Harian Metro: Rap |
Posted: 20 Aug 2012 12:46 PM PDT BAHASA tubuh mereka bagai membicarakan cinta membuatkan mata yang memandang sangsi, tidak percaya hubungan yang berlanjutan hampir setahun itu hanya berlandaskan persahabatan. Terlalu peribadi barangkali untuk berkongsi rahsia hati kepada umum, kerana keterbukaan bercerita ada kalanya memakan diri sendiri. Yang pasti baik Nabila Huda Suhaimi (Abil), 28, mahupun Johan Arrif As'ari, 26, mereka saling sayang menyayangi dan rasa itu tidak pernah disangkal kedua-dua pelakon berbakat besar itu. Betapa akrabnya mereka, Johan sedikitpun enggan berenggang apatah lagi berjauhan apabila memohon untuk meraikan Aidilfitri bersama sahabat mesra disapa Abil oleh mereka yang terdekat. "Johan mahu beraya dengan Abil, tetapi dia sudah berjanji dengan keluarganya untuk pulang ke Pulau Pinang. Dia bimbang Abil sunyi di sini. Begitulah Johan, sangat mengambil berat dan prihatin sehinggakan hari raya pun dia masih hendak fikirkan hal Abil ini.
"Kadang-kadang ada orang baru kenal sudah mengaku bercinta. Abil kalau boleh tidak mahu begitu, tambahan pula Abil baru lepas bercerai, Abil sendiri takut akan komitmen. Abil berterima kasih kepada Johan kerana menjadi sahabat yang mengasihi Abil, terima baik buruk Abil. Abil juga, sudah faham sangat diri Johan. "Cuma Abil ini agak misteri orangnya. Tak semua lelaki boleh menerima pemikiran Abil. Abil seorang yang sangat terbuka, 'sporting' dan ada kala orang lelaki sukar faham. "Keterbukaan Abil itulah yang membuatkan Abil tiada sefahaman dalam perkahwinan lepas. Bukanlah maksud terbuka pada benda-benda yang tidak baik, sebaliknya Abil suka lelaki yang santai dan tidak mengongkong," katanya. Pulang beraya ke Klang bersama permaisuri hatinya, Keisha Laila, 2 tahun 3 bulan, untuk meraikan Aidilfitri dengan ibu tercinta, pada malam lebaran lalu Abil bergegas pula ke Johor Bahru, untuk menemui neneknya. Belum memutuskan berapa lama, dia bagaimanapun harus pulang ke Kuala Lumpur pada 23 Ogos kerana keesokan harinya mahu berangkat ke Kenya selama 10 hari. Pemergian Nabila seorang diri ke negara itu luar daripada urusan kerja sebaliknya memenuhi hobinya yang gemar melancong juga sebagai ganjaran untuk diri sendiri sesudah lelah bekerja. Mengapa negara pilihannya bukan Eropah? Sememangnya wanita berstatus ibu tunggal itu seorang yang unik dan gemar menimba pengalaman di negara yang eksotik. "Sebelum ini Abil pernah melancong ke London, Paris dan Jepun, jadi Eropah memang bukan dalam senarai percutian Abil. Cadangnya, hendak ke India tetapi cuaca di sana hujan. Selepas 'Google' di internet, Abil dapati Kenya sangat menarik. "Abil hendak menyelami kehidupan penduduk di sana yang didiami ramai golongan miskin. Dalam kekurangan itu, Abil hendak meneroka pula keunikan negara berkenaan sehingga ia menjadi tumpuan dunia. Selama 10 hari di sana, Abil sebenarnya tidak sabar-sabar untuk ke Blue Safari, terletak di Afrika Selatan untuk merasai pengalaman tidur di khemah sambil waktu siangnya dapat merakamkan foto binatang liar dari kawasan khemah. "Aktiviti paling Abil tidak mahu terlepas semestinya 'diving'. Sudah banyak pulau di negara (Malaysia) ini Abil kunjungi, kali ini hendak merasa pula menyelam di pulau indah negara orang. "Kesempatan ini Abil hendak berterima kasih kepada rakan artis, Ayul, kerana meminjamkan Abil set kamera lengkap yang boleh diguna di darat dan dalam air. Insya-Allah, segala imej yang dirakamkan nanti Abil bercadang untuk membuat buku