Hip
KETIKA dirinya lebih selesa duduk di rumah jika tidak terbabit dengan sebarang penggambaran, aktres remaja, Diana Danielle, terus menjadi mangsa cerita sensasi yang sedikit sebanyak mencalarkan reputasinya.
Selepas didakwa lari dari rumah gara-gara cinta yang tidak direstui keluarga, terbaru pelakon berdarah kacukan Inggeris ini dikatakan diboikot jurusolek.
Desas-desus itu timbul apabila ada pihak mendakwa, sukar untuk mereka mendapatkan khidmat jurusolek bagi mendandan buah hati pelakon Farid Kamil ini. Beberapa kali juga jika nama Diana yang disebut sebagai artis yang perlu disolek, jurumekap yang ditanya akan mengelak dengan memberikan pelbagai alasan. Jika seorang dua yang menolak, mungkin mereka benarbenar tidak dapat memberikan kerjasama kerana terikat dengan komitmen lain. Namun jika ramai yang memberikan alasan serupa, terasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Apakah Diana pernah berbuat sesuatu sehingga menyebabkan jurusolek terasa hati?
Bertemu Diana sewaktu menghadiri tayangan perdana filem Jiwa Taiko lakonannya, di e@ Curve, Mutiara Damansara, malam kelmarin, soalan panas itu antara yang diajukan kepadanya.
Sambil mengakui pernah berlaku insiden yang mungkin menjadi pencetus kepada kontroversi berkenaan, namun tegasnya, semua itu dilakukannya dengan alasan kukuh, bukan sengaja mahu menyakitkan hati sesiapa.
"Saya akui memang pernah berlaku kejadian saya memadam solekan. Tapi saya buat begitu bukannya dengan sengaja. Sebaliknya kerana kulit saya sangat sensitif dengan satu jenama alat solek yang mereka guna.
Setiap kali jenama itu digunakan, kulit muka saya akan rosak.
"Mungkin jurusolek menganggap perbuatan saya itu seperti tidak menghormati tugas mereka.
Bagaimana saya mahu berkompromi jika ia merosakkan kulit wajah? Tapi, sebelum saya bertindak sedemikian, saya ada terangkan pada mereka secara baik dan meminta maaf jika perbuatan saya mengguris perasaan mereka," terang Diana sambil mempertahankan tindakannya.
Ditanya apakah benar garagara perbuatan itu dia kini menjadi mangsa boikot jurusolek, Diana berkata, dia enggan terlalu memikirkan soal itu kerana ia berada di luar bidang kuasanya.
"Jika benar ada jurusolek yang mahu memboikot saya, saya tak boleh nak kata apa-apa.
Tapi setakat ini, saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa," tegasnya.