Adsense

Jumaat, 18 Mei 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Masa terbaik untuk mara

Posted: 17 May 2012 07:21 AM PDT

KEHADIRAN dua wajah ini memang menarik perhatian ramai. Tidak sekadar bersandar kepada rupa paras dan populariti, sebaliknya bagi Tony Eusoff mahupun Zizan Nin, bakat adalah taruhan utama mereka sejak awal melangkahkan kaki dalam lapangan seni.

Bagaimanapun jika ditinjau dari perspektif yang lebih luas, kedua-duanya tidaklah menerima tempias publisiti yang besar atau pernah dihimpit kontroversi hingga mampu memperkenalkan nama jauh ke atas. Sebaliknya masing-masing mengekalkan kesederhanaan dan lebih bercerita soal kerjaya.

Bertemu dengan dua anak seni yang tidak lekang bergurau dan mengusik ini di majlis sidang media memperkenalkan artis-artis baru naungan syarikat pengurusan mereka, Aquila Emas Sdn Bhd petang Isnin lalu setidak-tidaknya dapat memberikan jawapan kepada persoalan akan perkembangan mereka sekarang.

Namun sesuatu yang pasti, Tony dan Zizan kini sedang sibuk mempersiapkan diri apabila menerima undangan untuk tampil berlakon bersama produksi di luar negara.


Jelas Zizan yang sebelum ini terkenal dengan watak Tun Mahathir dalam pementasan teater muzikal Tun Mahathir dan drama Mendongak Ke Langit, akhirnya apa yang pernah diimpikan mula terlaksana.


Meskipun tidak meraih begitu banyak publisiti mahupun sebarang pengiktirafan yang sering kali dijadikan kayu ukur dalam lapangan seni ini, peluang untuknya tampil dalam sebuah drama terbitan produksi Indonesia berjudul Black Haze dianggap memadai bagi membayar penat lelahnya sebagai seorang pelakon.

"Alhamdulillah saya sendiri terkejut dengan tawaran yang diberikan. Ini semua usaha pihak pengurusan Aquila Emas dan kepercayaan mereka untuk membawa saya jauh ke Seberang pula. Black Haze adalah sebuah drama yang dibintangi pelakon Indonesia dan hanya saya bersama seorang lagi pelakon yang belum disahkan dari Malaysia.

"Lebih menggembirakan apabila saya diberi kepercayaan untuk melakonkan watak utamanya sebagai Rizal, seorang jurugambar yang sanggup terbang ke sana semata-mata ingin melihat sendiri satu kejadian aneh yang dibacanya di sebuah buku yang mana wujudnya kepulan asap dan kabus di lorong antara bukit. Kemudiannya saya bertemu pula dengan beberapa anak muda di sana sebelum kami semua terperangkap dalam satu dunia bunian.

"Jalan ceritanya begitu menarik dan pembangunan watak yang diberikan begitu kemas dan kuat. Saya sudah pun meneliti keseluruhan skripnya dan kini sudah bersedia untuk terbang ke sana dalam minggu depan untuk merealisasikan watak itu," katanya yang akan diterbangkan ke Bogor, selama dua minggu untuk penggambaran Black Haze itu.

Tambahnya lagi, Black Haze adalah satu pemangkin semangat bagi memimpin nama dan bakatnya ke peringkat yang lebih baik lagi.

"Inilah masa paling baik buat saya untuk terus ke depan selepas lebih sedekad menimba pengalaman dalam dunia lakonan. Saya sendiri awalnya gentar namun bersyukur kerana pihak produksi di Indonesia menerima dan yakin dengan bakat saya walaupun mereka punya banyak pilihan di sana. pastinya saya akan berusaha dengan baik untuk membuktikan kemampuan saya," ujarnya lagi.

Lain pula bagi Tony Eusoff yang sebelum ini puas mencipta nama di pentas teater apabila namanya membintangi tiga pementasan sepanjang tahun lalu di Istana Budaya menerusi teater muzikal Terima Kasih Cinta, The Secret Life of Nora dan Dreamgirls, kali ini tiba masanya untuknya mengorak satu langkah lagi ke depan.

Jelasnya yang turut dikenali menerusi lakonan hebatnya dalam filem Sepi dan Cinta, impiannya kini adalah untuk terus mengukuhkan nama sebagai penggiat teater di pentas di rantau Asia.

