Adsense

Selasa, 24 April 2012

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Kurang berlakon jika berkahwin

Posted:

Kurang berlakon jika berkahwin

Kurang berlakon jika berkahwin

BERTEMU dengan aktres jelita Maria Farida di lokasi penggambaran drama Cahaya Iman baru-baru ini, Maria masih kekal sama, cantik seperti dahulu.

Tidak sedikit pun berubah, namun apabila memulakan bicara dan dia memberitahu bahawa dia baru sahaja menyambut hari lahirnya yang ke-43 pada bulan lalu, ia membuat penulis terkejut.

Ya, dia nampak sungguh muda malah, anak lelaki tunggalnya Mizan Ashley kini telah berusia 15 tahun.

Sudah bergelar ibu tunggal lebih daripada sepuluh tahun, akui Maria, dia kini bersedia untuk bergelar isteri semula jika ditakdirkan bertemu dengan lelaki yang sesuai.

"Sudah tentu lelaki penting dalam hidup saya. Saya ingin kahwin lagi serta mencari bapa yang baik untuk anak saya.

"Sepanjang saya hidup sendiri, saya akui ada banyak jenis lelaki yang telah datang dan pergi dalam hidup saya, tetapi saya sukar untuk berjumpa dengan lelaki yang benar-benar ikhlas.

"Saya meletakkan syarat, lelaki yang ingin menjadi suami saya bukan sahaja harus menyayangi saya, tetapi juga harus pandai mengambil hati anak lelaki saya.

"Anak lelaki saya adalah segala-galanya bagi saya, jadi sebelum berkahwin dengan saya, lelaki itu harus menerima saya seadanya, bukan sebagai Maria Farida yang ditonton dalam kaca televisyen," tuturnya tegas.

Disoal sudahkah hatinya dimiliki oleh mana-mana lelaki, Maria hanya melemparkan senyuman dan mengatakan selepas kontroversi yang lepas (putus cinta dengan Shahrizal), Maria enggan berkongsi lagi kisah cintanya dengan sesiapa.

"Saya tidak mahu apa yang berlaku dahulu berulang kembali. Saya keluar dengan siapa dan siapa lelaki yang ada dalam hidup saya, biarlah saya simpan sendiri sahaja.

"Cuma, jika saya berkahwin lagi, saya mahu memperlahankan kerjaya lakonan dan memberi fokus kepada keluarga," kata pelakon yang cukup terkenal menerusi lakonannya dalam filem Bisikan Cinta itu lagi.

Terang Maria lagi, selepas kontroversi cintanya dengan Shahrizal, dia kini membataskan pergaulannya orang sekeliling.

"Mungkin dahulu saya terlalu peramah dan berkawan dengan sesiapa sahaja, akhirnya saya yang terkena. Jadi, sekarang saya lebih berhati-hati dalam pergaulan. Saya datang ke lokasi untuk bekerja dan habis penggambaran terus pulang ke rumah," ujarnya yang kini tampil dengan potongan rambut paras bahu.

Bukan diva

Mungkin disebabkan cara penampilan serta karakter wanita kelas atasan yang sering diberikan kepada Maria membuatkan ramai yang menyangka dia sukar di dampingi lelaki dan mengamalkan gaya hidup yang mewah.

PADA usia 43 tahun, Maria Farida masih laris mengisi pelbagai watak dalam drama. Bagaimanapun dia memberitahu akan memperlahankan rentak menjadi pelakon jika dia berkahwin semula nanti.


Hakikat sebenarnya, Maria yang memulakan kerjaya lakonan pada usia 20 tahun, sama seperti wanita biasa di luar sana.

"Diri saya yang sebenar bertentangan dengan apa yang khalayak fikirkan. Kononnya saya berperangai diva, tapi tanyalah mereka yang pernah bekerja dengan saya, saya bukan orang yang begitu.

"Saya akui, saya penggemar barangan berjenama seperti Louis Vuitton dan Chanel, tetapi semua yang saya miliki adalah atas hasil usaha saya berlakon. Saya tidak minta duit orang lain," ujarnya yang pernah terlibat dalam filem Datin Ghairah.

Menariknya, jika dalam kaca televisyen kita melihat wajah Maria sentiasa bersolek dan dia bergaya dengan kasut tumit tinggi, tetapi dalam dunia realiti dia adalah seorang wanita yang cukup ringkas.

"Saya tidak suka bersolek dan pakai kasut tumit tinggi. Jika saya keluar bersantai, saya lebih selesa memakai kasut rata dan kasut baji.

"Pakaian pula saya suka kemeja-T dan juga seluar jean sahaja. Pakaian glamor hanya untuk waktu kerja sahaja, selebihnya saya macam orang lain juga. Penatlah mahu bersolek sepanjang masa," katanya sambil ketawa.

