Gosip Artis Malaysia |
- Sami Yusuf Berduet Bersama Datuk Siti Nurhaliza
- 'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara
- Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma
- Zahida Tidak Stres Dengan Tuduhan Terima Wang RM1.5 Juta
- Jimmy Shanley Nafi Sindir Ibu Mertua Dalam 'Tanah Kubur'
- Rohana Jalil Akui Bertekak Dengan Kilafairy
- Akaun Twitter Zahida Rafik 'Panas' Dengan Sindiran
- Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP
Sami Yusuf Berduet Bersama Datuk Siti Nurhaliza Posted: 24 Apr 2012 07:27 PM PDT NAMA Sami Yusuf barangkali sudah tenggelam bagi peminat di Malaysia lantaran fenomena Maher Zain. Hakikatnya, penyanyi Muslim kacukan Teheran-British itu muncul lebih awal di Malaysia bersama album pertamanya, Al-Mu'allim iaitu sekitar tahun 2003. Setelah kemunculan lebih ramai penyanyi yang menyampaikan lagu genre ketuhanan, namanya kian pudar. Tidak mudah mengalah, Sami Yusuf, 31, kini akan muncul dengan album keempatnya, Salaam yang bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk sebuah lagu yang dirakamkan bersama Datuk Siti Nurhaliza. Ujarnya, memilih penyanyi nombor satu negara itu sebagai rakan duet merupakan langkah bijak menyatukan muzik dua benua Eropah dan Asia untuk album yang kemungkinan besar dikeluarkan pada bulan Jun nanti. "Dia (Siti) merupakan seorang penyanyi berbakat yang sangat hebat dan mengagumkan! Dia mempunyai aura serta kelembutan sebagai penghibur sejati. "Saya bakal beraksi bersama Siti dalam konsert di Singapura dan Kuala Lumpur menjelang Julai ini," ujar Sami yang ditemui ketika sidang akhbar di Restoran Hadramawt, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini. Tambahnya, lagu berjudul You Came To Me yang diciptanya sebelum datang ke Malaysia itu dinyanyikan dalam tiga versi iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab. Malah, sebahagian daripada lirik berbahasa Melayu dalam lagu itu mendapat kerjasama daripada komposer berbakat, Yasin Sulaiman. "Lagu ini sangat cantik susunan muziknya, ia menyuntik elemen tradisional yang sesuai dengan genre muzik yang saya bawa," kata penyanyi merangkap penulis lirik dan komposer yang memperkenalkan genre muzik yang dikenali sebagai spiritique itu. Sewaktu ditemui ketika sedang merakamkan lagu tersebut bersama Sami di Studio Harem, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, kata Siti, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menerima pelawaan Sami. "Rugi untuk melepaskan peluang merakamkan sebuah lagu bercorak kerohanian secara duet dengan Sami. "Siti juga sangat teruja kerana dapat mendendangkan lagu yang mempunyai melodi dan lirik yang indah dalam tiga bahasa ini, " ucap Siti. Bintang rock Islam Usai album pertamanya yang mendapat kejayaan sehingga diiktiraf Bintang Rock Islam oleh majalah berprestij di peringkat global iaitu Time, Sami tampil dengan buah tangan berikutnya berjudul My Ummah dan Wherever You Are. Malah, ada beberapa lagu dalam album terdahulunya dinyanyikan dalam pelbagai bahasa antaranya, bahasa Parsi, Turki, Urdu dan Azeri. Tidak banyak bezanya album keempat Sami berbanding album sebelum ini, katanya, apa yang membezakan adalah kematangan usia dirinya dan albumnya. "Kalau dilihat dari segi revolusi muzik, tidak jauh berbeza kerana album ini masih dalam genre spritique, cuma apa yang berbezanya sudah tentu usia saya. "Idea masih sama iaitu untuk menyatupadukan keamanan dan kasih sayang sesama