travelogue, tetapi itu sekadar perancangan saja," katanya. Beralih perbualan kepada Johan, Aidilfitri tahun ini banyak masanya dihabiskan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, untuk meraikan hari bahagia itu bersama neneknya yang dirawat ekoran mengidap penyakit barah. "Kami sekeluarga pulang beraya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tahun ini kami akan menghabiskan banyak masa di Hospital Seberang Jaya kerana nenek (sebelah ibu) dirawat di situ. Dia mengidap barah peringkat 4 dan usianya 83 tahun. "Sama ada raya kelima atau keenam baru kami sekeluarga pulang semula ke Kuala Lumpur. Saya ingatkan sekembalinya dari kampung boleh beraya dengan Abil, tetapi dia pula berangkat ke Kenya. "Kalau boleh saya tidak mahu mengganggu dia bersama famili, jadi saya putuskan untuk bersama-sama menyambut lebaran sesudah Abil pulang nanti," katanya. Memerhati cara Johan yang begitu 'penyayang' pada Nabila, seperti menjelaskan bahawa hubungan mereka itu lebih daripada seorang sahabat. Namun, sengaja penulis membiarkan mereka dengan rela hati membuat pengakuan. Sampai sudah rahsia hati mereka terkunci rapi, walaupun kenyataan Johan menyusuli coretan selepas ini sudah cukup untuk menjawab teka-teka. "Saya tidak pernah berahsia, tetapi saya tidak mahu membicarakan sesuatu yang tidak pasti kerana saya belum melamar Nabila. Saya lebih suka perasaan itu datang dengan sendiri. Bagi saya cinta itu sangat agung. "Cinta di mana penyatuan dua hati menjadi satu. Dua hati hendak disatukan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Justeru, manusia harus melalui proses di mana keserasian antara pasangan harus dipupuk, belajar terima kekurangan masing-masing. "Andai kita dapat menerima buruk dan baik pasangan kita begitu juga sebaliknya, memahami sifat dan sikap pasangan dengan begitu arif barulah hubungan akan berjalan tanpa sebarang masalah. Apa yang boleh saya katakan untuk persahabatan yang baru berjalan hampir setahun ini, kami dalam proses mengenal hati budi. "Saya hanya manusia biasa namun saya berharap jika saya sudah bersedia melangkah ke satu perhubungan yang serius, saya dapat pertahan masjid yang dibina selamanya, sekali seumur hidup. "Dalam hadis ada menyebut, berkahwin ini seperti kita membina masjid. Hidup berkeluarga boleh memberi kedamaian dan ketenangan, namun kita haruslah mempersiapkan diri terlebih dulu untuk mengemudi rumah tangga yang bahagia kerana tanggungjawab seorang lelaki sebagai suami sangat besar," katanya. Tanpa berselindung, perasaan sayangnya buat Abil dikongsi bersama ibu tercinta, Datin Firdaus Kader. Hanya satu pesan ibunya, jika sayangkan Abil, dia haruslah fokus pada kerjayanya yang baru bermula. "Ibu minta saya fokus pada kerjaya jika sayangkan Abil. Saya faham sangat maksud tersiratnya itu. Mendalami kata-kata ibu, dia berpesan sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin, lelaki perlu menstabilkan kerjayanya terlebih dulu serta mental bagi menjadi pemimpin yang baik. "Namun, andai jodoh datang dulu, saya tidak menolak kerana saya percaya ada orang lebih berjaya selepas berkahwin," katanya akan memasuki set penggambaran filem Naga terbitan Tayangan Unggul, Ayahanda (KRU Motion Pictures) dan sebuah lagi filem belum berjudul arahan Ahmad Idham. Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012 |
Posted: 20 Aug 2012 12:35 PM PDT BEKAS juara rancangan realiti One In A Million (OIAM), Low Sook Yee, 22, atau lebih dikenali sebagai Suki Low berjaya memenangi kes tuntutan terhadap syarikat pengurusannya, Galaxy Music Sdn Bhd selepas keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya, baru-baru ini. Melalui tuntutannya, Suki meminta pembabitan Mahkamah Tinggi untuk mengarah syarikat pengurusan Galaxy Music supaya membatalkan perjanjian yang ditandatanganinya dengan mereka serta memulangkan wang berjumlah RM367,575.17 serta-merta yang sudah pun dibayar kepada Galaxy Music selepas mereka menyatakan yang mereka mampu untuk merakam, menerbit, memasar, mempromosi dan mengedarkan sebuah album antarabangsa berbahasa Cina di Taiwan, China dan Hong Kong untuknya. Galaxy Music merakamkan sebuah album Mandarin, Ladies' Night tetapi selepas dipasarkan di Malaysia pada 2009, album itu tidak dipasarkan di Taiwan, China atau Hong Kong seperti yang dijanjikan. Wang itu adalah hadiah yang diterimanya selepas menjuarai OIAM pada 2006. Suki yang diwakili syarikat guaman, Raj, Ong & Yudistra juga memaklumkan bahawa Galaxy Music menasihatinya untuk menandatangani perjanjian pengurusan artis yang membebankan, tidak adil dan berat sebelah.
Suki berkata, dia lega kerana semuanya sudah pun berakhir selepas hampir setahun kes itu berlarutan. "Saya sebenarnya mencuba dan berusaha sedaya-upaya untuk menyelesaikan isu ini di luar mahkamah dengan pihak Galaxy namun tidak berjaya sehingga saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang. "Saya berharap kes ini akan menjadi pengajaran kepada artis baru dan muda lain yang ingin memulakan kerjaya mereka dalam bidang seni persembahan. Jangan mudah terpedaya dan teruja apabila diberi tawaran oleh pelbagai pihak dan sentiasa merujuk kepada pihak profesional apabila berdepan dengan hal membabitkan kontrak dan seumpamanya," katanya. Perkembangan lain, Suki dalam proses menghasilkan album penuh terbarunya yang kini baru siap 50 peratus. Ia diterbitkan di bawah syarikatnya sendiri, Infi8 Dreams dan syarikat sama juga yang menguruskan kerjaya seninya. "Album ini mengandungi muzik impian saya yang dinamakan S-pop iaitu definisi muzik saya sendiri yang lebih agresif dan rancak. Saya menggunakan khidmat komposer dan penggubah muzik dalam serta luar negara bagi memastikan apa yang saya mahukan akan tercapai dalam album ini yang turut menggunakan judul album S-pop. "Antara komposer yang terbabit dalam pembikinan album ini alah Ajai, Shazzy dan dua komposer dari Indonesia iaitu Reggie Chasmala dan Irang Arkad serta komposer Amerika Syarikat, Chris Willis yang selalu berkolaborasi dengan DJ David Guetta. "Pembikinan album ini sangat teliti dan pembabitan daripada pelbagai komposer dengan kemahiran yang tersendiri itu demi memenuhi selera saya dan juga pendengar. Saya turut menggunakan khidmat penggubah muzik dari Singapura. S-pop adalah sebuah album yang memuatkan muzik tanpa sempadan. "Album ini juga istimewa kerana ia dibuat dalam dwi bahasa yang menyisipkan enam lagu bahasa Melayu dan empat lagu Inggeris. Sebagai pengenalan kepada pendengar, single pertama berjudul Terlalu Mencintai sudah pun disiarkan di radio. Menerusi siaran di Youtube pula, sudah ada 500,000 pendengar," katanya. Tambah Suki, penghasilan album itu sebagai langkah barunya selepas kesnya dengan Galaxy Music selesai. "Tiada lagi halangan untuk saya menyusun strategi baru dalam industri malah lebih bebas dan selesa berada di bawah pengurusan syarikat sendiri," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 21/08/2012 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |