Adsense

Selasa, 24 April 2012

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Jalani latihan tentera demi filem

Posted: 23 Apr 2012 07:39 AM PDT

MENGENALI figura yang seorang ini sebelum dia punya apa-apa lagi. Kalau tidak silap, dia baru berusia 18 tahun atau lebih tepat pada 1999. Mohammad Zalimei Ishak (Remy Ishak), 30, ketika itu, seorang yang cukup pemalu dan tidak banyak bercakap (sekarang pun masih sama cuma lebih berkeyakinan).

"Dalam hidup saya cuba jadi seorang yang lebih bagus. Untuk mencapainya kita perlu berubah daripada terus berada di takuk lama. Saya ambil penghijrahan Rasulullah s.a.w sebagai inspirasi dan kekuatan. Penghijrahan yang saya lakukan untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik dan mengubah nasib keluarga.

"Dalam bidang lain juga kita boleh mencari masa depan, namun seperti yang kita tahu pekerjaan di Malaysia agak terhad. Memasuki dunia seni, hajat yang sudah sekian lama terpendam sejak berada di kampung lagi. Apa yang saya peroleh hari ini hasil sahutan cabaran teman-teman yang pernah memandang remeh impian saya.

"Terima kasih kepada mereka, kalau tidak dicabar mungkin saya masih di takuk lama. Kekecewaan yang saya lalui dalam kehidupan dalam banyak perkara juga menguatkan lagi keinginan saya untuk menjadi bintang yang dikenali. Dulu, saya sering 'ditolak' wanita walaupun saya tahu saya mampu mencintai sepenuh hati.


"Apapun, kegagalan masa silam tidak bererti kita akan gagal selamanya. Saya rasa tidak salah seseorang mempunyai angan-angan dan impian tetapi perlukan kesabaran dan keazaman untuk mencapainya," katanya.


Untuk berada di tahap sekarang ini, Remy melalui pelbagai kesukaran dan apabila dirinya diterima, timbul rasa kecewa apabila ada pula pihak cuba menghancurkan kariernya dengan menabur pelbagai fitnah.

Apabila dia mengambil tindakan untuk tidak memberi sebarang 'respons' kepada setiap isu yang diperkatakan, dituduh pula dirinya seorang yang 'arrogant'.

"Bukan 'arrogant', saya cuma tak suka bercakap mengenai hal yang tidak tahu pucuk pangkalnya. Jika sesuatu cerita itu sendiri tidak benar, kenapa harus saya menjawab, sekali gus memanjangkan hal yang tak ada.

"Saya lebih suka seandainya fokus diberi kepada kerja yang saya lakukan. Bagaimanapun, sekarang ini saya sedang belajar untuk membiasakan diri dengan hal sebegini dan cuba menerima asam garam dunia seni yang penuh ragam," katanya.

Mula aktif pada 2006, Remy sudah membintangi lebih lima filem antaranya Anak Halal, Duhai Si Pari Pari, Cun, Nur Kasih The Movie termasuk Aku, Kau Dan Dia. Drama serta telefilem pula seperti Sindarella, Obsesi, Awan Dania, Arjuna, Suraya, Iktikaf, Jalan Pintas Ke Neraka, Takbiratul Ihram dan Sesuci Kasih.

Menghala topik pada bidang kerjaya, tanggal 14 April yang lalu buat pertama kali Remy memasuki set penggambaran filem Bravo 5 arahan Mohd Latiff Zami atau Yeop Hitler.

Bravo 5 adalah sebuah filem ketenteraan yang hadir mengisi kekosongan filem bergenre seumpamanya seperti Leftenan Adnan, arahan Aziz M Osman yang menghiasi pawagam pada 31 Ogos 2000.

"Saya tertarik menerima tawaran ini kerana terpaut pada jalan ceritanya. Sejak Leftenan Adnan, setahu saya tiada filem yang mengangkat kehebatan Komando Melayu yang berjuang demi bangsa dan negara. Ia bukan kisah benar, tetapi diinspirasikan daripada tragedi kisah benar sekitar 1980-an.

"Kalau kita bercakap mengenai filem aksi, selalunya yang dihidangkan kepada penonton adalah naskhah mempamerkan kehidupan gengster dan pacuan empat roda. Walhal, filem aksi itu boleh diperluaskan skop penceritaannya.

"Dalam cerita ini, saya memegang watak sebagai Leftenan Azri, ketua Ronda Kumpulan Kecil (RKK). Leftenan Azri seorang yang merendah diri, namun ada ketegasan dalam sifatnya yang lembut. Azri menghormati orang bawahannya.

