Adsense

Rabu, 4 Julai 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


‘Tak pernah ditaja VIP’

Posted: 03 Jul 2012 06:20 AM PDT

SUDAH banyak persembahan dijayakan serta beberapa anugerah peringkat antarabangsa mampu diraihnya sepanjang lebih dua tahun beraksi di pentas hiburan, namun yang jelas, nama Amanda Imani, 20, masih belum benar-benar berada di puncak populariti di tanah air sendiri. Apakah Amanda hanya layak digelar 'penyanyi festival' semata-mata?

Antara kejayaan itu adalah Best Young Talent pada The World Association of Festivals and Artists (WAFA) 2011; Best Original Song (Selamilah Cinta) pada 20th International Music Festival Discovery 2011 (Bulgaria) serta Best Pop Song (Selamilah Cinta) dalam Voize Independent Music Award (VIMA) 2010.

Selain itu, Amanda turut menjayakan persembahan sempena China TV New Year Celebration Concert (12-17 Disember 2011), Konsert Muzik FM, Marina Barrage Singapura (18 Februari 2012) dan tidak ketinggalan mengungguli kategori Vokal Terbaik - Artis Baru Wanita Terbaik sempena Anugerah Planet Muzik 2011.

Terbaru, Amanda akan beraksi dalam Universong Festival 2012 yang berlangsung di Canary Islands, Sepanyol bermula 18 hingga 22 Julai ini.


Namun, bagi penyanyi remaja berdarah kacukan Melayu-Cina-Thailand (sebelah ibu) dan Turki (sebelah ayah) ini, dia tidak pernah melenting dengan pandangan segelintir masyarakat yang mungkin menganggap dia syok sendiri dengan apa yang dicapainya selama ini.


Apa yang penting kata Amanda, dia ada cara tersendiri untuk menggilap bakat menjadi penyanyi dan cara itu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa langsung atau duduk berpeluk tubuh.

"Biarlah orang nak kata apa mengenai saya kerana apa yang penting, saya dapat menimba ilmu dalam bidang nyanyian dengan mencari pendedahan awal di luar negara. Bagi saya dunia nyanyian sekarang tidak seperti dulu dan penyanyi boleh memperoleh akses untuk ruang pendedahan di peringkat antarabangsa," kata penyanyi ini turut ditemani ibunya, Nina Ahmad yang juga selaku pengurus dan pembantu peribadinya di Studio Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dalam memperkatakan mengenai peluang ke luar negara yang kononnya ditaja VIP, dengan pantas mata Amanda yang cantik menjadi besar.

"Kalau itulah gosipnya, ia memang melampau! Saya tak pernah pun ditaja mana-mana VIP tak kiralah yang berpangkat Datuk atau Tan Sri. Sebaliknya, saya pergi ke semua festival itu atas usaha sendiri serta undangan daripada pihak pengajur. Contohnya, Pengarah Universong Festival, Guilermo Albelo sendiri mengundang saya untuk menyertai pertandingan berkenaan di Sepanyol.

"Saya akui saya bukan anak orang kaya yang sanggup keluarkan duit sendiri semata-mata untuk mendapat peluang menyanyi di festival luar negara. Maklumlah, kos untuk menyertai festival sebegitu bukannya murah kerana ia menggunakan mata wang asing. Contohnya, bajet untuk tiket penerbangan dan penginapan di Sepanyol semuanya menggunakan mata wang Euro.

"Namun, peluang ini saya dapat selepas ada pihak melihat penyertaan dan bakat saya dalam festival sebelum ini dan pihak penganjur di Eropah juga saling mengenali antara satu sama lain," ujarnya yang turut mendapat sokongan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Bercerita lebih lanjut mengenai Universong Festival 2012, acara pada malam kemuncak akan menyaksikan pengiktirafan ke atas komposer dan penyanyi untuk merebut pelbagai anugerah pada 21 Julai nanti.

Katanya, Organization of European Music Festivals adalah penganjur utama festival berkenaan dengan kerjasama Eurosingers - Spain Sings In Europe.

"Secara peribadi, saya rasa bangga kerana tetap membawa nama baik Malaysia ke festival itu. Namun, saya tetap gementar sekalipun ada sedikit pengalaman menyertai pertandingan nyanyian di luar negara sebelum ini.

"Apatah lagi memikirkan saya perlu bersaing dengan lebih ramai peserta dari pelbagai negara seperti Romania, Sepanyol, Armenia, El Savador, Lituana, Poland, Russia, Cuba, Malta, Mexico, Perancis, Ukraine, Puerto Rico, Itali dan Thailand," katanya.

Mengenai lagu yang akan disampaikan kelak, kata Amanda, dia memilih melodi segar daripada album sulungnya berjudul Jatuh Cinta Kasih yang juga sentuhan daripada Ajai dan dia sendiri.

"Saya pilih lagu itu kerana ia sesuai untuk acara berbentuk festival. Sebagai penyanyi, pasti saya menjanjikan yang terbaik dan berharap untuk membawa pulang apa-apa anugerah melalui pertandingan itu nanti, insya-Allah," katanya.

Dari segi penggayaan, Amanda bakal memakai busana rekaan pereka fesyen tempatan, Ashley Wong pada festival berkenaan.

Kata Amanda lagi, selepas mula dikenali dengan lagu Cemburu yang menampilkan vokal Malique, dia kini sibuk menyiapkan pembikinan single terbaru berjudul Fobia Cinta dengan menonjolkan pemain violin, Dennis Lau sebagai satu kelainan.


INTERAKSI: Alasan tak salam

Posted: 03 Jul 2012 06:10 AM PDT

DEWI Remaja 2010 menjadi medan bakat mereka diketengahkan dalam industri hiburan tanah air. Pun begitu, masih setahun jagung bergelar insan seni, timbul pula konflik antara mereka. Kisah duka dalam pertandingan itu diimbau hingga membuatkan seorang daripada mereka berasa terguris dengan apa diluahkan.

Kisah 'tegang' di antara Noor Neelofa Mohd Noor (Lofa), 23, dan Nur Anzalna Md Nasir, 23, terus diperkatakan. Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya, maka tercetuslah 'perang dingin'.

Semuanya gara-gara keterlanjuran Anzalna mengeluarkan kenyataan dalam sebuah akhbar bertajuk 'Anzalna Bidas Lofa' pada 10 Jun 2012 yang dianggap secara langsung menjatuhkan maruah bintang utama filem Azura 2012 itu dan keluarganya. Justeru, Lofa bertindak melantik peguam untuk menangkis tuduhan Anzalna.

Susulan itu, satu sidang media khas diatur Lofa pada 13 Jun lalu melalui peguamnya, Ahmad Hidayat Md Nor dan Mohd Irwan Mohd Mubarak yang mengeluarkan notis menuntut Anzalna mengemukakan bukti dakwaannya dalam tempoh tujuh hari. Namun, sehingga tarikh diberi berakhir, Anzalna gagal mengemukakan bukti.


Bagaimanapun, selepas sebulan kontroversi pertelingkahan mereka, Anzalna di atas nasihat Persatuan Seniman akhirnya membuat keputusan untuk tampil memohon maaf secara terbuka kepada Lofa kerana tindakannya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah ke atas pelakon itu menerusi media.


Majlis 'damai' yang diadakan di Hotel Royale Bintang, e-Curve, Damansara, kelmarin itu, berjalan lancar walaupun bermula lewat. Malah, Anzalna yang tak lekang senyuman begitu tenang tatkala diminta membacakan ayat permohonan maaf seperti ditetapkan Lofa. Kini, pertelingkahan tak diundang itu sudahpun selesai.

Ikuti bingkisan temu bual bersama wartawan Rap Norhayati Nordin (yati@hmetro.com.my) dan jurugambar Hasriyasyah Sabudin bersama Lofa dan Anzalna sebaik acara permohonan maaf secara terbuka itu berakhir. Pun begitu, atas sebab sibuk dengan penggambaran drama, Lofa dan Anzalna tak sempat bersalaman.

Apakah mereka benar-benar ikhlas dengan tindakan memohon maaf yang dilakukan itu?

RAP: Komen Lofa mengenai penyelesaian ini?

LOFA: Saya bersyukur kerana semua permasalahan ini sudah berakhir dan semoga ia takkan berlaku lagi. Malah, tindakan saya mengambil khidmat peguam kerana tahu diri ini berada di pihak yang benar dan sekarang semuanya sudah terbukti. Apapun, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Seniman kerana membantu.

RAP: Apakah anda sedia bekerjasama antara satu sama lain?

LOFA: Jika ada peluang untuk kami bekerjasama selepas ini, saya fikir segala perkara berkaitan peribadi ditolak ke tepi dan bersikap profesional pada kerja. Apa yang utama, menunjukkan kualiti kerja yang bagus.

RAP: Apa yang membuatkan Lofa lembut hati menerima kemaafan daripada Anzalna?

LOFA: Sejak dari awal lagi, memang keluarga Lofa yang banyak memberikan nasihat dan sokongan. Bahkan, dari awal lagi sejak Lofa ambil langkah untuk bertemu peguam, kami memang sudah ada perancangan seterusnya jika tuntutan dibuat tidak berjaya dijawab. Pilihan diberi sama ada ke mahkamah ataupun membuat permohonan maaf terbuka.

RAP: Sememangnya Lofa ikhlas dan rela hati memberikan kemaafan? Tiada paksaan?

LOFA: Memang saya ikhlas. Malah, sebelum Seniman tampil mahu membantu menyelesaikannya pun, saya memang sudah terfikir untuk memberi dia peluang membuat permohonan maaf secara terbuka.

RAP: Tidakkah ada lagi dendam di hati dan kemarahan anda sudah hilang?

LOFA: Sebenarnya, perkara ini pun sudah lama. Cuma, saya tak sangka ia ditimbulkan semula dalam hidup saya.

RAP: Apakah syarat yang dipersetujui oleh Lofa?

LOFA: Antaranya, dia tak boleh lagi menyebut nama Lofa dalam mana-mana temu ramah media, menulis nama Lofa di laman sosial seperti twitter, facebook atau blog. Dia juga tak boleh lagi memanjangkan hal ini dan takkan cuba menjejaskan nama baik saya lagi. Bahkan, permohonan maaf ini untuk membersihkan maruah saya.

RAP: Kenapa tak nak bersalam, tidak mahu jadi kawan lagi?

LOFA: Sekarang ini (kelmarin) apa saja prosedur dan agenda diaturkan adalah daripada Seniman. Jadi, kami sepakat tidak mahu lagi memanjangkan hal ini dan cukuplah dengan hanya permohonan maaf secara terbuka yang dibuat. Sebagai kawan pula, sebenarnya sebelum masalah ini terjadi, saya kalau jumpa dia di mana-mana majlis pasti akan menegurnya.

RAP: Pernahkah Lofa dan Anzalna saling menghubungi sebelum permohonan maaf ini dibuat?

LOFA: Sejak artikel itu disiarkan sehingga ke hari ini (kelmarin), kami tidak pernah menghubungi antara satu sama lain.

Sementara itu, Anzalna yang hadir pada majlis sidang media untuk permohonan maaf secara terbukanya kepada Neelofa lebih dulu diminta menandatangani syarat Aku Janji yang disediakan Seniman sebagai tanda bersetuju dengan apa yang sudah ditetapkan.

Malah, Anzalna turut membaca kenyataan yang berbunyi: "Saya Nur Anzalna Md Nasir di atas nasihat Persatuan Seniman Malaysia dengan ini memohon maaf kepada Neelofa kerana mengeluarkan kenyataan di Berita Minggu pada 10 Jun 2012 di muka surat 10 yang telah menjejaskan maruah Neelofa dan keluarganya.

"Saya juga tidak mempunyai bukti yang kukuh ketika mengeluarkan kenyataan di akhbar berkenaan. Sejujurnya, saya tidak bermaksud apa-apa dan tidak berniat mengaibkan sesiapa daripada kenyataan itu," katanya.

Pun begitu, sebaik agenda permohonan maaf dibuatnya selesai, Anzalna segera meninggalkan hotel dengan alasan perlu ke lokasi penggambaran drama lakonannya. Justeru, ikuti temubual bersama Anzalna menerusi talian telefon.

RAP: Apakah Anzalna berpuas hati dengan permohonan maaf dibuat?

ANZALNA: Ya, saya sangat berpuas hati kerana semua permasalahan yang berlaku antara kami sebelum ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin. Lagipun, kita bukan selamanya hidup di dunia ini, kena fikirkan akhirat juga. Tuhan pun ada mengajar kita supaya tidak mengaibkan sesiapa. Jadi, saya tidak mahu perkara ini terus berpanjangan kerana akan mengaibkan ramai orang.

RAP: Bagaimana dengan kerjasama bersama pada masa akan datang?

ANZALNA: Saya juga sedia untuk menjalin kerjasama dengannya selepas ini. Malah, sukar untuk kami mengelak diri kerana saya yakin akan tetap bertemu dengan dia (Lofa) juga. Pergi mana pun, pasti kami berjumpa juga. Lagipun, industri hiburan tempatan ini kecil, pusing-pusing di situ juga dan tak boleh lari ke mana.

RAP: Jika puas hati, kenapa Anzalna menitiskan air mata dan pergi begitu saja tanpa bersalam?

ANZALNA: Saya menangis kerana berasa cukup tenang kerana masalah yang berlaku antara kami akhirnya dapat diselesaikan. Saya pergi tanpa bersalaman bukan kerana tidak mahu berjabat tangan dengan Lofa, tetapi tak boleh nak tunggu kerana sudah terlewat ke lokasi penggambaran. Lofa pun macam tak sedia untuk kami bersalaman.

RAP: Apakah iktibar yang diperoleh Anzalna daripada permasalahan ini?

ANZALNA: Perkara ini saya anggap sebagai dugaan Tuhan kepada diri ini. Saya masih baru sebagai insan seni dan masih tak banyak pengalaman. Jadi, apa yang terjadi kepada saya ini terlalu awal dihadapi. Namun, selepas ini saya akan lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan serta belajar daripada kesilapan lalu.

RAP: Adakah Anzalna berasa menyesal?

ANZALNA: Saya tidak menyesal dengan keterlanjuran percakapan saya itu. Seperti yang saya katakan, ini adalah dugaan yang harus dihadapi. Apa yang penting, saya melakukan permohonan maaf ini secara ikhlas. Sedangkan nabi ampunkan umat, jadi wajar untuk saya memohon maaf ini kerana sebagai manusia, kita pun tak hidup lama.

RAP: Jadi, Anzalna mengaku kalah?

ANZALNA: Pada saya, siapa kalah atau menang, tidak penting. Saya hadir membuat permohonan maaf ini kerana mahu menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dengan baik. Selepas ini pun, saya mahu memberikan lebih fokus kepada karier lakonan dan tidak mahu terbabit dengan masalah sebegini lagi.