Hip
Emran maafkan penyebar fitnahSEJAK gosip rumah tangga aktres jelita, Erra Fazira, dan pasangannya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, dikhabarkan goyah, bukan tiada media yang cuba mendapatkan suami pelakon itu. Namun Emran mengambil keputusan untuk berdiam diri.
Lebih setahun mengunci mulut, Jumaat lalu, penulis berjumpa dengan Emran dalam satu pertemuan eksklusif lebih sejam di Taman Tun Dr Ismail. Pada mulanya penulis menjangkakan temu janji itu hampir tidak menjadi kenyataan apabila Emran beberapa kali mengubah waktu pertemuan. Dari 6.30 petang, dia meminta ditunda ke selepas maghrib, kemudian jam 9 malam diikuti, 9.30 malam. Namun penulis tidak patah semangat kerana bukan mudah untuk bertemu lelaki ini.
Bukan semua orang senang dengan perkahwinan kami, hingga ada yang sanggup menyebarkan fitnah. Saya maafkan orang yang menyebarkan fitnah itu dan berharap dia bertaubat" - Engku Emran, Suami Erra Fazira
Kali terakhir, seingat penulis, kami bertemu lebih tiga tahun lalu di pejabat Suria FM. Ketika itu, Emran bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasinya. Tepat jam 9.30 malam, Emran belum tiba dan dia menghantar SMS memohon maaf kerana akan tiba lewat 10 minit. Kurang 10 minit sebelum jam menunjukkan 10 malam, Emran tiba bersama lelaki yang saya agak mungkin pemandunya.
Kami melepak di hadapan sebuah restoran, kebetulan tidak ramai pelanggan ketika itu, jadi dapatlah penulis mendasari hatinya, yang berdepan banyak kontroversi. Banyak yang ditanyakan, dari gosip rumah tangga kepada khabar angin dirinya berkahwin lagi, serta siapa wanita bernama Mawar yang dikaitkan dengannya.
Pada mulanya, Emran meminta supaya perbualan kami tidak disiarkan di akhbar kerana ia tidak lebih pertemuan antara rakan lama. Namun setelah lama memujuk, Emran mengizinkan, tetapi katanya, selepas ini dia tidak akan memberikan sebarang kenyataan lagi.
Soalan pertama tentulah mengenai hubungannya dengan Erra yang dikhabarkan semakin dingin. Lelaki ini hanya mampu beristighfar. Ternyata ada orang tidak senang dengan rumah tangga mereka, kata Emran berkali-kali.
"Kami masih tinggal sebumbung dan tidur sekatil," jawab Emran memecahkan segala tanda tanya yang masih tidak habis-habis dibualkan sejak setahun lalu.
Katanya, dia mempunyai tahap kesabaran dan jangan diuji kesabarannya itu. Semakin lama, dia semakin tidak faham kenapa gosip membabitkan dirinya menjadi-jadi.
Untuk kepastian, penulis bertanyakan soalan berhubung dakwaan mengatakan mereka memang tinggal sebumbung, tetapi tiada komunikasi antara suami isteri ini. Jika seorang di tingkat atas, seorang lagi di bawah. Seolah-olah mereka enggan bertembung walau di rumah sendiri.
Dengan wajah yang tenang dan ayat tersusun, Emran menjelaskan, hubungan mereka baik. Mungkin kerana waktu kerja yang berbeza, mereka jarang berjumpa dan berkomunikasi. Namun dia bersyukur sekurang-kurangnya zuriat mereka, Engku Aleesya, mempunyai teman di rumah. Jadi tidaklah dia dibiarkan sendirian bersama pembantu rumah.
"Bukan semua orang senang dengan perkahwinan kami, hingga ada yang sanggup menyebarkan fitnah. Saya maafkan orang yang menyebarkan fitnah itu dan berharap dia bertaubat. Ambillah iktibar sempena bulan Syaaban ini, tidakkah dia sedar menyebarkan fitnah itu dosanya lebih hebat daripada membunuh?