manusia," ujar Sami yang lebih gemar mendengar muzik-muzik klasik. Dalam pada itu, Sami turut memuji kumpulan nasyid Raihan yang diamatinya sangat berkembang dari segi muzik yang dibawa. "Satu-satunya lagu kumpulan nasyid yang saya suka dengar semestinya kumpulan Raihan. Muziknya sangat berevolusi dan industri muzik Malaysia sepatutnya berbangga memiliki mereka (Raihan)," katanya. Banyak kejutan Selaras dengan pelancaran album keempatnya itu, Sami dijadualkan beraksi dalam konsert khas yang diberi nama Konsert Salaam Sami Yusuf bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam pada 14 Julai ini. Sebelum itu, dia bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Julai melalui konsert debutnya. "Banyak kejutan akan ditampilkan khusus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini. Sebanyak 18 buah lagu akan saya nyanyikan dan selebihnya perlu tunggu pada tarikh tersebut," janji pemilik syarikat rakaman Andante yang baru ditubuhkan itu. Konsert Salaam Sami Yusuf dibawakan oleh Offshore Entertainment Production dengan kerjasama Shue Ellis Communication. Sami kini berada di Salle Omnisports of Radès, Tunisia untuk konsert jelajah terakhir di sana sebelum ke Singapura dan Malaysia tidak lama lagi. - --- |
'Detik Tragik' Papar Bencana Terburuk Dalam Negara Posted: 24 Apr 2012 07:02 PM PDT PETALING JAYA: Stesen TV3 bakal menyiarkan sebuah dokumentari kisah benar yang memaparkan peristiwa cemas dalam negara termasuklah kejadian letupan kilang mercun dan bunga api Bright Sparklers di Sungai Buloh dekat sini pada tahun 1991. Penerbit Eksekutifnya, Mohd Said Abdullah Thani berkata, program Detik Tragik sebanyak 13 episod itu diterbitkan untuk memberi peluang kepada generasi hari ini menyaksikan peristiwa penting dan bencana yang telah meragut nyawa dan menggemparkan negara. "Kami menggunakan pendekatan penyiasatan secara serius yang melibatkan tinjauan ke lokasi kejadian sebenar dan menemu bual saksi serta mangsa yang terlibat. "Banyak maklumat baru yang kami bongkar dalam Detik Tragik selain yang pernah disiarkan menerusi media," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa. Antara peristiwa yang akan turut disiarkan seperti kebakaran di Terminal 1, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Ribut Greg di Keningau, Sabah, Tsunami di Pulau Pinang dan Kedah dan banjir lumpur di Pos Dipang, Perak. Turut dipaparkan kejadian terminal feri runtuh di Butterworth, pesawat terhempas di Tanjung Kupang, Johor yang turut meragut nyawa seorang menteri serta tanah runtuh di Genting Sempah, Pahang. Katanya, kejadian letupan kilang mercun dan bunga api yang berlaku pada 7 Mei 1991 itu pasti meninggalkan kenangan pahit kerana ia telah meragut 26 nyawa manakala 83 orang cedera. "Letupan dahsyat itu turut digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' berikutan gegaran ledakan seakan-akan bom atom. Berpunca daripada 200 tan belerang, gegaran ledakan tersebut dapat dirasai sehingga tujuh kilometer dari lokasi tragedi," ujarnya. Siri dokumentari itu menampilkan gabungan wartawan berpengalaman dan muka baru, seperti Zakiah Anas, Harris Mohd Farok Alex, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin, Mohd Raziff Zulkafli, Siti Hajar Rozli, Nurul Syafikah Abd. Masri dan Syazwan Syuwari Nordin Ia akan bersiaran selama setengah jam pada setiap hari Rabu pukul 9 malam bermula 2 Mei depan. - --- |
