Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Raya sempurna Erra Fazira"AIDILFITRI itu sempurna apabila ia diraikan dengan seisi keluarga dan orang tersayang. Bonusnya, ia diraikan di kampung halaman. Itu definisi raya sempurna buat saya," ujar bintang terkenal Erra Fazira saat membuka bicara tentang sambutan hari raya. Ada semangat luar biasa yang dikesan saat Erra berbicara tentang raya, terutama apabila berkaitan dengan soal keluarga. Biar kehidupan rumah tangganya kini begitu heboh diperkatakan tentang kerukunannya, Erra tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuk meraikan lebaran sebaik mungkin. Sebagai seorang wanita dewasa dan cukup matang dengan sepak terajang dunia hiburan, beliau meledani setiap isu dengan senyuman. Sudah lali, begitu tambah Erra lagi. Justeru saat seluruh umat Islam di dunia bergembira meraikan bulan kemenangan, mengapa beliau perlu berduka hanya kerana menjeruk rasa dengan badai rumah tangga yang melanda? "Saya meraikan Syawal seperti biasa. Perkara wajib setiap kali Syawal adalah memastikan semua kelengkapan raya keluarga saya cukup. Itu telah menjadi tanggungjawab saya sejak bujang dan ia telah menjadi satu kelaziman buat saya setiap kali raya," ujarnya tenang. Bercerita lebih lanjut tentang hari bahagia ini, Erra yang ditanya mengenai perkara paling menyentuh hatinya saat Syawal menjelma memberitahu ia berkaitan dengan keluarga. Ujarnya: "Dulu, waktu kecil, setiap kali raya menjelma, saya akan tersentuh hati apabila mengenangkan saya tidak lahir dalam keluarga yang besar.
"Ini kerana pada pendapat saya, raya itu meriah apabila kita punya keluarga besar yang berkumpul beramai-ramai. Namun, perasaan itu hilang apabila saya meningkat dewasa kerana apabila usia meningkat, saya sudah melihat raya dari sisi yang lebih matang. Ia lebih kepada tanggungjawab." Ditanya pula tentang trend masa kini segelintir keluarga yang keluar melancong pada hari lebaran, ringkas ibu kepada Engku Aleesya Engku Emran ini menjawab: "Raya itu di hati, bukan pada fizikal." Bintang yang memulakan karier sebagai model sebelum meledak naik sebagai penyanyi dan pelakon itu kemudian menjelaskan, beliau tidak boleh memberi penilaian terhadap mereka yang melancong pada hari raya. Ia merupakan keputusan masing-masing dengan alasan tersendiri. "Asalkan mereka meraikan raya dengan melancong bersama keluarga, saya kira itu sudah sempurna. Tapi bagi saya sendiri, raya yang meriah adalah dengan pulang ke kampung halaman," katanya lagi. Risau Dalam kesibukan menikmati Syawal, jiwa Erra sebenarnya sedang gundah dan berkecamuk. Masakan tidak, kurang tempoh dua minggu, beliau akan kembali ke pentas teater untuk menjelma sebagai Tun Dr. Siti Hasmah menerusi Teater Tun Hasmah yang mula dipentaskan pada 31 Ogos ini.
Ada alasan yang munasabah beliau gelisah. Ini kerana, pada saat akhir, pengarah asal teater tersebut, Adlin Aman Ramlie menarik diri dan tempatnya digantikan oleh pengarah Erma Fatima. "Apabila pengarah bertukar, maka skripnya juga berubah mengikut acuan pengarah baharu. Sebagai pelakon yang bukan lahir daripada pentas teater, saya gusar tidak dapat merealisasikan watak ini dengan baik kerana kami kekurangan waktu untuk berlatih. "Bagaimanapun, sebagai seorang yang profesional, saya akan berusaha sehabis baik untuk memberi persembahan yang memuaskan hati semua pihak," ikrar Erra. Sementelah gelisah dengan perjalanan teater yang bakal bermula, Erra tetap punya alasan untuk tersenyum apabila beliau masih menjadi pemanis kaca televisyen menerusi beberapa telemovie dan program yang membabitkan dirinya. Antaranya termasuk kesinambungan telemovie Hantu Susu dan Pontianak Kampung Batu serta sebuah program khas, Eh! Eh! Raya Erra yang ditayangkan di saluran Astro Prima. | ||||||
Posted: Misha serbu rumah saudaraOleh MALIAH SURIP
HARI ini sudah tiga Syawal dilalui. Namun, Misha Omar masih sakan beraya di kampungnya, Kelantan, bersama seisi keluarga dan sanak saudara tercinta. Tahun ini, katanya, dia mahu pusing satu kampung dan tidak ketinggalan menziarah kediaman sanak saudara. Sejak awal Ramadan, dia sudah menyenaraikan rumah saudara mana yang akan diserbu dahulu dan seterusnya, selain menu raya yang perlu mereka masak untuk menyambut kehadirannya. Dia belum punya rencana untuk beraya bersama tunang tersayang, Firoz Ezzwan Rossly. Sedangkan, ini tahun pertama dan tahun terakhir mereka terikat dengan ikatan tersebut sebelum merancang berkahwin sekitar pertengahan tahun depan. Katanya, dia dan Firoz sengaja berbuat demikian. Bukan tak mahu merasai raya bersama sebagai tunangan tetapi mereka memilih untuk meraikan raya terakhir sebagai wanita solo dan lelaki bujang sebelum menjadi pasukan kelak. "Saya juga tidak datang beraya ke Kelantan kerana raya keempat telah mula bekerja. Lagipun kami telah sepakat untuk menikmati raya solo terakhir dengan keluarga," ujar Firoz ringkas. Tambah Firoz, kesuntukan waktu antara sebab membuat dia tidak akan menziarah keluarga Misha di Kelantan, bagaimanapun tetap mahu membawa keluarganya bertemu keluarga Misha pada hari raya.
"Barangkali, pertemuan hari raya ini akan diatur di Kuala Lumpur sahaja," ujar Firoz yang masih kekok untuk beraksi di hadapan lensa kamera bersama Misha. Misha kemudian menambah: "Tapi saya akan tetap berhari raya dan menziarah keluarga Firoz bersama seluruh keluarga saya. "Sebenarnya, sejak kami bercinta dulu pun, sudah macam menjadi satu tradisi untuk saya membawa keluarga menziarah keluarga Firoz. Jadi tahun ini ia akan diteruskan, cuma mungkin ikatan pertunangan itu membawa makna yang lebih sedikit berbanding sebelum ini." Selain tidak meraikan raya secara berdua sebagai tunangan, Misha dan Firoz juga tidak menyarung baju raya warna sedondon seperti kebanyakan pasangan lain. Sekali lagi, alasan pasangan yang cukup bersederhana dalam banyak segi ini mengatakan, semua perkara tersebut akan dilakukan apabila mereka berkahwin tahun hadapan. "Jadi, sebelum saya dan Firoz jadi satu pasukan boria dengan baju sedondon bila sudah kahwin, tahun ini kami pilih untuk ikut suka hati nak pakai baju raya warna apa," tambah Misha sambil tergelak. Penyanyi yang juga kini cukup aktif sebagai pelakon itu turut memberitahu, walaupun tidak memakai pakaian sedondon dengan Firoz, dia berasa cukup bahagia kerana ibunya tidak pernah ketinggalan membeli kain untuk semua anak perempuannya dan mereka akan berpakaian sedondon adik-beradik. Berbanding persiapan raya yang meriah untuk diri sendiri, Firoz dan Misha tetap mengutamakan anak angkat mereka, Adam Emir, 6. Segala keperluan raya Adam dipenuhi dengan sebaik mungkin. Bagi mereka, cukup sepasang pakaian tradisional digayakan pada pagi raya nan mulia. "Saya kira, hari raya memang selalu lebih seronok diraikan oleh kanak-kanak. Sebab itu, anak selalu menjadi keutamaan setiap kali raya. Untuk orang dewasa, selalunya raya jadi lebih bermakna melalui pengertian, bukannya pakaian baharu," tambah Misha.
Biarpun sedang menghabiskan cuti panjang di kampung halaman, wajah Misha dapat ditonton peminat pada Aidilfitri ini. Dua telefilem raya iaitu Bonus Raya dan Untung Atas Angin yang ditayangkan di TV1 akan membuat peminat bintang berusia 30 tahun ini tidak kering gusi dengan keletah lucunya. Dalam masa yang sama, Misha akan mempamerkan kredibilitinya sebagai penyanyi hebat bersama Dayang Nurfaizah dan Alyah yang juga bukan calang-calang menerusi program nyanyian raya Pesona Aidilfitri yang ditayangkan pada raya keempat di TV1 pukul 9 malam. Ulasnya: "Saya jarang terbabit dengan program raya, namun sesekali rindu juga untuk menyanyi. Jadi Pesona Aidilfitri menjadi pengubat rindu buat peminat kerana selain mendendangkan lagu-lagu raya, kami bertiga turut menyanyikan lagu hits masing-masing. "Untuk telemovie raya pula, saya terima kerana ia bersifat komedi dan memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan banyak pelakon sebenar yang hebat-hebat." | ||||||
Posted: Hanez tunggu keluarga AwiOleh KHAIRUL AMRI HASSAN KEKASIH hati penyanyi Awi Rafael, Hanez Suraya mengakui dia sekeluarga menantikan ketibaan rombongan keluarga Awi pada hari raya ini. Kata pemilik nama Hanez Suraya Abdul Aziz, rancangan untuk menemukan kedua-dua belah keluarga itu dibuat memandangkan Hanez dan Awi sudah mengenali keluarga kedua-dua belah pihak secara serius. "Tahun ini saya akan menyambut hari raya Aidilfitri di kampung halaman saya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan sambutan kali ini kami merancang untuk menemukan keluarga saya dan Awi di rumah saya. "Kebetulan pada 22 Ogos ini merupakan hari jadi saya yang ke-27, jadi amalan ziarah-menziarahi disekalikan dengan sambutan hari jadi saya," katanya yang ditemui ketika majlis iftar Astro di Hotel Royale Bintang Damansara baru-baru ini. Ditanya adakah rombongan Awi bertujuan merisik atau sebuah majlis pertunangan yang enggan didedahkan, Hanez menyerahkan tujuan sampingan kedatangan keluarga Awi ke rumahnya nanti kepada Awi. "Kami tidak merancang apa-apa sama ada majlis merisik atau bertunang, saya serah perancangan itu kepada pihak Awi. Lagipun hubungan kami baru masuk tujuh bulan. "Saya berikan dia (Awi) masa dan sama-sama fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Kumpul duit cukup-cukup kemudian baru rancang untuk ke peringkat seterusnya. "Prinsip saya ketika nama tengah naik, saya perlu memberikan sepenuh penekanan terhadap karier. Biar hubungan cinta kami menjadi berita sampingan takut nanti orang akan bosan," tegas pelakon drama bersiri Tiga Janji itu. Melihat Awi sebagai seorang lelaki yang berjiwa sensitif biarpun pada luaran kelihatan tegas dan maskulin, hatinya tersentuh apabila Awi mencipta sebuah lagu berjudul Hari-Hariku untuk dimuatkan dalam album terbaharunya yang bakal dipasarkan selepas raya nanti. "Selepas Awi siap mencipta lagu itu, sayalah merupakan orang pertama mendengar. Ketika itu saya menangis apabila dia kata lagu itu dicipta khas buat saya. "Awi sebenarnya seorang yang romantik walaupun pada luaran nampak kasar dan bengis. Dia seorang yang bercakap dengan lembut dan menghormati prinsip saya dalam perhubungan," jelas Hanez. Sempena raya, Hanez bakal menggamatkan hari raya pertama menerusi telefilem komedi Raya Tanpa Wayar bergandingan dengan Shahrizal Jaszle, Fiza Halim, Jalil Hamid dan Ruminah Sidek yang disiarkan di TV9 pada pukul 12.30 tengah hari. Raya Tanpa Wayar mengisahkan strategi Tok Ali untuk mengeratkan kembali perhubungan anak dan cucunya yang hanya berkomunikasi melalui gajet sepanjang masa. Usai bercuti sempena sambutan lebaran tahun ini, Hanez akan kembali ke set penggambaran drama bersiri 26 episod terbitan RTM yang belum diberikan judul lagi sekitar bulan September. Pelakon yang mula dikenali melalui drama Suri yang disiarkan di TV3 itu teruja dengan sokongan peminatnya yang sentiasa memberikan galakan selama bergelar anak seni. "Biarpun saya masih baharu, saya terkejut apabila mendapat maklum balas luar biasa daripada peminat sejak muncul dalam Suri. Tidak dinafikan kekuatan penceritaan dan pengarahan banyak membantu memperkenalkan nama saya kepada umum," tambah pelakon filem Bicara Hati itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |