Adsense

Isnin, 25 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Sisih kontroversi demi prestasi

Posted:

Sisih kontroversi demi prestasi

TIDAK ke mana kisah sensasi walaupun dijaja ke sana ke mari, lari jauh akhirnya bersua kembali. Ironi kisah kontroversi dalam arena hiburan ketepikan seketika.

Semarak kembali azam serta iltizam untuk membangunkan industri seni tanah air menerusi acara kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan akhbar Kosmo! yang dikenali sebagai Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2012.

Bertemakan Pertahankan Hak, Kotakan Janji, acara tersebut berlangsung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur dari pukul 2 hingga 6 petang pada hari ini.

Acara kali ini rentetan kejayaan Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! 2011 pada 25 Julai tahun lalu, yang membawa kepada pindaan Akta Hak Cipta 1987 pada Oktober 2011 .

Ia tercapai berdasarkan kemahuan penggiat seni yang mahukan hak lebih eksklusif dan terpelihara selain menjaga karya intelek seni mereka agar tidak sewenang-wenangnya dimanipulasi sesuka hati.

Menyisihkan kisah 'perang' yang sedang hangat melanda tiga selebriti muda iaitu antara Neelofa, Anzalna dan Tasha Shilla, ketiga-tiga mereka turut tampil menyuarakan pandangan masing-masing berhubung isu hak sebagai karyawan laman seni tempatan.

Kata Anzalna, dia cenderung melihat himpunan yang mengumpulkan karyawan dari pelbagai cabang seni negara seperti penyanyi, pelakon, pelawak, komposer dan lain-lain itu sebagai medium penyatuan selain peluang bertukar-tukar pandangan.

"Selama ini kita sesama rakan artis pun kadangkala terlepas peluang untuk berkenalan antara satu sama lain walau dalam satu industri.

"Insya-Allah menerusi Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo! tahun ini, saya akan memanfaatkan peluang sebaik mungkin untuk mengakrabkan tali silaturrahim dan saling mengenali," katanya yang optimis akan kejayaan pindaan akta tersebut.

Tidak berdepan rintangan yang terlalu perit dalam industri hiburan walaupun masih dianggap umpama pucuk muda, dia masih berharap lapangan yang memberikan punca rezeki kepadanya itu bertambah matang.

"Saya tolak ke tepi pertelingkahan atau isu sensasi yang melibatkan saya dengan sesiapa dan profesionalisme adalah keutamaan saya," ujar Anzalna lagi yang kini sedang sibuk dengan penggambaran telefilem 2 Dalam 1 bersama Anas Mentor dan Akim Akademi Fantasia untuk siaran Aidilfitri kelak.

NEELOFA mempunyai pandangan tersendiri tentang hak intelek seni buat golongan pelakon.


Tasha sokong penuh

Aktres muda yang tidak pernah surut dengan kontroversi, Tasha Shilla atau nama sebenarnya, Natasha Sheila Abd. Razak buat pertama kalinya menghadirkan diri ke majlis Hari Himpunan Bintang MyIPO- Kosmo!.

Meskipun terikat dengan penggambaran drama, Tasha tetap meluangkan masa untuk hadir ke acara ini kerana dia ingin memahami dengan lebih jelas hak-hak artis yang diperjuangkan oleh MyIPO.

"Saya hadir kerana saya ingin tahu tentang Akta Hak Cipta 1987 yang berjaya dipinda, apa kelebihan dan kebaikannya untuk artis seperti saya

"Selama ini kita sering dengar kalau jadi artis pasti tiada masa depan kerana industri seni tidak ada badan berwajib yang memperjuangkan hak kami selain persatuan seni yang ditubuhkan," ujarnya yang juga sedang sibuk dengan penggambaran telefilem Pengawal Hatiku dan PA Cinta.

Jelas pelakon drama Gemilang itu, selain mendengar tentang taklimat tentang hak karyawan seni, acara yang yang dihadiri seramai 600 orang artis itu turut dapat membuka ruang untuknya berkenalan dengan artis senior dan baharu sepertinya.

"Bagi saya, perhimpunan seperti ini sangat bagus kerana saya sendiri tidak mengenali ramai artis lain, perhimpunan ini akan menghimpunkan artis senior dan junior seperti saya, jadi tidak secara langsung dapat merapatkan hubungan serta bertukar-tukar fikiran," tuturnya.

Tasha berharap MyIPO harus kekal aktif dalam memperjuangkan hak penggiat seni bukan sekadar wujud atas nama sahaja.

"Namun, saya berharap sangat agar MyIPO akan terus hidup dan kekal aktif dalam memperjuangkan hak penggiat seni. Janganlah wujud atas nama sebaliknya harus sentiasa berkomunikasi dengan penggiat seni terutama menerusi persatuan-persatuan agar mudah disalurkan kepada ahli mereka," luahnya.

TASHA SHILLA memberi sokongan penuh terhadap majlis Hari Himpunan MyIPO-Kosmo! 2012 yang berlangsung pada hari ini.


Waktu kerja terlalu panjang – Neelofa

Seorang lagi aktres muda yang semakin popular Noor Neelofa Mohd. Noor atau Neelofa turut menyambut baik Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo!.

Meskipun tidak dapat menghadirkan diri kerana terlibat dengan penggambaran drama bersiri 26 episod sempena bulan Ramadan yang berjudul Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima, Neelofa tetap memberikan sokongan.

"Maaf, saya tidak dapat hadir kerana terikat dengan penggambaran drama tetapi saya tetap memberikan sokongan penuh kepada Hari Himpunan Bintang MyIPO-Kosmo!," ujarnya.

Menurutnya, industri hiburan tempatan tidak jauh ketinggalan dengan industri hiburan negara lain jika diukur daripada kelebihan yang diterima oleh mereka yang bergelar artis.

Bagaimanapun, masih terdapat masalah yang sudah lama disuarakan oleh pelakon sepertinya terutama durasi kerja yang terlalu panjang.

"Masalah pelakon adalah durasi kerja yang panjang. Bukan tidak boleh kerja lebih waktu tetapi berpada-pada. Biasanya lebih 15 jam atau sehingga 3 hingga 4 pagi.

"Apabila disuarakan masalah itu, produksi mengatakan kos akan lebih tinggi jika penggambaran dilakukan banyak hari, tetapi bagaimana pula dengan nasib pelakon seperti saya. Mungkin boleh dibincangkan masalah ini dan dicapai kata sepakat menerusi perbincangan antara pihak penerbitan dan juga pelakon," tuturnya.

Luah Neelofa, besar harapannya untuk melihat kewujudan MyIPO boleh membawa kepada perubahan dan menjamin masa depan artis serta penggiat seni tempatan secara keseluruhannya.

Madonna hapus DNA sendiri

Posted:

Madonna hapus DNA sendiri

MADONNA


RATU penghapus asid deoksiribonukleik (DNA)! Mungkin itu gelaran terbaharu yang boleh dilabelkan terhadap Madonna.

Bintang tersohor itu sememangnya diketahui umum terkenal dengan lagak seorang diva, terutama dalam menetapkan syarat-syarat dan menyenaraikan benda-benda tertentu yang diinginkan setiap kali muncul dalam persembahan konsertnya.

Namun, Madonna mungkin satu-satunya selebriti yang bersikap ekstra diva apabila satu kumpulan pensterilan telah ditubuhkan khusus untuk membersihkan sebarang DNA dirinya yang terdapat dalam bilik khas tempat dia bersolek dan berehat di belakang pentas MDNA World Tour.

Ikon berusia 53 tahun itu juga menegaskan kepada pihak penganjur konsert jelajah terbaharunya itu bahawa hanya orang-orang tertentu yang disenaraikan oleh dirinya dibenarkan memasuki kawasan belakang pentas yang menempatkan bilik khas itu.

Promoter konsert jelajah itu, Álvaro Ramos yang menguruskan konsert jelajah Madonna di Portugal mendedahkan kepada akhbar The Mirror: "Kami dikehendaki menghapuskan segala bentuk DNA Madonna yang terdapat dalam bilik khas di belakang pentas konsertnya itu.

"Kami sendiri tidak dibenarkan masuk ke situ kecuali selepas Madonna keluar dari bilik itu sehinggalah segala DNA dirinya di situ telah dibersihkan. Malah, kami dilarang sama sekali menyentuh bilik tersebut jika proses pembersihan DNAnya itu belum selesai."

Tambahnya: "Kami hanya dibenarkan masuk ke bilik tersebut selepas segala DNA Madonna di situ telah dihapuskan yang termasuklah helaian rambutnya. Saya faham ia dilakukan untuk menjaga hak peribadinya tetapi bagi saya, ia sangat melampau."

Elfira Loy nafi berlagak

Posted:

Elfira Loy nafi berlagak

Oleh NASRUL FAIZ ABU AZAL

FIGURA ini sudah mengumpul duit sebndiri sejak mula berlakon pada usia 12 tahun.


UMURNYA baru mencecah 18 tahun, namun masa depan Nurul Elfira Loy atau Elfira Loy dalam bidang seni tanah air dilihat semakin cerah.

Bersandarkan raut wajah manis serta keningnya yang terukir rapi, tawaran berlakon yang menanti gadis berjiwa kental ini datang mencurah-curah hari demi hari.

Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak dapat lari daripada asam garam dunia glamor yang penuh ranjau ini. Terbaru, dia ditohmah sudah mula berlagak!

Bukan setakat itu, gadis kecil molek ini turut dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang dimilikinya sehinggakan ada yang mengatakan dia alergi dengan barangan tidak berjenama.

Tidak mudah melenting, Elfira membalas kembali dakwaan tersebut. Katanya, jika benar sekalipun dakwaan tersebut, ia adalah untuk kepuasan diri dan yang paling penting, datang daripada hasil titik peluhnya sendiri.

Ikuti temu bual dengan heroin telefilem popular, Biar Mimpi Sampai ke Bintang yang sedang mengemas rumah ketika dihubungi Kosmo! pagi semalam.

Kosmo!: Timbul satu perkhabaran yang mengatakan anda sudah mula pandai berlagak. Benarkah kenyataan ini?

ELFIRA: Saya sebenarnya sedikit hairan bagaimana perkara sebegini boleh timbul sedangkan setahu saya, sifat suka menggedik dan berlagak tidak pernah wujud dalam diri saya. Mereka yang mengenali saya semuanya mengetahui bahawa saya bukanlah jenis yang terlalu terbuka dengan orang yang tidak dikenali. Bagaimanapun, jika saya sudah percaya dan selesa dengan seseorang itu, barulah saya menjadi peramah. Jadi, dari mana datangnya sifat berlagak itu pula?

Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan sifat anda yang gedik?

Bagaimana orang boleh melabel saya sebagai gedik? Bila pula mereka melihat saya berperangai sedemikian? Jujur saya cakapkan, saya jarang keluar bersosial di tempat-tempat awam tanpa kehadiran ibu saya. Jadi, jika saya jarang berada di khalayak ramai, bagaimana pula mereka boleh melihat saya gedik? Saya sendiri tidak faham kenapa isu ini dibangkitkan.

Berdasarkan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar, anda dikatakan gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang anda miliki. Adakah benar dakwaan tersebut?

Pada saya, kita tidak perlu untuk bercerita mengenai barangan tersebut kerana jika betul ia berjenama, orang lain pasti akan perasan sendiri. Lagipun tiada sebab untuk saya menghebah-hebahkan perkara tersebut kecuali ditanya mengenainya. Kalau ada orang bertanya, mestilah kita perlu menjawabnya. Namun untuk pengetahuan semua, saya tidak terlalu memilih sama ada sesuatu barangan itu berjenama atau tidak, yang penting saya selesa memakainya.

Jadi benarlah Elfira memang gemar membeli barangan berjenama?

Memang tidak dinafikan kadangkala saya ada membeli barangan yang berjenama seperti kasut dan beg tangan. Namun semua itu dibeli untuk kepuasan diri saya sendiri. Barangan tersebut lazimnya berkualiti tinggi serta tahan lama. Oleh itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu pelaburan jangka panjang. Kasut yang dibeli pada tahun ini mungkin boleh digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pada usia yang masih muda, adakah sukar untuk mengawal kehendak untuk membeli barangan berjenama?

Saya sudah mula bekerja sejak berusia 12 tahun jadi saya tahu bertapa susahnya untuk mencari duit sendiri. Oleh sebab itu, saya sentiasa mengawal perbelanjaan dan tidak terlalu mengikut nafsu. Jika saya benar-benar inginkan sesuatu, saya akan berusaha mengumpul duit untuk mendapatkannya terutamanya jika barangan tersebut mahal dan berjenama. Saya tidak dapat melihat di mana silapnya kerana saya berbelanja dengan menggunakan hasil titik peluh saya sendiri.

Bagaimana anda mengawal perbelanjaan?

Ke mana-mana saya pergi, ibu saya sentiasa berada di sisi. Ibu yang banyak membantu menguruskan pendapatan saya. Setiap kali mendapat bayaran, saya dan ibu akan membahagi-bahagikan wang tersebut mengikut keperluan. Ada yang digunakan untuk membeli kelengkapan untuk berlakon, pembelajaran dan kegunaan seharian. Untuk berseronok pula, saya lebih gemar menghabiskan wang untuk keluarga.

Rezeki anda dalam bidang lakonan dilihat semakin melimpah-ruah, jadi apakah perkembangan terbaharu dalam kerjaya anda?

Alhamdulillah, saya semakin mendapat kepercayaan untuk melakonkan watak-watak yang lebih besar berbanding watak kanak-kanak sebelum ini. InsyaAllah dalam bulan Oktober nanti, drama terbaharu saya, Dalam Hati Ada Taman akan ditayangkan. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan dua produksi filem yang bakal memulakan penggambaran pada hujung tahun ini.