Michelle Yeoh Sukar Berdialog Dalam Bahasa Burma Posted: 24 Apr 2012 07:01 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon antarabangsa Datuk Michelle Yeoh mengakui berasa sukar untuk mengungkapkan dialog dalam bahasa Burma (kini Myanmar) bagi watak sebagai pejuang kebebasan demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi dalam filem The Lady. Menurut bintang filem kelahiran Ipoh, Perak itu, dia perlu mengingati dialog yang panjang bagi babak-babak ucapan pengasas parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan itu ketika berkempen. "Saya akui persediaan untuk babak ketika Suu Kyi menyampaikan ucapannya di hadapan rakyat adalah paling mencabar kerana ia perlu dilakukan dalam bahasa Burma. "Bukan sahaja dialognya panjang, malah ia perlu dirakamkan hanya satu kali sahaja bagi mengekalkan impak emosi di kalangan watak masyarakat yang mendengar ucapan itu," katanya yang mendapat bimbingan guru bahasa Burma. Yeoh berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem epik biografi arahan pengarah Perancis, Luc Besson di Hotel Ritz-Carlton, di sini, petang Selasa. Aktres berusia 49 tahun itu berkata komitmen dalam filem itu juga menuntut persiapan fizikal yang menyeluruh bagi mendapatkan susuk tubuh yang seiras pemimpin itu. "Saya membuat latihan fizikal seperti seorang pelari maraton. Saya perlu berlatih selama satu jam setengah sebelum dan selepas penggambaran pada setiap hari. "Aspek persiapan fizikal sangat penting untuk tujuan stamina dan ketahanan sepanjang penggambaran. Apa yang lebih penting, ia bagi mengekalkan bentuk fizikal saya agar menyamai fizikal sebenar Suu Kyi," katanya. Sempat diusik adakah dia berminat untuk menceburi bidang politik selepas melakonkan watak pemimpin itu, Yeoh berkata ia adalah lapangan yang kompleks yang tidak mungkin termampu dilakukannya. "Saya tidak pernah mempertimbangkan untuk bergelar ahli politik. Menjadi pelakon pun sudah mencabar apatah lagi untuk menjadi pemimpin. "Saya sangat kagumi kekuatan ahli-ahli politik yang mampu berkompromi dalam segenap aspek kehidupan termasuk soal privasi. Kriteria seorang ahli politik tidak ada pada personaliti diri saya," ujarnya. Filem yang diinspirasikan daripada kronologi hidup pemenang Anugerah Keamanan Nobel (1991) itu turut dibintangi antaranya David Thewlis, Jonathan Woodhouse dan Jonathan Raggett. The Lady bakal ditayangkan di pawagam pada 3 Mei depan. - --- |
Zahida Tidak Stres Dengan Tuduhan Terima Wang RM1.5 Juta Posted: 24 Apr 2012 07:00 PM PDT PETALING JAYA: Kontroversi tuduhan menerima wang RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal sedikit pun tidak mendatangkan stres kepada Zahida Rafik. Pelakon itu berkata demikian ketika berkomunikasi dengan pengikut laman sosial Twitter miliknya pada Selasa malam. "Terima kasih sayang. Tak stres pun. Akak cool," katanya dalam entri kira-kira pukul 8.33 malam Selasa yang dikirim menerusi telefon Blackberry miliknya. Dia juga turut mengatakan dirinya kuat untuk menempuh tuduhan yang melanda dan meminta peminat mendoakan kesejahteraannya. Kebanyakan pengikut Twiter pelakon itu pada Selasa menghantar pesanan kepada Zahida untuk memberi kata-kata semangat dan perangsang. Bagaimanapun terdapat satu pesanan kiriman Miss Lola pada pukul 10.46 pagi Selasa menempelak Zahida dengan mendakwa apa yang berlaku itu adalah balasan Tuhan terhadap perbuatannya. "Bila dah kantoi tau plak nak ingat Tuhan… tapi bila pakai seksi tak pulak kau nak ingat Tuhan. Ni