Adsense

Jumaat, 22 Jun 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Rack bukti kesungguhan Kilafairy

Posted:

Rack bukti kesungguhan Kilafairy

SUKAR pada mulanya untuk mencari lokasi terletaknya butik pakaian Rack milik si bibir mungil pemilik nama Syakila Nisha Jangir Khan, 21, atau lebih dikenali Kilafairy ini.

Namun, ketika melangkahkan kaki ke ruang legar pusat beli-belah The 19 USJ City Mall di USJ 19, Subang Jaya, baru-baru ini butik yang berada di aras dua itu sebenarnya sudah dikenali para peniaga lain di situ.

Bagai tidak menjangka kemampuan butik pakaian yang sedikit tersorok daripada pandangan pelanggan, ia sebenarnya sudah pun memulakan operasi beberapa bulan lalu dan mempunyai pelanggan sendiri.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan terdiri daripada golongan remaja yang gemarkan fesyen terkini dan bergaya," ujarnya yang ditemui ketika pelancaran butik Rack baru-baru ini.

Butik yang diusahakan bersama kakaknya, Shakira Idora Jangir Khan, 22, itu membuktikan kesungguhan Kilafairy selaku pemegang Diploma Pemasaran Fesyen & Pengurusan dari Kolej Antarabangsa Raffles.

"Sesuai dengan bidang pengajian saya sebelum ini, butik Rack merupakan pelaburan saya untuk masa akan datang. Kalau hanya bergantung pada lakonan atau nyanyian sahaja tidak akan menjamin masa depan saya.

"Idea untuk membuka bisnes ini sudah lama sebenarnya. Sejak pusat beli-belah ini menjual barangan digital dan apabila bertukar pengurusan kami mula mengorak langkah lebih proaktif," katanya yang terlebih dahulu membeli stok awal untuk disimpan di rumah ketika premis perniagaannya dinaik taraf.

Rack


KILAFAIRY membuka butik Rack atas dasar minatnya yang mendalam terhadap fesyen.


Nama Rack dicetuskan sendiri oleh Kilafairy dan Shakira memandangkan kedua-dua beradik itu gemar berfantasi dan berimaginasi.

"Butik ini hasil gabungan idea kami yang gila fantasi dan perkataan rack merujuk kepada tanduk rusa yang mempunyai banyak cabang.

"Setiap cabang mewakili iltizam, kecenderungan dan minat kami sama ada dalam bidang fesyen mahupun seni.

"Tambahan, rusa melambangkan ikon fantasi yang sangat universal tapi dalam masa yang sama nampak kuat," ceritanya yang menyifatkan haiwan itu sememangnya popular sama ada dalam kalangan lelaki mahupun perempuan.

Tidak susah untuk membuka butik pakaian itu kerana kata Kilafairy premis perniagaannya itu sudah menjadi milik mereka sejak tiga tahun lalu.

Selain pakaian wanita, Rack turut menyediakan produk-produk lain seperti aksesori wanita, beg tangan dan kasut tumit tinggi.

Malah, butik itu juga menjual pakaian rekaan adik-beradik itu seperti dres koktel dan pakaian sedia pakai untuk kategori Yuppies iaitu golongan remaja dan Bums untuk golongan dewasa.

Menurut Kilafairy, kebanyakan stok butik pakaiannya diperoleh daripada pembekal dari luar negara seperti London dan Australia.

Harga yang ditawarkan pula berpatutan dan tidak melebihi RM500. Rack hanya mengeluarkan sepasang baju bagi setiap rekaan supaya nilai eksklusif butik itu berkekalan.

PELAKON Wan Sharmila tidak ketinggalan meraikan perasmian butik Rack milik Kilafairy ini.


"Baju-baju yang dijual di sini mencerminkan personaliti si pemakai dan ada antara dres yang dijual sesuai dipakai untuk pelbagai acara," jelasnya.

Reka kasut

Menarik mengenai butik itu, ada antara kasut tumit tinggi direka sendiri oleh Kilafairy. Katanya niat itu timbul kerana kesukarannya mencari sepatu berketinggian lima inci (12.7 sentimeter) di sekitar Kuala Lumpur.

"Saya penggemar kasut tumit tinggi dan selalunya mencari kasut yang tingginya lebih daripada lima inci, tapi malangnya tidak banyak butik yang menjual kasut seperti yang saya inginkan.

"Maka, atas sebab itu saya mereka sendiri kasut tumit tinggi yang lebih daripada lima inci yang ringkas dan selesa," singkap Kilafairy.

Ditanya mengenai perancangan masa depan untuk butik Rack miliknya, ujar Kilafairy dia ingin membuka beberapa buah cawangan lagi pada masa akan datang.

"Selain itu, saya ingin meningkatkan pengeluaran di samping mempelbagaikan jenama seperti pakaian untuk lelaki," tambahnya.

Berry tanggung kos saraan anak

Posted:

Berry tanggung kos saraan anak


TINGGAL kenangan. Halle (kanan) bersama Gabriel yang sedang memangku Nahla.


AKTRES jelita, Halle Berry telah diarahkan mahkamah supaya membayar kos saraan hidup Nahla iaitu anak hasil hubungan dengan bekas kekasihnya, Gabriel Aubry sebanyak AS$20,000 (RM64,000) sebulan.

