini, masih terkawal. "Hakikatnya, program seperti ini mampu mendekatkan diri seorang artis kepada penonton. Seperti saya katakan, artis sama saja seperti orang biasa. Kadang kala mereka juga punya isu tersendiri dalam hidup. Apabila berkahwin mereka juga melalui proses yang sama untuk membina keserasian, untuk mempunyai anak dan sebagainya. "Penting untuk masyarakat tahu bahawa artis juga berhak untuk menjalani kehidupan normal di sebalik kerjaya mereka yang penuh glamor," katanya. Juga berminat untuk mengacarakan program realiti berbentuk 'gameshow' bersama Scha, pengacara tetap program sensasi, Melodi, itu mengakui terkadang dihimpit perasaan rindu untuk berlakon. Namun, komitmennya sebagai pengacara Melodi yang memerlukannya bersiaran langsung setiap Ahad, membuatkan beberapa tawaran terpaksa ditolak. "Kalau telefilem mungkin tiada masalah sangat, tetapi drama bersiri agak susah sikit, kerana keutamaan saya adalah Melodi. Tambahan pula kebanyakan produksi drama dan filem, kebelakangan ini gemar melakukan penggambaran di luar negara, lagilah susah untuk saya terima. "Kalau bukan kerana komitmen mengacara, saya sendiri sebenarnya tak sampai hati meninggalkan Scha sendirian. Nampak saja kental, tetapi isteri saya itu seorang yang manja sebenarnya dan mahu sentiasa berteman. "Sekarang ini pun kalau habis kerja, saya terus balik rumah temankan Scha. Sah bergelar suami isteri pada 4 Mei lalu, pasangan sama cantik sama padan itu sedang dalam perancangan membuka lagi satu cawangan butik Schapoholic, di mana cawangan pertamanya beroperasi di pusat membeli-belah, The Curve. "Dua tahun Scha menjalankan perniagaan ini dan sambutannya saya lihat amat baik. Justeru, saya dan isteri merancang untuk membuka butik di Wangsa Walk untuk mengembangkan jenama Schapoholic. "Jika cawangan pertama menumpukan pada pakaian, aksesori dan kasut wanita, di cawangan baru ini saya merancang untuk membawa masuk baju lelaki bersama item fesyen yang gemar digayakan golongan itu," katanya. Sebelum mengakhiri perbualan, Awal sempat memaklumkan, dia dan Scha sedang menyertai pertandingan dinamakan Petronas Switch 4 Xtra Race yang turut disertai penyampai radio, Faizal Ismail dan blogger, Hanis Zalikha. Peminat yang mengundi selebriti pilihan mereka bukan saja dapat menentukan kemenangan artis yang bertanding, tetapi juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai serta dipilih untuk mengalami perlumbaan sebenar. Untuk menyertainya, ikuti pertandingan itu di laman twitter dan facebook. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24 |
Posted: 24 Sep 2012 07:24 AM PDT KEINDAHAN lantunan lagu instrumental duo kumpulan Mohram menerusi alunan bunyi rebana dan seruling sering menjadi halwa telinga pendengar dalam persembahannya sebelum ini, namun dalam pementasan baru-baru ini, mereka mencipta kelainan apabila turut menyumbangkan suara menerusi beberapa lagu. Mohram yang dianggotai Mohardiman Ismail (seruling) dan Ramli Hamid (rebana) tampil sebagai artis utama dalam pementasan muzikal Amanat Muzikhat sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF) di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, baru-baru ini. Amanat Muzikat diinspirasikan melalui ekspresi kehidupan dan kesenian ketamadunan Islam sejagat dengan mengenengahkan sejarah ketamadunan Islam di Nusantara yang mempengaruhi cara hidup, budaya dan tradisi masyarakatnya sehingga kini. Konsert muzikal akustik diterajui Mohram itu turut diiringi Syed Alwi al-Haddad yang memperdengarkan alunan qasidah dan pemuzik terkemuka termasuk kumpulan gamelan dari Suktra Terengganu selain penampilan pemuzik dan kaligrafer kelahiran Iran iaitu Bahman Panahi yang bermain alat muzik tradisional Arab.
Menyentuh perkembangan terbaru albumnya, Mohardiman berkata, album ketiga mereka berjudul Alam adalah lanjutan kejayaan dua album terdahulu iaitu Sakti dan Antarssukha namun Alam adalah album pertama yang menampilkan persembahan vokal oleh kedua-dua pemuzik itu. "Kami mencabar diri sendiri dalam penerbitan album ini. Selain daripada penambahan vokal, lagu-lagu dalam album terbaru ini menggunakan jenis rentak dan irama yang berbeza. "Album terbaru ini juga mengehadkan bilangan instrumen untuk lagu-lagu. "Bagi kami, ia satu cara untuk menggalakkan pemuzik tempatan kita untuk menjadi lebih berhati-hati kerana apabila mereka memilih untuk memainkan lagu-lagu kami, mereka perlu lebih peka dalam prestasi mereka," katanya. Ramli pula berkata, selepas tujuh tahun berehat, mereka mengambil keputusan mencipta sebuah album yang diharapkan dapat membantu meluaskan minda pendengar dan masyarakat pada keseluruhannya. "Ketika ini terlalu banyak lagu yang lebih fokus kepada nilai komersial dan majoritinya tidak mempunyai mesej pendidikan. "Kami ingin menggalakkan kewujudan lebih ramai pemuzik dengan identiti muzik budaya rakyat Malaysia dan berharap usaha kami akan mendapat lebih banyak sokongan dari radio," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, Ramli berkata, mereka mendapat inspirasi untuk album terbaru hasil daripada lawatan ke Kuala Terengganu di mana mereka merasa kagum dengan usaha kerajaan negeri dalam usaha mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar. Sementara itu, Pengarah Urusan TTI, Engku Md Azmi Engku Abd Rahman berkata, Mohram yang dilantik pihaknya sebagai ikon mampu menarik kehadiran ramai pengunjung ke TTI sekali gus menghayati keindahan kesenian Islam. Beliau berkata, sebagai perkongsian pintar kedua-dua pihak, TTI akan turut membawa Mohram mengikuti rombongan mereka dalam setiap program ke luar negara antaranya Mesir dan Jordan tidak lama lagi dalam usaha memperkenalkan taman tema hiburan berpendidikan dan kesenian Islam itu di mata dunia. Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/24 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |