Adsense

Rabu, 4 Julai 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Michelle juri Oskar?

Posted: 03 Jul 2012 03:12 PM PDT

» Aktres kelahiran Ipoh diundang jadi panel anugerah filem terulung antarabangsa

Aktres Malaysia mencipta nama di Hollywood, Datuk Seri Michelle Yeoh mengukir sejarah apabila diberi penghormatan menjadi ahli panel juri Academy of Motion Picture Arts & Sciences. Michelle adalah tokoh seni tempatan pertama diiktiraf badan antarabangsa itu. Laporan laman web hiburan menyebut, selain Michelle, aktor Matthew McConaughey dan pemenang anugerah Oscar 2012, Octavia Spencer turut diundang menjadi ahli panel Akademi yang antara lain bertanggungjawab dalam sesi penjurian trofi berprestij industri perfileman, Anugerah Oskar.
Jika Michelle menerima undangan Akademi, pelakon berusia 49 tahun itu bakal memperkukuhkan portfolio hebatnya dalam industri perfileman. Ini kerana bukan calang-calang individu layak menduduki kerusi juri itu.

Dengan undangan menduduki kerusi ahli panel Akademi, Michelle bakal menyertai kumpulan 176 penggiat seni dalam pelbagai bidang seperti pakar perfileman, komposer, pengarah dan penerbit yang menerima jemputan sama dari pada Akademi.

Antara mereka ialah aktor Simon Baker, Sean Bean, Melissa McCarthy, Andy Serkis dan pelakon filem The Artist, Jean DuJardin dan Berenice Bejo.

Turut diundang pakar sinematografi, Florian Ballhaus and Guillaume Schiffman serta pengarah Asghar Farhadi, Rodrigo Garcia, Terrence Malick dan Michel Hazanavicius.
Selain itu, komposer Ludovic Bource Conrad Pope dan penerbit yang juga rakan kongsi pelakon George Clooney, Grant Heslov serta penulis cerita seram, Stephen King.

Michelle mengharumkan nama negara apabila menjadi artis Malaysia pertama diterima industri perfileman di Hollywood.

Tawaran untuk berlakon sebagai gadis Bond dalam filem Tomorrow Never Dies pada 1997 memberi impak hebat dalam portfolio seninya.

Malah lakonan hebat yang ditonjolkan aktres ini dalam filem The Lady baru-baru ini, mendapat pujian pengkritik filem antarabangsa.

TRIVIA: Jejak seni Michelle Yeoh

  • Dilahirkan pada 6 Ogos 1962.
  • Terkenal selepas berlakon filem antarabangsa 'Crouching Tiger, Hidden Dragon' dan penampilan sebagai Gadis Bond menerusi filem Tomorrow Never Dies.
  • Selain dikenali sebagai pelakon aksi, Yeoh juga turut membintangi filem bercorak biografi seperti The Soong Sisters dan The Lady yang menyaksikan dia membawa watak sebagai pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi.

Telan 20 biji pil tidur

Posted: 03 Jul 2012 02:52 PM PDT

HANYA kerana sekeping gambar panas yang tersiar di kolum gosip, hidup pelakon utama filem Appalam, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad atau lebih dikenali sebagai Raja Ilya tak keruan.

Akui gadis berusia 27 tahun ini, dia pernah terlintas membunuh diri akibat tidak tahan tekanan. "Ketika insiden itu, keluarga tunang meminta saya melupakan hasrat menjadi pelakon kerana mereka tidak boleh menerima gosip. Disebabkan sayang, saya akur permintaan mereka.
"Selama setahun setengah saya buat macam-macam kerja dan situasi saya ketika itu amat sukar," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama rantaian 15 episod berjudul Mana Hilangnya Juwita terbitan Padi Pictures di Shah Alam, petang semalam.

Raja Ilya berkata, lebih menyedihkan, ikatan pertunangan dengan pemuda pilihan berakhir, Januari lalu.

"Kami putus kerana mereka masih mengungkit cerita lama. Saya cukup kecewa hingga dalam satu kejadian, saya menelan 20 biji pil tidur yang boleh mengakibatkan buah pinggang rosak.

"Mujurlah saya selamat diselamatkan rakan dan mereka menghantar saya ke hospital," katanya.
Menambah lagi tekanan, bekas pramugari ini mendapat berita ibunya menghidap kanser kolon tahap empat.

"Satu demi satu dugaan datang melanda. Tapi mujurlah rakan dan keluarga memberi sokongan untuk saya bangkit dan melupakan peristiwa pahit," katanya.

Tak toleh belakang

Raja Ilya enggan menoleh ke belakang meratapi kehancuran yang berlaku. Fokusnya ialah meneruskan langkah dalam bidang seni dan memantapkan lagi syarikat produksi, Universal Star Sdn Bhd yang baru ditubuhkannya.

"Sekarang, saya mahu mengamalkan sikap peduli apa orang nak kata. Terus terang, saya rasa memang tidak berbaloi mengikut kata bekas tunang yang mahu saya berhenti berlakon, namun akhirnya, ikatan itu terlerai.

"Jadi selepas ini, saya mahu berikan perhatian dalam bidang lakonan," katanya.

Mengenai kemunculannya dalam Mana Hilangnya Juwita, Raja Ilya berkata, dia memegang watak model bernama Bella yang berkelakuan jahat.

Ditanya soal cinta, dia berkata:

"Saya malas hendak memikirkan soal cinta. Ibu saya tidak kisah sama ada saya mahu berkahwin atau tidak. Jadi, keputusan saya untuk bersendirian muktamad."