Hodoh

Mungkin ramai yang bersetuju jika penulis katakan, terlalu sukar untuk melihat Maria Farida membawa watak orang kampung atau mak cik- mak cik, sesuai dengan usianya.

Watak yang memerlukan dia kelihatan hodoh pun tidak pernah sama sekali dilihat. Sebaliknya watak yang paling kerap dibawanya adalah sebagai wanita penggoda dan wanita kaya. Adakah Maria bersikap selektif dan tidak mahu untuk kelihatan hodoh dan tua?

Jawabnya sambil ketawa panjang: "Mana ada, saya sebenarnya tidak kisah untuk membawakan watak yang memerlukan saya kelihatan hodoh, tua atau macam mana rupa sekali pun.

"Malah, saya pernah membawa watak hantu, tetapi hantu yang kelihatan cantik. Pengarah yang tidak berani beri watak yang memerlukan saya kelihatan hodoh. Mahu tidak mahu, saya harus terima kerana berlakon merupakan periuk nasi saya."

MARIA FARIDA mengaku gemar memiliki barangan berjenama mewah, namun semuanya dibeli dengan hasil titik peluh sebagai seorang pelakon, bukannya ditaja oleh sesiapa.


Sambungnya lagi, meskipun sering diberi watak yang kelihatan cantik, apa yang penting adalah mutu lakonan, jika tidak, masakan Maria bertahan dalam industri seni sehingga ke hari ini.

"Mutu lakonan dan disiplin paling penting, itu petua saya untuk seseorang pelakon bertahan lama. Kalau wajah cantik tetapi disiplin entah ke mana, tidak boleh juga.

"Harus diingat, kecantikan yang dimiliki hari ini tidak akan berkekalan sampai bila-bila, suatu hari nanti semua orang akan tua dan wajah juga tidak cantik seperti waktu muda," katanya yang menyedari tentang hakikat kehidupan.

Malah akuinya, dia sendiri tidak menyangka akan bertahan cukup lama dalam industri seni yang memiliki ramai pelakon baharu.

"Saya tidak pernah sangka pada usia 43 tahun saya masih menerima tawaran berlakon. Alhamdulillah, mungkin sudah rezeki saya memang ada dalam bidang lakonan, saya akan teruskan selagi mempunyai permintaan." ceritanya sebelum menutup bicara.

Karisma pemboros

Posted:

Karisma pemboros

Karisma pemboros



AKTRES Karisma Kapoor memang terkenal sebagai wanita yang mempunyai nilai fesyen yang tinggi. Selain dipuja sebagai pelakon yang hebat, Karisma sentiasa menjadi topik perbualan para peminatnya kerana penampilan dan fesyen yang ditonjolkan.

Dalam satu temu bual yang berkisar tentang fesyen pilihannya, Karisma memberitahu dia suka memakai pakaian yang selesa dan tidak membebankan hanya kerana untuk kelihatan cantik.

"Saya rasa kita akan kelihatan cantik apabila memakai pakaian yang selesa. Selalunya saya suka memakai seluar jean dan baju T, tapi saya juga suka menyarung pakaian tradisional India selain memilih gaun jika perlu menghadiri majlis-majlis tertentu," katanya yang juga memberitahu dia mengumpul banyak beg dan kasut sebagai pelengkap gaya.

Malah Karisma yang jarang bersenam, dengan terbuka mengaku bahawa dia seorang wanita yang boros dan suka berbelanja.

Katanya: "Saya seorang yang boros dan kuat berbelanja. Jika dulu saya hanya berbelanja untuk diri sendiri, tapi sekarang saya banyak juga membeli untuk anak-anak saya. Saya juga suka barangan yang berjenama."

Lisa lebih selektif bukan sebab Yusry

Posted:

Lisa lebih selektif bukan sebab Yusry

Lisa lebih selektif bukan sebab Yusry


LISA SURIHANI


SELEPAS bernikah dengan pengarah, pelakon dan anggota KRU, Yusry Abdul Halim pada Februari lalu, aktres manis Lisa Surihani mengakui kehidupannya kini berjalan normal seperti pasangan berkahwin yang lain. Malah sehari selepas pulang daripada berbulan madu ke Eropah pada Mac lalu, dia dan Yusry terus kembali bekerja.

Lisa yang dihubungi Kosmo! baru-baru ini bercerita tentang perkembangan terkininya, selain memberitahu selepas bernikah, dia mahu menjadi lebih selektif terhadap tawaran berlakon yang datang kepadanya.

Kosmo!: Apa perkembangan terkini Lisa?