"Lazimnya, seorang Leftenan digambarkan sebagai individu yang yang garang. Filem ini menawarkan satu lagi penghayatan yang berbeza buat saya khususnya dalam menjiwai perwatakan seorang askar," katanya.

Sebagai persediaan mental dan fizikal menghadapi tuntutan di set penggambaran, Remy mengikuti latihan asas ketenteraan di Kem Sungai Udang, Melaka.

"Selama seminggu saya di sana, kalau ikutkan tidak cukup. Tetapi bersyukur jugalah kerana asas ketenteraan tidak semudah disangka. Menerusi latihan yang turut disertai beberapa pelakon lain dapat membantu kami menjiwai perwatakan seorang tentera apabila memasuki set penggambaran.

"Seawal jam 7 pagi hingga 7 malam, kami yang lengkap berpakaian tentera sudah bersiap sedia menjalani latihan asas ketenteraan seperti taktik serang hendap dalam hutan dan cara memegang senjata 'cobain'. Pada sebelah malam pula diadakan demonstrasi cara penggunaan senjata dengan betul.

"Dari segi karakter, saya rasa tidak begitu sukar kerana ayah saya dulu seorang tentera. Jadi perwatakan seorang tentera dari segi bahasa tubuh dan percakapan, boleh dikatakan saya sudah faham.

"Selepas melalui semua proses yang sangat sukar ini, saya harap ia dapat membantu persembahan saya dalam Bravo 5," katanya.

Berkonsepkan 1Malaysia, selain Remy, filem ini turut dibintangi Beto Kusyairy, Shashi Tharan, Xavier dan pendatang baru, Farid.

Ia menelan belanja yang agak besar kerana kelengkapan penggambaran seperti kamera digunakan dua buah sekali gus.

Selesai penggambaran filem Bravo 5, Remy terikat pula dengan penggambaran drama episod terbitan Filmscape iaitu Cinta Jangan Pergi untuk siaran TV9.

Sebelum kedua-dua peluang berkenaan dilaksanakan, pemuda kelahiran Negeri Sembilan itu baru saja selesai penggambaran filem 13 episod, Cinta Dalam Hati yang bakal ditayangkan di RTM.

Malah, ada pihak meramalkan nama Remy kembali melonjak sebaik kemunculan filem Jiwa Taiko arahan pengarah filem pecah panggung, Ombak Rindu iaitu Osman Ali, yang menjengah pawagam 14 Jun ini.

Ditanya, apakah kepentingan antara filem dan drama sehinggakan Remy masih merebut peluang kedua-duanya walaupun namanya sudah layak memberi tumpuan pada filem saja, jejaka ini berkata, drama adalah ruang dia membina persediaan.

"Filem membawa kita meneroka dunia yang sedikit berbeza daripada drama. Drama saya gunakan sebagai 'platform' untuk belajar mendalami pelbagai karakter.

"Ia sebagai kelas atau persediaan sebelum saya melangkah ke filem. Filem pula ada 'nilai' berbeza daripada drama kerana apabila suatu hari nanti apabila kita sudah tiada, ia tetap dimainkan di televisyen.

"Maknanya, penat lelah dan hasil kerja kita dalam membangunkan industri perfileman masih dapat dikongsi dan dipertontonkan kepada masyarakat," kata duta jenama Dashing itu.

Sebelum mengakhiri perbualan, Remy yang baru saja menyambut ulang tahun ke-30 pada 11 April lalu, tidak meletakkan tempoh untuk mengakhiri zaman bujang.

"Apabila saatnya tiba saya pasti akan berkahwin kerana semua orang mahu mempunyai keluarga," katanya yang menjalinkan hubungan dengan pelakon putih gebu, Tiz Zaqyah.




Bayaran naik setiap tahun

Posted: 23 Apr 2012 07:25 AM PDT

KENYATAAN Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli mengenai isu bayaran rendah stesen TV kepada produser dilaporkan semalam seolah-olah menemui jalan buntu apabila tindakan dibuat tidak mendapat sebarang maklum balas.

Mengupas isu ini lebih mendalam, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian TV, Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham Omar tampil memberi penjelasan isu dibangkitkan PTVM bukan masalah besar yang perlu digembar-gemburkan.

Katanya, situasi segelintir produser menyuarakan isu ini sentiasa wujud. Namun, tanggapan produser terhadap bayaran diberikan stesen TV yang dikatakan rendah dan masih sama sejak 17 tahun lalu adalah kenyataan tidak benar.

"Bayaran atau harga stesen TV pada produser sebenarnya meningkat setiap tahun. Soal berapa banyak bayaran diberikan stesen TV ini, bergantung pada perbincangan kedua-dua pihak.


