Adsense

Ahad, 10 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kaca mata kritik Bront, Nadiya

Posted:

Kaca mata kritik Bront, Nadiya

Kaca mata kritik Bront, Nadiya

SEPERTI mengheret emosi Pinto dan Lara, dua tubuh yang mengusung nama Bront Palarae dan Nadiya Nisaa itu punya keserasian yang cukup kuat. Masuk sahaja ke sudut untuk dirakamkan foto, masing-masing menerbitkan karakter tanpa perlu dibentuk-bentuk.

Bukan atas faktor anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia semata-mata, tetapi kerja lakon Bront dan Nadiya sebenarnya lebih mahal berbanding trofi yang pernah mereka julang. Dilihat daripada pencapaian karier, mereka kalah dari segi kuantiti namun sentiasa dipuji kerana kualiti.

Bront dan Nadiya muncul sebagai pasangan dalam karya terbaharu Osman Ali berjudul Jiwa Taiko yang kini rancak berlegar di pawagam. Bertemakan aksi dramatik, filem Jiwa Taiko bagaimanapun berdepan kritik panas seawal menemui audiens pertama.

Sudah lumrah agaknya, jika sesuatu yang dinanti-nantikan itu menimbulkan banyak keraguan, pasti banyak perkara yang mahu dibahaskan. Jiwa Taiko awalnya dibikin dengan judul Bara Jiwa, namun atas desakan komersial serta retorik menarik perhatian khalayak ia ditukar menjadi Jiwa Taiko. Lebih catchy, kata si pengarah Ombak Rindu itu.

Isunya mungkin klise bagi sesetengah pihak tetapi keberanian pengarah dan pelakon-pelakon utamanya, naskhah Jiwa Taiko kali ini ibarat papan sasaran yang sedia ditembak. Kekaburan hala tuju, pergaulan bebas serta babak seks yang diberi gambaran berahi dalam filem edaran MIG itu mengundang kritik.

Bercakap tentang kritikan filem secara khusus, impak dan penerimaan mangsa kritikan itu sendiri, Bront dan Nadiya menjadi individu yang realis. Tidak melatah jauh sekali bersikap baran, mereka faham apa itu realisme dan kenal jenis-jenis pengkritik yang sedang didepani.

"Kritikan itu bagus. Itu tandanya khalayak masih mahu tahu dan mahu merujuk kepada tempat yang selayaknya. Bila sesebuah karya itu mengundang persoalan, maksudnya pengkritik ada pemikiran yang mahu ditulis.

"Apa jua sudut pandangan pengkritik, ia bertujuan memberi informasi dan setiap individu punya persepsi berbeza," lontar Bront dalam reaksi seorang yang idealis, seperti selalu.

Semua filem tempatan kini semakin hebat dikritik masyarakat di sebalik kepesatan media sosial terutama blog dan portal hiburan. Ruang kritik kini terbuka sama ada untuk pengkritik bertauliah, separa mahupun tidak bertauliah langsung. Itu jelas dan semacam budaya dalam dunia kini. Seolah-olah semua mahu terlibat secara langsung dengan naskhah yang ditadahkan kepada khalayak.


DUA karakter ini merupakan pertaruhan kuat untuk filem Jiwa Taiko.


"Sama ada kritikan yang dilemparkan terhadap karya seni itu bersifat ilmiah atau tidak, perkara itu luar kawalan karyawan seperti kami. Bukan hanya filem, muzik juga berdepan kritikan. Sama ada kritikan itu sah atau tidak, ia tetap ada alasan yang boleh diterima pakai," akui Bront yang mengambil tahu setiap kritikan yang diterima tetapi tidak menganggap hal itu sebagai serangan peribadi.

Ibu terkejut

"Kritikan itu sendiri atau sebuah reviu adalah sebahagian daripada seni. Ia menjurus kepada kerja seni. Untuk para pengkritik, ia juga mempamerkan ke arah mana mereka melihat, perspektif dan sudut mereka mengkritik. Ini tentunya menunjukkan minda si pengkritik," ulas Bront melihat topik kritik secara besar.

Secara dalamannya, Bront sendiri agak janggal ketika melakonkan babak panas bersama Nadia Nissa sejak di lokasi lagi. Atas alasan itulah, dia melihat isu seks yang diperkatakan ramai sebagai isu yang berasas.

