Adsense

Isnin, 25 Jun 2012

Gosip Artis Malaysia

Gosip Artis Malaysia


Zizan Tidak Mahu Kerja Selepas 12 Malam

Posted: 25 Jun 2012 05:43 PM PDT

Zizan Razak
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12 tengah malam kerana faktor kesihatan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan lumayan.
"Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting.
"Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.
"Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya.
Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada April lalu.
Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut.
"Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi.
"Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat, selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula yang 'tumbang'," selorohnya.
Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu.
Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian daripada pengarahnya, Ahmad Idham.
"Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus.
"Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya.
Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

- ---

Nurul Wahab Mampu Pandu Suami

Posted: 25 Jun 2012 05:42 PM PDT

Nurul Wahab. RAJA FAISAL HISHAN
KUALA LUMPUR: Penyanyi Nurul Wahab menegaskan dia bukanlah manusia yang terlalu jahil tentang agama Islam sehingga tidak mampu untuk membimbing suaminya, Eric Daniel Depp, menjadi Muslim sebenar.
Nurul atau nama sebenarnya Noorul Huda Abdul Wahab, 35, berkata, walaupun pada luaran penampilannya dilihat moden, namun dia tahu tentang tanggungjawab untuk mendidik suaminya yang berasal dari Perancis itu.
"Jangan ingat luaran saya berimej moden dan saya tidak tahu apa-apa tentang agama yang dianuti. Saya tidak perlu menunjuk atau membuktikan kepada sesiapa kerana ia adalah di antara saya dan Allah sahaja yang mengetahui.
"Lagipun, untuk membimbing seorang mualaf mengenali Islam bukannya boleh dibuat dalam masa sehari. Nabi Muhammad S.A.W pun mengambil masa lama untuk menyebarkan agamanya," katanya yang ditemui pada pelancaran duta produk kecantikan Skinz Infinate di Flora Terrace, di sini, petang Isnin.
Nurul dan Eriq Depp
Nurul diminta mengulas kononnya dia gagal membimbing suaminya yang baru memeluk Islam untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan ilmu-ilmu agama itu.
Tambah Nurul, dia juga mempunyai cara tersendiri dalam membimbing hal-hal agama terhadap suaminya yang berusia 47 tahun itu dan berharap isu suaminya tidak diberi pendedahan Islam sewajarnya tidak lagi timbul.
"Mujurlah Eriq seorang yang begitu positif dalam memandang kehidupan dan isu-isu sebegini tidak mengecilkan hatinya pun. Setakat ini dia faham dengan amalan harian yang saya lakukan iaitu menunaikan solat lima waktu serta mengaji kitab Al-Quran.
"Kita tidak boleh terlalu memaksa kerana dia juga mempunyai pegangan agama lain sebelum ini, cuma untuk berubah arah semua itu perlu dibuat perlahan-lahan," tegasnya.
Nurul yang baru pulang daripada meraikan majlis resepsi perkahwinannya di Bali, Indonesia pada 19 Jun lalu memberitahu, selepas pelbagai persoalan yang timbul mengenai perkahwinannya, dia mengambil pendekatan untuk tidak menceritakan tentang hal-hal peribadinya lagi.
"Cukuplah semua orang dah tahu bahawa saya kini sudah berkahwin. Selepas ini, saya tidak akan menceritakan apa-apa tentang hal-hal peribadi.
"Pengalaman lalu telah mengajar saya dan apa yang dapat disimpulkan, buatlah apa sahaja, orang tetap akan mengkritik.
"Bagaimanapun, saya tidak kisah jika orang masih lagi ingin memperkatakan tentang diri ini, saya terima dengan hati yang terbuka," ujarnya.
Nurul dan Eriq bernikah di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini pada 6 Jun lalu.
Eric telah memeluk Islam sejak 13 Februari lalu dan langkah itu berjaya meyakinkan Nurul untuk mengangkat lelaki tersebut sebagai suami.