LISA SURIHANI: Sekarang saya sedang dalam penggambaran filem terkini saya iaitu Dendam Orang Mati yang dijadualkan berakhir pada 8 Mei ini. Ia merupakan filem arahan Jason Chong dan menjadi filem seram serius yang pertama buat saya. Saya memegang watak Lena, seorang gadis yang baru tersedar dari koma dan menjadi amnesia, tetapi dalam masa yang sama telah diganggu oleh makhluk halus yang mahu membalas dendam. Selain saya, filem ini turut dibintangi oleh Fizz Fairuz, Miera Liyana dan Mustapha Kamal.

Maksudnya, Lena adalah satu karakter yang mencabar bagi anda?

Ya. Sejujurnya, pada pertama kali ditawarkan watak ini, saya tidak yakin mampu membawanya kerana ia agak kompleks, apatah lagi saya perlu berlakon sebagai orang yang hilang ingatan dan perlu tidak terlalu 'berlakon'. Watak Lena itu sendiri telah menjadi cabaran yang besar buat saya. Oleh kerana agak risau, saya telah meminta aktres Fauziah Nawi untuk membantu saya selama dua minggu bagi menyelami watak tersebut. Walaupun saya tidak yakin pada mulanya, namun saya memegang prinsip bahawa saya perlu mencuba sesuatu yang baharu kerana jika saya tidak mencuba, saya tidak akan tahu kemampuan saya. Jadi saya kena cuba sesuatu yang baharu dan melakukannya dengan baik.

Apabila anda sudah mula mencabar diri sendiri dengan mengambil watak yang anda tidak yakin, adakah selepas ini anda akan menjadi lebih selektif?

Saya memang mahu lebih selektif selepas ini sebab ia penting untuk perjalanan karier saya. Saya juga mungkin tidak mahu terlalu kerap membawa karakter yang sama supaya ada variasi dalam lakonan saya.

Adakah anda menjadi lebih selektif kerana telah memegang status isteri?

Jangan salah faham, saya menjadi semakin selektif selepas bernikah adalah atas kemahuan saya sendiri. Sejujurnya, Yusry sangat menggalakkan saya bekerja, malah tak ada larangan dalam saya bekerja dan saya diberi keizinan oleh Yusry untuk terus aktif.

Boleh definisikan soal selektif anda?

Mungkin saya hanya akan terbabit dengan tiga atau empat filem sahaja setahun. Drama pula, saya masih menunggu perbincangan selanjutnya dengan pihak Astro kerana saya masih menjadi wajah eksklusif mereka. Tapi sebenarnya kalau diberi peluang, saya mahu menjadi hos untuk program bual bicara kerana saya memang meminati bidang pengacaraan.

Anda dan Yusry telah terlibat dengan program Teach For Malaysia (TFM) Week yang bermula dari 16 April sehingga 20 April lalu, bagaimana anda melihat tahap pendidikan generasi baharu ini?

Secara peribadi saya melihat ia sebagai sebuah program yang bagus. Walaupun kami bukan guru, tapi kami teruja kerana dapat membantu dan berkongsi ilmu dengan mereka. Saya tidak boleh memberi pandangan tentang tahap pendidikan generasi baharu kita kerana saya hanya pergi ke sebuah sekolah, malah sistem pendidikan di setiap sekolah seperti sekolah kerajaan, separuh kerajaan dan swasta berbeza. Tapi daripada apa yang saya perhatikan, banyak murid yang tidak menyedari potensi dalam diri mereka. Jadi kita kena bantu mereka supaya menyedari potensi diri dan menjadi lebih vokal.

Bagaimana anda membahagikan masa antara kesibukan di lokasi dan tugas sebagai isteri?

Memandangkan saya dan Yusry berada dalam industri yang sama, kami faham antara satu sama lain dan ia memudahkan kami. Malah buat masa ini, kami belum mempunyai kediaman sendiri, sebaliknya akan bertolak ansur tidur di kediaman keluarga Yusry atau keluarga saya, mengikut jadual kerja dan kesenangan kami.

Selepas lebih sebulan berkongsi hidup dengan Yusry, apa sahaja sikap suami yang selama ini tidak diketahui, mula ditonjolkan?

Tiada, sebab saya rasa sejak bercinta, Yusry tidak pernah menyembunyikan sifat dan sikap dirinya yang sebenar. Selain memang seorang yang kelakar, Yusry juga sangat rajin, kemas dan pembersih. Ya, semua sifat-sifat itu telah lama saya tahu dan setakat ini tiada 'penemuan' baharu tentang sifatnya yang saya tidak ketahui sebelum ini.

Soalan terakhir, bagaimana dengan perancangan keluarga. Adakah anda sudah hamil?

Saya belum hamil. Belum ada rezeki, tapi kami memang tidak merancang. - MALIAH SURIP