la balasannya," kata pengirim itu. Bagi persoalan tersebut Zahida hanya ketawa dengan menjawab; "hahahaha...gud day my dear!! Cheers!" Sebuah portal dalam talian pada 18 April lalu melaporkan pemandu Zahida iaitu Noor Azman Azemi telah membuat laporan polis mendakwa pelakon itu telah menerima wang tunai sebanyak RM1.5 juta dari seorang menteri dalam jangka masa empat bulan. Ketua Wanita, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin telah mendedahkan laporan polis itu kepada pihak media. Dalam laporan polis tersebut, Noor Azman mendakwa Zahida telah menerima wang sebanyak RM58,000 pada Oktober tahun lalu, RM112,000 pada November, RM330,000 pada bulan Disember dan RM510,000 pada Januari tahun ini. - --- |
Jimmy Shanley Nafi Sindir Ibu Mertua Dalam 'Tanah Kubur' Posted: 24 Apr 2012 06:58 PM PDT PETALING JAYA: Pengacara Jimmy Shanley menolak tuduhan kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya yang juga usahawan Datin Muniroh Kassim dalam episod terbaru drama bersiri Tanah Kubur yang ditayangkan di Astro Oasis pada Jumaat lalu. Pemilik nama sebenar Jimmy Shanley Norjahan Salleh, 32, itu berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana watak gigolo yang dilakonkannya itu mengikut skrip yang dihasilkan syarikat produksi Opera Klasik Sdn Bhd. "Dakwaan itu tidak benar dan tidak berasas langsung. Saya hanya pelakon yang memainkan watak seperti dikehendaki dalam skrip pengarahnya Rashid Sibir. "Drama itu adalah cerita rekaan semata-mata dan tiada kena-mengena dengan kehidupan peribadi saya atau orang lain," katanya di sini, petang Selasa. Jimmy berkata demikian bagi mengulas dakwaan terbaru kononnya dia cuba menyindir ibu mertuanya apabila wujud watak Datin Iroh, seakan-akan singkatan nama pemilik produk kecantikan Natasya itu yang dilakonkan oleh Rozita Rohaizat. Ditanya mengenai dakwaan hubungannya dingin dengan keluarga mertua dan berkelakuan tidak manis apabila memanggil ibunya itu dengan nama Datin, bekas pengacara Trek Selebriti itu berkata dia tidak pernah mendengar tuduhan tersebut. "Saya jarang berkomunikasi dengan ibu mertua. Kami sibuk dengan kehidupan masing-masing. Tiada apa pun yang keruh atau dingin berlaku antara kami. "Saya tidak mahu komen lebih, buat masa ini saya lebih selesa menumpukan pada kehidupan sendiri sahaja," katanya. Jimmy yang kini berjinak-jinak dalam bidang lakonan memberitahu, selepas pelbagai kecelaruan timbul dalam kehidupannya, dia tidak mahu lagi untuk bercerita mengenai soal privasi. "Saya tidak mahu lagi untuk ulas apa-apa melainkan keadaan memerlukan untuk saya bercakap. Sebelum ini, sudah terlalu banyak hal peribadi dan rumah tangga saya diperkatakan. "Kini, saya mahu melangkah ke hadapan dan serahkan sahaja kepada pihak mahkamah bagi menentukan hal rumah tangga kerana mereka lebih arif," katanya. Keputusan hak penjagaan ke atas anak perempuannya Zahrah Shanley hasil perkahwinan dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy akan diumumkan pada 30 April ini. Sebelum ini, Jimmy pernah memfailkan perintah kembali taat terhadap isterinya pada 3 Januari 2011 diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari tahun yang sama. Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2010. |