"Permulaannya, saya akan ke Singapura pertengahan Jun depan untuk memulakan latihan bagi membintangi pementasan teater La Cage Awx Folles yang akan dipentaskan pada 20 Julai hingga 4 Ogos ini di Espelanade. Siapa sangka, ada pihak jauh di luar yang nampak akan kemampuan saya untuk melakonkan watak utamanya.

"Walaupun bermula sebagai pelakon TV dan filem, tidak dinafikan saya begitu seronok berlakon di pentas teater kerana ia lebih mencabar dan memberikan kepuasan yang berbeza. Kiranya jika seseorang pelakon itu pernah cuba berlakon di pentas teater, sudah pasti mereka akan ingin kembali berlakon di situ pelakon teater lebih bebas melakukan eksperimen terhadap watak dan lebih luas untuk beraksi.

"Teater ini berbahasa Inggeris dan saya akan disatukan dengan ramai penggiat teater di sana. Plot ceritanya begitu menarik dan tersendiri yang mana mengisahkan perjalanan seorang pemilik kelab yang berdepan dengan konflik keluarga. Saya percaya watak saya iaitu George akan mencerminkan satu sisi yang lain dan mampu membantu saya ke tahap yang lebih baik nanti," jelasnya.

Selain mempersiapkan diri untuk tampil di pentas Singapura, Tony yang sebelum ini pernah dikenali menerusi drama siri Duyung Aridinata turut sibuk mencari penaja dan melakukan persiapan bagi menerbitkan teaternya sendiri.

Teater berjudul Romantic Fools adalah bukti kesungguhannya terhadap karya teater.

"Impian saya adalah untuk membuat sebuah pementasan pada skala yang besar dengan menampilkan sebuah plot cerita yang begitu hebat. Namun semua itu adalah angan-angan dan mustahil untuk direalisasikan dalam masa yang terdekat. Namun untuk memupuk semangat dan rasa cinta ke arah itu, saya ingin bermula dengan sesuatu yang lebih ringkas namun masih baik dari aspek ceritanya.

"Romantic Fools adalah sebuah teater terbitan bersama saya dan seorang lagi teman baik. Ia seperti sebuah kisah yang mengangkat tema hubungan antara lelaki dan perempuan termasuk senario sepasang kekasih, hubungan anak dan ibu, sahabat baik dan pelbagai lagi situasi yang digambarkan menerusi teater ini.

"Saya amat berharap percubaan pertama ini akan menerima reaksi positif bagi menyuntik semangat saya untuk terus mengejar cita-cita di kemudian hari," katanya yang akan muncul dalam filem Pecah dan drama Melodi Cinta Sarikei tidak lama lagi.




RPM agih secara sistematik

Posted: 17 May 2012 07:16 AM PDT

KELUHAN kosong berhubung pengagihan mahupun tuntutan hak royalti pelaku yang selama ini disuarakan penyanyi dan pemuzik rakaman, menemukan jalan penyelesaian.

Dengan tertubuhnya, Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), kelompok yang berkenaan boleh mendapatkan hak mereka. Pun begitu, ia hanya dapat dilaksanakan jika RPM berjaya memperoleh sekurang-kurangnya 50 ahli berdaftar.

Pengerusinya, Datuk Sheila Majid berkata, RPM ditubuh bagi membolehkan penyanyi dan pemuzik rakaman terus mendapatkan royalti sekali gus memelihara harta intelek mereka.

"Seperti semua sedia maklum, Badan Hak Pelaku dan Persembahan Artis Sdn Bhd (Prism) yang selama ini memainkan peranan dalam mengagihkan royalti sudah pun dibubarkan. Pada Julai nanti adalah pembayaran yang terakhir dilakukan pihak berkenaan kepada semua ahli mereka.


"Justeru, RPM yang ditubuhkan sejak Januari lalu membawa dasar yang sama untuk memastikan setiap ahli berdaftar kami yang terdiri daripada pelaku iaitu penyanyi dan pemuzik rakaman mendapatkan hak mereka iaitu royalti.


"Walau bagaimanapun, usaha RPM untuk memulakan operasi mengutip royalti ini tidak dapat dijalankan selagi kami tidak memperoleh 50 artis berdaftar. Setakat ini, ahli kami hampir mencapai 50 orang.