Menurut laporan TMZ, mahkamah yang bersidang pada 18 Jun lalu telah memutuskan arahan tersebut bagi kepentingan masa depan Nahla yang kini berusia empat tahun.

Aubry, 36, yang merupakan bekas model telah membuat tuntutan di mahkamah pada bulan lepas mengenai perkara tersebut. Dia dan Berry, 45, yang berpisah pada April 2010 belum memutuskan siapa yang mendapat hak penjagaan Nahla dan buat masa ini mereka berdua bergilir-gilir menjaga anak mereka itu.

Ujar sumber: "Gabriel sebenarnya tidak gembira mendengar tentang perancangan Halle yang mahu berhijrah ke Perancis untuk bersama tunangnya, (aktor) Olivier Martinez."

Berry sebelum ini membuat kenyataan dia mahu berhijrah ke Perancis untuk bersama Martinez bagi menjalani kehidupan normal di sana.

Diskaun tiket konsert Legendary di KL

Posted:

Diskaun tiket konsert Legendary di KL

JAMAL, Amy dan Zainal bakal menggegarkan Stadium Merdeka menerusi Konsert Legendary 2012 pada 30 Jun ini.


KONSERT Legendary 2012 yang menggabungkan empat legenda negara, Datuk Sheila Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan Zainal Abidin bakal menutup tirainya di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini selepas menjelajah ke Sabah, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Meskipun Konsert Legendary 2012 di Kuching, Sarawak terpaksa dibatalkan atas faktor kurang mendapat sambutan, perkara itu tidak mematahkan semangat penganjur Afro Inang Worldwide dan Research Venture Lab Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh penyanyi Zainal Abidin.

Pembatalan konsert itu merupakan satu pengalaman yang berguna buat Zainal, apabila konsert terakhir Legendary di Kuala Lumpur yang mendapat tajaan pihak DiGi dan Maybank menawarkan harga tiket yang amat menarik.

"Apa yang berlaku di Kuching, Sarawak memberi kesedaran kepada saya, tetapi dalam masa yang sama dengan kualiti yang kami berikan kepada penonton, pihak penganjur tidak boleh mengurangkan harga tiket terlalu banyak.

"Tanyalah mana-mana penonton yang datang ke konsert Legendary, semuanya berpuas hati dengan pencahayaan, kualiti bunyi serta persembahan penyanyi.

"Jadi, bagi konsert di Kuala Lumpur, terdapat diskaun sebanyak 15 peratus untuk tiket yang berharga RM600, manakala untuk tiket RM100, RM200 dan RM300, beli satu tiket percuma satu tiket," ujar Zainal yang ditemui pada majlis sidang akhbar konsert Legendary di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Justeru, timbul persoalan adakah reputasi penyanyi legenda terjejas apabila penganjur terpaksa menurunkan harga tiket untuk menarik penonton?

Kata Zainal, penurunan harga tiket tidak menjejaskan reputasinya kerana tujuan utamanya adalah untuk menghiburkan penonton dan mendidik peminat muzik kualiti sebuah konsert berbayar.

"Saya tidak rasa apa-apa, selepas kajian dibuat memang harga tiket RM600 sangat mahal, tetapi harus diingat, kualiti yang diberikan dalam konsert Legendary tidak sama dengan konsert percuma.

"Bagi saya, ini satu permulaan untuk kita mendidik peminat muzik tentang apa itu konsert berbayar. Sekarang industri konsert berbayar sudah mati sebanyak 90 peratus kerana terlalu banyak konsert percuma. Penyanyi yang ditampilkan juga bukan sebarangan penyanyi, semuanya berpengalaman dan cukup hebat di gelanggang sendiri," katanya lagi.

Konsert yang berjaya menarik sebanyak 2,000 penonton di Sabah, 5,000 penonton di Pulau Pinang dan 8,000 penonton di Johor Bahru itu bakal menampilkan seleksi lagu yang berbeza di setiap lokasi konsert termasuk di Kuala Lumpur.

"Setiap lokasi berbeza seleksi lagunya, seperti di Kuala Lumpur, pada mulanya kami merancang untuk melakukan konsert selama dua jam sahaja, kemudian ditambah menjadi dua jam setengah. Tak mustahil, mungkin boleh jadi tiga jam," jelasnya lagi.

Tidak berakhir dengan konsert Legendary di Kuala Lumpur, menurut Zainal selepas berehat selama dua bulan, konsert Legendary akan kembali lagi tetapi menampilkan penyanyi legenda yang berbeza.

"Selepas ini akan ada pusingan kedua konsert Legendary yang menampilkan penyanyi Ella, Datuk M.Nasir, Ramli Sarip dan Datuk David Arumugam daripada kumpulan Alleycats," kata Zainal.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Legendary di Kuala Lumpur, boleh dapatkan tiket di kaunter DiGi di Sunway Piramid, The Garden Mall, One Utama dan Wangsa Walk, Wangsa Maju.

Selain itu, untuk pelanggan Maybank2u.com, mereka boleh mendapatkan diskaun tiket sebanyak 30 peratus jika pembelian dibuat menerusi Maybank2u.com. selain 100 pelanggan pertama yang membeli dua tiket berharga RM300 atau RM600 akan mendapat dua tiket percuma yang bernilai RM300 setiap satu.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.maybank2u.com atau hubungi talian 010-2211 919 atau 010-2211 991. - HARYATI KARIM