Adsense

Jumaat, 18 Mei 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Alyah terbiasa bergelut

Posted:

Alyah terbiasa bergelut

Alyah terbiasa bergelut

ADA getar antara tegas dan sebak dalam suara milik penyanyi Alyah atau nama sebenarnya, Noor Hasliah Abu Hassan saat berbicara dengannya pada malam Rabu lalu. Alyah bertegas mempertahankan diri apabila dituduh sebuah blog bahawa dia memberi kenyataan menyalahkan media tentang isu adiknya yang kini berhadapan tuduhan menyamun seorang warga negara Singapura.

Dia sebak apabila menyentuh tentang perasaan ibunya di kampung dan ahli keluarga lain. Apa yang pasti, kata Alyah, biar sekuat mana badai menghempas dirinya, dia harus bertahan kerana sepanjang 12 tahun menjadi anak seni, dia sudah terbiasa bergelut untuk survival antara sebuah kehidupan dan karier.

"Saya terima semua perkara yang terjadi dengan hati terbuka," katanya ringkas sambil menghela nafas panjang. Alyah mengambil sedikit masa sebelum mula kembali bercerita: "Sejujurnya kami sekeluarga tahu akan hal tersebut sejak dua bulan lalu (kes adiknya didakwa menyamun).

"Kami terima ia dengan hati yang terbuka kerana hanya kami yang tahu kisah sebenar. Cuma yang membuat hati saya tersentuh dan kurang senang apabila ada segelintir khalayak sesuka hati untuk mencemuh dengan berkata 'penyamun dan sampah masyarakat, tak cukup ke duit kakak kau menyanyi sampai nak menyamun?'

"Saya kira, itu tohmahan yang terlalu kasar buat kami. Bayangkan jika kalian berada dalam situasi kami."

Ujar Alyah pernyataan yang ditulisnya di laman Facebook juga bukan bermaksud untuk menyalahkan pihak media. Sebaliknya, jelas penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Kisah Hati itu, dia hanya melahirkan rasa sedih bagi pihak ibunya dan keluarga kerana berita tentang jatuh hukum terhadap adiknya itu disiarkan pada hari istimewa iaitu Hari Ibu.

"Saya hanya tinggal ibu seorang sahaja di dunia. Saya tidak mahu kehilangan dia kerana cerita-cerita begini. Impak dan tekanan yang diterima ibu di kampung cukup kuat. Jadi, saya hanya menulis untuk menjelaskan situasi kami dan impak terhadap penyebaran yang berlaku, bukan saya menyalahkan pihak media. Saya tidak berniat berbuat begitu.

"Cuma saya sangat berharap kepada para blogger agar jangan menambah masalah kami dengan menyalah lapor atau membuat andaian sendiri terhadap sesuatu perkara tanpa bertanya kepada tuan badan. Biar apapun kata orang, baik atau buruk dia, dia tetap adik saya," katanya lagi.

Mengaku berita tersebut sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kariernya, namun anak kelahiran Johor Bahru itu optimis bahawa setiap perkara yang berlaku punya hikmah.

Sementelah katanya, selama 12 tahun ini, dia sudah terbiasa untuk bergelut dalam lapangan seni. Justeru, biar terkesan apabila ada klien yang mula membatalkan persembahan kerana berita tersebut, dia harus kuat dan pantang mengalah.

Cerita Alyah, sembilan tahun pertama dia berada dalam industri seni, kehadirannya hampir tidak disedari. Dia pernah mencuba nasib sebagai penyanyi balada, duduk dalam sebuah syarikat rakaman yang besar, memasuki program realiti televisyen, malah berusaha keras untuk menonjolkan bakat, semuanya dipandang sepi.


ALYAH mengaku hatinya kini sedang dimiliki seseorang, tetapi mereka belum mempunyai perancangan untuk bernikah dalam masa terdekat.


Sehingga lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup pada tahun kesembilan dia menyanyi. Tuah mula berpihak kepada Alyah. "Saya sudah terbiasa bergelut. Pada masa yang sama, saya juga bukan yang mudah menyerah. Sebab itu saya masih di sini dan Alhamdulillah, selepas 12 tahun, hasilnya agak baik," ulasnya ringkas.

Alyah kemudian menambah cerita tentang perjalanan seni 12 tahunnya. Dia yang menerima pengiktirafan sebagai pemenang Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) menerusi lagu yang cukup berhantu, Kisah Hati, memberitahu, kerana kepayahannya mendapat tempat dalam industri seni telah membuatkan dia terpinggir.

