Harian Metro: Rap |
Posted: 21 Jun 2012 08:35 AM PDT PELBAGAI cara sambutan ulang tahun kelahiran boleh diraikan. Jika ada anak muda memilih untuk berseronok dengan menganjurkan majlis 'party', pelakon Siti Fazurina Mohd Famir atau mesra disapa Nina, pula sanggup melakukan penghijrahan cukup besar dalam hidupnya. Tanggal 9 Jun yang lalu, genaplah usianya 30 tahun. Itulah detik pertama dia mengenakan tudung dan mohon kekuatan hati agar tidak berpaling semula kepada imej lamanya yang boleh diandaikan seksi suatu ketika itu. Keputusan itu datangnya daripada sebuah keikhlasan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak atau didatangkan dalam bentuk mimpi ngeri yang menginsafkan. "Genap seminggu saya bertudung hari ini (hari sesi fotografi) dan keputusan ini diambil bersempena ulang tahun kelahiran yang 30 tahun pada 9 Jun lalu. Ia lahir dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas. Sesetengah orang didatangkan seru ketika sedang menderita sakit atau tatkala gangguan mimpi yang dahsyat.
"Justeru semasa menyambut hari jadi ke-30 pada 9 Jun yang lalu, kebetulan saya juga sudah selesai penggambaran Trilogi 2. Bagaimanapun berbaki satu adegan lagi iaitu babak konti di mana Norseha sudah bertaubat dan pengarah memang mahukan saya tampil bertudung. "Begitu cantik aturan Yang Maha Esa dan rahmat yang diberi oleh-Nya pada saat perubahan yang mahu saya lakukan. Selepas ini, saya hanya menerima tawaran yang membenarkan saya bertudung saja dan mohon ditetapkan hati agar tidak membuka aurat lagi," katanya yang semakin manis. Ditemui di Majlis 'wrap party' Trilogi Cinta 2 terbitan Suhan Movies berlangsung di KDH Villa , Batu 19, Kampung Gombak, Kuang, baru-baru ini, Nina juga menyifatkan perubahan itu sebagai kesyukuran diatas nikmat pemberian Ilahi. "Saya rasa bertuah kerana setiap apa yang saya hajatkan pasti dimakbulkan. "Jadi, saya terfikir kenapa saya tidak memilih jalan yang diredhai dan membuat perubahan yang baik untuk-Nya. Lagipun, saya bukannya muda lagi sudah masuk 30 tahun pun," ujarnya lagi. Ditanya adakah dia tidak bimbang kehilangan banyak tawaran sebaik mengambil keputusan bertudung memandangkan situasi itu cerita biasa sering kali dialami artis wanita yang mengambil keputusan sama, dia akui itu tidak mengapa walaupun pernah kehilangan tiga peluang. Lebih mengejutkan, ada pihak yang memujuknya untuk membuka tudung kerana mahukan juga dirinya membintangi drama mereka. Andai dia enggan, tawaran itu akan diberikan kepada artis lain. "Memang benar bertudung ini banyak dugaannya lebih-lebih lagi buat mereka yang bergelumang dalam bidang seni. Ia memerlukan kesabaran kerana akan datang banyak dugaan. "Saya akui saya pernah kehilangan tiga tawaran. Sebuah stesen TV membatalkan tawaran buat saya apabila mendapat tahu saya sudah bertudung. "Satu lagi tawaran drama datang negara jiran. Sebaik saja mendengar saya bertudung mereka terus tidak jadi ambil saya berlakon. Manakala sebuah lagi syarikat produksi meminta saya membuka tudung untuk berlakon dan apabila saya cakap tidak, individu berkenaan bandingkan pula saya dengan seorang pelakon popular. "Katanya, pelakon cantik itu pun bertudung tapi tiada masalah untuk membuka tudung. Bukan itu saja, saya turut cakap pada individu itu bahawa lakonan ini periuk nasi saya, jadi takkanlah sampai begitu sekali dia mahu menutup periuk nasi saya hanya kerana saya bertudung," katanya dengan penuh kesal. Sementara itu, Nina akan muncul dengan filem komedi Baik Giler yang turut dibintangi Farawahida dan Zizan Raja Lawak pada 28 Jun ini. Filem itu sudah lama dibikin dan baru sekarang mendapat lampu hijau untuk ditayangkan di pawagam. Menghala perbualan kepada kisah peribadi, bintang Dunia Anita ini yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober 2010, mengakui hajat itu tidak kesampaian. Ketika itu Nina dibelenggu perasaan sedih yang amat sangat kerana keputusan itu dibuat