"Kalau ibu bapa saya sendiri melihat adegan asmara itu pun, pasti mereka akan terkejut. Moden macam-mana sekalipun, kita tidak boleh menidakkan perkara itu," luah Bront penuh diplomatik.

Tambahnya: "Secara peribadi saya boleh terima jika dikritik kerana isu panas dalam filem itu, mungkin sebab sudah membesar dalam industri. Jadi artis, jiwa kena besar, jadi tak rugged jika sikit-sikit nak melatah kalau dikritik. Kenapa kita boleh senyum bila dipuji, bila tidak dipuji pula kenapa nak marah, itu sangat tidak rugged."

"Terasa atau tidak, itu aspek lain. Ya, pernah terasa tetapi menerima (kritikan)," luah Bront.

Kali pertama mencuri hati khalayak filem sebagai Manis menerusi Cun!, gelombang keempat Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin melambung agresif apabila kembali ke layar perak sebagai Lara.

Ditangan aktres itu, rapuhnya jiwa Lara menjadi punca konflik sehingga hampir meruntuhkan persahabatan bahkan menjalinkan semula sebuah keakraban. Sepintas lalu, Lara ialah heroin Jiwa Taiko, bukannya Trisha yang diangkat menjadi subjek kerana kecantikan Diana Danielle.

"Saya kena kerja kuat untuk memenuhi impian pengarah. Saya kena banyak menonton filem-filem luar kerana impian saya juga besar. Saya seringkali rasa kecil jika memikirkan soal pakej. Jadi saya kena ambil inisiatif, mujur saya banyak bekerja dengan nama-nama besar dan berpengalaman," getus aktres yang dikenali sebagai Nadia Nisaa merendah diri.

Sama seperti Bront, Remy Ishak serta Diana Danielle yang terkena tempias panas Jiwa Taiko, Nadiya sebenarnya sedang belajar menelan sensasi.

Jatuh maruah

"Ini pengalaman pertama saya dipersoalkan tentang keberanian dalam lakonan, sedangkan semasa melakonkan watak Manis, saya tidak dituduh menjatuhkan maruah orang kurang upaya," kata Nadia sambil mengakui jiwa keras dan berfikiran terbuka.

"Saya jenis yang degil dan ikut haluan sendiri. Saya cuma harap penonton faham bahawa lakonan tetap lakonan. Saya juga sedar, pengkritik tidak mengkritik membuta tuli dan saya boleh faham pemikiran penulis," ujarnya sedikit lelah berdepan soalan panas sejak malam pertama filem keduanya itu dipertontonkan kepada media.

Tidak menjurus kepada filem yang sedang berpanggung, dua pemain watak itu melihat filem sebagai medium seni yang membuka segala pintu kritikan. Tidak hanya pembikin, artis itu sendiri kena terbuka kepada kritikan walau sedalam mana sekalipun.

"Sebagai kami yang harus terbuka dengan kritikan, pengkritik juga sebenarnya membuka intelektual, pemikiran serta pandangan mereka untuk dinilai pihak lain. Pengkritik juga harus terbuka untuk dikritik khalayak.


PELAKON Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ini bersatu dalam Jiwa Taiko.


"Secara umumnya, filem adalah sebuah medium seni yang mempunyai visual, audio dan imej. Sangat berlainan dengan lukisan. Jadi kritikan atau komentar lebih besar diberikan kepada sebuah filem," komen Nadiya tentang topik kritikan filem secara umum.

"Saya melihat filem Bunohan sebagai kemuncak kepada dunia kritikan filem di Malaysia. Filem itu memecahkan pengkritik kepada dua kelompok dan masing-masing bergaduh pendapat mengenai Bunohan," Bront memberi contoh senario kritikan filem tempatan yang menarik untuk dihipotesis.

"Saya suka membaca sesuatu yang boleh memberikan semangat. Itu sahaja yang saya harapkan kerana pelakon atau pengkarya selalunya sudah memberikan sehabis baik," ujarnya yang menonton filem Radit dan Jani serta The Runaways sebagai rujukan untuk watak Lara.