"Saya mengaku, sewaktu lagu Tak Mungkin Kerna Sayang meletup, ramai yang tak tahu lagu itu dinyanyikan oleh saya. Malah sewaktu beberapa lagu lain saya mula meningkat naik, ada rakan artis yang anggap saya tak ubah seperti pendatang baharu yang tak lama dalam industri.

"Mereka juga tak mahu berkawan dengan saya. Ya, saya tidak mempunyai kawan dalam kalangan artis sebab bukan saya yang tak mahu berkawan dengan mereka, tetapi mereka yang tidak mahu berkawan dengan saya.

"Sebab itu sehingga kini, selepas nama saya semakin dikenali, saya sudah terbiasa sendiri, sudah terbiasa tak punya kawan dan saya okay begini," katanya berterus-terang.

Seiring lagunya menjadi siulan, Alyah mula mencipta fesyen tersendiri sehingga dilabel sebagai Lady Gaga Malaysia. Dua respons berbeza diterima tentang penampilan diri. Ada yang menganggap fesyennya begitu pelik, sebahagian pula menerima ia sebagai satu pembaharuan dan imej tersendiri dari Alyah.

Bercakap tentang isu fesyen, Alyah ketawa mengekeh. Katanya, dahulu ada yang melabelkan dia tidak tahu berfesyen dan kekampungan. Berbeza apabila dia mula berani membuat eksperimen dengan fesyen. Dia kemudian memberi hujah sendiri.

Katanya: "Saya rasa, fesyen dan artis merupakan satu item. Saya beranggapan, sebagai selebriti, tiada istilah fesyen yang mengarut dan fesyen yang berani telah lama wujud kerana ia melambangkan identiti seseorang itu. Bagaimanapun, kini, saya lebih menyenangi fesyen yang sofistikated dan elegan."

Tersingkir

Umum mengetahui Alyah merupakan salah seorang peserta program realiti televisyen, Mania. Tersingkir seminggu sebelum melangkah ke pusingan separuh akhir, Alyah mempunyai alasan tersendiri mengapa dia menyertai program yang menggunakan khidmat 100 peratus undian peminat itu.

Ujar wanita berusia 31 tahun itu, dia sedar undian 100 peratus daripada peminat mempunyai pro dan kontra tersendiri. Mengaku jika undian menjadi 50 peratus datang daripada peminat, manakala 50 peratus lagi juri adalah lebih baik atas dasar popular dan profesional, namun apa yang dikejar menerusi program tersebut, bukan undian semata-mata.

"Sebaliknya, saya mengejar ilmu. Walaupun saya telah tersingkir awal, tapi saya bersyukur kerana saya dapat menimba ilmu dengan banyak. Saya juga telah bertemu dengan ramai orang di belakang tabir yang telah memberi idea dan boleh memantapkan karier saya pada masa akan datang.


ALYAH meminta jasa baik khalayak untuk tidak melemparkan tohmahan yang kasar terhadap isu adiknya ditahan kerana menyamun seorang warga Singapura. Ujar Alyah, biar pihak berkuasa melakukan tugas mereka dan khalayak jangan pantas menghukumi seseorang.


"Itu yang saya pentingkan dan tanam dalam diri sewaktu saya menyertai program tersebut. Katakan, jika saya jadi juara misalnya, tapi apabila program tersebut habis, ia tidak memberi impak terhadap karier saya, maka tidak guna juga. Sebab itu saya kata, ilmu sangat penting buat saya," katanya yang juga mengaku memang tidak arif tentang pembikinan muzik.

Sebaik tersingkir, Alyah tidak menunggu masa yang lama untuk kembali menyambung membikin single terkininya.

Katanya: "Saya baru ingin masuk studio untuk merakamkan single terkini selepas single Pesananmu dikeluarkan sebelum saya menyertai Mania tempoh hari. Saya harap ia mendapat sambutan yang baik nanti."

Neelofa tak diva, tapi tegas

Posted:

Neelofa tak diva, tapi tegas

Neelofa tak diva, tapi tegas

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN


NEELOFA cukup menitikberatkan tentang penampilannya.


NEELOFA umpama jenama yang tidak lekang dengan kontroversi, selain isu kisah cinta yang terkait dengan beberapa individu sebelum ini, tidak kurang juga lagaknya yang dikatakan semakin besar kepala.

Pelakon, model dan pengacara kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu kembali dihambat beberapa kontroversi lagi baru-baru ini.

Dia kini sudah berani melepaskan geram di laman sosial Twitter miliknya berikutan ketidakpuasan hati terhadap pengurusan yang memaksanya memakai pakaian yang tidak sesuai.