- ---

Heliza Helmi Tempuh Pelbagai Pengalaman Kerana Makanan Halal

Posted: 25 Jun 2012 05:25 PM PDT

Heliza Helmi
KUALA LUPUR: Penyanyi Heliza Helmi menjelaskan, bergelar pengacara bagi rancangan Rasa Halal Antarabangsa siaran Astro Oasis merupakan satu peluang luar biasa apabila dia dapat meneroka pelbagai jenis makanan di lima buah negara.
Heliza berkata, pengalaman berada di Turki, United Kingdom, Perancis, Australia dan Korea Selatan itu amat menarik kerana dia juga dapat melihat perkembangan Islam di negara berkenaan.
"Ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga dan bernilai buat saya. Bukan mudah untuk saya merasai kepelbagaian makanan halal yang terdapat di tempat orang. Ia amat menakjubkan," katanya pada sidang media program berkenaan di sini, Isnin.
Hadir sama Pengurus Saluran Astro Oasis, Izlan Basar serta wakil agensi pelancongan negara berkenaan.
Heliza berkata, antara pengalaman menarik lain apabila dia menjadi minat terhadap Kimci iaitu sejenis makanan tradisional daripada sayur-sayuran di Korea selepas menikmatinya kerap kali sedangkan dia tidak menyukainya sebelum ini.
Dalam masa yang sama dia juga berhadapan dengan cabaran apabila sukar mencari lokasi untuk mendirikan solat sehingga terpaksa menunaikan ibadah di set penggambaran.
"Pernah juga saya berhadapan dengan masalah untuk bersolat tetapi saya dapat juga melaksanakannya kerana saya percaya terhadap kepentingan perkara itu walaupun di negara mana sekalipun kita berada," jelasnya,
Heliza (bertudung) dan Izlan Basar (empat dari kiri) bersama wakil agensi-agensi pelancongan dan wakila Astro yang terlibat dalam program Rasa Halal Antarabangsa. 
Sementara itu Izelan berkata, sambutan penonton terhadap program itu yang diperkenalkan pada tahun 2008 menyebabkan Astro Oasis terpaksa melanjutkannya sehingga ke musim yang keempat.
Program terbaru selama 26 episod itu kata beliau antara lain bertujuan untuk memudahkan rakyat negara ini yang ingin melancong ke lima negara terbabit mendapatkan informasi berhubung lokasi yang menyediakan makanan halal serta kemudahan beribadah.
"Berdasarkan kepada kajian kami, rakyat Malaysia gemar melancong ke lima negara berkenaan dan tentu sekali mereka tercari-cari di manakah lokasi makanan halal.
"Jadi, pihak kami telah mengambil pendekatan untuk memberi pengetahuan kepada mereka dengan menerbitkan rancangan ini," kata beliau.
Rasa Halal Antarabangsa terbitan syarikat produksi E-Style Sdn Bhd ini bakal menemui penonton pada setiap Khamis bermula 28 Jun ini di Astro Oasis (saluran 106) pukul 7.30 malam.