Hobi Que kini berlakon

Posted:

Hobi Que kini berlakon

Hobi Que kini berlakon


QUE HAIDAR muncul sebagai Walid dalam teater yang berlangsung pada 22 hingga 26 Jun ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Matic, Ampang.


DIA adalah antara aktor yang ditunggu-tunggu kemunculannya. Malah tidak berlebihan jika disebut, melihat namanya dalam baris para pelakon, itu sudah merupakan faktor magnet untuk menonton manifestasi seni Que Haidar.

Tatkala dia meletakkan kata tegas untuk 'bersara' dalam bidang lakonan, ramai yang patah hati. Apabila kelibatnya muncul dalam filem Rock... Ooo melegakan ramai pihak. Kemudian, Que kembali senyap sehingga baru-baru ini dia mengaku mahu berlakon dalam sebuah teater bertajuk Primadona... Perahu Mimpi. Apa agaknya mimpi Que kali ini?

SENSASI BINTANG: Kenapa kembali berlakon?

QUE HAIDAR: Mula-mula saya hanya menjadi jurulatih lakonan dalam teater ini. Tiba-tiba saya jadi pelakon apabila Azie, pengurus studio Linda Jasmine petik nama saya sebagai pelakon. Melihat semangat para pelakon yang datang dari Johor, saya jadi bersemangat. Saya juga berasal daripada teater sejak 1997 hinggalah 2003. Saya juga rindukan suasana berlakon teater.

Boleh ceritakan sedikit tentang teater naskhah Rahimah Muda?

Teater puisitari ini bercerita tentang seorang wanita bernama Primadona yang membuka sebuah rumah hiburan. Dia seorang janda yang mahu menyelamatkan perempuan yang menjadi mangsa rogol atau wanita yang ditolak masyarakat. Tetapi rumah hiburan ini disalah erti sebagai rumah maksiat. Primadona dilakonkan oleh Datin Shima yang mempunyai vokal yang mantap dan lakonan yang baik. Turut berlakon dalam teater ini adalah Emelda Rosmila, Maulana AF dan Emma AF.

Pementasan teater ini merupakan teater kedua studio Linda Jasmine selepas KL Energetik. Kenapa mengangkat tema wanita, lagi?

Satu sebab di bawah studio Linda yang mengajar tarian. Kita gabungkan dengan teater di mana saya menjadi jurulatihnya. Kita mengangkat tema wanita dalam teater ini kerana kita bekerjasama dengan Pride Foundation yang menjurus kepada kanser payu dara. Kita jual tiket RM80 dan RM100 dan akan berikan satu jumlah kepada Pride sebagai amal.

Lama tidak terlibat dalam bidang teater, apa cabaran untuk Que kali ini?

Saya kena menyanyi dan membaca puisi, itu yang saya takut. Saya ini pula jenis tidaklah puitis sangat. Dalam melontarkan dialog, saya kena semacam berpuisi tetapi tidak terlalu nampak membaca puisi.

Adakah teater ini adalah titik tolak kepada kemunculan Que dalam bidang lakonan secara meluas?

Tidak. Saya mahu buat apa yang saya mahu buat. Buat sesuatu tanpa tekanan. Ramai sebenarnya rakan-rakan yang pujuk saya kembali berlakon. Saya mahu buat kerana kepuasan. Lakonan dan seni sudah jatuh sebagai hobi.

Ada kemungkinan untuk muncul lagi dengan teater?

Saya sebenarnya mahu muncul dengan teater yang mengangkat isu kemasyarakatan. Mungkin selepas hari raya nanti, mahu muncul dengan teater dengan skala yang besar. Saya mahu mengangkat isu gelandangan yang berlaku di negara kita.

Kenapa memilih isu gelandangan dan apa pandangan Que tentang masyarakat kita kini?

Saya melihat masyarakat kita semakin mementingkan diri sendiri. Saya membesar di kampung dan kemudian merantau ke Kuala Lumpur. Apabila berkahwin dengan Linda, saya melihat kehidupan dalam skop yang lebih luas. Pandangan saya terhadap manusia juga lebih besar. Saya jadi lebih sedar diri.

Mohram iringi Sami Yusuf

Posted:

Mohram iringi Sami Yusuf

Mohram iringi Sami Yusuf


GRUP Mohram bakal mengiringi konsert Sami Yusuf yang akan berlangsung 14 Julai ini di Stadium Melawati, Shah Alam.


ADA banyak pesona menarik untuk menceritakan perjalanan muzik Mohram. Muzik tanpa vokal yang dibawa Muhardiman Ismail (Mohar) dan Abdul Ramli Abdul (Ramli) itu sudah cukup lunak menghiburkan peminat sejak lebih sedekad lamanya.

Mohram yang dihidupkan dengan alunan seruling Mohar dan paluan rebana Ramli berjaya membawa kumpulan itu ke serata dunia khususnya Asia Barat. Atas faktor fusion etnik itulah, Mohram yang menghasilkan tiga buah album termasuklah Sakti (2001), Antarssukha (2004) dan terbaharu, Alam menjadi nama paling tepat untuk disatukan bersama penyanyi antarabangsa Sami dalam Konsert Salaam Sami Yusuf pada Julai nanti.

Bercerita tentang hubungan baiknya dengan Sami, sayap kanan Mohram itu melihat Sami sebagai artis serba boleh. Bukan sekadar menyanyi, Sami Yusuf juga seorang pemuzik, komposer bahkan pengkaji budaya.

"Ramai yang beranggapan Sami Yusuf mungkin ada persamaan dengan Maher Zain tetapi sebenarnya muzik mereka berbeza. Dari segi pengalaman, dia juga lebih mendalami seni budaya setempat dan lebih matang di pentas," jelas Ramli yang mengenali Sami sejak penyanyi itu muncul dengan album pertama, Al-Mualim pada 2003.

Pernah dijemput sebagai pemuzik undangan oleh Sami semasa konsert di Kuwait (2005), Dubai (2006) dan kali terakhir di Arena Wembley, London (2007), terbaharu Ramli juga berkolaborasi untuk penghasilan sebuah lagu duet Come To Me yang turut menampilkan duet Sami bersama Datuk Siti Nurhaliza.

"Sebab itulah saya katakan Sami sebagai pengkaji seni budaya. Sebelum masuk ke sesebuah negara untuk promosi atau konsert, dia terlebih dahulu akan mengenali muzik dan bunyi-bunyian tradisional sesebuah negara berkenaan.

"Dia juga cepat dan boleh bermain banyak alat muzik. Maher Zain memang mencetuskan fenomena muzik kerohanian tetapi Sami lebih besar pengaruhnya dari segi penghasilan muzik berkualiti. Konsert di Istanbul, Turki pernah dibanjiri lebih 250,000 penonton. Bayangkan di situ, bukan semua peminatnya terdiri daripada orang Islam," kata Ramli yang belum memutuskan lagu dan repertoir persembahannya bersama Sami nanti.

Sebelum memenuhkan ruang di Stadium Melawati, Shah Alam pada 14 Julai, Sami, Mohram serta Siti Nurhaliza yang turut dijemput sebagai penyanyi undangan Konsert Salaam Sami Yusuf akan menjayakan konsert di Singapura. Bakal diadakan di Stadium Tertutup Singapura, konsert Sami di Kota Singa itu akan berlangsung pada 8 Julai nanti.

Wakil agensi pengiklanan dan promosi konsert berkenaan, Shuhainie Shamsudin daripada Shu Ellis Communications menjelaskan, penganjur menaruh keyakinan bahawa Sami mempunyai pengikut di Malaysia.

"Di luar negara, nama Sami Yusuf cukup gah bahkan dalam satu temu bual bersama majalah Time, dia digelar Islam's Biggest Rock Star. Album keduanya, My Ummah pula terjual hingga empat juta unit di seluruh dunia.

"Dia juga dilantik sebagai sebagai duta selebriti dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan telah merakamkan lagu Forgotten Promises khas untuk disalurkan untuk kempen membantu mangsa kemarau, awal tahun 2012," jelas Shuhainie yang melihat jualan tiket Sami di Malaysia menunjukkan progresif menggalakkan.

Untuk lokasi di Stadium Melawati, tiket menyaksikan konsert berkenaan dijual serendah RM55 sehingga RM295 dan boleh dibeli dengan melayari www.airasiaredtix.com.

Maklumat lanjut, hubungi talian 03-87754666.