"Kenapa penyanyi dan pemuzik rakaman perlu segera mendaftar? Kerana sekarang kita sudah pun melewati pertengahan tahun. Selagi mereka tidak mendaftar sebagai ahli RPM, bermakna untuk tempoh selama mereka belum bergelar ahli, royalti mereka hangus begitu saja. Bukankah ini merugikan?

"Apa yang cuba dilaksanakan RPM ini adalah untuk kebaikan penyanyi dan pemuzik rakaman sekali gus mendapat hak yang sepatutnya mereka peroleh," katanya.

Turut hadir adalah ahli lembaga pengarah RPM iaitu penyanyi dan komposer Ajai, Ana Raffali, Jaclyn Victor dan Aniu.

Pada sidang media yang diadakan Rabu lalu, bertempat Solaris Mont Kiara itu, Sheila juga ingin merungkaikan kekeliruan sekali gus menjelaskan, sekiranya kelompok yang berkenaan mendaftar sebagai ahli RPM, royalti mereka dengan pihak terdahulu tidak akan terjejas sama sekali.

"Saya terdengar ada yang membuat spekulasi, tidak kurang juga persepsi timbul di kalangan artis di luar sana mengenai matlamat RPM. Kami di sini bukan untuk menempelak mana-mana pihak atau menyalahkan sesiapa.

"Kami sekadar ingin membantu menjalankan operasi kutipan dan agihan royalti ini secara sistematik dan telus melalui penyediaan penyata berserta 'database' bagi memudahkan pelaku mengenal pasti berapa banyak lagu dimainkan di radio, pusat membeli-belah dan beberapa tempat lain yang menyiarkan lagu artis tempatan.

"Penggunaan database dan penyata ini secara tidak langsung menjelaskan jumlah royalti yang sepatutnya mereka dapat. Selain itu kami juga ingin menegaskan, jika anda bergelar ahli RPM, royalti mereka dengan pihak terdahulu tidak akan terjejas sama sekali.

"Bagaimanapun, urusan tuntutan royalti sebelum tahun 2012 atau lebih jelas sebelum berdaftar dengan RPM perlulah diselesaikan dengan pihak terdahulu. RPM hanya memberi perhatian kepada ahli kami saja bermula 2012 dan seterusnya.

"Saya menyeru kepada semua yang berkenaan, tidak kira penyanyi dan pemuzik rakaman mengadu itu dan ini dengan masalah yang sama saban tahun tanpa sebarang penyelesaian jika mereka sendiri tidak berusaha membantu diri mereka.

"Mereka harus bersama kami untuk segera kita mulakan operasi ini. Kami juga pelaku dan terbabit dalam bidang sama. Bahkan semua yang berada di hadapan anda kini masih aktif. Kami juga mahu menuntut hak yang sama seperti mereka," katanya.

Sheila turut memberikan jaminan bahawa kutipan dan agihan royalti ahli berdaftar RPM mengikut sistem perkiraan standard sebagaimana Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP).

"Jika sebelum ini hanya pencipta lagu dan penulis lirik sahaja mendapat royalti yang dikutip oleh MACP, RPM ditubuhkan untuk mengagihkan royalti kepada penyanyi serta pemuzik rakaman.

"Namun, pembayaran royalti bukan mengikut jumlah lagu dalam album sebaliknya, hanya lagu yang dimainkan di radio saja termasuk beberapa tempat yang memutarkannya layak menerimanya (royalti) ," katanya.

Sementara itu, Ana Raffali, menambah, bukan hanya penyanyi, sesiapapun pemuzik rakaman sekalipun yang membuat 'effect' tepuk tangan dalam rakaman juga layak bergelar ahli.

"Penyanyi dan pemuzik rakaman tidak perlu bimbang. RPM ini sendiri didaftarkan sebagai Berhad. Berhad, salah satu syaratnya setiap keuntungan atau agihan yang dibuat perlu mendapat persetujuan dari ahli lembaga pengarah dan sebab itulah sukar untuk berlaku penyelewengan," katanya.

Untuk menyertai RPM, boleh mendaftar di pejabat pertubuhan itu atau memuat turun borang pendaftaran menerusi laman www.rpm.my.