MELANGKAH masuk ke butik elegan House of Doll (HOD) yang terletak di Jalan Telawi 3, Bangsar dan melihat ratusan pakaian digantung rapi memenuhi rak, ia terus mengingatkan penulis kepada gaya peragaan yang sinonim dengan pemiliknya, Nur Fazura Sharifuddin atau Faz.
Memang tidak menghairankan kerana HOD sememangnya jenama keluaran pelakon jelita itu yang sudah bersedia menawan penggemar fesyen tempatan selepas lapan tahun berjaya menjadi pelakon dan pengacara.
Apabila berbicara mengenai wanita ini, berputar soal tiga perkara yang cukup sinonim dengannya iaitu kecantikan, bakat lakonan serta gaya fesyen. Justeru, pemilihan untuk mengusahakan butik sendiri adalah satu keputusan yang sangat tepat.
"Daripada sekecil-kecil cincin hinggalah pakaian berkonsepkan 'haute couture' atau adi busana, semuanya diilhamkan daripada cita rasa dan rekaan Faz sendiri.
Bukan itu saja, HOD juga menyediakan pakaian untuk siang hari dan malam termasuk gaun ke majlis atau keramaian.
"Faz turut bergabung idea dengan pereka fesyen terkenal, Rizman-Ruzaini untuk koleksi eksklusif. Kenapa Faz pilih Rizman-Ruzaini? Ia kerana kami sudah bersahabat sekian lama. Malah mereka berdua memahami cita rasa selain tahu apa yang Faz mahukan.
"Misalnya, setiap kali Faz perlukan baju, Faz cuma hubungi mereka dan setiap kali mereka serahkan kepada Faz, Faz terus suka. Setakat ini mereka belum pernah menghampakan selera Faz.
"Bagi Faz, Rizman-Ruzaini dua gandingan yang sangat hebat. Mereka bukan saja pereka muda yang penuh daya kreatif tapi juga dihormati ramai kerana berjaya menghasilkan koleksi menarik dan unik," ujarnya.
Berasal dari Pekan, Pahang, wanita yang diperkenalkan menerusi filem Bicara Hati pada 2004 ini berkata, idea merealisasikan premis perniagaan itu tercetus apabila sering dihujani pertanyaan ramai peminat yang ingin tahu dari mana dia membeli pakaiannya.
"Sebagai artis, Faz faham bukan hanya hasil kerja kita saja yang menjadi perhatian, malah penampilan diri turut jadi tumpuan umum. Alhamdulillah, Faz amat bersyukur kerana setakat ini ramai peminat menyenangi penampilan Faz.
"Ada yang bertanya dari mana Faz beli pakaian dan mereka juga berminat untuk berpakaian macam Faz. Selalu Faz ditanya soalan seperti itu membuatkan Faz terpanggil untuk jual label sendiri supaya Faz boleh berkongsi koleksi pakaian kegemaran Faz dengan peminat.
"Biasanya penampilan Faz untuk majlis penganugerahan dan keramaian dengan bantuan khidmat pereka fesyen antaranya daripada Rizman-Ruzaini. Namun pakaian untuk ke acara anugerah biasanya berharga ribuan ringgit dan mungkin ia membebankan peminat Faz untuk membelinya.
"Justeru, dengan adanya House of Doll, Faz boleh berkongsi fesyen kegemaran Faz dengan peminat dengan harga yang lebih berpatutan. Ada banyak pilihan dan harga yang dijual mampu dibeli semua orang," katanya.
Dua tahun merancang secara berperingkat, Ahad lalu, perasmian HOD berjaya dilaksanakan dalam suasana ringkas tetapi meriah. Selain jenama HOD, baju yang terdapat dalam butik itu direka khas sendiri sebelum dihantar ke China untuk tujuan pembuatan. Selain itu, ada sebahagian kecil pakaian dibeli Faz ketika bercuti di luar negara.
Disebabkan jenama HOD menggunakan khidmat pengilang, maka kosnya juga lebih tinggi. Bagaimanapun, Faz enggan mendedahkan jumlah sebenar wang yang sudah dilaburkannya yang dirasakan mencecah ratusan ribu ringgit.
Malah menilai kos yang terlalu tinggi itu juga menyebabkan Faz hampir-hampir melupakan hasratnya untuk membuka HOD.
"Kos butik ini hanya dibiayai Faz seorang saja. Sebab itulah Faz ambil masa sampai dua tahun untuk memulakan perniagaan ini.
Salah satu sebabnya bukan saja kerana mengumpul wang tapi juga masalah lokasi.
Mujurlah Faz berjaya dapatkan lot di sini.
"Faz pilih menjalankan perniagaan di Bangsar kerana di sini ada banyak butik fesyen dan bagi yang sukakan fesyen, Bangsar adalah lokasi terbaik untuk mereka dapatkan pelbagai rekaan baru lagi eksklusif dengan pelbagai pilihan.
"Apapun Faz ingin tegaskan di sini bahawa Faz tidak pernah ditaja untuk mengusahakan butik ini. Untuk membuka butik ini, Faz memang berhabisan dengan menggunakan wang hasil titik peluh berlakon, mengacara dan menjadi duta produk.
"Bagi Faz semua orang boleh mengusahakan perniagaan ini kerana ia tidaklah sampai menelan belanja jutaan ringgit," jelasnya.
Selain jenama HOD, ada juga beberapa jenama dari luar negara yang dibeli Faz secara pukal sewaktu mengunjungi Eropah tidak lama dulu.
Berhubung jenama HOD, Faz berkata, ia sinonim dengan wanita yang ingin kelihatan comel dan cantik seperti anak patung.
"Perniagaan ini adalah keutamaan Faz sekarang sementara lakonan jatuh nombor dua. Disebabkan itulah, Faz berusaha untuk merealisasikan impian ini dan berharap ia dapat dikembangkan sebagai label yang popular," katanya.
Menyorot dunia lakonannya yang kurang berkembang kebelakangan ini, Fazura akui dia sendiri yang mengambil keputusan untuk mengehadkan pembabitan dalam bidang lakonan.
"Faz masih berlakon cuma tidak mengambil sebarangan watak. Sepatutnya Faz menjayakan drama Kau Terindah arahan Erma Fatima tetapi terpaksa menolaknya kerana ada beberapa babak yang melanggar prinsip Faz.
"Tidak lama selepas itu, Kak Erma sekali lagi menawarkan Faz berlakon dalam drama Syahadat Cinta untuk TV AlHijrah namun Faz belum membuat keputusan kerana bimbang bertelagah dengan jadual penggambaran filem yang sudah diterima awal.
"Faz rasa teruja sebenarnya kerana tahun ini banyak watak yang ditawarkan kepada Faz sangat menarik tetapi ada yang menghalang pembabitan Faz apabila watak yang diberikan itu memerlukan Faz menjadi mangsa rogol, pelacur dan beralso atas katil.
"Sebenarnya sejak tahun lalu Faz sudah tetapkan syarat ini kerana Faz mahu menjaga hati Mama Faz yang sebenarnya tidak suka Faz berlakon. Namun mama masih menghormati keputusan Faz kerana faham Faz sangat meminati bidang ini.
"Justeru, Faz merasakan apa salahnya Faz memilih watak yang tidak menyinggung hati Mama yang juga penonton. Tambahan pula, tahun depan Faz dah nak masuk 30 tahun dan Faz mula rasa segan dan kurang selesa melakukan aksi keterlaluan," jelasnya.