Rohana Jalil Akui Bertekak Dengan Kilafairy Posted: 23 Apr 2012 09:41 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi popular era 80-an, Rohana Jalil sering bertekak dengan pelakon dan penyanyi, Kilafairy kerana kurang senang dengan sikap sambil lewa anaknya itu terhadap bidang seni. Rohana berkata, Kilafairy yang baru berusia 18 tahun itu masih mentah dan ada masanya dia akan cepat bosan dengan apa yang dilakukannya. "Dia masuk ke dunia seni tanpa perlu bersusah payah seperti mana zaman saya dulu dan kesenangan yang dimiliki kadang-kadang membuat dia lupa dan mula sambil lewa. "Saya bertekak dengan dia tu bukanlah bermaksud kami bergaduh tapi lebih kepada nasihat kerana dia pun masih muda dan perlu ada orang tua seperti saya yang tahu selok-belok dunia hiburan. "Saya sebagai ibu tidak mahu dia hanyut dengan glamor sehingga terlepas peluang atau melakukan sesuatu yang akan dia menyusahkan dia kemudian hari," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Pertandingan Bintang RTM 2012 di Angkasapuri di sini, Isnin. Dalam pada itu, Rohana berkata, dia sebenarnya mahu Kilafairy memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier nyanyian tetapi minat anaknya itu lebih terhadap dunia lakonan. Bagaimanapun kata Rohana, Kilafairy kini lebih berhati-hati dalam memilih watak kerana sering diberi peranan 'gedik' yang kurang sesuai dengan usianya yang masih muda. "Lakonan adalah minat dia dan sebagai ibu, saya tetap sokong tetapi dia mesti bersungguh-sungguh dalam apa yang dilakukan. Setakat ini usaha itu sudah nampak cuma dia perlu tingkatkan lagi," katanya. Sementara itu, Rohana berkata, dia bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu dan memilih komposer Amylea (AF) untuk mencipta lagu itu nanti. Kata Rohana, dia menyerahkan kepada komposer muda itu untuk memilih lagu sesuai untuk mereka kerana ingin muncul dengan sesuatu yang baru dan segar bersama anak. "Saya teruja dengan projek terbaru ini dan ingin muncul dengan sesuatu yang boleh menambat hati peminat Kilafairy dan saya sendiri. Jadi rasanya orang baru seperti Amylea lebih mengetahui apa yang sesuai untuk lagu duet itu nanti," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Rohana berkata, dia bakal muncul dalam satu persembahan khas di Hotel UiTM di Shah Alam pada 28 April ini bersama dua rakan baiknya iaitu Nassier Wahab dan Zur Eda pada pukul tiga petang. - --- |
Akaun Twitter Zahida Rafik 'Panas' Dengan Sindiran Posted: 23 Apr 2012 09:41 PM PDT PETALING JAYA: Aktres Zahida Rafik menjadi semakin popular selepas tersebar dakwaan dia menerima sejumlah wang daripada seorang menteri kanan sehingga mengundang pelbagai reaksi panas menerusi laman sembang Twitter milik pelakon itu. Kebanyakan pengikut Twitternya iaitu di @zahida_rafik menghantar pesanan yang menyindir selain teguran pedas berhubung dakwaan kononnya dia menerima wang kira-kira RM1.5 juta daripada VIP berkenaan. Salah seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Fared Isa pada dua hari lalu menghantar mesej berbunyi: "Hi jutawan. Anda telah kantoi…Saya tidak pernah dengar nama anda sebelum ini hinggalah berita anda ini tersebar ke seluruh negara." Zahida pula membalas dengan berkata; "Sabar!!Teruskan usaha anda! Saya perlu tido sekarang, selamat malam! Esok jangan lupa tweet lagi tau…Sekurang-kurangnya saya seorang jutawan, anda pula? Seorang lagi pengguna, Mohd Firdaus menghantar pesanan kepada Zahida lima hari lalu berbunyi: "Untung laaa @zahida_rafik hidup senang-senang sahaja hujung minggu dapat RM200,000. Nak duit beritahu sahaja dekat menteri. Saya harap berita ini satu kebenaran." Zahida pula