Adsense

Jumaat, 22 Jun 2012

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Rahsia radio

Posted: 21 Jun 2012 05:22 PM PDT

Hip

Pilih lagu ikut selera pendengar, tak timbul soal pilih kasih

STESEN radio tempatan mengakui melaksanakan strategi tertentu bagi memancing pendengar. Tetapi stesen radio terbabit enggan mendedahkan kaedah diambil termasuk kaji selidik lagu popular atas alasan persaingan dan rahsia perniagaan.

Pengendali stesen radio mendakwa, strategi menarik pendengar yang dilaksanakan tidak hanya memberi keutamaan kepada himpunan lagu popular, sebaliknya mengambil kira semua faktor termasuk cita rasa pendengar. Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said, berkata walaupun konsep radio itu menjurus kepada pilihan dendangan lama tetapi lagu baru popular masih mendapat peluang untuk diperdengarkan.

Rostam berkata, tidak perlu sesebuah stesen radio mendedahkan kepada umum hasil pengumpulan maklumat mengenai lagu atau sasaran pendengar semata-mata mahu membuktikan sesuatu.

"Seperti di Sinar FM, kita tidak hanya bergantung kepada kajian yang dijalankan panel, sebaliknya turut mendapatkan maklumat daripada internet, kumpulan fokus dan penilaian daripada pihak dalaman yang kemudian diperhalusi.

"Kita tidak mengambil bulat-bulat hasil kajian. Saya pasti stesen radio lain juga ada strategi atau cara yang ingin disimpan, bukan untuk dikongsi dengan orang ramai. Malah kaedah penilaian seperti ini dilakukan secara berterusan tambahan pula selera pendengar sentiasa berubah.
"Dalam memberi sajian terbaik kepada pendengar, kita perlu profesional dan harus menetapkan sasaran. Justeru, tiada ruang untuk pilih kasih kerana amalan seumpama ini boleh menjejaskan organisasi," katanya kepada HIP di sini, semalam.

Semalam, HIP melaporkan, penyanyi vokal mantap, Anuar Zain, 42, mahu stesen radio tempatan mengemukakan bukti hasil kaji selidik lagu pilihan pendengar bagi mengelak timbul isu pilih kasih selain merungkai kemusykilan berhubung amalan itu.

Sementara itu, pihak pengurusan Rangkaian Radio Media Prima ketika dihubungi enggan memberi ulasan lanjut atas alasan isu sama sudah berulang kali disuarakan sedangkan hakikatnya, tidak timbul soal diskriminasi atau pilih kasih.

Pengurusan Rangkaian Radio Prima menegaskan, segala-galanya masih bergantung kepada kecenderungan pendengar.

Malah, sumber itu berkata, sehingga kini pihaknya memberi ruang kepada dendangan baru seperti segmen Hot FM Kita Punya.

"Isu lagu tidak disiar radio sudah lama diperkatakan pelbagai pihak. Bagi kami tiada komen lanjut untuk isu ini kerana sudah berulang kali kami terangkan dengan terperinci kaedah saringan lagu," katanya.

Sistem format pilih lagu

"KIRA-KIRA 15 tahun lalu, ketika menjadi juruhebah, saya berhak dan berpeluang memilih lagu kegemaran untuk diputarkan. Tetapi konsep itu sudah berubah dengan kewujudan radio era baru," kata Timbalan Presiden KRU Music, Khairul Che Ismail atau KC.

KC berkata, seingat dia, sejak akhir 1990-an, kuasa pemilihan lagu tidak lagi terletak di tangan juruhebah sebaliknya melalui sistem format radio.

"Dulu saya pilih saja lagu saya suka sebab ia tidak diformat. Tetapi sekarang situasi itu tidak ada lagi," katanya.

KC berkata, kaji selidik atau kajian lagu popular di setiap stesen radio wujud tetapi setiap organisasi menggunakan alternatif berbeza.

"Ada stesen radio melantik syarikat lain untuk membuat kajian lagu popular semasa. Ada juga membentuk organisasi sendiri bagi menjimatkan kos.

"Sebagai contoh, mereka menggunakan tenaga produksi stesen radio sendiri untuk menghubungi pendengar dan menjalankan kajian jenis lagu yang diminati.

Selalunya, 100 pendengar diambil sebagai responden dalam kajian ini," katanya yang pernah bekerja di stesen Suria FM.

Cuba menjelaskan situasi dan pengalaman diri, KC berkata, hasil kaji selidik lagu popular yang dikumpul dimasukkan dalam format radio seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Zaman saya dulu, tidak ada sistem format ini. Jika juruhebah tidak pilih, pihak pengurusan yang akan memberi lagu yang mahu diperdengarkan.

"Setiap hari, ada saja lagu yang saya putarkan untuk peminat mengikut cita rasa saya. Namun, ketika itu, tidak timbul isu pilih kasih pula. Semuanya berjalan lancar dan seimbang kerana kita tahu apa yang pendengar mahukan," katanya.

Tidak menafikan operasi stesen radio lebih berorientasikan perniagaan, KC berkata tidak hairanlah hasil kaji selidik dianggap sulit untuk didedahkan.

"Radio kini melalui fasa perniagaan dan bersaing dalam memberikan mutu penyampaian terbaik. Jadi, hasil kaji selidik itu memang wujud tetapi perlu dirahsiakan kerana ia adalah persaingan.

"Contohnya, stesen Sinar FM, tentunya memutarkan lagu yang lebih sesuai kepada sasaran pendengarnya dan Hot FM pula, sudah pasti sasaran pendengarnya adalah remaja.

"Jadi bagi saya, setiap stesen radio, mesti sudah tahu memilih lagu mengikut kesesuaian dan permintaan pendengar," katanya.

KC berkata, sudah tiba masanya artis tidak terlalu bergantung kepada stesen radio untuk memutarkan lagi mereka.

"Artis perlu ikut rentak stesen radio dan prihatin terhadap perkembangan serta jenis lagu yang menjadi pilihan stesen radio. Ini kerana itulah yang dimahukan peminat sebenarnya.

"Bagi saya, tiada isu stesen radio pilih kasih jika artis sendiri tidak melawan arus dan mengikut apa yang dimahukan peminat. Jangan bergantung pada stesen radio dan pelbagaikan promosi. Sekarang banyak cara boleh dilakukan untuk tujuan promosi. Artis boleh gunakan media baru seperti facebook mahupun Twitter mereka," katanya.


Guna media baru

Posted: 21 Jun 2012 05:13 PM PDT

Hip

MANFAATKAN media baru. Itulah gesaan Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim kepada artis yang berdepan dengan masalah lagu mereka tidak diputarkan di stesen radio.

Norman berkata, penyanyi sekarang tidak boleh terlalu bergantung kepada stesen radio untuk mempromosikan lagu mereka. Ini kerana katanya, persaingan semakin sengit terutama dari segi bilangan lagu berikutan terlalu banyak kemudahan membolehkan industri melahirkan ramai penyanyi.

"Penggunaan laman sosial seperti YouTube juga adalah satu alternatif untuk penyanyi mempromosikan lagu mereka Jika mereka ada modal lebih, boleh hasilkan klip video yang berkualiti dan tayang di situ. Jika tidak, mereka masih boleh membuat klip video yang ringkas iaitu meletakkan gambar serta lirik lagu.

"Kebanyakan pendengar dan pembeli album adalah mereka yang celik teknologi maklumat (IT).

Melalui cara itu, penyanyi boleh memperdengarkan lagu mereka sekali gus mempromosikan album mereka dengan cara yang lebih meluas," kata Norman.

Selain menggunakan media baru, Norman juga menyarankan penyanyi membenarkan karya mereka dijadikan lagu tema untuk sesebuah drama bersiri.
"Sekarang bagaikan satu trend di kalangan stesen televisyen yang memperkenalkan lagu tema untuk drama bersiri terbitan mereka.

"Jika mana-mana artis mempunyai hubungan baik dengan stesen TV, gunalah peluang itu untuk mempromosikan lagu mereka. Orang akan mudah ingat," katanya yang mengalami masalah sama membabitkan artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Records.

Komposer dan pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS meminta artis yang berdepan masalah lagu tidak diputarkan stesen radio melihat perkara itu dari sudut yang berbeza kerana ia kebanyakannya membabitkan radio swasta.

"Sebagai radio swasta yang berbeza dengan radio kerajaan dari segi menjana pendapatan, survival mereka banyak dibantu oleh faktor perniagaan. Dalam menjalankan urus niaga itu ada ketika mereka terpaksa melanggar beberapa perkara yang mungkin tidak dilakukan stesen kerajaan. Ini termasuklah memastikan hanya lagu yang diminati ramai saja yang diputarkan.

"Sama ada suka atau tidak, faktor rating perlu diambil kira kerana dari situ mereka boleh menjalankan perniagaan sekali gus mendapatkan dana untuk mentadbir stesen terbabit," katanya.

Tanpa mahu menyebelahi mana-mana pihak, Ramli berkata, perkara ini boleh diselesaikan dengan cara yang lebih rasional.

"Jika sesebuah lagu itu enak didengar, orang tetap akan suka dan membuat permintaan di radio," katanya.

Penyanyi senior, Zainal Abidin berkata, dia yakin tidak ada unsur pilih kasih di stesen radio sebaliknya lagu jarang diputarkan berpunca kurang permintaan dari pendengar atau menunjukkan populariti artis terbabit merosot.

"Anuar seharusnya menggunakan saluran tepat dan bukan media (untuk menyatakan pandangannya).

Nasihat saya, jangan gunakan pihakketiga.Sepatutnya,Anuarterus kepada stesen radio sendiri dengan menghantar surat permohonan untuk melihat bukti yang diminta itu atau melalui penerangan daripada stesen radio.

"Jika tidak endah, barulah gunakan media. Saya setuju jika sesebuah lagu itu tidak popular sekalipun jika dimainkan kerap, ia pasti popular juga. Lagu popular datangnya daripada permintaan peminat dan jika tidak ada permintaan, siapa yang mahu putarkan." katanya.

Mengakui dia sendiri pernah melalui zaman kejatuhan sehingga lagunya tidak diputarkan di konti radio, Zainal berkata, ia adalah perkara biasa bagi artis dan kehendak peminat perlulah dipenuhi.