- ---

Dadah : Saiful Apek Lega Selepas Tercalar Selama Dua Tahun

Posted: 25 Jun 2012 05:24 PM PDT

Saiful berasa lega apabila Mahkamah Majistret membebaskan dia dan tiga rakannya berhubung tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis dalam badan dua tahun lalu. Foto MUHAMMAD SYAMIL JOHAR.
PETALING JAYA: Pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek lega apabila Mahkamah Majistret di sini pada Isnin membebaskan dia dan tiga rakannya daripada tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan dua tahun lalu.
Saiful berkata, keputusan yang dibuat oleh Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid pada Isnin itu adalah satu kebenaran yang telah terbukti selepas dua tahun dibelenggu dengan insiden yang telah mencalarkan namanya sebagai seorang selebriti.
"Syukur Alhamdulillahlah semuanya telah selesai dan sedikit sebanyak keputusan yang dibuat oleh Majistret telah membersihkan nama saya yang tercalar sebelum ini," ujarnya ketika ditemui di sini, Isnin.
Saiful, 42, dan tiga lagi orang rakannya iaitu Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28 di bebas dan dilepaskan tanpa perlu membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes 'prima facie' terhadap kesemua tertuduh.
Mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, dekat sini pada 12 Jun 2010 kira-kira pukul 11 malam.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Saiful memberitahu, dia amat terharu dengan sokongan semua pihak terutamanya peminat yang tidak jemu-jemu memberikan kata-kata semangat kepadanya dalam mengharungi kes yang berlanjutan hampir dua tahun itu.
Katanya, walaupun telah dikecam oleh pelbagai pihak tetapi dia sangat beruntung kerana masih mendapat sokongan daripada orang yang mempercayainya.
"Bebanan yang dipikul sebelum ini kerana kes tersebut telah bertukar menjadi lega dan sokongan peminat sentiasa membuatkan saya kuat untuk mengharungi semua dugaan ini," katanya.

- ---

Dadah : Saiful Apek dan Tiga Rakan Bebas

Posted: 24 Jun 2012 09:47 PM PDT

Saiful Apek
PETALING JAYA: Pelakon komedi Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek bersama tiga rakannya dibebas dan dilepaskan tanpa perlu membela diri oleh Mahkamah Majistret di sini berhubung tuduhan memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka dua tahun lalu.
Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat percanggahan terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Mereka semua sebelum itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, dekat sini pada 12 Jun 2010 kira kira pukul 11 malam.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun pada 1 November tahun lepas, Saiful Apek, 42, Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

- ---

Taiyuddin Tepis Tuduhan Tidak Berdisiplin

Posted: 24 Jun 2012 09:16 PM PDT

Taiyuddin
PETALING JAYA: Pelakon Taiyuddin menjelaskan tuduhan mengatakan dia mula berani menunjukkan kelakuan buruknya dengan tidak memberi komitmen serta semakin tidak berdisiplin dalam kerja-kerja lakonan adalah tidak benar.
Taiyuddin atau nama sebenarnya, Sallehuddin Abu Bakar, 29, berkata, sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, dia seboleh-bolehnya menjaga reputasi diri sebagai seorang pelakon.
"Bukan mudah untuk seseorang itu mencapai kejayaan dan apabila kedudukan saya sebagai pelakon semakin selesa, hal ini pula yang terjadi.
"Tuduhan saya tidak berdisiplin adalah tidak benar kerana saya begitu komited dalam hal-hal kerja. Dalam industri lakonan, kita bukannya bekerja secara individu, sebaliknya berkumpulan. Jika seorang buat perangai, maka kerja pun tak boleh nak diteruskan," katanya.
Baru-baru ini, dakwaan mengenai kelakuan Taiyuddin yang semakin tidak berdisiplin sejak namanya popular mula tersebar di laman forum hiburan tempatan termasuklah di ruangan pojok beberapa akhbar.
Bagaimanapun, tambah pelakon filem Hantu Bonceng itu, dia mengakui akan berkelakuan sebegitu apabila perasaan marah terhadap sesuatu perkara tidak dapat dipendam lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja yang dilakukan dipertikai tanpa sebab.
"Saya seorang yang tak pandai nak marah-marah orang, dan biasanya lebih senang pendam perasaan jika ada perkara yang membuatkan saya tidak puas hati.
"Apabila perkara itu berlarutan, maka saya akan mengambil pendekatan untuk memberontak dimana saya akan buat perangai seperti lewat hadir ke promosi filem contohnya atau tidak memberikan komitmen sepenuhnya dalam sesebuah kerja," tuturnya.
Sementara itu, lakonan Taiyuddin dapat disaksikan menerusi tayangan filem Mael Lambong arahan Ahmad Idham bermula 21 Jun 2012.
Mael Lambong mengisahkan tentang Mail Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Sementara itu, antara pelakon-pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

- ---