"Kalau boleh, sudah-sudahlah jadikan rumah tangga kami sebagai bahan bualan. Saya dan Erra masih baik, kehadiran zuriat pula menambahkan ikatan kasih sayang antara kami. Berhentilah menyebarkan cerita tidak betul, kasihanilah Erra kerana terpaksa menjawab dan berdepan dengan semua ini.
"Kami sebenarnya tidak suka melayan gosip seperti ini. Ada kalanya kami berbincang juga mengenainya. Tetapi prinsip kami, selagi tidak benar kami tidak akan layan," katanya.
Rela mati jika benar kahwin lain
WAJAHNYA sedikit terkejut apabila penulis bertanyakan mengenai Mawar. Wanita yang dikatakan bekerja di bahagian pemasaran Bernama TV itu didakwa sebagai isteri keduanya. Mawar ialah wanita yang dikatakan cukup akrab dengan Emran yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, stesen berkenaan.
Jawab Emran, dia tidak mengenali siapa Mawar. Malah, dia bertanya kembali, dari mana penulis mendapat cerita itu? Dia juga berkata, dia tidak pernah akrab dengan mana-mana wanita di tempat kerja lamanya. Dakwaan mengatakan mereka sering keluar bersama juga disangkal lelaki ini, sekeras-kerasnya.
"Saya tahu di mana kedudukan saya, dan saya tahu siapa isteri saya. Takkanlah saya tergamak berbuat demikian, sedangkan saya tahu pasti banyak mata yang akan memandang kerana saya suami kepada Erra Fazira. Kalau ada pun saya keluar dengan wanita lain, saya tidak akan keluar berdua. Biasanya kami akan keluar beramai-ramai paling tidak tiga orang.
"Jika benar saya sudah berkahwin, mana buktinya? Tentu sekarang ini sudah tersebar gambar perkahwinan saya. Kalau betul juga saya sudah berkahwin, tentu saya tidak akan pulang ke rumah setiap hari. Sampaikan orang gaji saya sendiri bertanya, benarkah saya sudah berkahwin? Dia pun pelik kenapa saya masih pulang ke rumah setiap hari andai saya ada isteri lain.
"Bukan saja orang gaji, ibu mentua kadang-kadang pun ada juga bertanya, walaupun dia tahu siapa saya. Tapi bila saja jelaskan kepadanya dia faham. Saya dan Erra pula hanya mampu ketawa bila dengar gosip ini. Erra ada juga bertanya, tetapi dalam keadaan berlawak sebab dia tahu kebenarannya.
"Dalam keluarga saya, tiada yang mengamalkan poligami. Jika saya yang lakukan, itu bermakna saya sudah memecahkan tradisi keluarga dan saya tidak sanggup lakukan. Kalau saya kahwin di sempadan, saya tidak pasti adakah sah perkahwinan itu kerana tiadanya persetujuan isteri pertama dan adakah ia sah di sisi Allah kerana saya menipu isteri.
"Saya rela nyawa saya diambil jika isu berkahwin lagi itu benar supaya ia dapat menjernihkan keadaan," tegas Emran.
Selain isu poligami, kononnya ketiadaan Emran pada majlis tertentu seperti majlis anugerah dan majlis rasmi tidak seharusnya dianggap sebagai petanda hubungan mereka kian renggang.
Kata Emran, dia hanya akan menemani Erra jika nama isterinya dicalonkan dalam sebarang anugerah, sebagai memberikan sokongan. Tetapi sekiranya Erra hanya diundang sebagai penyampai, dia tidak akan hadir sama, apatah lagi dengan jadual kerjaya tidak menentu.
"Orang berkata demikian kerana mereka tidak nampak. Contohnya, waktu Erra menjadi mentor, saya ada datang memberikan sokongan, tetapi orang tidak nampak saya di situ kerana saya berada di belakang pentas. Kalau tidak percaya, bolehlah bertanyakan kepada kru dan mereka yang berada di belakang pentas," jawabnya