Hal yang sama berlaku kepada kru produksi telefilem Dibah Lori yang mendakwa aktres jelita itu mahu bersolek tebal dan hanya mahu memakai pakaian baharu walaupun untuk berlakon babak yang tidak relevan dengan cara pemakaiannya.

Pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, 23, yang ditemui ketika sidang akhbar pelancaran produk kesihatan dan kecantikan Bellavita di Hotel Royale Bintang Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru, menjawab semua dakwaan tersebut.

Kosmo!: Dengar kata Neelofa sekarang sudah semakin besar kepala, lantang bersuara dan berani berlagak diva. Komen anda?

NEELOFA: Terma diva itu sangat subjektif dan bagi saya, adakalanya kita perlu jadi diva sebab sesetengah masa orang kurang faham situasi kita. Saya kena bertegas untuk mengejar masa agar sesuatu perkara menjadi lebih lancar.

Baru-baru ini ada dakwaan mengatakan anda menolak untuk memakai baju yang disediakan pihak produksi sebuah telefilem dan menegaskan mahu bersolek tebal-tebal. Benarkah?

Sebenarnya banyak yang dicanangkan itu tidak betul! Penonton perlu tengok sendiri baru tahu bagaimana keadaan saya dalam telefilem Dibah Lori itu. Malah, ketika saya datang ke lokasi pun, saya tidak bersolek dan membiarkan diri berpeluh-peluh sebab itu realiti seorang pemandu lori. Saya tak kisah dakwaan tersebut, sebab orang ramai boleh menilai sendiri nanti apabila ia ditayangkan.

Apa tindakan anda setelah mengetahui gosip yang mengaitkan anda dengan produksi telefilem itu?

Saya terus menelefon mereka dan bertanyakan hal itu. Mereka juga menjelaskan bahawa berlaku salah faham mengenai gosip yang tersebar. Saya pun tak nak jejaskan hubungan dengan mana-mana produksi.

Anda ada syak sesiapa yang terlibat untuk memburuk-burukkan nama anda?

Saya tak salahkan sesiapa apatah lagi penulis gosip tersebut sebab saya faham itu kerja dia. Terasa tetap terasa, tapi tak boleh salahkan mereka 100 peratus. Kalau nak tuding jari kepada penyampai pun belum tentu semuanya betul. Sebagai figura, saya telan perkara ini sebagai pengalaman untuk mematangkan diri.

Selain isu tersebut, anda juga sebelum ini ada menyuarakan rasa tidak puas hati di laman sosial Twitter terhadap sebuah stesen televisyen swasta yang tidak peka tentang pemakaian anda untuk mengacarakan rancangan mereka. Komen anda?

Saya sudah banyak kali pesan kepada mereka (pengurusan busana) sepanjang terlibat dengan program itu tentang pemakaian saya. Tak silap saya, rasanya sudah lebih daripada lima kali saya berpesan, namun tiada tindakan. Saya bukannya cerewet, tapi saya mahu pakaian yang lebih sesuai sebab ia melambangkan imej saya sebagai artis. Bagi saya, bersuara untuk perkara yang positif adalah sesuatu yang bagus untuk kebaikan bersama.

Tidakkah anda rasa dengan mendedahkan situasi itu ibarat membuka pekung di dada dan boleh menjejaskan karier anda?

Sebelum itu pun saya sudah ada meminta pandangan daripada orang yang lebih berpengalaman. Katanya, saya patut bersuara sebelum terlambat tapi menggunakan ayat yang betul. Sekarang saya lebih banyak belajar dan tahu apa yang perlu atau tidak. Menariknya, pihak pengurusan kini semakin prihatin dan menghormati pendirian saya.

Bagaimana hubungan anda dengan pihak produksi itu dan jika dipanjangkan kontrak bersama mereka, adakah anda masih akan menerima?

Saya suka bidang pengacaraan, apabila boleh turun ke padang dan menemubual orang ramai, saya rasa teruja. Selama ini saya sentiasa berikan yang terbaik. Kita tengok situasi selepas ini.

Bros menyelami dunia lelaki

Posted:

Bros menyelami dunia lelaki

Bros menyelami dunia lelaki

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


SELEBRITI wanita seperti Almy Nadia (kiri) dan Neelofa turut menjadi tetamu untuk program bual bicara mengenai kaum lelaki, Bros.