membalasnya; "Maaf ye, saya bekerja keras untuk dapatkan duit. Jika kamu tak ada duit, saya boleh derma sedikit. Tidak apa, Allah akan tunjukkan kebenarannya." Bagaimanapun trend tersebut berubah apabila pengikut Twitter milik Zahida mula memberi komen yang positif terhadap pelakon itu apabila terdapat mereka yang menyokong dan memberi galakan kepadanya. Seorang pengikut Twitter Zahida iaitu Tengku Iskandar menghantar mesej berbunyi; "Harap cepat selesai masalah ini sebelum makin melarat. Faham-faham sahaja la di Malaysia ini, semua hendak jadi hakim." Adlynn Jamlus pula menghantar mesej dengan meminta Zahida bersabar iaitu; "Bersabarlah dengan dugaan yang diberi... Insya-Allah ada hikmahnya. Sehingga malam Isnin, akaun Twitter pelakon Anak Mami The Movie ini mempunyai 7,069 pengikut. Rabu lalu, pemandu peribadi Zahida, Noor Azman Azemi membuat laporan polis mendakwa aktres berkenaan mendapat wang berjumlah RM1.5 juta daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal. Bagaimanapun, Zahida dan menteri berkenaan telah menafikan tuduhan itu dan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang cuba memfitnah mereka. - --- |
Fida Ibrahim Tepis Tuduhan Jadi Isteri Kedua VIP Posted: 23 Apr 2012 09:39 PM PDT PETALING JAYA: Pelakon Rafidah Ibrahim (Fida) menepis sekeras-kerasnya dakwaan terbaru kononnya dia sudah bernikah secara senyap-senyap dan menjadi isteri kedua seorang usahawan berstatus VIP pada awal bulan ini di Perlis. Pelakon berusia 26 tahun itu berkata tuduhan tersebut adalah tidak berasas kerana pada waktu tersebut dia sedang berada di lokasi penggambaran sebuah drama. "Tuduhan saya bernikah secara senyap-senyap adalah tidak betul sama sekali. Ini adalah fitnah kerana pada waktu yang dikatakan saya melangsungkan pernikahan itu, saya berada di lokasi penggambaran. "Jujurnya, saya pun tidak tahu mengenai perkara sehingga ia kecoh diperkatakan di laman Twitter pada baru-baru ini tetapi ia (pernikahan) memang tidak berlaku," jelasnya ketika dihubungi. Terdahulu, pada Disember tahun lalu mStar Online pernah melaporkan pengakuan aktres itu menjalin hubungan dengan VIP tersebut yang sudah dikenalinya hampir dua tahun lalu menerusi jaringan perniagaan. Difahamkan juga, Fida menyembunyikan hubungan mereka kerana enggan menimbulkan kekecohan memandangkan VIP itu sudah berkahwin. Ditanya adakah dia cuba menyembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan umum, bekas kekasih kepada pelawak Mamat (Sepah) ini menganggapnya sebagai salah faham. "Perkara ini timbul atas dasar salah faham. Mungkin ada orang yang seiras wajah saya melangsungkan pernikahan pada waktu dan lokasi yang dikatakan itu. "Secara tidak langsung saya pula dikaitkan dengan perkara ini. Jika benar saya bernikah, tiada apa yang perlu disembunyikan," katanya. Beralih kepada perkembangan kerjaya, impiannya untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila Fida mengesahkan bakal muncul dengan lagu single pertama berjudul Apo Kono Eh Jang yang pernah dipopularkan Ally Noor dan Mastura pada tahun 1980-an "Lagu itu digubah semula dengan susunan baru yang sesuai dengan muzik semasa. Ia dijangka keluar pada hujung April atau selewat-lewatnya awal Mei depan. "Menariknya, saya akan berduet dengan kumpulan Stellar Band dan diterbitkan oleh Sheikh Qalam," katanya yang bakal terlibat dalam telefilem Nasib Si Pemandu Limousin. - --- |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |