Adsense

Selasa, 22 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Perjalanan masih jauh

Posted: 21 May 2012 04:41 AM PDT

KALI pertama bertemu dengannya tiga tahun lalu dalam sesi fotografi di Kluang, Johor tatkala kemunculan awalnya menerusi filem Al-Hijab, Nur Fathia Abd Latiff masih tiada profil kerjaya seni namun pesona yang ada sudah jelas terpancar.

Benarlah andaian ketika itu, bersandar wajah kacukan jelita dan lakonan yang boleh diberikan pujian, Fathia kini sudah berada di gelanggang anak seni yang dikenali ramai.

Bagaimanapun berdiri di tengah sesak industri hiburan yang penuh cerita, wajah secantik Fathia sudah pasti tidak terlepas daripada cengkaman kontroversi dan episod cinta.

Meskipun berkali-kali menegaskan dirinya masih sendirian, gadis berusia 24 tahun ini dikaitkan dengan seorang tokoh korporat yang dikatakan kekasihnya. Lelaki yang juga seorang berpangkat tinggi dan memandu kereta mewah itu pernah singgah melawatnya di lokasi penggambaran. Lebih menariknya, lelaki itu adalah bekas kekasih seorang lagi pelakon dan pengacara popular.


Tatkala persoalan itu dilemparkan kepadanya, anak sulung empat beradik ini lekas menepis dengan senyuman dan bicara rancaknya.


"Mana ada kekasih? Lelaki itu hanya kawan dan kebetulan dia memang bekas kekasih seorang lagi pelakon. Tapi saya sudah mengenalinya lebih awal lagi, cuma hubungan kami memang sekadar kawan. Saya tidak mahu berbohong dan apa yang saya katakan adalah benar, hubungan kami tidak pernah lebih daripada seorang kawan.

"Soal datang ke lokasi penggambaran itu bukanlah sesuatu yang rahsia pun. Memang dia datang menghantarkan makanan kerana kebetulan lokasi tempat kami berlakon itu berhampiran kediamannya. Tapi itu bukanlah kayu ukur yang terus mengatakan kami bercinta kerana dia hanya datang untuk bertemu dan bertanyakan khabar saja.

"Namun tidak dinafikan, memang saya akrab dengannya lebih-lebih lagi apabila hubungannya dengan pelakon itu sudah berakhir. Tapi tidak pula saya fikirkan ke arah lebih serius memandangkan kesibukan jadual kerja dan tanggungjawab sebagai pelajar yang harus diselesaikan terlebih dulu. Esok lusa saya tidak berani komen sebab ketentuan dan jodoh bukannya di tangan kita," selorohnya.

Terlanjur bercerita mengenai cinta dan kekasih, terlintas juga persoalan mengenai jiwanya ketika ini. Tidakkah terdetik untuknya bercinta dan mempunyai seorang teman lelaki yang setia berkongsi bahagia dan duka?

"Siapa pula tidak mahu untuk menikmati kebahagiaan. Memang ada kalanya saya berasa sunyi kerana tidak mempunyai seorang teman yang boleh bersama dan mendengar apa saja cerita dan keluhan. Maklumlah, setakat kawan baik tidak sepenuhnya mampu meluangkan masa untuk saya. Apabila penat bekerja, berdepan masalah atau inginkan pendapat, memang saya terfikir untuk memiliki seorang kekasih.

"Tapi soal mencari teman dan memiliki seorang kekasih bukanlah kerja main-main. Keserasian dan persefahaman adalah perkara utama yang harus saya lihat. Lagipun saya lebih tertarik dengan lelaki yang punya pandangan kritikal dan orangnya bijak untuk memimpin satu-satu perbualan dan melontarkan pendapatnya.

"Setakat ini memang belum lagi saya bertemu sesiapa yang menepati idaman saya. Mungkin esok lusa ia akan datang dengan sendirinya kerana saya tidak mahu tergesa-gesa mencari cinta. Sayang itu akan lebih ikhlas dan sempurna jika datang dengan rasa tulus buat kita. Insya-Allah jika ada jodohnya nanti, sudah pasti saya kongsi bersama peminat," katanya lagi.

Tambah anak kelahiran Ayer Hitam, Pulau Pinang dan membesar di Shah Alam ini lagi, buat masa sekarang tumpuannya hanya pada pengajian di Fakulti Undang-Undang di peringkat ijazah di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Malah jelasnya lagi, kerana tumpuan dan fokus yang diberikan terhadap pengajian membuatkannya terpaksa melepaskan beberapa tawaran filem dan drama.

"Jangan kata soal cinta, masalahnya rutin harian saya sebagai seorang pelakon juga menjadi sangat kelam-kabut kerana terlalu sibuk dengan pengajian di semester akhir ini. Saya memang ingin memberikan fokus penuh kerana ingin menamatkan pengajian ini secepat mungkin. Selepas memiliki ijazah nanti, barulah lega sedikit untuk kembali aktif dalam lapangan lakonan.

"Itulah prinsip saya dan kemahuan keluarga dari dulu. Walaupun saya ingin melebarkan bakat dalam dunia lakonan, pelajaran tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan menjadi lesen untuk menjamin masa depan nanti," katanya yang terpaksa melepaskan dua tawaran filem dan sebuah drama siri.

Tambah Fathia lagi, kemungkinan besar dia akan tampil dalam sebuah filem sentuhan aktor terkenal, Rosyam Nor tidak lama lagi.

"Memang inilah salah satu impian saya sejak dulu iaitu ingin sekali berlakon di bawah penerbitan Rosyam Nor kerana dia adalah pelakon yang amat saya kagumi. Insya-Allah jika tepat dengan jadual peperiksaan saya akhir Jun ini, saya akan kembali ke lokasi filem ini pula," katanya tersenyum.

Episod akhir Mahabbah malam ini

NAMA Nur Fathia Abd Latiff terus bermain di bibir peminat drama tempatan apabila lakonannya menerusi drama siri Mahabbah yang disiarkan di slot Samarinda, setiap Selasa hingga Khamis jam 10.30 malam di TV3 mendapat perhatian ramai.

Melakonkan watak Sabila, Mahabbah turut membariskan ramai pelakon terkenal lain termasuk Datuk Jalaludin Hassan, Azlee Khairi, Aiman Hakim Redza, Anzalna Nasir dan Aida Aris.

Menurut Fathia yang melakonkan watak wanita matang dalam drama siri 25 episod terbitan Asia Media Content ini, Mahabbah memberikan sesuatu yang berbeza buat peminat drama tempatan kerana plot ceritanya penuh konflik realistik yang dekat dengan jiwa kita.

"Kemelut yang disuntik dalam drama ini bukanlah seperti yang sering kali ditampilkan dalam drama-drama lain. Apa yang cuba disampaikan dalam drama ini adalah ketulusan percintaan antara dua hati yang terpaksa menongkah halangan yang begitu banyak sekali. Bayangkan, percintaan antara Sabila dan kekasih hatinya yang dikenali sejak zaman persekolahan, Iskandar lakonan Azlee dihalang oleh ayah Iskandar sendiri kerana darjat yang berbeza.

"Pada ayah Iskandar, Tan Sri Sabri, Sabila tidak layak menjadi menantunya kerana dia lebih mementingkan legasi perniagaan. Namun kerana kuat cinta mereka, akhirnya Sabila dan Azlee berkahwin juga hingga dikurniakan cahaya mata walaupun terpaksa berdepan hakikat ayahnya sendiri tidak merestui perkahwinan itu.

"Namun pelbagai cara yang dilakukan oleh Tan Sri hingga muncul pula watak Kartina lakonan Anzalna. Sabila terpaksa membesarkan anaknya, Asyraf sendirian selepas dipisahkan oleh Tan Sri dan wujud pula pelbagai warna lagi dalam perjalanan cinta Sabila dan Iskandar itu. Memang saya sendiri tidak dapat menahan emosi saat meneliti kisah hidup Sabila.

"Alhamdulillah saya gembira kerana pihak produksi dan pengarah sendiri tidak henti membantu. Watak ini bukan semudah yang disangka namun saya bersyukur kerana setidak-tidaknya saya berjaya juga menghidupkan emosi Sabila mengikut kehendak pengarah," katanya.

Mahabbah akhirnya tiba di penghujungnya apabila episod terakhir akan menemui penonton malam ini jam 10.30 malam.

Pastikan untuk mengikuti pengakhiran kisah cinta Sabila dan Iskandar malam ini dalam Mahabbah hanya di TV3.


Adrian terseksa demi Tea Tracker

Posted: 21 May 2012 04:34 AM PDT

TEH diketahui umum sebagai sejenis tumbuhan yang boleh dibuat minuman dan penawar penyakit sejak zaman berzaman. Pun begitu, ramai tidak tahu sejarah atau cerita di sebalik daun teh.

Menerusi program terbaru ntv7, Tea Tracker, yang bakal ke udara setiap Jumaat, jam 7.30 malam di ntv7 bermula 1 Jun ini, ia bukan hanya menceritakan kepelbagaian 20 jenis teh yang terbaik tetapi turut menyingkap latar belakang, budaya dan sejarahnya.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar, berkata, kemunculan program itu membawa berita terbaik kepada penggemar teh, pengembara serta mereka yang mencintai budaya.

"Teh ada pengaruh yang sangat meluas. Ia bukan sekadar minuman tetapi ada sejarah yang unik dalam hidup pelbagai masyarakat di dunia.


"Saya ucapkan tahniah kepada pihak produksi Tea Tracker yang diterajui Linda Salim yang selaku produser kerana berani muncul dengan konsep sedemikian bagi menceritakan kepada umum mengenai keunikan teh.


"Semestinya terima kasih juga kepada Teh Sabah yang sudi menjadi penaja untuk kami merealisasikan rancangan unik ini," kata Izham.

Turut hadir pada sidang media pelancaran program Tea Tracker di Sri Pentas TV3 itu, adalah Pengarah Eksekutif Sabah Tea Sdn Bhd, Goh Mung Chwee, Linda Salim serta pengacara program berkenaan, Adrian Jalaludin.

Berkonsepkan 'travelog', rancangan itu akan membawa penonton menjelajah ke negara China, Jepun, Taiwan, Myanmar, India termasuk perusahaan teh Malaysia.

Penggambaran Tea Tracker bermula, dengan tinjauan yang dilakukan perladangan teh Malaysia iaitu di ladang Teh Sabah.

Terletak di kawasan tropika Malaysia yang menghijau berhampiran Gunung Kinabalu, ladang teh itu seluas 6, 200 ekar dan terletak pada aras ketinggian 2,272 di atas paras laut. Ladang ini dikelilingi hutan hujan khatulistiwa tertua berusia 130 juta tahun.

Turut menjadi kebanggaan kepada negara ini, Teh Sabah juga adalah perladangan komersil terbesar di Borneo. Setiap langkah bakal membawa kepada penghasilan teh yang berkualiti dari proses memetik daun teh dan mengeringkannya.

Menyalurkan segala info dengan gaya santai, bersahaja dan menghiburkan, Adrian Jalaludin, 27, atau lebih dikenali sebagai, AJ daripada What Women Want, diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas sebagai pengacara.

Akui AJ, beliau menimba banyak pengalaman menarik tidak kurang juga cabaran sepanjang dua bulan terbabit dalam program itu.

"Sewaktu menjalani penggambaran di Tembok Besar Cina saya diserang asma.
"Pada awalnya, pihak produksi sudah mengingatkan saya cara yang selamat menaiki tangga iaitu secara berperingkat-peringkat.

"Namun saya cakap tidak mengapa kerana yakin boleh mendaki hingga sampai ke anak tangga yang teratas.

"Sudahnya, saya diserang semput dan keesokan hari terpaksa berehat. Itu antara kesilapan yang saya lakukan. Cuaca sejuk di China juga menyeksakan kami.

"Sementara di India pula saya seorang saja yang terkena keracunan makanan.

"Selain itu susah juga hendak sunting episod di India kerana terlalu banyak elemen menarik yang mahu dimuatkan dalam program ini tetapi untuk setiap episod, kami hanya ada 24 minit sementara enam minit lagi laluan iklan.

"Pendek kata, program ini memberi pengalaman terbaru dan luar biasa kepada saya. Untuk menyiapkan 13 episod program ini, setiap hari adalah cabaran kerana hampir 60 hari kami bekerja tanpa henti," katanya.

Mengakui tidak begitu menggemari teh meskipun ia adalah minuman harian keluarganya, AJ berpendapat, wajar sebagai seorang pengacara mempersiapkan dirinya dengan ilmu sebelum penggambaran dilakukan supaya info yang ingin disalurkan kepada umum itu sampai.

"Saya membuat kajian mengenainya dan untuk memahami kelainan setiap teh saya mencuba kesemua 20 jenis teh seperti teh Cina, teh hijau Jepun, teh masala India, teh Taiwan dan bermacam-macam lagi.

"Di samping dapat mencuba saya memperoleh ilmu baru selain berpeluang mengenali aspek budaya, gaya hidup dan masyarakat setempat di negara-negara teh ini, saya juga berharap dapat menyampaikan mesej itu dengan jelas dan baik kepada penonton kelak," katanya.

Menjawab pertanyaan media, mengenai teh paling digemarinya sepanjang penjelajahan itu, AJ mengakui dia sukakan teh dari India yang rasanya enak.

"Saya paling suka Teh Kangra yang boleh didapati dari bahagian utara India kerana aroma dan rasanya yang hebat.

"Warna teh itu juga menarik kerana ia dimasak terlebih dulu.

"Walau bagaimanapun harganya sangat mahal," katanya.