Selama ini penonton televisyen agak kurang didedahkan dengan program berbentuk bual bicara yang membincangkan mengenai peribadi golongan lelaki dengan lebih mendalam, termasuk topik-topik yang agak rumit dan isu-isu yang sensitif.

Sehubungan itu, TV3 mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah program terbaharu berjudul Bros. Ia merupakan sebuah program bual bicara yang cuba menyelami dunia lelaki menerusi perbincangan secara santai.

Penerbitnya, Che Rozaini Ahmad yang ditemui sewaktu rakaman program tersebut di Shah Alam, Selangor baru-baru ini berkata, Bros dilihat agak berbeza dengan program-program bual bicara yang pernah dihasilkan sebelum ini.

"Program ini bukanlah bertujuan mewujudkan peperangan gender antara lelaki dan wanita, sebaliknya Bros lebih kepada membentangkan perihal peribadi lelaki dengan lebih mendalam.

"Sebarang isu atau topik mengenai lelaki yang dikupas dalam rancangan ini bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh golongan lelaki, malah ia mampu mewujudkan perspektif baharu wanita terhadap kaum Adam," ujarnya yang sebelum ini pernah menerbitkan program Apa Apa Aje dan Jalan Jalan Cari Makan.

Menurut Che Rozaini, program tersebut menyajikan pelbagai topik menarik yang akan dibincangkan seperti Kenali Lelaki, Lelaki Dan Perhubungan, I Love Sport, Lelaki Idaman, Macam Mana Nak Mengorat?, Anak Mak, Men's Health dan Big Boys Toy.

Ujarnya, beberapa personaliti lelaki dan wanita juga turut diundang bagi memeriahkan lagi program tersebut. Mereka termasuklah Fizo Omar Sharizal Jaszle, Neelofa, Almy Nadia, Yuna, Qushairi Razali, Tasha Shila, Diana Amir dan Amy Mastura.

"Kehadiran tetamu undangan pada setiap episod bertujuan untuk berkongsi pandangan dan pendapat masing-masing terhadap topik yang dibincangkan bersama kedua-dua pengacara.

"Mengenai pemilihan topik, pihak kami sangat yakin semua topik yang telah dipilih memang bersesuaian dengan situasi kehidupan sekarang serta mampu menarik minat penonton untuk menonton program ini," ujarnya lagi.

Bros dihoskan oleh dua orang pengacara lelaki iaitu Sherson Lian (Sher) yang semakin dikenali setelah menjadi hos program masakan 5 Rencah 5 Rasa dan Hisham Hamzah (Sham) yang popular menerusi program Sarapan.

Ujarnya, bagi menampilkan kelainan dan keunikan program tersebut, turut diselitkan segmen memasak yang akan dikendalikan oleh Sher yang turut berkongsi tips memasak yang mudah untuk golongan lelaki.

Program yang disiarkan sebanyak 13 episod itu akan memulakan siaran pada 1 Julai ini pada setiap hari Ahad bermula pukul 11 malam di TV3 selama sejam.

Cabaran baharu

Meskipun sudah terbabit dalam dunia pengacaraan, Sham dan Sher menganggap tanggungjawab yang diberikan untuk mengacarakan rancangan Bros merupakan satu cabaran baharu buat mereka.

Menurut Sham, sebagai seorang individu yang masih mentah dalam dunia penyiaran, dia sememangnya sangat teruja apabila ditawarkan untuk mengendalikan sebuah rancangan bual bicara.

"Ini merupakan pengalaman pertama saya dan sudah tentu ia bukanlah satu tugas yang cukup mudah. Namun, dengan garis panduan yang diberikan oleh pihak penerbitan, akhirnya saya rasa semakin seronok untuk mengacara.

"Sebagai sebuah program bual bicara yang lebih berkonsepkan santai, tidak terlalu banyak protokol yang harus diikuti dan kami cuma perlu mengikut cara sendiri sewaktu mengacara," ujar jejaka berusia 29 tahun itu.

Sementara itu, Sher mengakui berasa agak gugup ketika kali pertama mengacarakan program tersebut memandangkan kali pertama dia bergandingan Sham.

Ujar pengacara kelahiran Alor Gajah, Melaka itu, biarpun baru sahaja mengenali Sham, tetapi tidak sukar buat dirinya untuk mendapatkan keserasian bersama pasangannya itu.

"Salah satu cabaran yang terpaksa dilalui sepanjang mengacarakan program ini apabila berhadapan dengan tetamu yang pasif dan kurang memberikan reaksi terhadap perbincangan. Jadi, kami perlu bijak memainkan peranan supaya suasana tidak menjadi terlalu hambar," ujarnya.