"Ini merujuk pada kandungan cerita yang menarik dan mempunyai kualiti. Jika pihak stesen TV ini berpandangan sesuatu cerita itu bagus, kami sendiri sanggup mengeluarkan bajet yang lebih untuk penerbitannya.


"Saya sendiri berpandangan tidak sepatutnya jumlah bayaran ini didedahkan kerana ia membabitkan persetujuan atas perbincangan stesen TV dengan produser itu sendiri," katanya.dalam temubual eksklusif di Sri Pentas, Bandar Utama, Selangor baru-baru ini.

Melihat kerja penerbitan drama TV sebagai kreativiti yang subjektif, Izham percaya stesen TV dengan produser dapat menjalinkan kerjasama yang baik dan secara profesional.

"Dalam saingan dunia siber, produser tidak seharusnya bergantung pada stesen TV 100 peratus untuk cari makan. Mereka boleh menjual drama dihasilkan menerusi laman sesawang seperti mana di IpTV dan Tonton.

"Seharusnya produser berdepan cabaran menghasilkan drama berkualiti yang boleh dijual ke pasaran luar negara. Saya masih ingat suatu ketika dulu, lagu bahasa Inggeris menguasai industri muzik tanah air apabila kerap dimainkan
di stesen radio.

"Apakah ketika itu, kita harus berfikir perlu menghentikan penyiaran lagu antarabangsa ini berbanding artis tempatan lebih bersemangat bersaing dengan artis luar negara dengan menghasilkan karya lebih berkualiti," katanya.

Bagi produser mempunyai profil cemerlang bersama stesen TV selepas mencatat rating tinggi drama yang pernah disiarkan, Izham menjelaskan stesen TV3 mahupun ntv7, 8TV dan TV9 tetap menitikberatkan aspek kualiti drama yang ingin dihasilkan.

"Sebagus mana produser atau produksi itu, kualiti tetap diberi perhatian. Persaingan antara produser seharusnya memberi perkembangan sihat pada masa depan drama tempatan.

"Ada produser mendapat bayaran lebih tinggi tetapi ia bersifat selektif iaitu merujuk pada kualiti drama yang ingin diterbitkan. Sebenarnya, cerita yang mendapat slot dan bukannya produser.

"Seperti kerjasama MPB bersama produksi Excellent Pictures sebelum ini, ia hanya membabitkan filem, tetapi untuk drama, produksi ini tetap perlu bersaing dengan produksi lain," katanya.

Izham menekankan, idea atau cerita dikemukakan produser pada stesen TV seharusnya menarik dan mempunyai kekuatan agar stesen TV yakin memberikan bayaran untuk proses penerbitan.

"Begitu juga, produser perlu bagus dalam proses 'pitching' sekiranya idea itu diterima. Slot siaran drama terhad dan saya percaya jika cerita itu menarik walaupun bajet rendah, orang ramai tetap menonton.

"Jika produksi itu mahu bayaran tinggi kerana ingin mengambil pelakon popular membintangi drama mereka, rundingan menerusi perbincangan boleh dilakukan. Namun, rundingan ini perlu dibuat munasabah dan setakat ini, kebanyakan pelakon tempatan memberi komitmen baik pada stesen TV.

"Saya juga gembira melihat kehadiran produser dan pengarah muda mewarnai industri drama tempatan. Walaupun mereka masih baru, peluang diberikan stesen TV pada karya mereka tetap ada.

"Fokus pada lakon layar dan penulisan skrip perlu diberi perhatian dalam menjadikan drama itu berkualiti. Saya menghormati kenyataan Jurey tetapi saya ingin betulkan persepsi mengenai soal bayaran tidak berubah selama ini tidak benar," katanya.

Cadangan disarankan PTVM agar garis panduan dikeluarkan untuk mengatasi isu ini, Izham berpandangan ia bukan satu keperluan atau jalan penyelesaian terbaik. Pihak MPB masih selesa dengan cara sendiri, memberikan bayaran lebih pada produser yang mempunyai cerita berpotensi dan kualiti.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana kadar bayaran sebegitu diperoleh PTVM. Memang ada produksi dibayar seperti yang diperkatakan, tetapi ada juga produksi mendapat bayaran lebih.

"Bagi produser baru, sekiranya mereka mengambil peluang bekerjasama dengan produksi berpengalaman, mereka juga boleh menghasilkan drama yang lebih berkualiti dengan bajet lebih besar.

"Hakikatnya, stesen TV di MPB memberi peluang pada sesiapa saja tidak kira produser lama atau baru untuk bekerjasama dan meraih bayaran lebih tinggi mengikut idea menarik yang dijual," katanya.