secara tiba-tiba tanpa alasan oleh bekas tunangnya itu sejurus dua bulan menjelangnya majlis perkahwinan mereka. "Pada awal perpisahan, kami ia memang memberi kesan yang sangat mendalam. "Namun ada satu insiden pula terjadi baru-baru ini membabitkan bekas tunang saya itu. Dia, Zulkifly Amin Salleh, didapati hilang sejak 18 Mac lalu dan kesnya turut mendapat laporan pihak media. Dia seorang kontraktor yang gigih. "Lebih menyayat hati, dua minggu selepas itu ibu bekas tunang saya itu pula meninggal dunia kerana terlalu merindui anaknya yang hilang. Saya difahamkan, Zulkifly awalnya mahu ke Butterworth pada hari kehilangannya. Selepas polis melancarkan misi pencarian, akhirnya kenderaan Zulkifly ditemui di Ipoh, Perak. "Hasil siasatan polis juga mendapati transaksi bank Zulkifly masih berjalan. |
Posted: 21 Jun 2012 08:11 AM PDT BERADA di pasaran sejak September lalu, tanpa sebarang promosi dilakukan album yang mengabadikan nama sang pelantun, Anuar Zain, terjual sebanyak 11,000 unit. Jumlah yang cukup membanggakan jika mengambil kira kelembapan pasaran album ketika ini. Bayangkan, untuk sebuah album tempatan terjual 1,000 unit pun satu perkara yang mustahil. Kemampuan album keempat Anuar Zain menjadi antara produk yang laris di pasaran membuktikan bahawa karya-karya disampaikan pelantun Lelaki Ini, itu masih relevan buat pendengar. Justeru, bersarang keraguan di hati pemilik anugerah Vokal Lelaki Terbaik AIM 2011 itu apabila lagu-lagu yang terkandung di dalam album terbarunya bagaikan dipandang sepi oleh radio tempatan.
"Bukan itu saja, ada stesen radio memaklumkan bahawa lagu-lagu saya tidak mesra pendengar. Saya kurang jelas dengan apa yang mereka maksudkan kerana jika mengambil kira jualan album ini yang dijual tanpa sebarang promosi serta mengambil kira pasaran sekarang, ia boleh dikatakan baik. "Saya juga tidak jelas apa yang dimaksudkan dengan mesra pendengar? Adakah, ini membayangkan bahawa genre mahupun konsep saya perlu diubah mengikut apa yang dibawakan artis lain. "Jarang sekali saya mahu memberikan sebarang komentar dan lebih suka duduk sebagai pemerhati. Namun, kali ini saya perlu bersuara kerana kerja pembikinan album bukan membabitkan periuk nasi penyanyi saja tetapi seluruh tenaga kreatif yang menjayakannya. "Jadi maafkan saya jika sedikit lantang berbicara kali ini. Saya bercakap bukan kerana hal saya seorang yang mengalami masalah tetapi ia juga membelenggu rakan seperjuangan lain. "Mereka sanggup berhabis wang untuk menghasilkan karya yang baik dengan mengutamakan kualiti akan tetapi hasil kerja mereka tidak dapat diperdengarkan pada umum apabila ada sekatan seumpama ini di mana stesen radio langsung tidak mahu memandang usaha mereka" katanya. Apakah dia tidak bimbang dengan kenyataannya itu yang mungkin menyebabkan kemungkinan digam segelintir pihak stesen radio, yang terpukul dengan kenyataannya, Anuar nyata reda jika ia berlaku. "Seperti saya katakan sebelum ini saya hanya menjadi pemerhati tapi sudah tiba masanya saya bersuara kerana masalah ini semakin menjadi-jadi. Bukan mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi sebagai satu teguran buat mereka," katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran album terbarunya di Bistro 42, Bangsar Village 2, kelmarin. Bercerita mengenai pembikinan album solo keempatnya itu, ia mengambil masa dua tahun untuk disempurnakan kerana Anuar sangat berhati-hati dalam pemilihan lagu demi memastikan yang terbaik buat peminatnya. "Saya memberikan sepenuh jiwa dan hati saya untuk menghasilkan album ini. Semua perkara difikirkan sendiri kerana mahukan yang terbaik. Saya mahu alunan muzik yang dicipta dapat dikongsi, disayangi dan dekat di hati peminat sebagaimana ia bermakna di hati saya. "Saya mahu lagu-lagu yang terkandung di dalam album ini dapat memberikan ketenangan kepada emosi pendengar," katanya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |